PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Thursday, 29 October 2020

Misi Ketamadunan Nabi Muhammad (SAW)

Misi Ketamadunan Nabi Muhammad (SAW- moga Allah berselawat dan memberikan kesejahteraan padanya) 

1. Hari ini, Khamis 12 Rabiul Awal rata-rata umat Islam memperingati tarikh kelahiran insan yang berjasa kepada tamadun dunia iaitu Muhammad, utusan Allah. Sepakat para sarjana Islam bahawa Nabi (saw) lahir pada hari Isnin pada bulan Rabiul Awal cuma tarikhnya ada perbahasan terkini menurut ilmu falak jatuh pada 9 Rabiul Awal.

2. Misi baginda (SAW) ialah kedamaian hidup manusia dan kelestarian alam sejagat menerusi pembangunan tamadun kemanusiaan pada fizikal dan spiritualnya. Damai dengan akidah, syariat dan akhlak ketuhanan yang melahirkan kehidupan yang tenang dan bahagia lagi berkasih sayang. 

3. Akidah yang dibawa oleh baginda saw menfokuskan keyakinan bahawa manusia dicipta oleh Tuhan dan dinilai segala perlakuannya di dunia untuk diberi ganjaran di alam seterusnya selepas kematian. Perhitungan syurga dan neraka, dosa dan pahala sentiasa menjadi timbangan dalam setiap tindakan. Ia melahirkan sifat integriti, ketulusan dan ketelusan yang tinggi. 

4. Baginda saw membawa Syariat ketuhanan yang mengatur tata cara kehidupan dalam aspek peribadi, kekeluargaan, kemasyarakatan, pengurusan kewangan dan ekonomi serta pentadbiran.

5. Tatacara membangunkan manusia dalam aspek pertanian dan perladangan yang menyediakan makan dan minum, aspek pembinaan dalam menyediakan kediaman dan tempat berteduh, aspek pengangkutan yang melancarkan pergerakan manusia, aspek perhubungan dan interaksi sesama manusia, aspek perniagaan yang menaungi pertukaran benda dan pemindahan pemilikan antara manusia, aspek tadbir urus yang mengatur hubungan sesama rakyat dan pemimpin, aspek keselamatan yang mengatur urusan ketenteraan dan kepolisan, aspek perundangan dan mahkamah yang menjamin keadilan manusia, semuanya dipandu oleh Syariat ketuhanan yang dibawa oleh Muhammad (SAW) 

6. Akhlak kemanusiaan yang ditunjukkan oleh Muhammad (SAW) memandu manusia untuk hidup saling berkasih sayang, bantu membantu, mengenepikan sifat keakuan, menjauhi sifat hasad dengki, umpat keji dan benci membenci.

7. Marilah kita memandu ketamadunan dunia ini dengan tatacara ketamadunan yang dibawa oleh Muhammad (SAW), insan agong yang diperakui dunia. 

Sekian

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi 

No comments:

Post a Comment