Takziah Kepada Mangsa Nahas Pesawat; Syukuri Nikmat Berkenderaan
1. Pada 21 Mac 2022, pesawat China Eastern Airlines, MU5735 membawa 132 orang telah terhempas di kawasan perbukitan di Guangxi, China. Tragedi nahas kapal terbang ini tentu sahaja menyedihkan ribuan ahli keluarga yang terlibat. Kita mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga terbabit. Rakyat Malaysia telah merasai keadaan seumpamanya sebanyak 2 kali pada tahun 2014.
2. Pada 8 Mac 2014, nasib 227 penumpang dan 12 anak kapal pesawat MAS, Boeing 777-200ER, MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing tidak diketahui sehingga kini akibat hilang tanpa jejak daripada radar ketika melintasi Laut China Selatan.
3. Pada 17 Julai 2014 pula penerbangan Malaysia Airlines Boeing-777, MH17 dari Amsterdam ke Malaysia telah ditembak jatuh di wilayah Donetsk di timur Ukraine menyebabkan kesemua 298 orang di atas kapal dari 10 buah negara terbunuh termasuk 80 orang kanak-kanak.
4. Kita berdoa agar jutaan umat manusia yang sentiasa terbang seluruh dunia untuk pelbagai urusan kehidupan diselamatkan oleh Allah daripada nahas seumpamanya.
Kita juga mengucapkan terima kasih kepada semua insan yang terlibat dalam industri pengangkutan yang sentiasa komited memastikan setiap kenderaan dalam keadaan selamat untuk bergerak membawa penumpang. Apatah lagi industri penerbangan yang tentu merisikokan nyawa jutaan penumpang ketika berada di udara.
5. Sesungguhnya apa yang berlaku mengajak kita merenung nikmat pemberian Allah Taala melibatkan kemudahan perjalanan di udara. Sesungguhnya Allah Taala yang memberi kemudahan kepada manusia untuk bergerak di angkasa. Allah Taala berfirman dalam Surah al-Mulk: 19
أَوَلَمْ يَرَوْا إِلَى الطَّيْرِ فَوْقَهُمْ صَافَّاتٍ وَيَقْبِضْنَ ۚ مَا يُمْسِكُهُنَّ إِلَّا الرَّحْمَٰنُ ۚ إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ بَصِيرٌ
"Tidakkah mereka melihat kepada burung di atas mereka sedang mengembangkan kepak dan menutupnya (kerana terbang), tiadalah yang menahannya (jatuh) melainkan Tuhan yang bersifat Rahman. Sesungguhnya Dia dengan segala sesuatu Maha melihat"
6. Kata Syeikh al-Sa'di (1889-1956) ketika mentafsirkan ayat ini dalam ( تيسير الكريم الرحمن في تفسير كلام المنان )
فإنه الذي سخر لهن الجو، وجعل أجسادهن وخلقتهن في حالة مستعدة للطيران، فمن نظر في حالة الطير واعتبر فيها، دلته على قدرة الباري، وعنايته الربانية، وأنه الواحد الأحد، الذي لا تنبغي العبادة إلا له
"Maka Dialah yang memudahkan untuk burung-burung itu terbang di udara. Dia menjadikan jasad dan kejadian mereka dalam keadaan bersedia untuk terbang. Maka sesiapa yang melihat pada keadaan terbang itu dan mengambil pengajaran, ia menunjukkan kepadanya tentang kekuasaan Maha Pencipta dan inayah pemeliharaan Rabbani dan bahawasanya Dialah yang Satu lagi Esa yang tidak layak diberikan ketaatan perhambaan melainkan kepada-Nya"
7. Justeru, menjadi kewajipan hamba untuk bersyukur sentiasa kepada-Nya di saat kemudahan tersebut dinikmati dengan mengucapkan zikir dan menitipkan doa sebagaimana sunnah Nabi saw ketika berkenderaan.
Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Nabi saw apabila telah berada di atas untanya untuk bergerak bermusafir akan bertakbir membesarkan Allah 3 kali dan mengucapkan
سبحان الذي سخَّر لنا هذا وما كُنَّا له مُقْرِنِينَ وإنَّا إلى ربِّنا لـمُنْقَلِبُون
"Maha suci Allah yang memudahkan untuk kami urusan ini dan tidaklah kami untuk urusan ini berkuasa dan sesungguhnya kami kepada Tuhan kami pasti kami kembali"
(Hadis Muslim)
8. Menurut Imam Nawawi (631-676 H/1233-1277 M) dalam Syarah Muslim, makna "Muqrinin" ( مقرنين ) dalam Hadis ini ialah tidaklah kami berkuasa menundukkannya dan menggunakannya kalaulah tidak kerana Allah yang memudahkannya.
9. Sesungguhnya kemudahan perjalanan yang dikurniakan oleh Allah mengajak manusia untuk bersyukur kepada-Nya dan menghargai pemberian-Nya. Demikianlah Allah berfirman ketika menjelaskan nikmat kapal yang belayar dan binatang ternakan yang ditunggang
لِتَسْتَوُوا عَلَىٰ ظُهُورِهِ ثُمَّ تَذْكُرُوا نِعْمَةَ رَبِّكُمْ إِذَا اسْتَوَيْتُمْ عَلَيْهِ وَتَقُولُوا سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَٰذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ (13)
"agar kamu dapat duduk menetap di atas belakang-belakangnya kemudian kamu mengingati nikmat Allah apabila kamu duduk menetap di atasnya dan kamu mengungkapkan;
Maha suci Allah yang memudahkan untuk kami urusan ini dan tidaklah kami untuk urusan ini berkuasa dan sesungguhnya kami kepada Tuhan kami pasti kami kembali"
(Surah al-Zukhruf: 13.
10. Ya Allah. Jadikanlah kami, rakyat Malaysia khususnya dikalangan hamba-Mu yang sentiasa bersyukur atas segala nikmat pemberian-Mu.
Sekian
Dr Khairuddin Takiri
Rabu 23.3.2022
Dubai, Emiriah Arab Bersatu
No comments:
Post a Comment