PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Friday, 21 February 2020

ARAK PEMBUNUH: HENTIKAN GALAKAN DAN INSENTIF KEPADA PENGILANG ARAK, MALAYSIA TIDAK BOLEH MENJADI MESRA ARAK

*Kenyataan Media*

Jumaat, 21 Februari 2020 | 27 Jamadilakhir 1441H

*ARAK PEMBUNUH: HENTIKAN GALAKAN DAN INSENTIF KEPADA PENGILANG ARAK, MALAYSIA TIDAK BOLEH MENJADI MESRA ARAK*

1. Pada 14 Oktober 2019, akhbar The Edge Markets melaporkan saham-saham dua pengilang arak terbesar di Malaysia, Heineken Malaysia Bhd and Carlsberg Brewery Malaysia Bhd, naik 1.24% dan 0.8% selepas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengecualikan arak dari kenaikan duti eksais dalam Bajet 2020.

2. Tindakan Lim Guan Eng mendapat pujian Pengarah Urusan Heineken Malaysia Bhd, Roland Bala, yang menyatakan tindakan kerajaan tidak menaikkan duti eksais ke atas arak adalah bukti komitmennya terhadap pengwujudan sebuah Malaysia yang lebih progresif dan lebih Makmur untuk semua golongan rakyat.

“Heineken, Carlsberg advance on being spared excise duties on beer”, https://www.theedgemarkets.com/article/heineken-carlsberg-advance-being-spared-excise-duties-beer

3. Pada 14 Februari 2020, akhbar The Edge Markets melaporkan Carlsberg Brewery Malaysia Bhd mengumumkan Jabatan Kastam membatalkan tuntutan ke atas cukai jualan dan penalti berjumlah RM20.65 juta daripadanya.

4. Pembatalan itu dinyatakan oleh Jabatan Kastam berkuatkuasa pada 15 Januari 2020 membabitkan tuntutan ke atas cukai jualan berjumlah RM13.76 juta dan penalti berjumlah RM6.88 juta untuk tempoh 1 Julai 2011 ke 14 Januari 2014.

5. Pengumuman ini menyebabkan saham Carlsberg Brewery Malaysia Bhd naik 00.95%.

“Customs cancels Carlsberg's RM21m bill of demand”, https://www.theedgemarkets.com/article/customs-cancels-carlsbergs-rm21m-bill-demand

6. Semalam, 20 Februari 2020, akhbar The Edge Markets sekali lagi melaporkan Heineken Malaysia Bhd mengumumkan Jabatan Kastam membatalkan tuntutan ke atas cukai jualan dan penalti berjumlah RM22.16 juta daripadanya.

7. Pembatalan itu dinyatakan oleh Jabatan Kastam melalui surat bertarikh 3 Februari 2020, berkuatkuasa pada 15 Januari 2020, membabitkan tuntutan untuk tempoh 1 Julai 2012 ke 31 Oktober 2013.

8. Pengumuman ini menyebabkan saham Heineken Malaysia Bhd naik 0.73%.

“Heineken, the second brewery that Customs drops tax demands”, https://www.theedgemarkets.com/article/customs-drops-one-two-tax-demands-against-heineken

9. Kesemua ini memberi gambaran yang salah kepada rakyat bahawa Kerajaan Malaysia adalah sebuah kerajaan yang mesra arak dan pengilang arak.

10. Langkah-langkah ini adalah bertentangan dengan imej Malaysia di mata dunia sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya adalah umat Islam.

11. Langkah-langkah ini juga adalah bertentangan dengan usaha Kerajaan Malaysia untuk mengatasi masalah pemandu mabuk yang semakin parah.

12. Saya mendesak Kerajaan Malaysia memberikan penjelasan konkrit mengapa ia membatalkan tuntutan ke atas cukai jualan dan penalti daripada dua pengilang arak ini.

13. Saya juga mendesak Kerajaan Malaysia mengutamakan kebajikan dan keselamatan rakyat jelata yang majoriti penduduknya tidak meminum arak berbanding pengilang arak.

14. Walaupun kita menghormati kebebasan bukan Islam meminum arak, tetapi langkah-langkah perlu dibuat untuk menyekatnya dari mengganggu keamanan rakyat jelata.

15. Memberi galakan dan insentif kepada pengilang arak adalah bercanggah dengan konsep Islam Rahmatan lil ‘alamin dan Maqasid Syariah yang menjadi dasar Kerajaan Malaysia.

16. Ia umpama memberi galakan dan insentif untuk membunuh mereka yang tidak berdosa.

Sekian.

_*"Islam Memimpin Perpaduan"*_

*DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

_*Sumber Rasmi :*_
https://harakahdaily.net/index.php/2020/02/21/msia-jangan-mesra-arak-henti-insentif-kepada-pengilang/

_Kongsikan maklum balas anda di :_
https://www.facebook.com/569086473101387/posts/3118946264782049/

No comments:

Post a Comment