PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Friday, 25 September 2015

NASIHAT PERJUANGAN PEJUANG ISLAM MENGHARAPKAN REDHA ALLAH

LAJNAH PENERANGAN
DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

NASIHAT PERJUANGAN

PEJUANG ISLAM MENGHARAPKAN REDHA ALLAH

1. Akhiran ini kedapatan mereka yang penampilannya agamanya dilihat baik turut terikut-ikut mempermain dan mempersenda ungkapan "mendapat redha Allah" dalam konteks bicara tentang kemenangan perjuangan politik.

2. Mereka terikut-ikut dengan pemikiran bahawa keutamaannya ialah menang kuasa politik dengan mendapat sokongan dan redha manusia. Bagi mereka, jika kita berjuang dalam politik maka apalah ertinya jika manusia tidak memberikan sokongan!!! Tiada langsung ikatan dan kaitan dengan Redha Allah!!!

3. Bagi mereka yang melihat politik sekadar urusan dunia yang terpisah daripada tuntutan agama tentulah memandang remeh matlamat untuk mendapatkan redha Allah.

4. Namun, bagi seorang yang memahami Islam sebagai agama yang lengkap merangkumi segala aspek kehidupan ia tentulah tidak memisahkan perjuangan politik dari matlamat tertinggi untuk mendapat redha Allah yang ganjarannya ialah syurga.

5. Mendapat Redha Allah adalah matlamat kehidupan setiap insan yang soleh yang mahukan syurga. Ia adalah matlamat perjuangan para Nabi.

6. Para Sahabat yang beriman, berhijrah dan berjihad bersama Nabi saw, mereka melakukannya kerana mengharapkan redha Allah.

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُولَٰئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ (218)

Maksudnya: "Sesungguhnya mereka yang beriman, berhijrah dan berjihad di jalan Allah, merekalah orang yang MENGHARAPKAN RAHMAT ALLAH sedang Allah itu Maha Pengampun lagi Maha bersifat Rahiim".
(Surah al-Baqarah ayat 218)

7. Allah menegaskan bahawa segala aspek kehidupan Rasulullah hanya mampu dicontohi oleh mereka yang mengharapkan Redha Allah. Allah berfirman:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

"Sememangnya bagi kamu pada diri Rasulullah contoh ikutan yang baik bagi mereka yang MENGHARAP ALLAH dan hari Akhirat dan menyebut serta mengingati Allah dengan banyak".
Surah al-Ahzab ayat 21.

8. Dalam surah al-Kahfi ayat 28 Allah mengarahkan Nabi saw untuk menahan diri bersabar untuk terus bersama kelompok manusia yang sentiasa mengharapkan Redha Allah. Allah berfirman;

وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ ۖ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ
"Dan hendaklah kamu sabarkan dirimu berada bersama orang-orang yang sentiasa berdoa kepada Rabb mereka di waktu pagi dan petang dalam keadaan mengharapkan Wajah-Nya (Redha-Nya). Dan janganlah pandangan kedua matamu beralih melepasi mereka dalam keadaan kamu inginkan perhiasan dunia ".

Imam Tabari dalam Tafsir Jaami' al-Bayan mentafsirkan, janganlah kamu mengalih pandangan mata mu meninggalkan golongan beriman untuk bersama golongan bangsawan musyrikin kerana mengharapkan penghormatan dan kebanggaan dengan duduk semajlis bersama mereka.

9. Malah Allah menegaskan lagi kepada Nabi saw agar jangan menurut kehendak golongan yang leka hatinya dan mengikut hawa nafsu;

وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَن ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا (28)
"Dan janganlah kamu menurut perintah sesiapa yang Kami lekakan hatinya daripada mengingati Kami dan mengikut hawa nafsunya sedang urusannya adalah sia-sia".

10. Mendapat Redha Allah bermaksud menjadikan segala tindakan dalam kehidupan atau dalam sesebuah perjuangan sentiasa di bawah panduan al-Quran dan Hadis Nabi saw.

11. Mendapat Redha Allah bermaksud tidak meletakkan manusia sebagai tempat harapan dan pergantungan atau matlamat perjuangan. Kehendak manusia juga tidak menjadi perhitungan dalam segala tindakan tetapi perhitungannya ialah tindakan itu bertepatan dengan kehendak Allah dan juga Rasul-Nya.

12. Kita berjuang dengan segenap tenaga, masa dan harta kita semata-mata untuk mendapat redha Allah.

13. Kita mengajak manusia menyokong perjuangan politik Islam menerusi kaedah dan cara yang diredhai Allah agar mereka bahagia di dunia dan Akhirat.

14. Kita mengajak mereka menyokong perjuangan Islam supaya mereka juga mendapat redha Allah. Kebahagiaan bakal dikecapi mereka di dunia seterusnya di Akhirat.

15. Kita tidak menerima sebarang perjuangan politik yang membawa kepada mengenepikan kehendak dan perintah Allah kerana ia menjauhkan kita daripada redha Allah.

16. Mengharapkan Redha Allah adalah keistimewaan golongan yang berjuang atas nama Islam. Musuh merasai keperitan perjuangan sepertimana yang dirasai oleh para pejuang Islam. Namun, bezanya ialah pejuang Islam mengharapkan Redha Allah, sesuatu yang memang tidak diharapkan oleh orang lain sepertimana firman Allah

وَلَا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ ۖ إِن تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ ۖ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لَا يَرْجُونَ ۗ

"Dan janganlah kamu lemah (semangat) dalam mendapatkan kaum (yang kufur) tersebut. Sekiranya kamu merasai kesakitan mereka juga merasai kesakitan sebagaimana kamu rasai sedang kamu mengharapkan daripada Allah sesuatu yang mereka tidak harapkan"
Surah al-Nisa ayat 104.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan DUPP

Jumaat 11 Zulhijjah 1436 H / 25 September 2015
Jam 3.30 ptg waktu Mekah; Masjid Haram.

No comments:

Post a Comment