PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Tuesday, 28 January 2014

Pemergian Tokoh Ulamak Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan Kehilangan Besar Dunia Islam

Pemergian Tokoh Ulamak Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan Kehilangan Besar Dunia Islam

1. Isnin 27hb Jan 2014 dunia dikejutkan dengan pemergian seorang tokoh ulamak, tokoh gerakan Islam dan pemikir Islam yang agong iaitu Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan ke rahmatullah. Beliau juga merupakan bekas Penasihat Umum bagi gerakan Ikhwan Muslimin di Iraq. Janazahnya dikebumikan di San'a, Yaman, bumi yang terakhir menjadi tempat beliau bernaung selepas terpaksa keluar meninggalkan bumi kelahiran beliau iaitu Iraq.

2. Dewan Ulamak PAS Pusat mengucapkan takziah atas pemergian beliau kepada se luruh umat Islam, khususnya  keluarga almarhum, anak-anak murid beliau dan warga Univesiti Iman, San'a di bawah naungan Syeikh Abdul Majid Zandani yang menjadi pusat ilmu di mana beliau menjadi salah seorang mahagurunya. Pemergian  tokoh ulamak Islam ini merupakan kehilangan besar bagi ummat.

3. Beliau dilahirkan di Baghdad pada tahun 1921. Berkelulusan Ijazah Pertama dari Fakulti Undang-undang Univ Baghdad, Master dan Phd Pengajian Islam Universiti Kaherah tahun 1962.

4. Beliau merupakan bekas Mursyidul Am Iraq.
mengasaskan Fakulti Pengajian Islam di hujung 60 an dan berjaya melahirkan graduan namun kemudiannya ditutup oleh Parti Sosialis Iraq dan beliau sendiri dikenakan seumpama tahanan rumah. Beliau terus ditekan sebagai seorang tokoh Ulamak sehingga akhirnya terpaksa berhijrah meninggalkan Iraq pada awal 90 an.

5. Beliau pernah menjawat jawatan Profesor Undang-undang Islam dan Ketua Jabatan Syariah, Fakulti Undang-undang, Univ Baghdad dan Dekan Fakulti Syariah, Universiti Baghdad.

6. Antara karya beliau yang terkenal ialah ensiklopedia Hukum-hakam berkaitan Wanita dan Keluarga Muslim sebanyak 11 juzuk yang mendapat Anugerah Antarabangsa Raja Malik Faisal pada tahun 1997 M/1417 H.

7. Antara tulisan beliau yang terkenal dan menjadi rujukan di banyak fakulti pengajian Islam di seluruh dunia ialah
1. Hukum-hakam Zimmi dan Musta'min dalam Negara Islam
2. Pengenalan Pengajian Syariah Islam
3. Usul Dakwah
4. Al-Wajiz - Syarah Qawaid Fiqhiyyah
5. Sistem Kehakiman dalam Islam

8. Moga Allah merahmati roh beliau dan memberikan ganjaran terbaik untuknya di alam Barzakh dan di Hari Akhirat. Moga kita juga berjaya mengikut jejak langkah beliau sebagai orang berilmu dan beramal dengan ilmunya.

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus
28 hb Jan 2014

Sunday, 26 January 2014

Pemergian Dato Tuan Guru Harun Taib Yang Dikasihi dan Solat Janazah Jam 10 pg di Markaz Tarbiyah Kubang Lembik

Pemergian Dato Tuan Guru Harun Taib Yang Dikasihi dan Solat Janazah Jam 10 pg di Markaz Tarbiyah Kubang Lembik

إنا لله وإنا إليه راجعون
Innalillahi wainnailaihi rajiun.

Tuan Guru Dato Harun Taib, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat telah kembali ke rahmatullah jam 12.10 mlm tadi 25 hb jan 2014.

Janazah Almarhum TG Harun Taib dijangka disolatkan pada jam 10 pagi nanti di Markaz Tarbiyah Kubang Lembik. Seluruh ahli PAS dijemput beramai-ramai hadir mendoakan kebaikan untuk almarhum Tuan Guru.

Moga Allah merahmati roh beliau dan meletakkan beliau bersama roh para Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Solihin.

Bagi pihak Dewan Ulamak PAS Pusat dan seluruh jawatankuasanya mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga almarhum. Jasa dan amal perjuangan dakwah almarhum sepanjang berkecimpung dalam gerakan Islam seawal remaja sehingga ke akhir hayat  insyallah diganjari dengan yang terbaik oleh Allah subhanahu wa taala.

Ust Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Pemergian Tuan Guru Dato Hj Harun Taib Antara Tangisan Sedih dan Gembira

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/25229-pemergian-ustaz-harun-antara-tangisan-sedih-dan-gembira

Pemergian Tuan Guru Dato Harun Taib Antara Tangisan Sedih dan Gembira

1. Pemergian Tuan Guru Hj Harun Taib (TGHT) ditangisi kesedihan oleh ribuan pendokong dakwah yang pernah menerima tarbiyah beliau walau sejenak dan pernah menjadi anak didik beliau dan juga rakan seperjuangan al-marhum.

2. Ribuan menghadiri solat janazah almarhum dari seluruh pelusuk negara. Ribuan juga mengiringi janazahnya yang diusung ke kubur sehingga memenuhi jalan sepanjang 1.5 km.

3. Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi (TGAH) antara yang benar-benar merasai kehilangan Tuan Guru Harun Taib kerana  al-marhum disifatkan sebagai sayap kanan beliau dalam perjuangan dakwah. Sangat ketara kesedihan (TGAH)  di kala mengimamkan solat janazah TGHT dan di kala berdoa di kubur sejurus dikebumikan.

4. Namun tidak dinafikan, ada pula yang keriangan terutamanya munafik gerakan Islam atau musuh dakwah. Bagi mereka pemergian TGHT berertinya    perginya seorang "tokoh ulamak konservatif" yang masih memperjuangkan negara Islam dan pelaksanaan undang-undang syariah Islam di negara ini yang menjadi penghalang kepada keterbukaan Parti Islam Semalaysia PAS. Namun hakikat yang perlu diketahui ialah agenda perjuangan beliau akan terus digalas oleh puluhan ribu anak didik almarhum yang akan terus memperjuangkan kelangsungan pemerintahan dan politik berasaskan Islam. TGHT adalah sebahagian mata rantai perjuangan dakwah dan siyasah yang panjang.

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Friday, 24 January 2014

Tolak GST Kerana Dasarnya Bercanggah Dengan Islam

Tolak GST Kerana Dasarnya Bercanggah Dengan Islam

GST perlu ditolak bukan kerana ia tidak sesuai dilaksanakan sekarang dalam keadaan pendapatan rakyat belum ditingkatkan. Tetapi kerana dasar GST yang bersifat pukat tunda dikenakan kepada kaya dan miskin adalah bercanggah dengan prinsip percukaian yang dibenarkan oleh Islam. Meskipun pendapatan rakyat meningkat tetap akan ada golongan miskin yang tidak berkemampuan. GST yang dikenakan ke atas golongan miskin adalah satu kezaliman. Juga kerana prinsip Islam menegaskan cukai tidak boleh dikenakan kepada rakyat di saat kebocoran, ketirisan dan pembaziran perbelanjaan negara berlaku yang menjadi sebab kepada kewangan negara yang tidak mencukupi. TOLAK GST KERANA DASARNYA BUKAN HANYA KERANA IA BELUM SESUAI PADA HARI INI.

"KEMPEN HAPUS GST"

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Kenyataan Media 15hb Jan 2013 Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat Krisis Peningkatan Kos Hidup; Rakyat Malaysia Berada Di Jurang Kehancuran

Kenyataan Media Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
15hb Jan 2014

Krisis Peningkatan Kos Hidup; Rakyat Malaysia Berada Di Jurang Kehancuran

1. Rakyat Malaysia sedang berhadapan krisis peningkatan kos hidup setiap tahun yang sangat ketara dan memberi kesan kepada indeks kebahagiaan keluarga. Kerajaan Malaysia hari ini gagal menjadikan Malaysia negara berkebajikan dan hidayah tetapi menjadi negara "jibayah" percukaian.

2. Tiga perbelanjaan utama isi rumah menurut satu tinjauan meningkat pada tahun 2010 iaitu pertamanya utiliti, keduanya makanan dan ketiganya minuman termasuklah juga restoran dan hotel menunjukkan peningkatan yang ketara sebanyak dua digit.

3. Contohnya, perbelanjaan isi rumah terhadap utiliti meningkat sebanyak 15.1%, manakala perbelanjaan terhadap makanan dan minuman tidak beralkohol meningkat sebanyak 13%.  
 
4. Program rasionalisasi subsidi yang dilancarkan oleh Perdana Menteri hakikatnya tidak releven dengan perkembangan sosio ekonomi semasa. Daripada pemerhatian kesan rasionalisasi subsidi ini, golongan menengah yang menetap di kawasan bandar adalah mereka yang menerima tekanan kuat perubahan ini. Tambahan pula, ia akan menunjukkan korelasi positif terhadap peningkatan kadar kemiskinan dan jenayah. Sebagai contoh, laporan KPMG Malaysia Fraud, Bribery and Corruption Survey 2013 menunjukkan faktor jenayah tersebut yang dilakukan majoriti golongan belia adalah disebabkan oleh tabiat buruk dan tekanan kewangan peribadi

5. Bagaimana pula sekiranya pelaksanaan GST yang bercanggah dengan prinsip percukaian Islam dan zalim tetap akan berlaku pada tahun 2015? Tentu sahaja rakyat akan terus terhimpit dalam krisis peningkatan kos hidup yang tak dapat dibayangkan.

6. Isu ini disokong dengan unjuran yang dilakukan oleh beberapa institusi penyelidikan komersial baru-baru ini seperti Standard Chartered Bank yang meramalkan kadar inflasi akan meningkat sehingga 3.4% bagi tempoh sembilan bulan pertama 2014. Bagaimana 2015 nanti?
 
7. Bidang keberhasilan utama negara ‘menangani kos sara hidup’ tidak menyinggung secara efektif pemasalahan utama ini.

8. Apa yang lebih membimbangkan, campur tangan kerajaan secara langsung dalam aktiviti bisnes peruncitan seperti mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Kedai Buku 1Malaysia (KB1M) dan Kedai Kain 1Malaysia (KK1M) akan menggugat pengusaha industri kecil dan sederhana. Walaupun ia dilihat mungkin berkesan, namun dijangka penyelesaian ini terlalu simplistik dan tidak berjangka panjang.
 
9. Rakyat masih menunggu dalam tempoh terdekat, apakah langkah drastik yang akan dilakukan oleh kerajaan untuk meringankan beban isi rumah selain daripada tindakan populis mengumumkan 11 langkah penjimatan perbelanjaan sektor kerajaan. Selagimana pemasalahan utama tidak diselesaikan, apa jua solusi yang dikemukakan hanya kosmetik dan tidak efektif.

YB Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus

 

ANUGERAH Darjah Indera Mahkota Pahang 23hb Dis

Ahad 22 hb Disember 2013 di usia 40 tahun 12 hari tahun masehi dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) bergelar Dato' oleh Tuanku Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah

Kenyataan Media 25 hb Dis 2013

Kenaikan Kos Hidup; Segera Mobilisasi Kesedaran Rakyat

Merujuk kepada dapatan kajian yang dilakukan oleh University of Malaya Centre of Democracy and Elections (UMCEDEL), sekurang-kurangnya seramai 1,676 responden telah menggeneralisasikan keresahan rakyat terhadap perkembangan kenaikan kos sara hidup yang tinggi setelah 6 bulan Pilihan Raya Umum Ke-13 berlalu. Tiga isu utama melatari kebimbangan mereka iaitu mengenai kenaikan harga minyak, peningkatan harga barang dan kenaikan tarif elektrik.  
 
Kerajaan didesak untuk fahami mesej rakyat dan segera mengambil tindakan wajar untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat. Kita menolak keputusan kabinet untuk menubuhkan makmal kajian kerana ia hanya sekadar tindakan populis dan taktik membeli masa sehingga rakyat melupakan kezaliman yang dilakukan oleh mereka.

Lagi membimbangkan tindakan kerajaan terkini yang membenarkan kenaikan tarif elektrik dan tol yang melibatkan keperluan dan kemudahan seharian rakyat serta cukai GST yang bakal diperkenalkan dan subsidi petrol yang ditarik balik pasti meletakkan rakyat dalam kesempitan kewangan.
 
Sebanyak 55% responden sama ada kaum Melayu atau Cina tidak terkesan dengan bajet melaksana janji kerajaan sebaliknya lebih merasai pengucupan nilai ringgit dalam kocek mereka. Ini satu signal yang jelas bahawa fokus rakyat adalah hidangan sepinggan nasi untuk dijamah bukannya projek mega berskala besar yang tidak mengikut prioriti kepentingan dan pembaziran.
 
Menariknya, walaupun responden menggunakan kaedah penyumberan maklumat politik daripada media konvensional kerajaan dan diseimbangkan dengan penggunaan media sosial seperti facebook dan twitter, namun sebanyak 79% daripadanya mengakui bahawa penyalahgunaan kuasa dan rasuah semakin meningkat di Malaysia. Ia bukan hanya persepsi tetapi realiti yang sedang membarah. Ketempangan ekonomi ini dilihat menatijahkan kepada bebanan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.
 
Parti Islam SeMalaysia (PAS) harus lebih agresif menuntun kecelikan politik pengundi-pengundi Melayu terutamanya dikalangan golongan belia yang berada di kelas menengah. Apa yang lebih penting ialah mengekalkan momentum kesedaran disamping meningkatkan kefahaman Islam yang sebenar bagi memaknakan kehidupan mereka.

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat 

Kenyataan Media 2hb Jan 2013 Fatwa Songsang Mufti Perlis

"Fatwa" songsang Mufti Perak

Kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani bahawa para demonstrator pada 31 dis baru-baru sebagai "bughah" dan "halal darah" amat mendukacitakan kerana ia menggambarkan kegagalan seorang mufti memahami hukum "bughah" dalam Islam. Ia satu penyelewengan fakta tentang hukum-hakam Islam yang sangat ketara dan menyesatkan.

Bughah atau pemberontak dalam Islam ialah penentangan bersenjata oleh rakyat terhadap kerajaan Islam. Ia termasuk sebagai salah satu kesalahan jenayah hudud dalam Islam. Adakah peserta perhimpunan 31 dis 2013 turun berhimpun dengan senjata menentang pemerintah? Lagipun takrifan pemberontak dalam perlembagaan Malaysia merujuk kepada melancarkan peperangan kepada Yang dipertuan Agong sebagai ketua negara bagi Malaysia. Para demonstrator hanya turun dengan tangan kosong dan membawa sepanduk menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap urus tadbir negara yang membawa kepada peningkatan kos hidup. Sangat jahil seorang mufti yang mengkategorikan mereka ini sebagai pemberontak. Lebih malang dan merbahaya apabila darah demonstrator ini pula diisytiharkan sebagai halal darah. Ia merupakan kenyataan yang sangat berbahaya yang boleh membawa kepada huru-hara kepada negara dan tergugatnya keharmonian antara rakyat. Sangat dibimbangi "fatwa" seumpama itu membawa kepada pertumpahan darah sesama rakyat. Saya menyeru seluruh pihak yang prihatin terhadap keamanan bernegara dan keharmonian bermasyarakat membantah kenyataan-kenyataan songsang seumpama ini.

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Kenyataan Media 23 hb Jan 2013 Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat Rakyat Mangsa Igauan Status Negara Maju

Kenyataan Media Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat 23 hb Januari 2014

Rakyat Mangsa Igauan Status Negara Maju

1. Impian status negara maju sepatutnya memberi nilai tambah kebahagiaan hidup kepada rakyat namun yang berlaku adalah sebaliknya. Hari ini ia menjadi igauan ngeri rakyat kerana mereka akhirnya menjadi mangsa yang mesti dikorbankan menerusi peningkatan kos sara hidup yang tidak terkawal.

2. Empat bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (September), Perdana Menteri telah mengumumkan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen. Sebulan selepas kenaikan itu (Oktober), harga pula dinaikkan sebanyak 34 sen. Menjelang tahun 2014 (Disember), Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air telah mengumumkan kenaikan tarif elektrik sebanyak 4.99 sen.

Adakah ‘pakej kenaikan’ ini munasabah? Walaupun perbahasan kenaikan ini agak kompleks, cukuplah jika ia dikatakan adalah berpunca daripada polisi rasionalisasi subsidi untuk mengurangkan beban kewangan awam demi untuk mengejar status negara maju dan berpendapatan tinggi 6 tahun lagi.

3. Kerajaan Malaysia menjadi umpama ketam mengajar anak berjalan betul. Jika kerajaan menyalahkan rakyat kerana sikap dan gaya hidup menyebabkan tekanan kewangan peribadi, maka tabiat buruk yang sama sebenarnya diwarisi daripada kerajaan.
Persoalannya, beban kewangan negara yang sedang dipikul oleh kerajaan hari ini siapakah penyebabnya? Beban kewangan awam adalah akibat daripada pengurusan kerajaan yang tidak pruden. Mengapa perbelanjaan tambahan 2012 diluluskan sebanyak RM 12.17 bilion pada pertengahan tahun lalu? Mengapa ketirisan yang didakwa oleh Menteri Kewangan Kedua dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 berjumlah RM 1.5 bilion? Mengapa hutang kerajaan konsisten meningkat dari tahun 2001 sehingga mencapai kemuncak paling tinggi pada tahun 2012 iaitu RM 502.4 bilion bersamaan 53.7% daripada KDNK? Setiap rakyat menanggung hampir RM 17,000. Mengapa indeks komposit FTSE Bursa Malaysia jatuh sebanyak 22.46 mata pada Julai lalu? Mengapa dalam tempoh yang hampir sama, nilai ringgit ditutup pada kadar paling rendah berbanding dolar Amerika sejak 3 tahun lalu?

4. Tiba masanya rakyat bangkit menolak polisi dan dasar ekonomi membebankan yang sedang dilaksana dan dipraktikakan oleh kerajaan . Pilihanraya masih jauh. Namun ia tidak bererti rakyat perlu berdiam diri dan tunduk pada apa yang berlaku. Protes sekurang-kurangnya di alam maya perlu digerakkan menggambarkan ketidakpuasan hati rakyat. Kerajaan perlu diberi peringatan oleh rakyat!!!

Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Rakyat jadi mangsa igauan status negara maju - http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/25141-rakyat-jadi-mangsa-igauan-status-negara-maju

Sunday, 19 January 2014

Nama Baik Sebagai Topeng Maksiat

Nama Baik Sebagai Topeng Maksiat

Nama memberi seribu makna. Pembantu-pembantu Syaitan di kalangan manusia memberi nama yang indah terhadap sesuatu yang jijik dan keji sebagai topeng menutup kebatilan atau mengurangkan imej negatif bagi perlakuan maksiat. Pelacur diberi nama pekerja seks. Zina dipanggil seks luar nikah. Riba disebut sebagai Faedah. Pinjaman riba kepada peniaga digelar pelaburan. Tarian bogel digelar seni. Pakaian telanjang dipanggil fesyen. Pakaian labuh wanita tetapi ketat dilabel jubah. Tudung kepala yang tidak sempurna dipanggil fesyen islam.
Kebatilan dipertahankan atas nama guaman dan keadilan. Seks songsang dihalalkan atas nama hak asasi. Bertelanjang di khalayak ramai dihalalkan atas nama hak peribadi. Aurat dibuka atas nama kesukanan. Perayaan kufur diraikan atas nama persefahaman dan perpaduan. Perundangan jenayah Islam dimandulkan atas nama belum kondusif. Motosikal dan perabot serta barang-barang elektrik dijual oleh pemilik perniagaan berasaskan pinjaman riba oleh pihak ketiga dan dihalalkan atas nama jual beli ansuran. Perjudian dihalalkan atas nama hiburan yang disediakan hadiah di pesta-pesta mainan "funfair".

Nabi bersabda: 
ليستحلن طائفة من أمتي الخمر يسمونها بغير اسمها".
Maksudnya: "Pasti nanti satu golongan daripada umatku menghalalkan arak mereka menamakannya dengan bukan namanya"

"يأتي على الناس زمان يستحلون الربا باسم البيع".
Maksudnya: "akan datang pada manusia satu zaman mereka menghalalkan riba dengan nama jual beli.

Thursday, 16 January 2014

Guru Dilarang Bertudung Perlukan Penjelasan Kementerian Pelajaran

Guru bertudung: Dewan Ulamak tuntut penjelasan kementerian - http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/24992-guru-bertudung-dewan-ulamak-tuntut-penjelasan-kementerian

DUPP Tuntut Penjelasan Segera Kementerian Pelajaran Isu Guru Wanita Diarahkan Membuka Tudung

1. DUPP menuntut penjelasan segera daripada Kementerian Pelajaran isu guru wanita Islam diarahkan membuka tudung jika ingin terus mengajar di SJKC Nan Ya di Kota Tinggi.

2. Penjelasan awal Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman sepertimana dilaporkan akhbar pada 14 jan lalu mengesahkan telah mengambil keterangan daripada empat individu berhubung isu tersebut dan siasatan kes ini telah selesai dan dihantar ke Peguam Negara bagi tindakan lanjut.

3. Perkara seumpama ini jika benar-benar berlaku melibatkan keharmonian beragama antara masyarakat Malaysia. Kelewatan memberikan penjelasan akan mengundang pelbagai persepsi negatif dan dibimbangi ada pihak yang cuba mengambil keuntungan politik dengan mempolitikkan isu seumpama ini.

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Wednesday, 15 January 2014

POLITIK BANGKANGAN DALAM ISLAM

Politik Bangkangan Dalam Islam

Oleh Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Politik merupakan satu perkataan yang merujuk kepada polisi pentadbiran dan pengurusan. Dalam konteks sebuah negara ia merupakan teknik dan kaedah pentadbiran dan pengurusan urusan kenegaraan. Politik pentadbiran negara merupakan sesuatu yang tidak dapat dipisahkan dari Islam kerana seorang Muslim terikat dengan hukum hakam dan peraturan Ilahi dalam mengurus dan mentadbir sesuatu apatah lagi sebuah negara yang akan melibatkan pengurusan kehidupan manusia di dalam pelbagai aspek kehidupan seperti sosial dan ekonomi.

Konsep ini sesuai dengan keadaan manusia sebagai “khalifah” di muka bumi Allah. Persoalan “khilafah” ini merupakan matlamat penciptaan manusia di bumi yang telah ditegaskan oleh Allah kepada para Malaikat sebelum manusia pertama dicipta. Firman Allah bermaksud : “ Dan ingatlah peristiwa tatkala mana Tuhan kamu berfirman kepada para Malaikat : Aku pasti meletakkan di muka bumi ini “khalifah”. Para Malaikat lantas bertanya(hikmahnya): Adakah kamu akan jadikan di muka bumi ini orang yang akan melakukan kerosakan di muka bumi dan menumpahkan darah? Sedangkan kami sentiasa bertasbih dengan memuji kamu dan mensucikan kamu? Allah berfirman: Aku tahu sesuatu yang kamu tidak tahu”. Al Baqarah : 30.

Imam Tobari menghuraikan maksud “khalifah” berasaskan riwayat yang disebut oleh Ibnu Mas`ud dan Ibnu `Abbas dengan makna “wakil’ dariKu untuk mewakiliKu dalam memerintah antara makhlukKu. ( Tafsir Tobari juz 1, ms 237 ). Persoalan yang timbul adakah manusia bebas untuk memerintah bumi menurut perkiraan nafsu dan akalnya yang cetek? Jawapannya : Tidak! Malah manusia terikat dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah kerana dia sendiri adalah “wakil” kepada Allah. Bolehkah seorang wakil menyalahi peraturan orang yang diwakilinya? Justeru konsep politik islam menuntut keterikatan manusia dengan hukum hakam Allah dalam mengurus dan mentadbir muka bumi ini.

Ayat di atas menjadi dalil utama para ulama untuk menegaskan kewajipan melantik seorang pemerintah yang akan ditaati untuk menjadi tempat kesepaduan suara dan melaksanakan hukum hakam pemerintahan( Tafsir Qurtubi juz 1, ms 251). Hukum kewajipan melantik pemerintah atau kerajaan ini tidak menjadi khilaf di kalangan ulama. Pemerintah ini diperlukan untuk menyelesaikan sebarang pertikaian di kalangan makhluk dan melaksanakan peraturan Allah ke atas makhluknya. Kerana itulah Allah menegaskan kewajipan taat kepada para pemerintah di dalam firmanNYa bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman!Dan taatlah kepada Allah, taatlah kepada Rasul dan Uli al-Amr (yang mempunyai hak membuat arahan) di kalangan kamu. Seterusnya jika kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara, hendaklah kamu kembali merujuk kepada Allah dan Rasulnya sekiranya kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Itulah yang terbaik dan seelok-elok tafisran”. Al-Nisa’: 59.

Imam Qurtubi menjelaskan ayat ini merupakan arahan kepada rakyat kebanyakan agar taat kepada Allah iaitu dengan melakukan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya, kemudian di tahap yang kedua taat pula kepada Rasul dalam segala arahan dan larangannya, kemudian di tahap yang ketiga taat pula kepada para pemerintah menurut pandangan jumhur ulama” ( Tafsir Qurtubi, juz 5, ms 224-225).

Ada di kalangan para ulama di antaranya Ibnu `Abbas, Hasan bin Ali, Jabir bin Abdullah, Mujahid, al- Dohak, Abu `Aliyah dan Imam Malik yang mentafsirkan makna Uli Amri dengan makna ahli al-Quran dan ahli Ilmu atau para Fuqaha dan ulama agama (Tafsir Tobari, juz 4, ms 150-152 ).

Ketaatan kepada pemerintah tidak mutlaq kerana ia terikat kepada sejauh mana para pemerintah taat kepada Allah. Justeru itu ayat di atas menyebut perkataan taat sebanyak dua kali ketika menyebut arahan ketaatan kepada Allah dan Rasul manakala perkataan “taat” tidak disebut ketika menyebut arahan taat kepada pemerintah. Ibnu Khuwaiz menyebut: “Adapun ketaatan kepada pemerintah adalah wajib dalam perkara yang mentaati Allah dan tidak wajib dalam perkara ma`siat “. Kata al-Qurtubi : “kerana itulah kami mengeluarkan fatwa bahawa para pemerintah zaman kami tidak boleh ditaati , dibantu dan diagung-agungkan ( kerana mereka melakukan ma`siat), tetapi wajib berjihad bersama mereka..” ( Tafsir Qurtubi juz 5, ms 224).

Kewajipan taat kepada pemerintah ditegaskan oleh baginda di dalam banyak hadis di antaranya: “Sesiapa mentaatiku maka dia mentaati Allah. Sesiapa mentaati pemerintahku maka dia mentaatiku. Sesiapa yang menderhaka kepada ku dia telah menderhakai Allah. Sesiapa yang menderhakai pemerintahku dia telah menderhakaiku”. Malah baginda bersabda : “ Dengar dan taatlah kamu meskipun yang memerintah kamu itu seorang hamba berkulit hitam yang kepalanya bagaikan buah anggur kering”. Ali bin Abi Tolib menyebut: “Wajib ke atas pemerintah memerintah dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila itu dilakukan wajib ke atas orang Islam mentaatinya kerana Allah memerintahkan kami mentaatinya dengan menunaikan amanah dan keadilan kemudian mengarah kami mentaati pemerintah”. ( Tafsir Qurtubi , juz 4, ms 224).

Apa yang dapat disimpulkan dari paparan di atas ialah :
1. Pemerintah wajib memerintah berdasarkan arahan dan hukum hakam Allah.
2. Apabila itu dilakukan menjadi kewajipan kepada rakyat mentaatinya.

Inilah konsep politik Islam. Bagaimanakah konsep ini boleh difahami? Seorang pemerintah diberi Bai`ah oleh rakyat untuk memerintah dunia berdasarkan kehendak Allah dan Rasul. Apabila Ba`iah ini tidak ditepati maka rakyat mempunyai hak untuk menurunkan pemerintah tersebut. Di sinilah datangnya konsep bangkangan dalam politik Islam. Kerana itulah Allah mengarahkan di akhir ayat di atas agar kembali kepada Allah dan Rasul dalam sebarang pertelingkahan.

Pemerintahan dalam Islam tegak di atas lima asas iaitu
Pertama: Penggubal Undang-undang hanyalah Allah.
Ia diungkapkan sebagai “ kedaulatan adalah milik Syara`” kerana sumber perundangan untuk segala urusan manusia yang mukallaf adalah Allah. ( Abdul Wahab Khallaf, Usul Feqah, ms 96). Ia berasaskan ayat bermaksud “tidak ada perundangan melainkan milik Allah”. Al An`aam:57, Yusuf 40, 67. Oleh kerana Allah adalah sumber maka pemerintah terikat dengan peraturan Syara`agar manusia aman dari sebarang kezaliman dan sikap bermaharajalela dengan kuasa tanpa ada yang mampu membangkang.

Kedua: Melantik seorang pemerintah adalah wajib.
Melantik lebih dari seorang adalah haram kerana ia membawa kepada perpecahan ummah dan kelemahan negara.

Ketiga: Syura di antara Imam dan rakyat adalah wajib. Ia bertujuan mengawasi para pemerintah agar tidak tersilap langkah dengan melakukan kemungkaran.

Keempat: Pemerintah sahaja berhak untuk melaksanakan peraturan dan tindak-tanduknya berasaskan kepada kepentingan rakyat.

Kelima: Pengawasan dan penilaian terhadap pemerintah adalah satu kewajipan ke atas rakyat.

Dari paparan di atas dapat difahami konsep bangkangan di dalam Islam. Bangkangan politik merupakan satu kewajipan yang mesti ditunaikan oleh rakyat untuk memastikan para pemerintah sentiasa taat kepada Allah dan Rasul. Bangkangan ini berasaskan kepada konsep Amr ma`ruf dan Nahi mungkar iaitu “mengarah melakukan kebaikan dan mencegah sebarang kemungkaran”. Para Fuqaha silam yang membicarakan politik Islam mengungkapkannya dengan istilah “ Hisbah”.

Sifat bangkangan atas asas ini merupakan sifat asas bagi umat Islam. Inilah ciri keistimewaan yang ada pada mereka hingga mereka digelar oleh Allah sebagai “ sebaik-baik ummah”. Firman Allah bermaksud : “Kamu adalah sebaik-baik ummah kerana kamu memerintahkan agar melakukan kebaikan dan melarang melakukan kemungkaran dan kamu pula beriman dengan Allah. Sekiranya ahli kitab beriman nescaya itulah yang terbaik untuk mereka. Sebahagian mereka beriman dan kebanyakan mereka itu fasiq”. Aali Imran: 110.

Bangkangan politik wajib kepada individu dan juga perkumpulan. Di antara dalil yang menunjukkan setiap individu berkewajipan berkecimpung dalam politik bangkangan ialah sabda baginda “ Sesiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya ia tidak mampu hendaklah dengan lidahnya. Sekiranya tidak mampu hendaklah dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman”.Hadis riwayat Muslim, Turmuzi, Ibnu Majah dan Ahmad.

Bangkangan politik juga dilakukan dalam bentuk perkumpulan agar memberi kekuatan suara dan pengaruh yang kuat kepada pemerintah untuk meninggalkan kemungkaran dan melakukan kebaikan. Arahan bangkangan berkumpulan disebut oleh Allah dalam firmanNya : “Dan hendaklah ada di kalangan kamu satu kumpulan yang menyeru kepada kebaikan Islam, menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah sebarang kemungkaran. Dan merekalah orang yang benar-benar berjaya”. Aali Imran : 104.

Allah telah memuji bentuk kerjasama yang ada di kalangan orang beriman dalam melakukan tugas besar ini. FirmanNya : “ Dan orang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka merupakan pembantu kepada yang lain. Mereka menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran”.al-Taubah: 71.

Allah melaknat golongan Yahudi kerana sikap mereka yang tidak menentang kemungkaran. Firman Allah : “ Dilaknat orang yang kafir dari kalangan Bani Israel menerusi lidah Nabi Dawud dan Isa bin Maryam kerana mereka telah derhaka dan mereka telah melampaui batas. Mereka tidak mencegah kemungkaran yang mereka lakukan. Amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan”. al-Maidah “ 78-79

Oleh kerana bangkangan politik dalam Islam merupakan satu tugas yang besar dan berasaskan kepada konsep amr ma`ruf dan Nahi mungkar, para ulama telah menggariskan beberapa adab yang mesti menjadi hiasan para pembangkang politik antaranya :

1. Mengikhlaskan niat untuk mencari keredhaan Allah dan menyedari bahawa bangkangan ini dilakukan demi menunaikan kewajipan ilahi.

2. Mempunyai ilmu yang boleh membezakan manakah perkara yang dilarang dan diperintah agar tidak berlaku bangkangan dalam perkara ma`ruf dan mendiamkan diri dalam perkara kemungkaran.

3. Bangkangan atas asas nasihat beragama.
Sabda baginda : “ Agama itu nasihat”. Para sahabat bertanya : untuk siapa?”. Jawab baginda : “ Untuk Allah, untuk RasulNya, untuk pemerintah Islam dan Rakyat”.

4. Bangkangan yang dibuat atas dasar kasih dan sayang kepada pemerintah Islam demi kebaikan Islam dan umatnya.

5. Sentiasa berdoa agar Allah memberi taufiq kepada para pemerintah untuk kembali bertaubat kepada Allah.

6. Memulakan dengan ungkapan yang lembut sebagaimana firman Allah kepada Musa dan Harun ketika diarahkan untuk berdakwah kepada Firaun: “ Pergilah kamu berdua kepada Firaun kerana dia amat melampaui batas. Seterusnya ucapkanlah oleh kamu berdua kata-kata yang lembut mudah-mudahan dia mengambil peringatan atau merasa takut”. Toha : 43-44,

7. Berhikmah dalam mengatur strategi.
Hikmah ertinya kebijaksanaan melakukan tindakan berasakan suasana dan situasi. Sekiranya situasi menuntut keras perlu bersikap tegas manakala jika situasi menuntut berlembut menggunakan kelembutan. Firman Allah : “Serulah kamu ke jalan Tuhan kamu dengan penuh hikmah dan nasihat yang baik”.al-Nahl :125

8. Jangan takut kepada ancaman sepertimana sabda baginda “ dan janganlah takut kepada celaan orang yang mencela”. Dan sabda baginda “Berkatalah benar meskipun ianya pahit”.

Bagi para pemerintah pula perlu berlapang dada dan beramal dengan konsep bangkangan yang telah digariskan oleh Umar al Khattab selaku khlaifah Islam yang kedua: “ Tidak ada kebaikan kepada kamu jika kamu engan nyatakan bangkangan kamu. Dan tidak ada kebaikan pada kami jika kami enggan mendengarnya”.

Kesimpulannya, POLITIK BANGKANGAN DALAM ISLAM MERUPAKAN SATU KEWAJIPAN UMMAH SEKIRANYA BERLAKU PENYELEWENGAN DI KALANGAN PEMERINTAH DENGAN MENINGGALKAN PERATURAN ALLAH DAN MELAKUKAN KEMUNGKARAN.
BANGKANGAN TIDAK BERERTI HANYA MENYERTAI PARTI PEMBANGKANG. BAHKAN IA PERLU DILAKUKAN OLEH SEMUA PIHAK SAMADA AHLI PARTI PEMERINTAH, AHLI PARTI PEMBANGKANG DAN MEREKA YANG TIDAK BERPARTI MENURUT KONSEP DEMOKRASI YANG DIAMALKAN PADA HARI INI, SEKIRANYA BERLAKU KESILAPAN DAN KESALAHAN DI PIHAK PEMERINTAH.

BANGKANGAN PULA HANYALAH DALAM BENTUK MEMBERI NASIHAT DAN TEGURAN SAMA ADA LEMBUT ATAU KERAS DAN TEGAS ATAU MENGGANTIKANNYA DENGAN PEMERINTAH LAIN DENGAN KEMAMPUAN DAN JALAN YANG ADA TANPA MENGANGKAT SENJATA MENENTANG MEREKA KERANA IA MEMBAWA PERTUMPAHAN DARAH DAN PERPECAHAN YANG DIHARAMKAN.

DALAM PERKARA KEBAIKAN DAN KETAATAN PULA WAJIB KEPADA RAKYAT MENTAATI PARA PEMERINTAH UNTUK MENJAGA PERPADUAN UMMAH.
Justeru bangkangan tidak hanya terhad kepada politik kepartian malah ia perlu mendapat perhatian setiap lapisan masyarakat dan setiap individu.

Artikel ini ditambahbaik daripada artikel asal yang disiarkan pada Friday, February 15, 2008 dalam blog Syeikh Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri: 2/10/08 - 2/17/08 - http://www.syeikh-takiri.blogspot.com/2008_02_10_archive.html?m=1#1920493432817566022

Tuesday, 14 January 2014

Menggalas Perjuangan Dakwah & Pemerintahan Nabi SAW

Perutusan Maulid Rasulillah SAW
Menggalas Perjuangan Dakwah & Pemerintahan Nabi SAW

Maulid Rasulullah saw yang selalunya diperingati pada bulan Rabi'ul sepatutnya menyedarkan umat kepada perlunya kembali kepada Aqidah, Syariat dan Akhlak Islam. 3 perkara inilah yang diperjuangkan oleh Nabi saw sepanjang hayat dakwah baginda selama 23 tahun dengan 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.

Aqidah Islam menuntut umat Islam meletakkan Allah sebagai tempat pergantungan dan syurga sebagai impian. Tidak wajar manusia diper"tuhan"kan sehingga mengenepikan perintah dan larangan Allah. Rezki bukan di tangan manusia tetapi Allah yang empunya sehingga meletakkan kita dalam ketakutan mempertegaskan hukum dan perintah Allah apabila berhadapan dengan manusia khususnya penguasa.

Syariat Islam yang diterjemahkan dalam pemerintahan Baginda saw di Madinah adalah sebaik-baik jalan penyelesaian bagi kemelut kehidupan yang sedang dirasai oleh masyarakat khususnya di Malaysia hari ini. Kemelut ekonomi dan sosial yang menggugat kebahagiaan hidup hanya dapat diselesaikan dengan dasar-dasar pemerintahan Islam yang adil yang menolak monopoli ekonomi, sistem percukaian yang zalim, ketirisan disebabkan oleh rasuah dan pemborosan perbelanjaan negara yang meletakkan negara dalam krisis kewangan sehingga menanggung hutang negara melebihi 500 Bilion. Akhirnya rakyat terpaksa dibebankan dengan penarikan subsidi petrol. Kebajikan rakyat terbela dengan sistem pemerintahan Rasulullah yang berasaskan konsep "Negara Hidayah" dan bukan Negara Jibayah cukai". Hari ini rakyat Malaysia ditekan dan ditindas dengan percukaian tinggi pada keperluan asas seperti kereta yang "merompak" pendapatan rakyat tanpa sedar. Krisis ekonomi meletakkan rakyat dalam kadar hutang isi rumah yang tinggi melebihi 500 Bilion. Apatah lagi di saat GST akan dikenakan nanti meliputi seluruh rakyat termasuk yang tidak berkemampuan. GST adalah bayaran yang perlu dibayar oleh rakyat hasil pemborosan pemerintah yang gagal menguruskan kewangan negara secara berhemah menurut sunnah Rasulillah saw.

Akhlak Islam yang ditunjuk dan disebarluaskan oleh Nabi saw sepanjang kehidupan dakwah di Mekah dan menjadi ciri keistimewaan warga Madinah di saat pemerintahan Islam sewajarnya menjadi tonggak kehidupan bersosial rakyat Malaysia. Kehidupan berkeluarga yang harmoni saling menyayangi, kejiranan yang saling bantu-membantu, masyarakat kaya yang prihatin pada golongan miskin, anak muda yang menghormati orang tua dan orang tua yang menyayangi golongan muda. Gejala rempit anak muda, zina yang berleluasa, buang bayi, jenayah yang meningkat khususnya pembunuhan dan rompakan adalah petanda kepincangan kehidupan bersosial akibat meninggalkan akhlak Rasulullah saw.

Maka marilah sempena Maulid Rasul SAW ini seluruh ummat meningkatkan azam dan tekad untuk menjadi sebahagian jaringan pejuang-pejuang yang menggalas perjuangan dakwah Nabi saw ke arah pemerintahan Islam yang adil dan membahagiakan.

YB Ustaz Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Majlis Syura Ulamak
Ahli Parlimen Kuala Nerus
12 Rabi'ul Awwal 1435H bersamaan 14hb Jan 2014

Wednesday, 1 January 2014

Wajarkah mengecam tahun masehi?

Wajarkah Mengecam Tahun Masehi Wajarkah Mengecam Penggunaan Tahun Masehi?

Tahun Hijri dirumus berdasarkan pergerakan bulan mengelilingi bumi dalam tempoh setahun. Ia lebih dikenali sebelumnya sebagai Tahun Bulan. Manakala tahun Masehi dirumus berdasarkan pergerakan antara bumi dan matahari. Ia dikenali juga sebagai Tahun Matahari. Pergerakan bulan, bumi dan matahari adalah ciptaan dan di bawah pentadbiran Allah. Hikmahnya agar manusia boleh membuat penentuan tahun. Allah berfirman bermaksud:”Dialah yang menjadikan matahri bersinar dan bulan bercahaya dan Dia menetapkan untuknya (bulan atau bulan dan matahari) beberapa kedudukan agar kamu mengetahui bilangan tahun dan pengiraan.” (Yunus: 5) Tahun Hijri dan Masehi diisyaratkan oleh Allah dalam al-Qur’an apabila bercerita tentang pemuda dalam gua yang dimatikan oleh Allah beberapa lama sebelum dihidupkan kembali. Allah berfirman: َوَلبِثُوْا فِيْ كَهْفِهِمْ ثَلاَثَ مِائَةٍ سِنِيْنَ وَازْدَادُوْا تِسْعًا Maksudnya: “Dan mereka berada dalam gua mereka selama 300 tahun dan mereka tambah lagi 9 tahun.” Menurut Ibn Kathir, 300 tahun itu sekiranya dikira menggunakan tahun Masehi, manakala 309 tahun sekiranya dikira berdasarkan tahun hijri. Tahun Masehi masyhur digunakan oleh Tahun Masehi digunakan secara meluas oleh Kerajaan Rom di zaman turunnya al-Qur’an. Manakala bulan-bulan yang dikenali kemudiannya di zaman Umar sebagai tahun hijri digunakan oleh orang-orang Arab. Justeru, al-Qur’an merujuk kepada penggunaan kedua-dua jenis calendar.Setahun berdasarkan kiraan hijri ialah 354 hari, 8 jam, 48 minit dan 36 saat. Setahun berdasarkan tahun Masehi pula ialah 365 hari 6 jam 9 minit dan 9.5 saat. Justeru, perbezaan antara setahun Hijri dan Masehi ialah lebih kurang 11 hari atau lebih tepatnya 10 hari 21 jam dan 1 minit. Dengan itu perbezaan antara 100 tahun ialah 3 tahun 24 hari 11 jam dan 6 minit. Manakala perbezaan antara 300 tahun hijri dengan Masehi ialah 9 tahun 73 hari 9 jam dan 48 minit. Sekiranya diberi pilihan antara dua jenis kalendar tentulah sebagai Muslim kita mengutamakan tahun hijri kerana banyak perlakuan ibadah adalah berdasarkan tahun hijri. Namun, ia tidak bererti kita perlu mengecam penggunaan tahun masehi. Apatah lagi, yang berlaku hari ini ialah penggunaan tahun masehi digunakan secara meluas berbanding tahun hijri. Menolaknya tentu sahaja menimbulkan kesukaran pengurusan dengan negara-negara luar yang menggunakannya. Yang perlu dibuat ialah ia digunakan seiring. Tapi yang berlaku ialah penggunaan tahun hijri hampir lenyap dalam pemikiran kita seharian. Jika ditanya hari ini berapa haribulan hijri? Kita tentu menjawab; entah..tak pasti pulak.... artikel ini ditulis oleh saya beberapa tahun lalu dan disiarkan di dalam web www.darulfuqaha.com

Qasar Solat Bagi Pemandu Bas Express

Bolehkah orang yang pekerjaan hariannya menuntut dia bermusafir melakukan solat Qasar?

Qasar solat merupakan rukhsah bagi orang yang bermusafir. Orang yang bermusafir pula berada dalam 2 keadaan sama ada bermusafir secara berkekalan atau bermusafir secara sementara. Sekiranya bermusafir secara berkekalan seumpama kenderaannya merupakan rumahnya dan bersamanya ahli keluarganya dan segsla keperluannya maka dia tidak boleh mengambil rukhshah solat Qasar. Sekiranya ia bermusafir secara tidak berkekalan walaupun ianya merupakan pekerjaan hariannya seperti pemandu bas expres maka dia boleh mengambil rukhshah solat Qasar kerana akan ada waktu dia kembali ke rumah dan menunaikan solat secara sempurna tanpa Qasar.
Bolehkah orang yang pekerjaan hariannya menuntut dia bermusafir melakukan solat Qasar?

Qasar solat merupakan rukhsah bagi orang yang bermusafir. Orang yang bermusafir pula berada dalam 2 keadaan sama ada bermusafir secara berkekalan atau bermusafir secara sementara. Sekiranya bermusafir secara berkekalan seumpama kenderaannya merupakan rumahnya dan bersamanya ahli keluarganya dan segsla keperluannya maka dia tidak boleh mengambil rukhshah solat Qasar. Sekiranya ia bermusafir secara tidak berkekalan walaupun ianya merupakan pekerjaan hariannya seperti pemandu bas expres maka dia boleh mengambil rukhshah solat Qasar kerana akan ada waktu dia kembali ke rumah dan menunaikan solat secara sempurna tanpa Qasar.

جاء فى شرح الشرقاوى على التحرير "ج 1 ص 441 " فى فقه الشافعية أنه لا يباح الفطر لمديم السفر، لأنه يؤدى إلى إسقاط الوجوب كلية ، إلا أن يقصد القضاء فى أيام أخر فى سفره . أما الذى يسافر كثيرا بحكم عمله ، وليس معه أهله فله قصر الصلاة والفطر، لأنه ستكون له أيام يقيم فيها فيقضى الصيام هذا