PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Saturday, 10 January 2015

PERUTUSAN TAHUN BARU 2015 Tingkatkan Taqwa Sepanjang 2015

PERUTUSAN TAHUN BARU 2015
Tingkatkan Taqwa Sepanjang 2015

YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
(Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat / Ahli Parlimen Kuala Nerus)

8 Januari 2015 / 17 Rabiulawal1436H

Allah berfirman;

وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
133 آل عمران
"Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Rabb kamu dan Syurga yang keluasannya langit-langit dan bumi disediakan untuk orang-orang bertaqwa"

1. Bulan dan tahun sama ada masehi atau hijri adalah sistem kiraan masa ciptaan Allah untuk makhluknya menghargai dan memanfaatkan masa sebaiknya. Ia juga sudah pasti mengingatkan kita dengan pelbagai peristiwa yang berlalu dan juga pertambahan umur yang semakin mendekatkan diri dengan kematian dan perpindahan ke alam kedua.

2. Dalam kedukaan dan kesibukan kita ditimpa musibah banjir, saya merasakan belum terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2015 kepada semua rakyat Malaysia khususnya warga Parlimen Kuala Nerus.

3. Kebiasaannya, kedatangan tahun baru disambut dengan kesukaan dan riang gembira sehingga terkadang melalaikan kita, namun pada tahun ini bertukar sehingga membangkitkan nilai kemanusiaan dan rasa insaf dalam diri terhadap keagungan dan kebesaran Tuhan.

4. Tiga insiden yang meruntun jiwa kita semua ditakdirkan Allah berlaku 2014; MH370, MH17, seterusnya QZ8501 dan banjir besar yang seumpama tsunami menyebabkan kita benar-benar merasa kerdil diri dan tersungkur buntu menghadapi ujian ketentuan-Nya.

5. Sebagai hambaNya yang beriman, kita dituntut bersyukur dengan nikmat yang berbaki dan tidak berputus asa mengusahakan nikmat yang mendatang. Ujian sama ada melibatkan kehilangan nyawa atau harta-benda ditimpakan adalah sebagai pengajaran serta peringatan, seterusnya menghapuskan dosa dan mengangkat martabat iman dalam diri seseorang sebagaimana sabit dalam banyak Hadis Sahih.

6. Pada kesempatan ini saya ingin menyeru kepada semua pihak untuk melibatkan diri dengan aktiviti bantuan pasca banjir seperti gotong-royong dan kesukarelawanan bagi membersihkan masjid-masjid, bangunan sekolah dan rumah kediaman; membantu membaikpulih dan membina rumah yang musnah; dan menyumbang keperluan persekolahan kepada mereka yang sangat memerlukan. Kepada yang telah dan sedang melakukannya maka tahniah saya ucapkan. Kepada yang baru sahaja berkira-kira maka janganlah ditangguhkan sebarang rencana kebaikan.

7. Saya juga menggesa pihak Kerajaan, sama ada Pusat atau Negeri agar memastikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir segera sampai dan terus kepada mereka tanpa melalui rantaian orang tengah yang sengaja mengambil kesempatan tertentu. Jabatan-jabatan Kerajaan juga mestilah memudahkan urusan mereka bagi mendapatkan semula dokumen-dokumen penting yang rosak akibat banjir dan tidak menyulitkan mereka dengan prosedur biasa.

8. Saya juga memperingatkan diri saya dan semua sukarelawan agar tidak menjadikan musibah banjir kali ini sebagai pentas mempamerkan keperwiraan peribadi atau organisasi, tetapi tuluskan hati membantu mangsa musibah demi mendapat keredhaan-Nya agar segala amal tidak menjadi sia-sia di sisi Allah.

9. Marilah sempena tahun baru ini kita bermusabah diri, menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t. Sama-samalah kita menunaikan kewajipan yang telah diperintahkan olehNya; memberikan hak kepada yang berhak, berlaku adil, berhukum dengan hukum Allah, bekerjasama atas dasar kebajikan dan taqwa, meninggalkan kerjasama atas dasar dosa dan pencerobohan dan menyuruh kepada yang ma’ruf serta mencegah yang munkar.

Moga hari ini lebih baik dari semalam. Moga tahun ini lebih baik dari tahun berlalu. Moga Taqwa menjadi hiasan diri 2015!

Sekian.
Tingkatkan taqwa sepanjang 2015 - http://m.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/33133-tingkatkan-taqwa-sepanjang-2015

No comments:

Post a Comment