PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Thursday, 24 September 2015

RENUNGAN DARI BUMI SUCI (siri 2) Mati "Husnul Khatimah"

RENUNGAN DARI BUMI SUCI (siri 2)

Mati "Husnul Khatimah"

Allah berfirman;

أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِكْكُمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنْتُمْ فِي بُرُوجٍ مُشَيَّدَةٍ ۗ
Maksudnya: "Di mana kamu berada pasti kamu tetap ditemui oleh kematian meskipun kamu berada dalam bangunan megah kukuh lagi tinggi". Surah al-Nisa ayat 78.

Menurut Ibnu Abbas radiyallahu anhu, apabila ramai yang mati syahid dalam peperangan Uhud orang-orang Munafik yang mengundur diri dari medan Uhud berkata; "jika mereka berada bersama kita mereka tidak akan mati atau terbunuh". Allah Taala lalu menurunkan ayat di atas.

Tentu ramai juga yang akan berkata dalam bentuk ratapan dan keluhan apabila berlaku sesuatu tragedi kematian seperti mana kata-kata Munafikin; jika mereka tidak ke situ tentu tidak berlaku kematian"

Kematian adalah sesuatu yang pasti. Tinggal lagi ialah persoalan bila, di mana dan bagaimana.

Berbahagialah mereka yang ditakdirkan mati di bumi suci di saat menunaikan ibadah yang mulia seperti Haji.

Nabi saw bersabda;

« إِذَا أَرَادَ اللهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا اِسْتَعْمَلَهُ .، قِيلَ : يَا رَسُولَ اللهِ ، كَيْفَ يَسْتَعْمِلَهُ ؟ ، قَالَ : يَهْدِيهِ لِعَمَلٍ صَالِحٍ قَبْلَ مَوْتِهِ » .
Maksudnya: "Apabila Allah mahukan bagi seorang hamba satu kebaikan Allah jadikan dirinya beramal".
Rasulullah saw lalu ditanya, bagaimana Allah jadikan dirinya beramal?  Baginda menegaskan: "Allah memberi hidayah kepadanya untuk melakukan amalan soleh sebelum matinya".
Hadis Hasan Sahih riwayat Tirmizi.

Dalam riwayat lain oleh Ahmad, Ibnu Hibban dan Hakim yang dinilai Sahih oleh al-Albaani menyebut bahawa Nabi saw bersabda;

« إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا عَسَّلَهُ .؛ قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ ، وَ مَا عَسَّلُهُ ؟ ، قَالَ : يَفْتَحُ لَهُ عَمَلاً صَالِحًا بَيْنَ يَدَيْ مَوْتِهِ ، حَتَّى يَرْضَى عَنْهُ مَنْ حَوْلُهُ » .
"Apabila Allah mahukan bagi seorang hamba satu kebaikan Allah kurniakan kemanisan umpama madu untuknya beramal". Mereka bertanya; apa maksudnya? Kata baginda: "Allah membuka untuknya satu amalan soleh di ambang kematiannya hingga orang di kelilingnya meredhainya".

Kemanisan untuk beramal amalan yang baik di hujung usia menjadikan dirinya bahan pujian manusia di samping redha Allah. Itulah juga maksud kinayah daripada perkataan " عسل  " yang bermaksud jadikan ia semanis madu kerana madu adalah makanan baik yang disukai manusia.

Allah takdirkan untuk dirinya amalan soleh di ambang kematian agar dosa-dosanya yang lampau diberikan keampunan dan dalam masa yang sama pula beroleh limpahan pahala.

Amat wajar bagi setiap muslim memohon kepada Allah untuk mati dalam keadaan amal soleh moga syurga menjadi milik kita semua. Ia disebut sebagai "husnul khatimah" penutup yang baik.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Khamis 10 Zulhijjah 1436 H / 24 September 2015
Jam 6 ptg waktu Mekah dalam perjalanan untuk bermalam di Mina.

No comments:

Post a Comment