PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Friday, 2 September 2016

Bekerja 6 Jam Sehari Disokong - Dr Khairuddin Takiri

Cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) agar waktu bekerja di negara ini dipendekkan kepada 6 jam wajar disokong dan Kerajaan mesti segera mempertimbangkannya memandangkan MTUC pernah mengemukakan cadangan yang sama ini pada Oktober 2015 lalu.

Buat masa ini, undang-undang sedia ada memperuntukkan jumlah jam bekerja seminggu ialah 48 jam dengan maksimum 8 jam sehari dan 6 hari bekerja seminggu.

Jumlah masa yang lama ini jika dipendekkan boleh memberi kesan positif pada aspek-aspek berikut:

(i) Menambah produktiviti selari dengan peningkatan fokus dan keupayaan mengoptimumkan prestasi secara konsisten setiap pekerja.

(ii) Menjamin kesihatan perkerja dengan lebih baik kerana bebanan kerja dan tekanan dapat dikurangkan.

(iii) Mengurangkan kesesakan lalulintas berikutan waktu mula dan tamat kerja dapat dijadualkan secara beberapa peringkat.

Selain mengurangkan waktu bekerja, Kerajaan juga dicadangkan melaksanakan waktu kerja yang lebih pendek dan fleksibel kepada golongan wanita yang berstatus isteri dan ibu bagi membolehkan golongan ini menjalankan tanggungjawab utama mereka terhadap suami, anak-anak dan keluarga dengan lebih berkesan. Hal ini sangat penting bagi menjamin institusi sosial utama ini semakin bertambah baik selari dengan kemajuan yang mahu dicapai.

Islam sememangnya menganjurkan manusia berusaha dan berkerja bersungguh-sungguh untuk mencapai sasaran yang ditetapkan; namun ia tidaklah boleh sampai ke tahap memperhambakan diri kepada kebendaan dan sehingga masing-masing mengejar kepentingan diri sendiri justeru mengancam kehidupan orang lain. Bekerjalah sebagai ibadah kepada Allah untuk meraih redha-Nya dan memberikan kebaikan kepada makhluk lain.

“Inilah Penyelesaian Kita”

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
2 September 2016 | 30 Zulkaedah 1437 - HARAKAHDAILY 2/9/2016

No comments:

Post a Comment