PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Friday, 30 September 2016

JANGAN TERUJA MEMBONGKAR AIB SAUDARA MUSLIM

Nasihat Agama & Wasiat Iman

JANGAN TERUJA MEMBONGKAR AIB SAUDARA MUSLIM

oleh Ustaz Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

1.Usahlah teruja membongkar aib saudara muslim. Bimbang nanti aib kita yang belum tentu lebih sedikit berbanding aib saudara muslim itu juga dibongkar oleh Allah sedang Nabi saw selalu berdoa pagi dan petang sebagaimana hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud dan Ibnu Majah

اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي
"Ya Allah; tutuplah segala keaiban-keaibanku"

2. Beringatlah dengan hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Imam Muslim

وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ
"Dan sesiapa yang menutup (aib) seorang muslim Allah menutup (aib)nya di dunia dan di akhirat"

3. Ingatlah ancaman baginda saw dalam hadis riwayat Ibnu Majah

وَمَنْ كَشَفَ عَوْرَةَ أَخِيهِ الْمُسْلِمِ كَشَفَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ حَتَّى يَفْضَحَهُ بِهَا فِي بَيْتِهِ
"Dan sesiapa yang membongkar keaiban saudaranya muslim, Allah bongkar keaibannya sehingga dirinya dimalukan dengan keaiban itu di dalam rumahnya sendiri"

4. Ulasan menarik oleh Dr Muhammad Ratib al-Nabilisi; tatkala tergelincirnya kaki seorang muslim dan kamu menutupnya serta tidak memindah dan menyebarkannya di kalangan manusia maka kamu berada dalam keredaan Allah. Adapun di saat kamu mencari dan menyelidik keaiban manusia dan kamu MEMALUKAN mereka dengan segala perincian kehidupan mereka maka ia merupakan akhlak golongan Munafikin.

5. Tanpa disedari tatkala menyebarkan aib manusia ini kita telah mengumpatnya, mencacinya dan menghinanya dengan pelbagai penghinaan. Maka bertambahlah dosa atas dosa.

6. Aib yang disebarkan menyebabkan segala kebaikan seseorang terpadam dan segala jasanya terpendam. Maka berilah hak kepada saudaramu. Moga kebaikannya memadamkan keburukannya.

Sekian.

Jumaat 30hb September 2016

https://www.pas.org.my/pedoman-haraki/9567-jangan-teruja-membongkar-aib-saudara-muslim

Wednesday, 21 September 2016

*Tahniah Taqwa Rajab; Berjaya Mempertahankan Haknya Untuk Bertudung di pusat pengajian di Sepanyol*

*Tahniah Taqwa Rajab; Berjaya Mempertahankan Haknya Untuk Bertudung di pusat pengajian di Sepanyol*

1. Semalam 20hb September 2016 seorang wanita muslimah Sepanyol Taqwa Rajab akhirnya diizinkan untuk bertudung di kawasan pusat pengajian beliau selepas campur tangan oleh pihak berkuasa tempatan Valencia, Sepanyol.

2. Sebelum itu pihak pengurusan Institut Latihan Binleyor memaksa beliau mengikut peraturan institut yang tidak membenarkan pelajar memakai tutup kepala sama ada topi atau tudung. Ia telah menimbulkan perbahasan yang hangat di kalangan warga Sepanyol.
3. Pihak berkuasa tempatan menegaskan bahawa "majlis pendidikan memberi jaminan hak pendidikan untuk para pelajar. Beliau akan dapat meneruskan semua sesi pengajian beliau dalam keadaan memakai tudung"

4. Peguam beliau mengulas bahawa ini merupakan satu kemenangan bagi memperakui kebebasan dan hak berperlembagaan iaitu kebebasan untuk bersuara dan kebebasan untuk beragama dalam ruang lingkup menghormati peraturan umum.

5. Sepanyol mempunyai 4% rakyat muslim daripada keseluruhan 46.5 juta rakyat. Taqwa berketurunan Arab Tunisia yang dilahirkan di bandar Valensia.

6. Insiden ini mengingatkan kita dengan peristiwa tiga orang pelajar yang dipecat daripada sekolah pada tahun 1997 di Serting, Negeri Sembilan kerana memakai serban setelah pihak sekolah mewartakan peraturan tidak boleh memakai serban di sekolah. Malang sekali perlembagaan Malaysia gagal memberi hak kepada mereka untuk mempraktikkan agama mereka. Mereka kalah di Mahkamah Rayuan dan Persekutuan setelah menang di peringkat Mahkamah Tinggi.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Rabu 21hb September 2016

http://www.alquds.co.uk/?p=600685

USAHAWAN HARAKI; MENINJAU SEJARAH ISLAM, MELAKAR AGENDA BERTINDAK

USAHAWAN HARAKI; MENINJAU SEJARAH ISLAM, MELAKAR AGENDA BERTINDAK

A. Definisi Usahawan & Keusahawanan

Terdapat banyak definisi diberikan terhadap maksud Usahawan. Antaranya didefinisikan membawa maksud orang yang mengusahakan sesuatu perusahaan atau perniagaan.

Usahawan juga ditakrifkan sebagai orang yang mengendalikan sesebuah perniagaan dan mengambil risiko perniagaan yang diceburinya.

Keusahawanan ditakrifkan sebagai peri laku atau gaya usahawan bertindak terhadap peluang, memulakan perniagaan, mengembang dan mempertahankan daya maju perniagaan yang telah diterokainya.

B. Definisi Usahawan Muslim

Bagi saya Usahawan Muslim pula merujuk kepada seorang yang berusaha gigih melakukan aktiviti ekonomi bagi mendapatkan rezki halal menerusi pelbagai kemahiran yang dimiliki oleh dirinya dengan mengambil risiko kejayaan mendapat hasil atau kegagalan dengan berserah dan bertawakkal kepada Allah.

Aktiviti ekonomi merujuk kepada aktiviti yang mendatangkan hasil yang dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seperti penternakan, perladangan, pertanian, pembuatan, pengilangan dan perniagaan.

C. Keusahawanan Dalam Islam

Islam menuntut setiap manusia berusaha mencari rezki yang halal untuk melunaskan keperluan hidupnya.

Galakkan utama diberikan terhadap aktiviti keusahawanan yang boleh mendatangkan hasil.

Antaranya Nabi saw bersabda

إِنْ قَامَتْ عَلَى أَحَدِكُمُ الْقِيَامَةُ ، وَفِي يَدِهِ فَسِيلَةٌ فَلْيَغْرِسْهَا
"Sekiranya berlaku Qiamat sedangkan di tangannya terdapat  benih maka hendaklah dia menanam benih tersebut"
(Hadis riwayat Ahmad dan dinilai Sahih oleh al-Albaani)

Tidak ada orang yang mampu berbuat apa-apa lagi apabila berlaku Qiamat. Dunia pun sudah berakhir. Tetapi gesaan Nabi saw itu sebagai menunjukkan kesungguhan dalam melakukan sesuatu usaha ekonomi.

Nabi saw memuji aktiviti ekonomi menerusi hasilan tangan dan perniagaan sebagai perolehan yang paling baik.

Daripada Rifaa'ah bin Raafi' bahawa Rasulullah saw ditanya:

أي الكسب أطيب؟ فقال: "عمل الرجل بيده، وكل بيع مبرور".

"Apakah perolehan yang paling baik?" Jawab baginda saw: "usaha seseorang menerusi tangannya dan setiap jual beli mabrur.
(Hadis Sahih riwayat Bazzar dan Hakim)

Menurut sebahagian Ulamak, jual beli yang mabrur ialah yang tidak mengandungi unsur penipuan dan tipudaya serta tidak bercanggah dengan syarak.

D. Perniagaan dalam Keusahawanan

Para ulamak berbeza pandangan tentang bidang keusahawanan yang paling baik sama ada pertanian, penternakan atau perniagaan. Majoriti ulamak berpandangan perniagaan adalah bidang keusahawanan terbaik.

Perniagaan dalam al-Quran dirujuk sebagai "fadlullah" yang bermaksud limpahan kurniaan Allah.

(وَآخَرُونَ يَضْرِبُونَ فِي الْأَرْضِ يَبْتَغُونَ مِنْ فَضْلِ اللَّهِ) [المزمل:20].
Maksudnya: "dan orang lain pula mengembara di bumi dalam keadaan mencari sebahagian "fadlullah" (kurniaan Allah)."
(Surah Muzammil ayat 20)

Begitu juga ayat 198, surah al-Baqarah yang turun pasa musim Haji;

{لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَبْتَغُوا فَضْلًا مِنْ رَبِّكُمْ}

"Fadlullah" boleh dicari selepas berakhir solat Jumaat sebagaimana firman Allah dalam surah Jum'ah ayat 10:

{فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانْتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِنْ فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ}

Umar bin al-Khattab berkata

" ليس هناك مكان أحب أن يأتيني الموت فيه بعد الجهاد في سبيل الله إلا أن أكون في سوق أبيع وأشتري من أجل عيالي ".

Tidak ada di sana satu tempat yang aku lebih suka didatangi maut padanya selepas jihad fi sabilillah melai kan aku bwrada di satu pasar menjual dan membeli untuk menanggung keluargaku.

Allah melindungi aktiviti perniagaan antarabangsa Quraisy dengan menghantar burung Ababil menghancurkan tentera Abrahah yang menyerang Kaabah sebagaimana diceritakan dalam surah al-Fiil dan Quraisy.

E. Para Nabi  Adalah Usahawan

Para Nabi berusaha sebagai pengembala kambing sebagaimana sabda Nabi saw.
ما من نبي الا وراعى الغنم

Nabi Zakaria seorang tukang kayu sebagaimana Hadis Muslim sabda Rasulullah saw:

كان زكريا - عليه السلام - نجارًا

Dalam Hadis Sahih Bukhari menegaskan bahawa Nabi Dawud makan hasil tangan baginda sendiri. Baginda adalah seorang tukang besi yang membuat baju besi. Allah bercerita perkara yang sama dalam surah al-Anbiya ayat 80.

﴿ وَعَلَّمْنَاهُ صَنْعَةَ لَبُوسٍ لَكُمْ لِتُحْصِنَكُمْ مِنْ بَأْسِكُمْ فَهَلْ أَنْتُمْ شَاكِرُونَ ﴾

Nabi saw mengembala kambing dan berniaga sebelum menjadi Nabi

F. Usahawan di Kalangan Sahabah

8 orang daripada 10 orang sahabat yang dijanjikan syurga oleh Allah sebagaimana Hadis Bukhari dan Muslim merupakan ahli perniagaan dan usahawan. Mereka ialah Abu Bakar al-Siddiq, Umar bin al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Zubair bin Awwam, Tolhah bin Ubaidillah, Saad bin Abi Waqqas dan Abdurrahman bin Auf.

G. Usahawan Barakah

Dalam Sahih Bukhari dan Muslim Nabi saw bersabda:

البيعان بالخيار ما لم يتفرقا، فإن صدقا وبيّنا بورك لهما في بيعهما، وإن كتما وكذبا محقت بركة بيعهما

"Dua orang yang berjual beli mempunyai hak membatalkan akad selagi keduanya tidak berpisah. Sekiranya mereka berdua bercakap benar dan membuat penjelasan, kedua-duanya diberkati pada jual beli mereka. Sekiranya mereka menyembunyikan keadaan sebenar dan berbohong dihapuskan keberkatan jual beli mereka berdua"

Nabi saw juga bersabda
الحلف ينفق ثم يمحق
"Sumpah itu melariskan jualan kemudian menghapuskan barakah"

Nabi saw juga bersabda
«التاجر الصدوق مع النبيين والصديقين والشهداء» رواه الترمذي، وقال: حديث حسن

H. Usahawan Neraka

Dalam Hadis Hasan Sahih riwayat Tirmizi, juga riwayat Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan Hakim, Nabi saw bersabda

«إن التجار يبعثون يوم القيامة فجّاراً، إلاّ من اتقى الله وبرّ وصدق».
"Sesungguhnya para peniaga dibangkitkan pada hari Qiamat dalam keadaan melakukan dosa melainkan orang yang bertaqwa kepada Allah, melakukan kebajikan dan bercakap benar".

I. Membina Minda Keusahawanan

Orang-orang Islam khususnya Melayu Islam pasca penjajahan dididik untuk mengutamakan pekerjaan dalam perjawatan kerajaan kerana ia lebih menjamin pendapatan yang tetap, stabil dan lebih selesa tanpa risiko. Akibatnya ramailah yang meninggalkan pekerjaan dalam bidang keusahawanan khususnya perniagaan sehingganya bukan Islam lebih menguasai bidang keusahawanan dan ekonomi negara.

J. Usahawan & Dermawan

Usahawan dan dermawan adalah dua akronim yang tidak dapat dipisahkan. Itulah yang diisyaratkan usahawan di kalangan sahabat khususnya lapan usahawan dermawan daripada "sepuluh sahabat yang dijanjikan syurga oleh Allah".

I) Uthman bin Affan dinilai hartanya sebanyak 30 juta dirham perak, 150,000 dinar emas di samping sedekahnya yang bernilai 200,000 dinar.

Beliau mewakafkan telaga "Rumah" yang disebut oleh Nabi saw;

من حفر رومة فله الجنة

Sesiapa yang menggali telaga "Rumah" baginya syurga"

Beliau juga menyediakan kelengkapan tentera Islam untuk peperangan Tabuk yang disebut oleh Nabi saw:

(من جهز جيش العسرة فله الجنة)
"Sesiapa yang menyediakan tentera "saat sukar" (tentera ke Tabuk) baginya syurga.

2. Tolhah bin Ubaidillah dianggarkan hartanya 2.2 juta dirham dan 200,000 dinar. Pendapatan hariannya ialah 1000 dirham lebih. Antara sifat dermawan beliau ialah apabila salah seorang kerabatnya meminta sesuatu sebagai tanda hubungan berkerabat lalu diberinya sebidang tanah bernilai 300,000 dirham. Beliau juga membantu membayar hutang kaum kerabatnya sama ada dekat atau jauh.

Dalam Tabaqat Ibnu Sa'ad diriwayatkan apabila beliau terbunuh dalam peperangan Jamal di tangan penjaga hartanya terdapat 2.2 juta dirham. Hartanahnya dinilai sebanyak 30 juta dirham.

3. Zubir bin Awwam ketika mati meninggalkan hartanah bernilai 50.2 juta. Apabila orang ramai meletakkan harta mereka untuk disimpan oleh beliau, ia dianggap sebagai hutang oleh beliau dan bukannya sebagai pemegang amanah sahaja. Zubir adalah sahabat yang menguruskan hijrah baginda saw.

4. Kekayaan Abdul Rahman bin Auf berdasarkan anggaran Ibnu Hajar al-Asqalani ialah 3.2 juta dinar ( sekitar rm2.4 bilion). Beliau sangat mahir berniaga hingga beliau berkata: "Aku melihat kemahiran diriku sekiranya aku angkat satu batu aku berharap menemui emas atau perak".

Beliau membeli sebidang tanah dengan harga 40,000 dinar lalu disedekahkan. Beliau juga mewasiatkan 400 dinar kepada setiap sahabat yang hadir perang Badar yang ketika itu seramai 100. Justeru nikai wasiatnya ialah 40,000 dinar. Juga beliau berwasiat kepada  ummahat mukminin yang dianggarkan bernilai 100 ribu  dinar.

K. Usahawan Haraki; Menggaris Pelan Bertindak

Usahawan Haraki adalah usahawan yang bergiat sebagai anggota dakwah dalam gerakan Islam. Mereka perlu melakar agenda bertindak untuk mencapai cita-cita kejayaan

I) Membina Tekad Berjihad  Dengan Harta Benda Demi Dakwah & Cita-cita Menegakkan Daulah Islam

Cita-cita gerakan Islam ialah berdakwah dan mengembalikan kedaulatan negara Islam. Dengan kemampuan kewangan dan sifat kendiri mereka, para usahawan menjadi tonggak utama dalam memacu kerja-kerja jihad ini sebagaimana ditunjukkan oleh usahawan di kalangan sahabat Nabi saw.

II) Membina Jaringan Persaudaraan Keusahawanan

Kekuatan usahawan berada pada kekuatan jaringan dan kerjasama dalam pelbagai bidang keusahawanan. Asas kepada jaringan dan kerjasama ini ialah hubungan persaudaraan yang kuat dan kukuh yang diikat dengan tali akidah.

Apabila Nabi saw berhijrah ke Madinah, baginda mempersaudarakan antara orang-orang Ansar dan Muhajirin. Ahli perniagaan Ansar dipersaudarakan dengan sesama ahli perniagaan Muhajirin. Maka Saad bin Rabi' yang merupakan usahawan terkenal Madinah dipersaudarakan dengan Abdul Rahman bin Auf tokoh usahawan di kalangan Muhajirin.

III) Membina Pasar Baru Bagi Usahawan Muslim

Apabila Nabi saw berhijrah ke Yathrib pasar utama dikuasai oleh orang-orang Yahudi khususnya Banu Qainuqa'. Pasar mereka dipenuhi dengan amalan riba, penipuan dan tipu daya.

Baginda pada awalnya telah memacak satu khemah di pasar Yahudi sebagai tanda kawasan berniaga bagi orang Islam. Tetapi khemah itu dirobohkan oleh Ka'ab bin Asyraf pemuka Yahudi sebagai tanda kehadiran Nabi saw dan orang-orang Islam tidak dialu-alukan untuk berniaga di pasar mereka.

Baginda kemudiannya mencari tapak khusus untuk pasar orang Islam lalu akhirnya ditemui tapak yang sesuai tidak jauh daripada Masjid Nabi saw. Nabi saw lantas membuat perisytiharan ianya sebagai pasar orang Islam.

أَنَّ أَبَا أُسَيْدٍ حَدَّثَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَهَبَ إِلَى سُوقِ النَّبِيطِ فَنَظَرَ إِلَيْهِ فَقَالَ لَيْسَ هَذَا لَكُمْ بِسُوقٍ ثُمَّ ذَهَبَ إِلَى سُوقٍ فَنَظَرَ إِلَيْهِ فَقَالَ لَيْسَ هَذَا لَكُمْ بِسُوقٍ ثُمَّ رَجَعَ إِلَى هَذَا السُّوقِ فَطَافَ فِيهِ ثُمَّ قَالَ هَذَا سُوقُكُمْ فَلَا يُنْتَقَصَنَّ وَلَا يُضْرَبَنَّ عَلَيْهِ خَرَاجٌ
Abu Usaid menceritakan bahawa Rasulullah saw pergi ke pasar Nabit lalu meninjaunya. Baginda berkata: ini bukan pasar untuk kamu. Kemudian baginda ke pasar lain pula lalu berkata: ini juga bukan pasar kamu. Kemudian baginda kembali semula ke pasar Nabit lalu mengelilinginya. Kemudian baginda saw bersabda: " Ini pasar kamu. Ia jangan diperkecilkan dan tidak akan dikenakan cukai".

Pengajaran cerita menunjukkan bahawa orang-orang Islam pelru mempunyai pasar sendiri atau bekalan pemasaran mereka sendiri. Kehadiran pasar sendiri membolehkan mereka mempraktiikan etika pasar muslim yang tidak terlibat dengan riba, penipuan dan monopoli.

L. Penutup

Keusahawanan adalah bidang kehidupan yang sangat digalakkan oleh Islam kerana ia berfungsi memenuhi keperluan hidup manusia.

Ia merupakan  aktiviti yang dilakukan oleh para Nabi termasuk Nabi Muhammad saw dan para sahabat baginda.

Usahawan di kalangan sahabat Nabi saw menjadi tonggak gerak kerja dakwah baginda saw.

Jaringan persaudaraan di kalangan mereka mesti diperkukuhkan atas nama Islam.

Begitu juga jaringan pasaran sesama muslim mesti dibina sebagai satu alternatif untuk memperkukuhkan ekonomi ummah.

Sekian.

Disediakan oleh

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

Tuesday, 20 September 2016

*TABUNG QARD AL-HASSAN BANTU RAKYAT MILIKI RUMAH*

*KENYATAAN MEDIA*
Ahli Parlimen Kuala Nerus

19 September 2016 | 17 Zulhijjah 1437H

*TABUNG QARD AL-HASSAN BANTU RAKYAT MILIKI RUMAH*

1. Idea untuk Kerajaan Negeri menubuhkan sebuah tabung khas bagi membiayai perumahan kepada rakyat secara ‘Qard al-Hassan’ (pinjaman tanpa faedah) wajar dipandang serius demi membela kebajikan rakyat. Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri membuka perkampungan baru dengan premium tanah yang rendah dan membina rumah asas dengan kos yang berpatutan serta mengenakan pinjaman secara ‘Qard al-Hassan’ adalah langkah bagi menyelesaikan masalah pemilikan rumah dalam kalangan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana akibat harga rumah yang terlalu mahal.

2. Hari demi hari, kenaikan harga rumah ibarat sukar dibendung dan angka itu semakin memeritkan kehidupan rakyat. Mengikut kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani, 31.2%daripada pendapatan rakyat akan dihabiskan untuk makanan, 23.9% pula kepada petrol, utiliti dan perumahan.

3. Jumlah itu secara relatifnya adalah tinggi dan sewajarnya beban itu dikurangkan. Pembiayaan perumahan dengan "keuntungan" tidak mungkin menyelesaikan masalah bebanan yang terpaksa ditanggung rakyat setiap hari.

4. Tambahan pula, 56.2% daripada 89.1% keseluruhan hutang daripada KDNK pada 2015 adalah hasil daripada pembiayaan perumahan dan harta tanah. Malah, saya tekankan dalam kenyataan-kenyataan terdahulu data yang menunjukkan harga rumah di Malaysia dalam keadaan yang semakin sukar dikawal.

5. Keputusan Kementerian mengenai pemberian lesen pembiayaan kepada para pemaju bukanlah tindakan yang menyelesaikan masalah utama rakyat Malaysia ketika ini. Selepas mendapat bantahan, akhirnya perkara itu berubah menjadi suatu "cadangan" yang belum diputuskan.

6. Kementerian menekankan soal "win-win solution" ketika mengemukakan "keputusan" tersebut. Saya tidak jelas siapa "win" dan siapa yang tidak dengan keputusan tersebut. Malah, apa pula "win situation" kepada para pembeli yang bakal berdepan dengan harga rumah dengan nilai keuntungan yang akan semakin tinggi dan tidak terkawal?

7. Isu ini perlu diteliti dengan dua aspek; (i) kenaikan harga rumah yang semakin meningkat, dan (ii) pembiayaan dengan kadar 'keuntungan' yang tidak muhasabah dan wajar dihapuskan bagi mengurangkan beban yang ditanggung pembeli.

8. Islam menyediakan ruang dan asas yang begitu signifikan dalam kaedah hutang antaranya melalui pinjaman tanpa faedah (Qard al-Hassan). Ini kerana Islam ingin mengajar umatnya berhutang hanya untuk keperluan yang tinggi manakala orang ramai pula tidak berhutang jika mereka mampu membelinya secara tunai.

9. Maka, sewajarnya isu ini diteliti dengan lebih mendalam supaya penyelesaian yang lebih realistik diluncurkan kepada rakyat Malaysia. Kembali kepada penyelesaian Islam dan inilah penyelesaian kita.

Sekian.

_*"Inilah Penyelesaian Kita"*_

*DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Sumber Rasmi :

http://harakahdaily.net/index.php/berita-utama/42540-tabung-qard-al-hassan-bantu-rakyat-miliki-rumah

Thursday, 15 September 2016

Mukjizat al-Quran Dalam Kisah Nabi Yunus

Mukjizat al-Quran Dalam Kisah Nabi Yunus

Labu menurut sebahagian ulamak diisyaratkan oleh Allah dalam cerita Nabi Yunus. Apabila Yunus dimuntahkan daripada perut ikan yang besar beliau sakit lalu ditumbuhkannya untuk sejenis pohon daripada Yaqtin. Allah berfirman

فَنَبَذْنَاهُ بِالْعَرَاء وَهُوَ سَقِيمٌ وَأَنبَتْنَا عَلَيْهِ شَجَرَةً مِّن يَقْطِينٍ﴾

"Lalu Kami lontarkan dirinya di kawasan lapang (tandus) sedang dia sakit. Dan Kami tumbuhkan untuknya sebatang pohon daripada jenis "Yaqtin"" Surah al-Soffat ayat 145-146.

Yaqtin merujuk kepada pohon yang tidak mempunyai batang seperti labu dan tembikai.
Menurut Ibnu Kathir, pandangan kebanyakan ulamak terdahulu Yaqtin dalam cerita Nabi Yunus merujuk kepada Labu. Ia juga diperkukuhkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani.

Labu bermanfaat untuk menghilangkan kahak. Sekiranya dilumur dengan tepung dan dibakar ke dalam oven airnya boleh diminum untuk mengurangkan kepanasan kerana demam. Jika dimasak dan diminum airnya dengan madu boleh mengurangkan kahak. Ia juga makanan yang baik untuk melawaskan perut. Ia boleh ditumbuk halus dan dijadikan balutan pada bengkak bagi mengurangkannya. Ia disebut dalam Zaad al-Ma'aad oleh Ibnu Qayyim.

Menurut Syeikh Zandani, Yaqtin adalah penawar untuk mikrob dan bakteria. Justeru ia sangat sesuai untuk menjadi penawar bagi kesakitan Nabi Yunus setelah berada sekian lama dalam perut ikan besar.

Demikianlah mukjizat al-Quran.

Sekian.

Dr Khairuddin at-Takiri
Khamis 13 Zulhijjah 2016, Kampot, Kemboja

Wednesday, 14 September 2016

Isu Warga Asing Perlu belajar bahasa melayu - Malaysiakini

Kebanjiran warga asing di negara ini mencari rezeki sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk membangun serta memajukan penggunaan bahasa Melayu.
Berdasarkan data rasmi Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada 2015, ada lebih 2 juta pekerja asing di negara ini yang bekerja di sektor pertanian, perkhidmatan, pembinaan, pembuatan dan pembantu rumah.
Mereka terdiri daripada warga Bangladesh, Thailand, Filipina, Pakistan, Myanmar, Nepal dan India.
Dalam keadaan mereka seramai itu dan gagal pula menguasai bahasa Melayu sesetengah rakyat negara ini kadang-kadang terasa seperti asing di tanah sendiri.
Pekerja swastaHamidah Mustafaberkata dalam kehidupan sehariannya dia banyak berhadapan dengan pekerja asing yang hanya mampu berbahasa Inggeris sedangkan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan Malaysia.
Justeru, Hamidah menyambut baik cadangan Anggota Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yangmenyarankan kerajaan mewajibkan pekerja asing mengikuti - dan lulus - kursus asas bahasa Melayu sebelum diterima bekerja di Malaysia.
“Sekurang-kurangnya kena ajar bahasa asas bahasa Melayu. Sebab kadang-kadang saya rasa kita ni macam pendatang walaupun berada di negara sendiri.
“Contoh macam kalau makan dekat KLCC, kita kena cakap orang putih dengan dia (pelayan). Kita macam warga asing, terutamanya kalau mereka tak fasih bahasa Melayu,” katanya kepadaMalaysiakini.
Berbaloi kalau betul
Mohd Khairuddin kelmarin berkata pekerja asing perlu lulus asas bahasa Melayu bagi memudahkan dan melancarkan sebarang urusan yang berkaitan dengan mereka.
Selain itu, katanya ia turut dapat memperkasa dan mengembangkan penggunaan bahasa Melayu.
Bagi Naib Presiden Pertubuhan Keselamatan Asia (Apsa) Datuk Abdul Malek Abdul Hamid pula cadangan pekerja asing mempelajari bahasa Melayu adalah idea yang bagus namun memerlukan masa agak lama untuk dilakukan.
Sekiranya perkara itu mahu diteruskan katanya pekerja asing terbabit perlu diberi pendedahan mengenai bahasa Melayu dengan sewajarnya.
“Kalau betul (negara ini nak mewajibkan pekerja asing mahir bahasa Melayu), mereka boleh diberi pendedahan. Berbaloi kalau ia dilakukan dengan betul,” katanya yang menambah kajian perlu dibuat bagi melihat perkara itu dari sudut pandang yang tepat.
Bagi Pengurus Operasi Syarikat Perunding KeselamatanSyamsuddin Abdullahpula memang pekerja warga asing perlu menguasai bahasa Melayu untuk memudahkan komunikasi dua hala dengan rakyat di negara ini.
Katanya, memang sangat wajar warga asing dilatih bahasa Melayu sebelum datang ke Malaysia atau mengikuti kelas berkenaan yang dikendalikan melalui kedutaan mereka di sini.
Langkah itu kata Syamsuddin penting bagi memastikan imej negara kekal dilihat baik dan menolak dakwaan sesetengah pihak asing yang menuduh Malaysia mengabaikan rakyat mereka di sini.
“Jika tidak, Malaysia akan dipandang negatif kerana ada sesetengah negara yang anggap kita mengabaikan pekerja di kalangan rakyat mereka.
“(Sebenarnya mereka yang) kerja tak betul sebab tak faham atau salah faham arahan. Situasi begini banyak berlaku, terutamanya dalam sektor kawalan keselamatan swasta,” katanya.
Selain itu, penjawat awam Jayabalan Harirajan pula mencadangkan pekerja asing tidak perlu mengikuti peperiksaan dalam bahasa Melayu sebaliknya hanya ujian lisan asas bahasa.
Ia kerana katanya pihak ketiga yang menguruskan pekerja asing itu mungkin akan mengambil kesempatan dengan menetapkan kos pembelajaran dan peperiksaan yang akan ditanggung oleh pekerja asing itu sendiri.
“Pihak ketiga akan ambil kesempatan kalau buat peperiksaan, ini semua akan bebankan pekerja asing sedangkan mereka dah banyak sangat tanggung kos sebelum diterima kerja di sini.
“Mereka (pekerja asing) perlu buat pemeriksaan kesihatan, bayaran insurans diri dan pelbagai kos lain.
"Sekarang kita perlu pastikan bahawa pekerja ini tak terbeban,” katanya.
Bagi bekas pengarah pengurusan sumber manusia sebuah hotelNormala Ibrahim berkata warga asing perlu mempunyai kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Melayu atau Inggeris terutamanya dalam bidang perhotelan.
Beliau yang memberi contoh pekerja barisan hadapan seperti penyambut tetamu, pengangkut bagasi, penjaga kaunter dan tukang tunjuk arah perlulah mahir berbahasa Melayu dan Inggeris.
“Apabila kita (pihak hotel) buat program belajar bahasa secara asas, mereka boleh berkomunikasi (dan) kalau boleh mantapkannya lagi bagus.
“(Kerana) tetamu akan tanya arah dan macam-macam. Seperti yang saya cakap ia bergantung kepada keperluan industri,” katanya.
Pekerja bank Nor Kamalia Muhamad Kamal pula mengalami masalah dalam urusan perbankan ketika berhadapan dengan pelanggan terdiri daripada pekerja asing yang tidak tahu berbahasa Melayu dan Inggeris.
Katanya, sekiranya berhadapan dengan pelanggan sedemikian, urusan perbankan akan mengambil masa yang lama kerana pekerja asing ini tidak memahami apa yang diperlukan dalam urusan berkenaan.
“Susah nak berkomunikasi dengan mereka. Saya kerja bank dan kadang-kadang pekerja asing ini bawa kawan dia (untuk bantu komunikasi) tapi kita lebih sesuai bercakap dengan pemegang akaun sendiri.
“Ia selalu berlaku, urusan lima minit boleh jadi sehingga 10 minit dan selalu juga salah komunikasi,” katanya yang mencadangkan perlunya ujian lisan bagi pekerja asing itu.
entara itu penjawat awam Zulfadli Nurahimpula mencadangkan kerajaan tidak membawa masuk pekerja asing dan menawarkan pekerjaan kepada rakyat sendiri dengan gaji yang setimpal.
“Lebih baik mereka (pekerja asing) tidak ada. Kalau nak ambil, ambil rakyat tempatan bekerja dengan gaji yang setimpal,” katanya.
Namun katanya sekiranya kerajaan tetap mahu mengambil pekerja warga asing mereka boleh mengambil dari negara jiran yang memahami bahasa Melayu.
https://www.malaysiakini.com/news/3

Wednesday, 7 September 2016

*WAJIBKAN PEKERJA ASING HADIR, LULUS KURSUS ASAS BAHASA MELAYU*

*KENYATAAN MEDIA*
Ahli Parlimen Kuala Nerus

7 September 2016 | 5 Zulhijjah 1437H

*WAJIBKAN PEKERJA ASING HADIR, LULUS KURSUS ASAS BAHASA MELAYU*

1. Berdasarkan statistik rasmi Unit Perancang Ekonomi (EPU), pada 2015, terdapat 2.135 juta pekerja asing di negara ini yang berkerja di sektor pertanian, perkhidmatan, pembinaan, pembuatan dan pembantu rumah.

2. Selain pekerja-pekerja dari Indonesia (74.8%) yang boleh bertutur menggunakan Bahasa Melayu, pekerja-pekerja dari Bangladesh, Thailand, Filipina, Pakistan, Myanmar, Nepal dan India yang diambil berkerja di negara ini tidak boleh bertutur menggunakan bahasa rasmi negara ini.

3. Sekalipun jumlah perkerja asing yang tidak boleh bertutur menggunakan Bahasa Melayu ini tidak lebih 25.2%, namun keperluan dan kepentingan untuk mereka mengetahui dan mempunyai kemampuan untuk menggunakan bahasa ini adalah sangat penting bagi memudahkan dan melancarkan sebarang urusan yang berkaitan dengan mereka sekaligus dapat memperkasa dan mengembangkan penggunaan Bahasa Melayu.

4. Justeru, saya mencadangkan agar Kerajaan menerusi kementerian yang berkenaan mewajibkan pekerja-pekerja asing yang akan atau sedang berkerja di negara ini menghadiri serta lulus kursus asas Bahasa Melayu khususnya bagi yang terlibat di sektor perkhidmatan dan pembantu rumah.

5. Pengawal-pengawal keselamatan yang diambil berkerja dari Nepal dan dua lagi negara sumber yang akan diumumkan nanti juga merupakan golongan yang penting untuk dipastikan mereka boleh bertutur dan menggunakan Bahasa Melayu dengan baik kerana golongan ini merupakan individu pertama yang akan dijumpai oleh rakyat negara ini di pejabat-pejabat atau premis-premis untuk urusan-urusan tertentu. Jika golongan ini tidak boleh berbahasa Melayu, sedikit sebanyak ia menyusahkan rakyat negara ini dan menjejaskan imej pihak-pihak berkenaan.

Sekian.

_*"Inilah Penyelesaian Kita"*_

*DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
Ahli Perlimen Kuala Nerus

Tuesday, 6 September 2016

Mujahid Tidak Beradab Menyerang Mufti Wilayah Dalam Isu Pindaan Akta 355

*Mujahid Tidak Beradab Menyerang Mufti Wilayah Dalam Isu Pindaan Akta 355*

Saya merasa amat pelik apabila Dr Mujahid Yusof tiba-tiba secara tidak beradab menyerang Sahibus Samahah Datuk Dr Zulkifli al-Bakri yang mengeluarkan kenyataan kewajipan menyokong pindaan Akta 355 yang membataskan kuasa Mahkamah Syariah dalam menghukum pesalah Syariah. Adakah beliau terpaksa mengikut telunjuk rakan kerjasama politik yang menyerang cadangan pindaan ini daripada awal ia dibentangkan di parlimen 26 mei 2016 yang lalu?

Sekiranya beliau tidak bersetuju dengan pandangan mufti tersebut boleh sahaja beliau berbahas memberikan pandangan dan hujah secara rasional dan bukannya dengan menyerang kedudukan dan kelayakan mufti untuk memberikan pandangan dalam perkara penting seumpama ini?

Alasan Mujahid kononnya mufti belum mengetahui perincian cadangan pindaan untuk dikeluarkan hukum sangat dangkal dan mengelirukan. Bukankah teks rang undang-undang tersebut telah dibentang di parlimen iaitu antaranya "Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh
undang-undang Syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan
di bawah seksyen yang disebutkan di atas selain dari hukuman mati."

Jika ketiadaan perincian dan ia belum dibahas di parlimen menjadi alasan Mujahid untuk Mufti tidak wajar memberikan pandangannya maka apa pula kewajaran sebahagian ahli parlimen dan orang awam di kalangan bukan Islam berkempen untuk menolak cadangan pindaan Akta 355 sekarang sebelum ada perincian dan sebelum dibahaskan?

Tidakkah sudah jelas hatta oleh orang awam bahawa Akta 355 bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah telah menyekat kuasa Mahkamah Syariah untuk menghukum pesalah Syariah berdasarkan hukum Syariat yang sebenar?

Bagi seorang muslim yang sayang agamanya tentunya memahami kewajipan memperkasakan kedudukan Mahkamah Syariah ini secara dasarnya yang menuntut mereka berbicara dan berkempen menyokong usaha ini sementelah pula seorang mufti yang mempunyai tanggungjawab menjelaskannya dari sudut kewajipan beragama.

Sekian

*Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri*
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Selasa 6hb September 2016

Monday, 5 September 2016

Wanita berkeluarga perlu kerja 5 atau 6 jam sehari – Khairuddin

Wanita berkeluarga perlu kerja 5 atau 6 jam sehari – Khairuddin


PETALING JAYA: Tempoh masa bekerja bagi wanita berkeluarga perlu dikurangkan daripada lapan kepada lima atau enam jam sehari dengan pendapatan yang sama.

Cadangan itu dibuat Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali bagi memperkasakan lagi tugas wanita berkeluarga sekaligus dapat mengurangkan masalah rumah tangga yang boleh membawa kepada penceraian.

“Kerosakan sosial hari ini ialah apabila para wanita berkeluarga mengutamakan kerjaya lalu mengabaikan tugas utama sebagai isteri atau ibu.

“Sebahagian pergerakan wanita (Pertubuhan) hanya menyeru wanita untuk berkerjaya tetapi tidak menyeru wanita memperkasakan institusi `keisterian’ dan `keibuan’. Malah, ada yang bergerak songsang seolah memperkecilkan kedua-dua institusi tersebut.

“Saya mencadangkan antaranya dengan mengurangkan tempoh masa bekerja para wanita berkeluarga daripada 8 jam sehari kepada 5 atau 6 jam sehari tetapi dengan gaji yang sama seperti lelaki yang bekerja selama 8 jam sehari. Meskipun kelihatan sukar kerana melibatkan kos, ia adalah satu hadiah bagi wanita yang sudah berkeluarga,” Katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata,memperkasakan tugasan sebagai wanita berkeluarga tidak bermaksud para isteri dan ibu perlu meninggalkan pekerjaan dan kerjaya di luar rumah mereka.

Tetapi ia dilakukan dengan meletakkan tugasan sebagai isteri dan ibu sebagai tugasan utama disamping kerjaya seharian sebagai tugasan kedua.

Katanya, apa yang lebih utama perlu diperdebatkan ialah bagaimana masyarakat dan sistem bernegara boleh membantu para ibu dan wanita memperkasakan tugasan sebagai isteri dan ibu.

Source: http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/03/12/wanita-berkeluarga-perlu-kerja-5-atau-6-jam-sehari-khairuddin/
 

Bekerja 6 Jam Sehari Disokong - Dr Khairuddin Takiri

Cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) agar waktu bekerja di negara ini dipendekkan kepada 6 jam wajar disokong dan Kerajaan mesti segera mempertimbangkannya memandangkan MTUC pernah mengemukakan cadangan yang sama ini pada Oktober 2015 lalu.

Buat masa ini, undang-undang sedia ada memperuntukkan jumlah jam bekerja seminggu ialah 48 jam dengan maksimum 8 jam sehari dan 6 hari bekerja seminggu.

Jumlah masa yang lama ini jika dipendekkan boleh memberi kesan positif pada aspek-aspek berikut:

(i) Menambah produktiviti selari dengan peningkatan fokus dan keupayaan mengoptimumkan prestasi secara konsisten setiap pekerja.

(ii) Menjamin kesihatan perkerja dengan lebih baik kerana bebanan kerja dan tekanan dapat dikurangkan.

(iii) Mengurangkan kesesakan lalulintas berikutan waktu mula dan tamat kerja dapat dijadualkan secara beberapa peringkat.

Selain mengurangkan waktu bekerja, Kerajaan juga dicadangkan melaksanakan waktu kerja yang lebih pendek dan fleksibel kepada golongan wanita yang berstatus isteri dan ibu bagi membolehkan golongan ini menjalankan tanggungjawab utama mereka terhadap suami, anak-anak dan keluarga dengan lebih berkesan. Hal ini sangat penting bagi menjamin institusi sosial utama ini semakin bertambah baik selari dengan kemajuan yang mahu dicapai.

Islam sememangnya menganjurkan manusia berusaha dan berkerja bersungguh-sungguh untuk mencapai sasaran yang ditetapkan; namun ia tidaklah boleh sampai ke tahap memperhambakan diri kepada kebendaan dan sehingga masing-masing mengejar kepentingan diri sendiri justeru mengancam kehidupan orang lain. Bekerjalah sebagai ibadah kepada Allah untuk meraih redha-Nya dan memberikan kebaikan kepada makhluk lain.

“Inilah Penyelesaian Kita”

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
2 September 2016 | 30 Zulkaedah 1437 - HARAKAHDAILY 2/9/2016

Thursday, 1 September 2016

*JEREBU : MALAYSIA PERLU TEGAS TERHADAP INDONESIA*

KENYATAAN MEDIA
Ahli Parlimen Kuala Nerus

1 September 2016 | 29 Zulkaedah 1437H

JEREBU : MALAYSIA PERLU TEGAS TERHADAP INDONESIA

Kerajaan Malaysia mesti bertindak tegas dalam menangani isu jerebu yang kini seolah-olah menjadi musim tahunan di negara ini.

Tahun lalu, kebakaran hutan di Indonesia menyebabkan jerebu rentas sempadan yang serius melanda negara ini. Jerebu yang dibawa angin Monsun Barat Daya itu memburukkan lagi keadaan di negara ini. Masalah ini tidak sekadar mencemarkan alam sekitar bahkan menjejaskan kesihatan serta aktiviti harian rakyat di negara ini.

Setakat Sabtu lalu, 6 wilayah di Indonesia telah diisytiharkan darurat berikutan keadaan jerebu yang teruk sehingga mula menjejaskan Singapura dan selatan Malaysia. Keadaan ini dijangka akan bertambah buruk sehingga Oktober akan datang.

Rakyat tidak mahu Kerajaan sekadar menyiarkan indeks pencemaran udara dan jika teruk, disusuli dengan pengumuman penutupan sekolah atau universiti tanpa pelaksanaan langkah-langkah berkesan bagi memastikan Indonesia benar-benar menunaikan janjinya terhadap Malaysia untuk menangani pembakaran terbuka yang berlaku di negara itu sejak beberapa tahun lalu lagi.

Kerajaan mesti menilai secara telus dan menyeluruh kos kesan jerebu ke atas negara ini dan mesti memasukkan aspek ini dalam mengadakan rundingan antara negara dengan Indonesia. Pampasan juga wajar dituntut daripada negara itu di atas pencemaran yang berlaku kepada negara ini.

Kerajaan juga perlu mengisytiharkan jerebu ini sebagai suatu jenayah yang melampau terhadap kemanusiaan kerana memudaratkan kesihatan dan mengancam nyawa manusia.

Wisma Putra mesti lebih tegas terhadap Indonesia dalam masalah ini. Jika tidak, ia akan terus berulang lagi pada masa hadapan.

Diharapkan juga Jabatan Alam Sekitar dibawah kuasa Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Jawatankuasa Jerebu Kebangsaan dapat membuat tindakan segera yang lebih agresif selari dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan bagi membendung masalah ini.

Sekian.

"Inilah Penyelesaian Kita"

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus