PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Saturday, 3 January 2015

Maulidur Rasul; Memupuk Kesabaran Menghadapi Ujian dan Menyuburkan Keprihatinan Ummah

Nasihat Agama dan Wasiat Iman
oleh Dr Khairuddin at-Takiri

Maulidur Rasul; Memupuk Kesabaran Menghadapi Ujian dan Menyuburkan Keprihatinan Ummah

1. Musibah adalah perkara yang menjadi sebahagian sunnah kehidupan. Ia bertujuan menguji mereka yang sabar dalam menghadapi ujian untuk mengangkat darjat dan menghapuskan dosa mereka.

2. Masyarakat yang diuji dengan banjir sebagai contoh diuji juga dengan kemampuan berkongsi apa yang mereka ada atau apa yang mereka perolehi. Nabi saw memuji suku Asy'ariyyin yang mampu berkongsi saki-baki makanan yang ada pada mereka.

Imam Muslim meriwayatkan Hadis bahawa Nabi saw bersabda;

إِنَّ الْأَشْعَرِيِّينَ إِذَا أَرْمَلُوا فِي الْغَزْوِ أَوْ قَلَّ طَعَامُ عِيَالِهِمْ بِالْمَدِينَةِ جَمَعُوا مَا كَانَ عِنْدَهُمْ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ ثُمَّ اقْتَسَمُوهُ بَيْنَهُمْ فِي إِنَاءٍ وَاحِدٍ بِالسَّوِيَّةِ فَهُمْ مِنِّي وَأَنَا مِنْهُمْ
Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang Asy'ari apabila mereka kehabisan bekalan dalam peperangan atau kekurangan makanan tanggungan mereka di Madinah, mereka menghimpunkan apa yang ada dengan mereka dalam satu kain kemudian mereka mengagihkannya di kalangan mereka dalam satu bekas secara sama rata. Maka mereka tergolong di kalangan saya dan saya tergolong di kalangan mereka."

3. Semangat berkongsi adalah ujian besar di kalangan orang-orang yang ditimpa dengan ujian kesusahan kerana sikap manusia selalunya ialah berusaha memenuhi keperluan diri sendiri terlebih dahulu.

4. Bagi masyarakat sekitar pula, musibah yang menimpa jiran dan rakan taulan mereka menjadi ujian keprihatinan. Adakah kita bersedia membantu mereka yang kesusahan sama ada dengan tenaga, masa dan juga harta benda.

5. Antara sifat mulia Rasulullah saw ialah keprihatinan terhadap kesusahan ummat yang terbentuk sebelum baginda saw menjadi Nabi lagi. Ia disebut oleh Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwailid radiyallahu anha dalam peristiwa Nabi saw menerima wahyu yang pertama sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Muslim;

إِنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ وَتَصْدُقُ الْحَدِيثَ وَتَحْمِلُ الْكَلَّ وَتَكْسِبُ الْمَعْدُومَ وَتَقْرِي الضَّيْفَ وَتُعِينُ عَلَى نَوَائِبِ الْحَقِّ

Maksudnya; "Sesungguhnya kamu benar-benar menyambung hubungan rahim, bercakap benar, menanggung bebanan kesusahan orang, memberi harta kepada yang papa (tidak mampu bekerja), memberi makan kepada tetamu dan membantu (mangsa) musibah tragedi."

6. Golongan Ansar yang membantu golongan Muhajirin ke Madinah dipuji oleh Allah

وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ( 9 ) )
Maksudnya: "dan mereka (iaitu Ansor) yang menempati bumi (Madinah) itu dan (menempati) keimanan sebelum kehadiran mereka (iaitu Muhajirin), mereka sayangkan orang berhijrah kepada mereka, mereka tidak merasai dalam hati mereka sebarang hajat keperluan daripada apa yang telah mereka hulurkan dan mereka mengutamakan (Muhajirin) berbanding diri mereka meskipun mereka juga ada keperluan tersendiri. Dan sesiapa yang terpelihara daripada sifat kikir dalam dirinya maka merekalah golongan yang beroleh al-Falah (kejayaan selepas kesukaran).
Surah al-Hasyr ayat 9.

7. Golongan Ansor dipuji oleh Allah kerana mempunyai 3 sifat;
1. Sayang kepada golongan Muhajirin
2. Ikhlas memberikan bantuan tanpa mengharapkan balasan.
3. Memberikan keutamaan bantuan kepada golongan Muhajrin meskipun mereka sendiri memerlukan.

8. Marilah kita membina semangat berkongsi masalah dan kesusahan serta menyuburkan keprihatinan terhadap mereka yang susah. Hari ini mereka berhadapan kesukaran kerana banjir dan sebagainya. Entah esok entah lusa kita pula dilanda kesusahan.

Di manakah kita hari ini???

Selamat menyambut Maulidur Rasul. "Maulidur Rasul; Membina Keprihatinan Ummah"

Ditulis oleh al-Faqiiru ilaLlah

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Sabtu 12 Rabiul Awal 1436 H / 3 Januari 2015 - (1.00 pm)

No comments:

Post a Comment