PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Monday, 13 March 2023

Adil Apabila Menuduh Rakan dan Musuh

Adil Apabila Menuduh Rakan dan Musuh

Apabila kita menuduh seseorang tertuduh di mahkamah sebagai "sakau", "penyamun" dan sebagainya, ia adalah satu kezaliman terhadap tertuduh yang belum didapati bersalah tapi tanpa rasa bersalah ia disebarkan seluas-luasnya kerana dia dianggap musuh politik. Apabila orang yang kita suka pula dituduh di mahkamah kita berteriak dan menjerit ia adalah kezaliman. Adakah zalim dan tidak itu terikat dengan suka dan benci pada seseorang?

Islam mengajar kita berlaku adil dengan berpegang pada prinsip "seseorang tidak bersalah selagi tidak dibuktikan sebaliknya".

Keadilan itu mesti ditegakkan sama ada kepada orang yang kita suka atau kita benci. Itulah prinsip Islam.

Allah mengajar kita berprinsip
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ (8)
"Wahai orang-orang beriman. Jadilah kamu orang-orang yang menegakkan (keadilan) bagi Allah, menjadi saksi-saksi dengan hak yang adil. Dan janganlah kebencian kamu terhadap satu kelompok membawa kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah. Ia lebih dekat dengan taqwa."
(Surah al-Maidah: 8)

Dulu apabila PAS bersama UMNO dalam Muafakat Nasional tiada kedengaran tuduhan sakau dan penyamun kepada rakan tertuduh. Rakan politik dipertahankan atas nama keadilan Islam. Sebaik berakhir muafakat politik, neraca dan kayu ukur keadilan telah berubah. Seolah adil dan zalim itu berlandaskan neraca seseorang itu adalah rakan atau musuh dalam politik.

Berlaku adillah pada lawan atau kawan kerana itulah prinsip Islam. Adil bukan hanya bicara di lidah tetapi perlu ditegakkan.

Dr Khairuddin Takiri
Ahad 12.3.2023

Masjid Platform Penyatuan

masjid dan surau perlu kekal menjadi platform menyatukan semua pihak yang berbeza pandangan politik selari dengan matlamat kewujudan rumah ibadat itu

https://www.sinarharian.com.my/article/248873/berita/politik/masjid-surau-bukan-tempat-promosi-politik-parti


Mutiara AMAL; Permudahkan Jangan Menyulitkan

Mutiara AMAL; Permudahkan Jangan Menyulitkan

Dasar pengurusan dalam Islam ialah berusaha memudahkan orang lain sebagaimana Hadis Nabi (saw)
يَسِّرُوا ولا تُعَسِّرُوا
"permudahkan dan jangan menyulitkan"
(Hadis riwayat Bukhari)

Permudahkan urusan manusia adalah bantuan besar kepada jiwa dan perasaan manusia lain yang memerlukan khidmat. Permudahkan itu boleh bermula dengan senyuman manis sebagai sedekah, bicara dan tutur kata yang baik diikuti dengan tindakan untuk mempermudahkan sebarang urusan sehingga jaya. 

Semuanya diberikan pahala oleh Allah. 

Dr Khairuddin Takiri
Isnin 13.3.2023

Program Lawatan Anak Muda Muslim Ke Gereja

Program Lawatan Anak Muda Muslim Ke Gereja

Saya difahamkan ada NGO yang menganjurkan program dengan mengajak anak muda Islam ke gereja. 

Kita mengalu-alukan sebarang program yang boleh membina persefahaman dan toleransi beragama dalam masyarakat. Ia boleh dianjur dan dipupuk dengan banyak cara menerusi program sosial, kebajikan dan pendidikan. 

Namun, ia tidak sesuai dilaksanakan dalam bentuk menjemput anak muslim ke gereja kerana ia boleh mendedahkan orang Islam kepada usaha dakyah ajaran kristian kepada orang Islam yang termasuk dalam Perkara 11 (1) Perlembagaan yang memperuntukkan bahawa : “Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya.”

Kita juga memperingatkan NGO-NGO yang mempromosi program sebegini dengan enakmen kesalahan jenayah Selangor sebagai contoh yang melarang sebarang usaha mendedahkan orang Islam kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan sesuatu mengenai ugama bukan Islam sama ada dengan cara mengunjungi atau mengatur perjumpaan atau menghubungi orang Islam.

ENAKMEN 1 TAHUN 1988
ENAKMEN UGAMA BUKAN ISLAM (KAWALAN PENGEMBANGAN DI KALANGAN ORANG ISLAM) 1988

Seksyen 6. Kesalahan mendekati orang Islam untuk mendedahkannya kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan sesuatu mengenai ugama bukan Islam.

(1) Seseorang adalah melakukan kesalahan jika dia---
(a) mengunjungi; atau

(b) mengatur atau berusaha mengadakan suatu perjumpaan dengan; atau

(c) dengan apa-cara lain pun menghubungi,
seorang berugama Islam bagi maksud mendedahkan orang berugama Islam itu kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan sesuatu mengenai ugama bukan Islam.

(2) Seseorang yang melakukan kesalalahan di bawah seksyen kecil (1) boleh, apabila disabitkan, dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau kedua-duanya sekali.

Sekian

Dr Khairuddin Takiri
13.3.2023