USAHAWAN HARAKI; MENINJAU SEJARAH ISLAM, MELAKAR AGENDA BERTINDAK
A. Definisi Usahawan & Keusahawanan
Terdapat banyak definisi diberikan terhadap maksud Usahawan. Antaranya didefinisikan membawa maksud orang yang mengusahakan sesuatu perusahaan atau perniagaan.
Usahawan juga ditakrifkan sebagai orang yang mengendalikan sesebuah perniagaan dan mengambil risiko perniagaan yang diceburinya.
Keusahawanan ditakrifkan sebagai peri laku atau gaya usahawan bertindak terhadap peluang, memulakan perniagaan, mengembang dan mempertahankan daya maju perniagaan yang telah diterokainya.
B. Definisi Usahawan Muslim
Bagi saya Usahawan Muslim pula merujuk kepada seorang yang berusaha gigih melakukan aktiviti ekonomi bagi mendapatkan rezki halal menerusi pelbagai kemahiran yang dimiliki oleh dirinya dengan mengambil risiko kejayaan mendapat hasil atau kegagalan dengan berserah dan bertawakkal kepada Allah.
Aktiviti ekonomi merujuk kepada aktiviti yang mendatangkan hasil yang dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seperti penternakan, perladangan, pertanian, pembuatan, pengilangan dan perniagaan.
C. Keusahawanan Dalam Islam
Islam menuntut setiap manusia berusaha mencari rezki yang halal untuk melunaskan keperluan hidupnya.
Galakkan utama diberikan terhadap aktiviti keusahawanan yang boleh mendatangkan hasil.
Antaranya Nabi saw bersabda
إِنْ قَامَتْ عَلَى أَحَدِكُمُ الْقِيَامَةُ ، وَفِي يَدِهِ فَسِيلَةٌ فَلْيَغْرِسْهَا
"Sekiranya berlaku Qiamat sedangkan di tangannya terdapat benih maka hendaklah dia menanam benih tersebut"
(Hadis riwayat Ahmad dan dinilai Sahih oleh al-Albaani)
Tidak ada orang yang mampu berbuat apa-apa lagi apabila berlaku Qiamat. Dunia pun sudah berakhir. Tetapi gesaan Nabi saw itu sebagai menunjukkan kesungguhan dalam melakukan sesuatu usaha ekonomi.
Nabi saw memuji aktiviti ekonomi menerusi hasilan tangan dan perniagaan sebagai perolehan yang paling baik.
Daripada Rifaa'ah bin Raafi' bahawa Rasulullah saw ditanya:
أي الكسب أطيب؟ فقال: "عمل الرجل بيده، وكل بيع مبرور".
"Apakah perolehan yang paling baik?" Jawab baginda saw: "usaha seseorang menerusi tangannya dan setiap jual beli mabrur.
(Hadis Sahih riwayat Bazzar dan Hakim)
Menurut sebahagian Ulamak, jual beli yang mabrur ialah yang tidak mengandungi unsur penipuan dan tipudaya serta tidak bercanggah dengan syarak.
D. Perniagaan dalam Keusahawanan
Para ulamak berbeza pandangan tentang bidang keusahawanan yang paling baik sama ada pertanian, penternakan atau perniagaan. Majoriti ulamak berpandangan perniagaan adalah bidang keusahawanan terbaik.
Perniagaan dalam al-Quran dirujuk sebagai "fadlullah" yang bermaksud limpahan kurniaan Allah.
(وَآخَرُونَ يَضْرِبُونَ فِي الْأَرْضِ يَبْتَغُونَ مِنْ فَضْلِ اللَّهِ) [المزمل:20].
Maksudnya: "dan orang lain pula mengembara di bumi dalam keadaan mencari sebahagian "fadlullah" (kurniaan Allah)."
(Surah Muzammil ayat 20)
Begitu juga ayat 198, surah al-Baqarah yang turun pasa musim Haji;
{لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَبْتَغُوا فَضْلًا مِنْ رَبِّكُمْ}
"Fadlullah" boleh dicari selepas berakhir solat Jumaat sebagaimana firman Allah dalam surah Jum'ah ayat 10:
{فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانْتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِنْ فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ}
Umar bin al-Khattab berkata
" ليس هناك مكان أحب أن يأتيني الموت فيه بعد الجهاد في سبيل الله إلا أن أكون في سوق أبيع وأشتري من أجل عيالي ".
Tidak ada di sana satu tempat yang aku lebih suka didatangi maut padanya selepas jihad fi sabilillah melai kan aku bwrada di satu pasar menjual dan membeli untuk menanggung keluargaku.
Allah melindungi aktiviti perniagaan antarabangsa Quraisy dengan menghantar burung Ababil menghancurkan tentera Abrahah yang menyerang Kaabah sebagaimana diceritakan dalam surah al-Fiil dan Quraisy.
E. Para Nabi Adalah Usahawan
Para Nabi berusaha sebagai pengembala kambing sebagaimana sabda Nabi saw.
ما من نبي الا وراعى الغنم
Nabi Zakaria seorang tukang kayu sebagaimana Hadis Muslim sabda Rasulullah saw:
كان زكريا - عليه السلام - نجارًا
Dalam Hadis Sahih Bukhari menegaskan bahawa Nabi Dawud makan hasil tangan baginda sendiri. Baginda adalah seorang tukang besi yang membuat baju besi. Allah bercerita perkara yang sama dalam surah al-Anbiya ayat 80.
﴿ وَعَلَّمْنَاهُ صَنْعَةَ لَبُوسٍ لَكُمْ لِتُحْصِنَكُمْ مِنْ بَأْسِكُمْ فَهَلْ أَنْتُمْ شَاكِرُونَ ﴾
Nabi saw mengembala kambing dan berniaga sebelum menjadi Nabi
F. Usahawan di Kalangan Sahabah
8 orang daripada 10 orang sahabat yang dijanjikan syurga oleh Allah sebagaimana Hadis Bukhari dan Muslim merupakan ahli perniagaan dan usahawan. Mereka ialah Abu Bakar al-Siddiq, Umar bin al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Zubair bin Awwam, Tolhah bin Ubaidillah, Saad bin Abi Waqqas dan Abdurrahman bin Auf.
G. Usahawan Barakah
Dalam Sahih Bukhari dan Muslim Nabi saw bersabda:
البيعان بالخيار ما لم يتفرقا، فإن صدقا وبيّنا بورك لهما في بيعهما، وإن كتما وكذبا محقت بركة بيعهما
"Dua orang yang berjual beli mempunyai hak membatalkan akad selagi keduanya tidak berpisah. Sekiranya mereka berdua bercakap benar dan membuat penjelasan, kedua-duanya diberkati pada jual beli mereka. Sekiranya mereka menyembunyikan keadaan sebenar dan berbohong dihapuskan keberkatan jual beli mereka berdua"
Nabi saw juga bersabda
الحلف ينفق ثم يمحق
"Sumpah itu melariskan jualan kemudian menghapuskan barakah"
Nabi saw juga bersabda
«التاجر الصدوق مع النبيين والصديقين والشهداء» رواه الترمذي، وقال: حديث حسن
H. Usahawan Neraka
Dalam Hadis Hasan Sahih riwayat Tirmizi, juga riwayat Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan Hakim, Nabi saw bersabda
«إن التجار يبعثون يوم القيامة فجّاراً، إلاّ من اتقى الله وبرّ وصدق».
"Sesungguhnya para peniaga dibangkitkan pada hari Qiamat dalam keadaan melakukan dosa melainkan orang yang bertaqwa kepada Allah, melakukan kebajikan dan bercakap benar".
I. Membina Minda Keusahawanan
Orang-orang Islam khususnya Melayu Islam pasca penjajahan dididik untuk mengutamakan pekerjaan dalam perjawatan kerajaan kerana ia lebih menjamin pendapatan yang tetap, stabil dan lebih selesa tanpa risiko. Akibatnya ramailah yang meninggalkan pekerjaan dalam bidang keusahawanan khususnya perniagaan sehingganya bukan Islam lebih menguasai bidang keusahawanan dan ekonomi negara.
J. Usahawan & Dermawan
Usahawan dan dermawan adalah dua akronim yang tidak dapat dipisahkan. Itulah yang diisyaratkan usahawan di kalangan sahabat khususnya lapan usahawan dermawan daripada "sepuluh sahabat yang dijanjikan syurga oleh Allah".
I) Uthman bin Affan dinilai hartanya sebanyak 30 juta dirham perak, 150,000 dinar emas di samping sedekahnya yang bernilai 200,000 dinar.
Beliau mewakafkan telaga "Rumah" yang disebut oleh Nabi saw;
من حفر رومة فله الجنة
Sesiapa yang menggali telaga "Rumah" baginya syurga"
Beliau juga menyediakan kelengkapan tentera Islam untuk peperangan Tabuk yang disebut oleh Nabi saw:
(من جهز جيش العسرة فله الجنة)
"Sesiapa yang menyediakan tentera "saat sukar" (tentera ke Tabuk) baginya syurga.
2. Tolhah bin Ubaidillah dianggarkan hartanya 2.2 juta dirham dan 200,000 dinar. Pendapatan hariannya ialah 1000 dirham lebih. Antara sifat dermawan beliau ialah apabila salah seorang kerabatnya meminta sesuatu sebagai tanda hubungan berkerabat lalu diberinya sebidang tanah bernilai 300,000 dirham. Beliau juga membantu membayar hutang kaum kerabatnya sama ada dekat atau jauh.
Dalam Tabaqat Ibnu Sa'ad diriwayatkan apabila beliau terbunuh dalam peperangan Jamal di tangan penjaga hartanya terdapat 2.2 juta dirham. Hartanahnya dinilai sebanyak 30 juta dirham.
3. Zubir bin Awwam ketika mati meninggalkan hartanah bernilai 50.2 juta. Apabila orang ramai meletakkan harta mereka untuk disimpan oleh beliau, ia dianggap sebagai hutang oleh beliau dan bukannya sebagai pemegang amanah sahaja. Zubir adalah sahabat yang menguruskan hijrah baginda saw.
4. Kekayaan Abdul Rahman bin Auf berdasarkan anggaran Ibnu Hajar al-Asqalani ialah 3.2 juta dinar ( sekitar rm2.4 bilion). Beliau sangat mahir berniaga hingga beliau berkata: "Aku melihat kemahiran diriku sekiranya aku angkat satu batu aku berharap menemui emas atau perak".
Beliau membeli sebidang tanah dengan harga 40,000 dinar lalu disedekahkan. Beliau juga mewasiatkan 400 dinar kepada setiap sahabat yang hadir perang Badar yang ketika itu seramai 100. Justeru nikai wasiatnya ialah 40,000 dinar. Juga beliau berwasiat kepada ummahat mukminin yang dianggarkan bernilai 100 ribu dinar.
K. Usahawan Haraki; Menggaris Pelan Bertindak
Usahawan Haraki adalah usahawan yang bergiat sebagai anggota dakwah dalam gerakan Islam. Mereka perlu melakar agenda bertindak untuk mencapai cita-cita kejayaan
I) Membina Tekad Berjihad Dengan Harta Benda Demi Dakwah & Cita-cita Menegakkan Daulah Islam
Cita-cita gerakan Islam ialah berdakwah dan mengembalikan kedaulatan negara Islam. Dengan kemampuan kewangan dan sifat kendiri mereka, para usahawan menjadi tonggak utama dalam memacu kerja-kerja jihad ini sebagaimana ditunjukkan oleh usahawan di kalangan sahabat Nabi saw.
II) Membina Jaringan Persaudaraan Keusahawanan
Kekuatan usahawan berada pada kekuatan jaringan dan kerjasama dalam pelbagai bidang keusahawanan. Asas kepada jaringan dan kerjasama ini ialah hubungan persaudaraan yang kuat dan kukuh yang diikat dengan tali akidah.
Apabila Nabi saw berhijrah ke Madinah, baginda mempersaudarakan antara orang-orang Ansar dan Muhajirin. Ahli perniagaan Ansar dipersaudarakan dengan sesama ahli perniagaan Muhajirin. Maka Saad bin Rabi' yang merupakan usahawan terkenal Madinah dipersaudarakan dengan Abdul Rahman bin Auf tokoh usahawan di kalangan Muhajirin.
III) Membina Pasar Baru Bagi Usahawan Muslim
Apabila Nabi saw berhijrah ke Yathrib pasar utama dikuasai oleh orang-orang Yahudi khususnya Banu Qainuqa'. Pasar mereka dipenuhi dengan amalan riba, penipuan dan tipu daya.
Baginda pada awalnya telah memacak satu khemah di pasar Yahudi sebagai tanda kawasan berniaga bagi orang Islam. Tetapi khemah itu dirobohkan oleh Ka'ab bin Asyraf pemuka Yahudi sebagai tanda kehadiran Nabi saw dan orang-orang Islam tidak dialu-alukan untuk berniaga di pasar mereka.
Baginda kemudiannya mencari tapak khusus untuk pasar orang Islam lalu akhirnya ditemui tapak yang sesuai tidak jauh daripada Masjid Nabi saw. Nabi saw lantas membuat perisytiharan ianya sebagai pasar orang Islam.
أَنَّ أَبَا أُسَيْدٍ حَدَّثَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَهَبَ إِلَى سُوقِ النَّبِيطِ فَنَظَرَ إِلَيْهِ فَقَالَ لَيْسَ هَذَا لَكُمْ بِسُوقٍ ثُمَّ ذَهَبَ إِلَى سُوقٍ فَنَظَرَ إِلَيْهِ فَقَالَ لَيْسَ هَذَا لَكُمْ بِسُوقٍ ثُمَّ رَجَعَ إِلَى هَذَا السُّوقِ فَطَافَ فِيهِ ثُمَّ قَالَ هَذَا سُوقُكُمْ فَلَا يُنْتَقَصَنَّ وَلَا يُضْرَبَنَّ عَلَيْهِ خَرَاجٌ
Abu Usaid menceritakan bahawa Rasulullah saw pergi ke pasar Nabit lalu meninjaunya. Baginda berkata: ini bukan pasar untuk kamu. Kemudian baginda ke pasar lain pula lalu berkata: ini juga bukan pasar kamu. Kemudian baginda kembali semula ke pasar Nabit lalu mengelilinginya. Kemudian baginda saw bersabda: " Ini pasar kamu. Ia jangan diperkecilkan dan tidak akan dikenakan cukai".
Pengajaran cerita menunjukkan bahawa orang-orang Islam pelru mempunyai pasar sendiri atau bekalan pemasaran mereka sendiri. Kehadiran pasar sendiri membolehkan mereka mempraktiikan etika pasar muslim yang tidak terlibat dengan riba, penipuan dan monopoli.
L. Penutup
Keusahawanan adalah bidang kehidupan yang sangat digalakkan oleh Islam kerana ia berfungsi memenuhi keperluan hidup manusia.
Ia merupakan aktiviti yang dilakukan oleh para Nabi termasuk Nabi Muhammad saw dan para sahabat baginda.
Usahawan di kalangan sahabat Nabi saw menjadi tonggak gerak kerja dakwah baginda saw.
Jaringan persaudaraan di kalangan mereka mesti diperkukuhkan atas nama Islam.
Begitu juga jaringan pasaran sesama muslim mesti dibina sebagai satu alternatif untuk memperkukuhkan ekonomi ummah.
Sekian.
Disediakan oleh
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
No comments:
Post a Comment