PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Thursday, 19 June 2014

Nelayan Pantai Timur Terancam oleh Nelayan Vietnam

KENYATAAN MEDIA AHLI PARLIMEN KUALA NERUS

NELAYAN PANTAI TIMUR TERANCAM OLEH AKTIVITI NELAYAN VIETNAM; KERAJAAN MESTI SEGERA BERTINDAK

Aduan oleh para nelayan tempatan Pantai Timur terhadap aktiviti nelayan Vietnam yang mengancam aktiviti tangkapan seharian mereka tidak boleh dipandang ringan kerana ia telah berlangsung sejak lebih 5 tahun lalu. Ada beberapa fakta yang mesti diambil perhatian, disiasat dan diambil tindakan:
1.   Kehadiran bot-bot nelayan yang diberi lesen atas nama rakyat tempatan sedangkan awok-awoknya adalah nelayan Vietnam di perairan Terengganu, Kelantan dan Pahang.

2.   Mereka melakukan aktiviti tangkapan menggunakan konsep pukat tunda di kawasan nelayan zon A yang telah diharamkan oleh kerajaan. Kesalahan boleh dikenakan kompaun maksimum RM10,000 selain bot yang ditahan juga tidak boleh digunakan untuk sebarang aktiviti di laut walaupun didaftarkan atas nama orang lain.
3.   Aktiviti tersebut menyebabkan kerosakan jangka masa panjang terhadap hasil laut kerana pukat tunda akan menangkap segala hasil laut termasuk yang tidak diperlukan dan memberi ancaman kepada hasil pendapatan nelayan tempatan di samping memusnahkan ekosistem laut.

4.   Aktiviti tersebut juga merosakkan bubu dan pukat nelayan tempatan yang mengancam survival nelayan kecil tempatan.

5.   Adakah Malaysia khususnya laut Pantai Timur Malaysia memerlukan kehadiran nelayan asing khususnya Vietnam sedangkan rakyat tempatan mampu memenuhi keperluan negara terhadap hasil laut malah sememangnya ramai nelayan kecil tempatan memerlukan pekerjaan tersebut.

6.   Setelah aduan rasmi dibuat oleh para nelayan kepada pihak berkuasa termasuk polis, Jabatan Perikanan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berkali-kali, tindakan masih pada tahap tidak membanggakan kerana aktiviti ancaman tersebut masih berleluasa.

7.   Terdapat kes aduan bahawa nelayan Vietnam bertindak ganas terhadap nelayan tempatan apabila mereka ditegur setelah merosakkan bubu dan pukat nelayan tempatan.

8.   Terdapat aduan bahawa nelayan asing ini menggunakan no pendaftaran bot palsu di samping bot berdaftar.
 

Justeru, saya selaku Ahli Parlimen Kuala Nerus bersama Ahli Parlimen Kuala Terengganu YB Dato' Raja Kamarul Bahrih Shah Raja Ahmad yang mewakili sebilangan besar nelayan yang terancam mendesak:
1.   Satu siasatan dan pembersihan mesti dibuat terhadap pemilik lesen rakyat tempatan yang menggaji awok-awok Vietnam untuk melihat adakah terdapat tangan-tangan ghaib mewakili tauke-tauke besar rakyat asing yang hanya menjadikan pemegang lesen rakyat tempatan hanya sebagai “alibaba”.
2. Lesen "alibaba" adalah pengkhianatan terhadap negara kerana melibatkan subsidi diesel kepada nelayan yang dimanfaatkan untuk maslahat orang asing.

3.   Kerajaan perlu melihat kembali keperluan kehadiran awok-awok Vietnam sebagai nelayan yang diberi permit bekerja di saat rakyat tempatan lebih memerlukan kerja sebagai nelayan.

4.   Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Perikanan perlu segera lebih aktif dan drastik mengadakan penguatkuasaan membanteras penggunaan pukat tunda oleh nelayan Vietnam.
5. Unsur-unsur rasuah di pihak penguatkuasaan yang memungkinkan berlakunya "pejam mata" terhadap aktiviti jenayah ini perlu disiasat -sekiranya ada- sesuai dengan hasrat kerajaan membasmi rasuah ke akar umbinya.

6.   Bahagian penguatkuasaan maritim perlu memperkasakan kehadiran mereka dan tugasan penguatkuasaan mereka di perairan Pantai Timur dengan jumlah pegawai dan kakitangan penguatkusa yang lebih besar serta kelengkapan canggih.

7.   Kesungguhan kerajaan mesti dipaparkan menerusi tindakan undang-undang yang diambil dan orang-orang yang terlibat diseret ke mahkamah.
8. Cadangan kerajaan untuk menubuhkan pasukan sukarelawan laut terdiri daripada nelayan sendiri yang akan bertindak sebagai 'mata dan telinga' kepada pihak berkuasa bagi mengelak masalah berleluasa perlu disegerakan.
9.   Kerajaan mesti mewujudkan satu jawatankuasa khusus dan segera merangkumi pelbagai pihak dan agensi kerajaan dan pihak-pihak yang mewakili para nelayan tempatan untuk membincangkan isu ini dan seterusnya mengambil tindakan secara lebih serius dan segera.
 
Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia memberikan sokongan moral kepada nelayan-nelayan Pantai Timur yang akan mengadakan Himpunan Aman di Parlimen Malaysia pada hari ini Khamis 19hb Jun 2014  jam 9 pagi bagi membuat serahan memorandum kepada pihak kerajaan dalam isu ancaman nelayan Vietnam.
Memo akan diserahkan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)
YB Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Khamis 19hb Jun 2014

No comments:

Post a Comment