PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Wednesday, 19 February 2020

TIDAK CUKUP DENGAN PERLUCUTAN JAWATAN ADUN : KEWARGANEGARAAN DR. TING TIONG CHOON JUGA PERLU DILUCUTKAN!

*Kenyataan Media*

Selasa, 11 Februari 2020 | 17 Jamadilakhir 1441H

*TIDAK CUKUP DENGAN PERLUCUTAN JAWATAN ADUN : KEWARGANEGARAAN DR. TING TIONG CHOON JUGA PERLU DILUCUTKAN!*

Telah terbukti di Mahkamah Persekutuan hari ini bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut dari DAP, Dr. Ting Tiong Choon , memang pernah memohon dan memiliki kewarganegaraan Australia selain memiliki kewarganegaraan Malaysia.

Kerana memiliki dua kewarganegaraan ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 12 Mei 2017 melucutkan kelayakan Dr. Ting Tiong Choon  sebagai ADUN dengan 70 undi menyokong berbanding 10 undi membangkang.

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan tindakan DUN Sarawak melucutkan kelayakan Dr. Ting Tiong Choon  sebagai ADUN adalah sah sekali gus menterbalikkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuching dan Mahkamah Rayuan sebelumnya.

Saya menyanjung tinggi Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang telah dengan tanpa takut dan gentar membuat keputusan yang menegakkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan walaupun parti yang Dr. Ting Tiong Choon  wakili adalah sebahagian daripada pakatan yang memerintah Malaysia sekarang.

Keputusan ini adalah satu amaran keras kepada mana-mana rakyat Malaysia supaya tidak sesekali cuba memohon dan memiliki kewarganegaraan negara asing serta pada masa yang sama masih mahu menikmati keistimewaan yang dimiliki oleh warganegara Malaysia.

Keputusan ini juga adalah satu petanda jelas betapa DAP adalah sebuah parti politik yang tidak patuh kepada perlembagaan dan undang-undang walaupun menyatakan di sebaliknya kerana tetap mencalonkan Dr. Ting Tiong Choon  walaupun beliau tidak layak bertanding.

Begitupun, masanya telah tiba untuk Perlembagaan Persekutuan dikuatkuasakan sepenuhnya bagi menghalang mana-mana warganegara Malaysia mencabulinya dengan Kerajaan Persekutuan segera mengeluarkan perintah bagi melucutkan kewarganegaraan Dr. Ting Tiong Choon .

Perintah ini adalah selari dengan Perkara 24 (1) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi: “Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warganegara telah memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan melalui pendaftaran, penaturalisasian atau perbuatan sukarela dan formal yang lain (selain perkahwinan) maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu.”

Sekian.

_*“Islam Memimpin Perpaduan”*_

*DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

_Kongsikan kenyataan ini & maklum balas anda di :_
https://www.facebook.com/569086473101387/posts/3095024397174236/

No comments:

Post a Comment