PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Wednesday, 15 January 2014

POLITIK BANGKANGAN DALAM ISLAM

Politik Bangkangan Dalam Islam

Oleh Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Politik merupakan satu perkataan yang merujuk kepada polisi pentadbiran dan pengurusan. Dalam konteks sebuah negara ia merupakan teknik dan kaedah pentadbiran dan pengurusan urusan kenegaraan. Politik pentadbiran negara merupakan sesuatu yang tidak dapat dipisahkan dari Islam kerana seorang Muslim terikat dengan hukum hakam dan peraturan Ilahi dalam mengurus dan mentadbir sesuatu apatah lagi sebuah negara yang akan melibatkan pengurusan kehidupan manusia di dalam pelbagai aspek kehidupan seperti sosial dan ekonomi.

Konsep ini sesuai dengan keadaan manusia sebagai “khalifah” di muka bumi Allah. Persoalan “khilafah” ini merupakan matlamat penciptaan manusia di bumi yang telah ditegaskan oleh Allah kepada para Malaikat sebelum manusia pertama dicipta. Firman Allah bermaksud : “ Dan ingatlah peristiwa tatkala mana Tuhan kamu berfirman kepada para Malaikat : Aku pasti meletakkan di muka bumi ini “khalifah”. Para Malaikat lantas bertanya(hikmahnya): Adakah kamu akan jadikan di muka bumi ini orang yang akan melakukan kerosakan di muka bumi dan menumpahkan darah? Sedangkan kami sentiasa bertasbih dengan memuji kamu dan mensucikan kamu? Allah berfirman: Aku tahu sesuatu yang kamu tidak tahu”. Al Baqarah : 30.

Imam Tobari menghuraikan maksud “khalifah” berasaskan riwayat yang disebut oleh Ibnu Mas`ud dan Ibnu `Abbas dengan makna “wakil’ dariKu untuk mewakiliKu dalam memerintah antara makhlukKu. ( Tafsir Tobari juz 1, ms 237 ). Persoalan yang timbul adakah manusia bebas untuk memerintah bumi menurut perkiraan nafsu dan akalnya yang cetek? Jawapannya : Tidak! Malah manusia terikat dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah kerana dia sendiri adalah “wakil” kepada Allah. Bolehkah seorang wakil menyalahi peraturan orang yang diwakilinya? Justeru konsep politik islam menuntut keterikatan manusia dengan hukum hakam Allah dalam mengurus dan mentadbir muka bumi ini.

Ayat di atas menjadi dalil utama para ulama untuk menegaskan kewajipan melantik seorang pemerintah yang akan ditaati untuk menjadi tempat kesepaduan suara dan melaksanakan hukum hakam pemerintahan( Tafsir Qurtubi juz 1, ms 251). Hukum kewajipan melantik pemerintah atau kerajaan ini tidak menjadi khilaf di kalangan ulama. Pemerintah ini diperlukan untuk menyelesaikan sebarang pertikaian di kalangan makhluk dan melaksanakan peraturan Allah ke atas makhluknya. Kerana itulah Allah menegaskan kewajipan taat kepada para pemerintah di dalam firmanNYa bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman!Dan taatlah kepada Allah, taatlah kepada Rasul dan Uli al-Amr (yang mempunyai hak membuat arahan) di kalangan kamu. Seterusnya jika kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara, hendaklah kamu kembali merujuk kepada Allah dan Rasulnya sekiranya kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Itulah yang terbaik dan seelok-elok tafisran”. Al-Nisa’: 59.

Imam Qurtubi menjelaskan ayat ini merupakan arahan kepada rakyat kebanyakan agar taat kepada Allah iaitu dengan melakukan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya, kemudian di tahap yang kedua taat pula kepada Rasul dalam segala arahan dan larangannya, kemudian di tahap yang ketiga taat pula kepada para pemerintah menurut pandangan jumhur ulama” ( Tafsir Qurtubi, juz 5, ms 224-225).

Ada di kalangan para ulama di antaranya Ibnu `Abbas, Hasan bin Ali, Jabir bin Abdullah, Mujahid, al- Dohak, Abu `Aliyah dan Imam Malik yang mentafsirkan makna Uli Amri dengan makna ahli al-Quran dan ahli Ilmu atau para Fuqaha dan ulama agama (Tafsir Tobari, juz 4, ms 150-152 ).

Ketaatan kepada pemerintah tidak mutlaq kerana ia terikat kepada sejauh mana para pemerintah taat kepada Allah. Justeru itu ayat di atas menyebut perkataan taat sebanyak dua kali ketika menyebut arahan ketaatan kepada Allah dan Rasul manakala perkataan “taat” tidak disebut ketika menyebut arahan taat kepada pemerintah. Ibnu Khuwaiz menyebut: “Adapun ketaatan kepada pemerintah adalah wajib dalam perkara yang mentaati Allah dan tidak wajib dalam perkara ma`siat “. Kata al-Qurtubi : “kerana itulah kami mengeluarkan fatwa bahawa para pemerintah zaman kami tidak boleh ditaati , dibantu dan diagung-agungkan ( kerana mereka melakukan ma`siat), tetapi wajib berjihad bersama mereka..” ( Tafsir Qurtubi juz 5, ms 224).

Kewajipan taat kepada pemerintah ditegaskan oleh baginda di dalam banyak hadis di antaranya: “Sesiapa mentaatiku maka dia mentaati Allah. Sesiapa mentaati pemerintahku maka dia mentaatiku. Sesiapa yang menderhaka kepada ku dia telah menderhakai Allah. Sesiapa yang menderhakai pemerintahku dia telah menderhakaiku”. Malah baginda bersabda : “ Dengar dan taatlah kamu meskipun yang memerintah kamu itu seorang hamba berkulit hitam yang kepalanya bagaikan buah anggur kering”. Ali bin Abi Tolib menyebut: “Wajib ke atas pemerintah memerintah dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila itu dilakukan wajib ke atas orang Islam mentaatinya kerana Allah memerintahkan kami mentaatinya dengan menunaikan amanah dan keadilan kemudian mengarah kami mentaati pemerintah”. ( Tafsir Qurtubi , juz 4, ms 224).

Apa yang dapat disimpulkan dari paparan di atas ialah :
1. Pemerintah wajib memerintah berdasarkan arahan dan hukum hakam Allah.
2. Apabila itu dilakukan menjadi kewajipan kepada rakyat mentaatinya.

Inilah konsep politik Islam. Bagaimanakah konsep ini boleh difahami? Seorang pemerintah diberi Bai`ah oleh rakyat untuk memerintah dunia berdasarkan kehendak Allah dan Rasul. Apabila Ba`iah ini tidak ditepati maka rakyat mempunyai hak untuk menurunkan pemerintah tersebut. Di sinilah datangnya konsep bangkangan dalam politik Islam. Kerana itulah Allah mengarahkan di akhir ayat di atas agar kembali kepada Allah dan Rasul dalam sebarang pertelingkahan.

Pemerintahan dalam Islam tegak di atas lima asas iaitu
Pertama: Penggubal Undang-undang hanyalah Allah.
Ia diungkapkan sebagai “ kedaulatan adalah milik Syara`” kerana sumber perundangan untuk segala urusan manusia yang mukallaf adalah Allah. ( Abdul Wahab Khallaf, Usul Feqah, ms 96). Ia berasaskan ayat bermaksud “tidak ada perundangan melainkan milik Allah”. Al An`aam:57, Yusuf 40, 67. Oleh kerana Allah adalah sumber maka pemerintah terikat dengan peraturan Syara`agar manusia aman dari sebarang kezaliman dan sikap bermaharajalela dengan kuasa tanpa ada yang mampu membangkang.

Kedua: Melantik seorang pemerintah adalah wajib.
Melantik lebih dari seorang adalah haram kerana ia membawa kepada perpecahan ummah dan kelemahan negara.

Ketiga: Syura di antara Imam dan rakyat adalah wajib. Ia bertujuan mengawasi para pemerintah agar tidak tersilap langkah dengan melakukan kemungkaran.

Keempat: Pemerintah sahaja berhak untuk melaksanakan peraturan dan tindak-tanduknya berasaskan kepada kepentingan rakyat.

Kelima: Pengawasan dan penilaian terhadap pemerintah adalah satu kewajipan ke atas rakyat.

Dari paparan di atas dapat difahami konsep bangkangan di dalam Islam. Bangkangan politik merupakan satu kewajipan yang mesti ditunaikan oleh rakyat untuk memastikan para pemerintah sentiasa taat kepada Allah dan Rasul. Bangkangan ini berasaskan kepada konsep Amr ma`ruf dan Nahi mungkar iaitu “mengarah melakukan kebaikan dan mencegah sebarang kemungkaran”. Para Fuqaha silam yang membicarakan politik Islam mengungkapkannya dengan istilah “ Hisbah”.

Sifat bangkangan atas asas ini merupakan sifat asas bagi umat Islam. Inilah ciri keistimewaan yang ada pada mereka hingga mereka digelar oleh Allah sebagai “ sebaik-baik ummah”. Firman Allah bermaksud : “Kamu adalah sebaik-baik ummah kerana kamu memerintahkan agar melakukan kebaikan dan melarang melakukan kemungkaran dan kamu pula beriman dengan Allah. Sekiranya ahli kitab beriman nescaya itulah yang terbaik untuk mereka. Sebahagian mereka beriman dan kebanyakan mereka itu fasiq”. Aali Imran: 110.

Bangkangan politik wajib kepada individu dan juga perkumpulan. Di antara dalil yang menunjukkan setiap individu berkewajipan berkecimpung dalam politik bangkangan ialah sabda baginda “ Sesiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya ia tidak mampu hendaklah dengan lidahnya. Sekiranya tidak mampu hendaklah dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman”.Hadis riwayat Muslim, Turmuzi, Ibnu Majah dan Ahmad.

Bangkangan politik juga dilakukan dalam bentuk perkumpulan agar memberi kekuatan suara dan pengaruh yang kuat kepada pemerintah untuk meninggalkan kemungkaran dan melakukan kebaikan. Arahan bangkangan berkumpulan disebut oleh Allah dalam firmanNya : “Dan hendaklah ada di kalangan kamu satu kumpulan yang menyeru kepada kebaikan Islam, menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah sebarang kemungkaran. Dan merekalah orang yang benar-benar berjaya”. Aali Imran : 104.

Allah telah memuji bentuk kerjasama yang ada di kalangan orang beriman dalam melakukan tugas besar ini. FirmanNya : “ Dan orang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka merupakan pembantu kepada yang lain. Mereka menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran”.al-Taubah: 71.

Allah melaknat golongan Yahudi kerana sikap mereka yang tidak menentang kemungkaran. Firman Allah : “ Dilaknat orang yang kafir dari kalangan Bani Israel menerusi lidah Nabi Dawud dan Isa bin Maryam kerana mereka telah derhaka dan mereka telah melampaui batas. Mereka tidak mencegah kemungkaran yang mereka lakukan. Amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan”. al-Maidah “ 78-79

Oleh kerana bangkangan politik dalam Islam merupakan satu tugas yang besar dan berasaskan kepada konsep amr ma`ruf dan Nahi mungkar, para ulama telah menggariskan beberapa adab yang mesti menjadi hiasan para pembangkang politik antaranya :

1. Mengikhlaskan niat untuk mencari keredhaan Allah dan menyedari bahawa bangkangan ini dilakukan demi menunaikan kewajipan ilahi.

2. Mempunyai ilmu yang boleh membezakan manakah perkara yang dilarang dan diperintah agar tidak berlaku bangkangan dalam perkara ma`ruf dan mendiamkan diri dalam perkara kemungkaran.

3. Bangkangan atas asas nasihat beragama.
Sabda baginda : “ Agama itu nasihat”. Para sahabat bertanya : untuk siapa?”. Jawab baginda : “ Untuk Allah, untuk RasulNya, untuk pemerintah Islam dan Rakyat”.

4. Bangkangan yang dibuat atas dasar kasih dan sayang kepada pemerintah Islam demi kebaikan Islam dan umatnya.

5. Sentiasa berdoa agar Allah memberi taufiq kepada para pemerintah untuk kembali bertaubat kepada Allah.

6. Memulakan dengan ungkapan yang lembut sebagaimana firman Allah kepada Musa dan Harun ketika diarahkan untuk berdakwah kepada Firaun: “ Pergilah kamu berdua kepada Firaun kerana dia amat melampaui batas. Seterusnya ucapkanlah oleh kamu berdua kata-kata yang lembut mudah-mudahan dia mengambil peringatan atau merasa takut”. Toha : 43-44,

7. Berhikmah dalam mengatur strategi.
Hikmah ertinya kebijaksanaan melakukan tindakan berasakan suasana dan situasi. Sekiranya situasi menuntut keras perlu bersikap tegas manakala jika situasi menuntut berlembut menggunakan kelembutan. Firman Allah : “Serulah kamu ke jalan Tuhan kamu dengan penuh hikmah dan nasihat yang baik”.al-Nahl :125

8. Jangan takut kepada ancaman sepertimana sabda baginda “ dan janganlah takut kepada celaan orang yang mencela”. Dan sabda baginda “Berkatalah benar meskipun ianya pahit”.

Bagi para pemerintah pula perlu berlapang dada dan beramal dengan konsep bangkangan yang telah digariskan oleh Umar al Khattab selaku khlaifah Islam yang kedua: “ Tidak ada kebaikan kepada kamu jika kamu engan nyatakan bangkangan kamu. Dan tidak ada kebaikan pada kami jika kami enggan mendengarnya”.

Kesimpulannya, POLITIK BANGKANGAN DALAM ISLAM MERUPAKAN SATU KEWAJIPAN UMMAH SEKIRANYA BERLAKU PENYELEWENGAN DI KALANGAN PEMERINTAH DENGAN MENINGGALKAN PERATURAN ALLAH DAN MELAKUKAN KEMUNGKARAN.
BANGKANGAN TIDAK BERERTI HANYA MENYERTAI PARTI PEMBANGKANG. BAHKAN IA PERLU DILAKUKAN OLEH SEMUA PIHAK SAMADA AHLI PARTI PEMERINTAH, AHLI PARTI PEMBANGKANG DAN MEREKA YANG TIDAK BERPARTI MENURUT KONSEP DEMOKRASI YANG DIAMALKAN PADA HARI INI, SEKIRANYA BERLAKU KESILAPAN DAN KESALAHAN DI PIHAK PEMERINTAH.

BANGKANGAN PULA HANYALAH DALAM BENTUK MEMBERI NASIHAT DAN TEGURAN SAMA ADA LEMBUT ATAU KERAS DAN TEGAS ATAU MENGGANTIKANNYA DENGAN PEMERINTAH LAIN DENGAN KEMAMPUAN DAN JALAN YANG ADA TANPA MENGANGKAT SENJATA MENENTANG MEREKA KERANA IA MEMBAWA PERTUMPAHAN DARAH DAN PERPECAHAN YANG DIHARAMKAN.

DALAM PERKARA KEBAIKAN DAN KETAATAN PULA WAJIB KEPADA RAKYAT MENTAATI PARA PEMERINTAH UNTUK MENJAGA PERPADUAN UMMAH.
Justeru bangkangan tidak hanya terhad kepada politik kepartian malah ia perlu mendapat perhatian setiap lapisan masyarakat dan setiap individu.

Artikel ini ditambahbaik daripada artikel asal yang disiarkan pada Friday, February 15, 2008 dalam blog Syeikh Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri: 2/10/08 - 2/17/08 - http://www.syeikh-takiri.blogspot.com/2008_02_10_archive.html?m=1#1920493432817566022

No comments:

Post a Comment