PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Saturday, 15 February 2020

DAP: RUANG LINGKUP ISLAM AKAN DISEMPITKAN SEBAGAI AMALAN PERIBADI SAHAJA

Bahaya Menanti Umat (Siri 3)

*RUANG LINGKUP ISLAM AKAN DISEMPITKAN SEBAGAI AMALAN PERIBADI SAHAJA*

Selaras dengan matlamat penubuhan DAP untuk memperjuangkan penubuhan sebuah negara sekular, walaupun Islam diperuntukkan oleh Perlembagaan sebagai agama Persekutuan, pemimpin-pemimpin DAP berulangkali menekankan pendirian DAP bahawa agama adalah amalan peribadi yang berkait urusan individu dengan Tuhannya sahaja manakala urusan politik dan pentadbiran negara hendaklah dipisahkan daripada ajaran agama.

Pegangan ini boleh dilihat dalam ucapan Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh yang kini adalah Menteri Industri Utama, di Dewan Rakyat pada 12 Julai 2005, yang menyebut hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah Syariah ke atas peminum arak merupakan satu bentuk ketidakadilan dan sekatan terhadap kebebasan penganut Islam dari segi pilihan dan hiburannya. Beliau seterusnya mendesak pihak kerajaan mengkaji semula kuasa yang diberi kepada Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri yang mencabuli keperibadian individu.

Begitu juga dengan seorang lagi pemimpin DAP, Ronnie Liu Tian Khiew, yang menyebut pada 25 Januari 2006 bahawa agama perlu kekal sebagai urusan individu dengan Tuhannya, kebebasan beragama mesti termasuk kebebasan untuk masuk dan keluar dari mana-mana agama, dan pemimpin-pemimpin agama tempatan perlu mempertimbangkan dengan serius untuk turut mengamalkan perkahwinan antara dua pasangan yang berbeza agama seperti di Indonesia.

Kenyataan sama turut dibuat oleh Sheikh Omar Ali, yang kini adalah EXCO Kerajaan Negeri Johor, pada 8 September 2015 yang menyebut: “Menurut perlembagaan parti, DAP merupakan sebuah parti sekular. DAP tidak akan menjadikan sentimen mana-mana agama sekalipun disalahgunakan untuk kepentingan parti atau kelompok tertentu. Dan DAP menghormati mana-mana sahaja ahlinya untuk menjadi seorang yang kuat beragama. Bagi DAP, urusan beragama adalah bersabit seorang hamba dengan Tuhannya.” 

Seterusnya adalah kenyataan Zairil Khir Johari, yang kini adalah EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang, yang menyebut pada 19 Ogos 2016 bahawa agama hendaklah menjadi urusan kepercayaan individu yang tidak boleh diputuskan oleh birokrasi, termasuk dalam soal pertukaran agama individu yang mahu keluar dari Islam.

Semua ini jelas bercanggah dengan definisi Islam yang terkandung di dalam ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah, iaitu sebagai satu cara hidup yang lengkap.

Bolehkah umat Islam melaksanakan Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap bila ia disempitkan sebagai amalan peribadi begini?

*DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3097171620292847&id=569086473101387

No comments:

Post a Comment