PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Monday, 16 November 2015

RUMAH MAMPU MILIK : KEKANG HARGA, SEMAK & STRUKTUR SEMULA INDUSTRI PERUMAHAN NEGARA

Bicara Bajet 2016 [ Siri 4 ]

RUMAH MAMPU MILIK : KEKANG HARGA, SEMAK & STRUKTUR SEMULA INDUSTRI PERUMAHAN NEGARA

[ Rujuk : http://www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/38476-kaji-semula-harga-rumah-mampu-milik ]

Oleh :
Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

1. Pada Ogos lalu, kajian oleh Khazanah Research Institute (KRI) mendedahkan bahawa harga purata rumah di negara ini adalah 4.4 kali ganda lebih tinggi berbanding purata gaji tahunan sebenar rakyat Malaysia; sedangkan sepatutnya harga mampu milik rumah adalah pada kadar hanya 3 kali median pendapatan tahunan isi rumah.

2. Berdasarkan pendapatan bulanan isi rumah bernilai RM4,585, median harga kediaman di negara ini berada pada paras RM242,000 seunit. Namun di KL, harganya mencecah RM490,000 seunit dan dikategorikan dalam skor ‘sangat tidak mampu dimiliki’ atau sangat mahal. Turut berkongsi skor yang sama ialah Terengganu, Pulau Pinang dan Sabah.

3. Lebih awal mendedahkan perkara ini ialah Laporan Pasaran Hartanah 2014. Laporan tersebut menyatakan, harga purata rumah di negara ini pada 2013 ialah RM266,304 manakala pada 2014 ialah RM295,345 iaitu meningkat sebanyak RM30,000.

4. Susulan itu, komitmen Kerajaan untuk membina sehingga 351,500 unit rumah termasuk sebanyak 20,000, 2,000 dan 2,000 unit rumah masing-masing untuk FELDA, FELCRA dan RISDA seperti yang diumumkan dalam Bajet 2016 adalah suatu yang baik tujuannya dan saya secara peribadi memberikan pujian untuk itu.

5. Namun, ia tidaklah dapat menyelesaikan isu pokok harga rumah yang masih tinggi. Pemberian subsidi, penurunan dan pemotongan harga, pembiayaan dan pengecualian duti setem yang disediakan itu semuanya adalah berdasarkan kepada harga spekulasi yang tinggi dan sangat tinggi dalam pasaran hartanah.

6. Berkenaan spekulasi ini, menariknya KRI turut mengemukakan bahawa kenaikan harga rumah sebenarnya menjadi punca perningkatan harga hartanah; bukannya kos pembinaan dan harga hartanah yang tinggi menjadi punca harga rumah meningkat.

7. Usaha untuk menyemak dan menstrukturkan semula industri perumahan dalam negara kita melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan jabatan berkenaan, pemaju dan persatuan berkaitan serta aturcara dan caj guaman mesti dilakukan.

8. Langkah mengekang kenaikan harga hartanah melalui penggubalan akta khas juga mesti dibuat bagi menyelesaikan isu pemilikan rumah ini secara berkesan dan jangka panjang. Menerusi akta ini, harga siling rumah mengikut jenis rumah dan lokasi wajar dikuatkuasakan justeru dapat mengelakkan pihak-pihak tertentu mengambil keuntungan atas angin dengan menindas para pembeli.

9. Agensi-agensi Kerajaan yang terlibat membangunkan projek perumahan pula tidak patut menjual rumah pada harga yang tinggi seperti yang dilakukan oleh pemaju swasta yang sememangnya berorientasikan keuntungan.

10. Sebaliknya, agensi-agensi ini harus memberikan saingan kepada pemaju-pemaju swasta bagi membantu mengawal peningkatan harga rumah termasuk dengan mengurangkan antara 20 hingga 30 peratus daripada harga asal rumah termasuk kos binaan bagi memastikan rakyat mampu untuk memilikinya.

11. Konsep sewa beli juga sangat baik jika dilaksanakan untuk mengimbangi pendapatan isi rumah khususnya bagi rakyat luar bandar yang berhijrah ke bandar raya yang berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi.

_____

Siri Bicara Bajet 2016 ini adalah daripada draf asal teks Ucapan Perbahasan Bajet 2016 oleh YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri, Ahli Parlimen Kuala Nerus.

No comments:

Post a Comment