PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Saturday, 15 February 2020

TUBUH RCI BUKTIKAN SERIUS TANGANI PELBAGAI ISU LANDA TH

*Kenyataan Media*

Jumaat, 14 Februari 2020 | 21 Jamadilakhir 1441H

*TUBUH RCI BUKTIKAN SERIUS TANGANI PELBAGAI ISU LANDA TH*

Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) adalah langkah paling baik bagi menangani pelbagai isu yang melanda Tabung Haji yang dikatakan melibatkan salah guna kuasa dan "urusan luar biasa" sama ada semasa pengurusan terdahulu atau baharu.

Selain isu salah nyata dan menyembunyikan maklumat penting melibatkan kewangan TH oleh pengurusan lama seperti yang sering dituduh oleh pemimpin Kerajaan terutamanya Menteri Hal Ehwal Agama sendiri sedangkan tiada satu pun pendakwaan telah dibuat sehingga kini, isu penjualan tanah-tanah ladang milik TH Plantation Berhad dan pelupusan aset TH kepada syarikat SPV yang penuh dengan keraguaan yang berlaku di bawah rejim baru  juga perlukan jawapan sebenar mengenainya.

Justeru, RCI yang dijamin ketelusannya adalah sangat penting bagi menangani persepsi awam terhadap TH sekaligus menghapuskan tanggapan negatif yang dilemparkan oleh pihak-pihak berkenaan ke atas TH.

Sikap Menteri berkenaan pula yang menolak keperluan RCI pada masa siasatan oleh PDRM dan SPRM kelihatan seperti tiada perkembangan sejak lebih setahun lalu dan maklum balas yang telus tidak diberikan bagi menjelaskan isu-isu semasa, adalah amat pelik sedangkan beliau paling lantang menyuarakan kesungguhan untuk membasmi penyelewengan yang melibatkan kepentingan TH.

Jika sungguh Kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) serius mahu menanganinya, buktikannya dengan menubuhkan RCI.

Jangan jadikan isu yang melanda TH yang amat penting buat umat Islam ini semata-mata sebagai peluru untuk menyerang seteru.

Saya menyokong penuh Kenyataan Media MUAFAKAT NASIONAL yang dikeluarkan hari ini.

Sekian.

_*"Islam Memimpin Perpaduan"*_

*DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

_*Pautan Rasmi :*_
https://harakahdaily.net/index.php/2020/02/14/tubuh-rci-buktikan-serius-tangani-isu-landa-th/

_Kongsikan kenyataan ini & maklum balas anda di :_
https://www.facebook.com/569086473101387/posts/3102240879785921/

No comments:

Post a Comment