TEKS UCAPAN PERBAHASAN
RANG UNDANG-UNDANG ANTI BERITA TIDAK BENAR
Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Disampaikan di Dewan Rakyat pada 2 April 2018
AKTA ANTIBERITA TIDAK BENAR SELAMATKAN MARUAH MANUSIA
Hakikat Akhir Zaman
Nabi s.a.w. bersabda :
سَيأتي على الناسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ ، يُصَدَّقُ فيها الكَاذِبُ ، و يُكَذَّبُ فيها الصَّادِقُ ، و يُؤْتَمَنُ فيها الخَائِنُ ، وَيُخَوَّنُ فيها الأَمِينُ ، ويَنْطِقُ فيها الرُّوَيْبِضَةُ . قيل : وما الرُّوَيْبِضَةُ ؟ قال : الرجلُ التَّافَهُ ، يتكلَّمُ في أَمْرِ العَامَّةِ
“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipudaya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah. Kemudian akan berkata-katalah golongan al-Ruwaibhidhah. Baginda s.a.w. ditanya : Siapakah golongan al-Ruwaibhidah? Maka baginda s.a.w. menjawab : Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar”.
(Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.)
Melihat kepada keadaan kebenaran dan amanah yang diletakkan pada orang-orang yang bodoh dan keji lagi fasik atau al-Ruwaibhidah iaitu orang yang keji atau kurang ilmunya dan pada masa yang sama bercakap berkaitan perkara-perkara umum yang besar sedangkan dia tidak mempunyai ilmu padanya seperti yang berlaku sekarang ini, mungkin kita sedang berada di zaman yang telah diberikan petunjuknya ini oleh Nabi s.a.w.
*Tabayyun Adalah Kaedahnya*
Maka perlulah kita mempunyai cara yang betul dan berkesan untuk mencegah dan menanganinya serta menghadapinya dengan selamat.
Berkenaan hal ini, Allah s.w.t. telah memberikan petunjukNya di dalam al-Quran, menerusi surah al-Hujuurat, ayat ke-6 yang bermaksud :
_”Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”_
*Bahaya Berita Tidak Benar*
Secara ringkasnya, ayat ini diturunkan berikutan peristiwa utusan Rasulullah s.a.w., al-Walid bin Uqbah yang pulang semula kepada Nabi s.a.w. sebelum sampai ke perkampungan bani Mustaliq tanpa mengutip bayaran zakat.
Akibat salah faham terhadap sambutan bani Mustaliq terhadapnya, beliau melaporkan kepada Rasulullah s.a.w. bahawa al-Harits bin Dhirar al-Khuza’i r.a, pemimpin bani Mustaliq tidak mahu membayar zakat dan sebaliknya ingin membunuhnya.
Salah lapor al-Walid bin Uqbah kepada Rasululluh s.a.w. akibat salah faham yang berlaku itu telah mengundang kemarahan Baginda terhadap al-Harits bin Dhirar al-Khuza’i r.a dan bani Mustaliq.
Kemudian, turunlah ayat ini yang menekankan perihal menyelidiki kebenaran sesuatu berita yang diterima.
Pengajaran besar daripada kisah dan ayat ini ialah sesuatu berita tidak benar yang disebarkan tanpa usul periksa boleh menghancurkan sesebuah masyarakat terutamanya pada aspek maruahnya; iaitu imej dan nama baik mereka.
Perkara ini juga boleh dilihat menerusi kisah yang berlaku ke atas Aisyah r.a., isteri Nabi s.a.w. yang ketinggalan rombongan.
Sofwan bin al-Mu‘attal al-Sulami yang memang ditugaskan di bahagian belakang rombongan untuk mencari dan melihat apa-apa yang tercicir atau tertinggal seorang wanita ketinggalan itu dan mengenali bahawa wanita tersebut adalah Aisyah, tanpa berkata sepatah pun, Sofwan merendahkan untanya untuk dinaiki Aisyah dan beliau berjalan membuntuti unta tersebut.
Akhirnya mereka tiba ke tempat rombongan tentera Islam tadi. Apabila melihat Aisyah tiba bersama Sofwan, maka golongan munafiqin yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul melihat ini sebagai satu peluang keemasan untuk menabur fitnah jahat mereka.
Mulalah mereka membuat cerita kononnya Aisyah telah berlaku curang dengan Sofwan. Malangnya tuduhan jahat ini juga telah termakan oleh sesetengah orang Islam sendiri sehingga ada yang menjadi ‘pembawa mulut’, menyebar fitnah ini.
Peristiwa ini telah menjejaskan maruah Rasulullah s.a.w. sendiri dan isteri Baginda, dan juga memberikan tekanan kepada kehidupan berpasangan Baginda berdua dalam tempoh masa yang lama.
Peringatan Allah tentang peristiwa ini juga dirakamkan dalam ayat ke-12 daripada surah an-Nuur yang bermaksud :
_”Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata"._
Demikianlah saranan al-Quran kepada kita apabila menerima sesuatu berita. Malangnya pada hari ini, bukan sahaja orang awam, bahkan pemimpin-pemimpin politik juga apabila menerima sesuatu berita, mulalah bersangka buruk dan menjaja berita yang belum pasti kesahihannya itu sehingga mengundang tuduhan dan fitnah yang bukan-bukan.
Contoh lainnya, baru-baru ini video seorang lelaki warga emas yang didakwa meraba paha seorang penumpang wanita di dalam transit aliran ringan (LRT) tular di media sosial. Kononnya, lelaki itu meraba paha seorang wanita yang duduk di sebelahnya dan sedang tidur. Sebaik penularan itu bermula, lelaki tua ini telah dipersalahkan dan dikecam dengan bermacam-macam kata. Imej dan nama baiknya dirosakkan sehabisnya.
Mujurlah ada seorang pemuda yang mendakwa dirinya turut berada di tempat kejadian tampil menafikan lelaki warga emas itu meraba wanita tersebut.
Demikiannya nyatanya bahaya berita tidak benar dan jelaslah bahawa membuat dan menyebarkan pembohongan dan fitnah seumpama ini adalah dosa yang sangat besar. Sekalipun bebas daripada hukuman di dunia, nescaya tidak akan sesekali bebas daripada hukuman di akhirat nanti.
Oleh itu saya mengatakan bahawa Akta Antiberita Tidak Benar ini penting dan saya sangat menyokongnya.
*Undang-undang & Pelaksanaanya*
Soal kebimbangan berlaku ketempangan pada pelaksanaannya kerana wujud pelaku-pelaku yang bermasalah, tidaklah patut menjadi penghalang untuk undang-undang ini digubal dan dikuatkuasakan. Keperluan kepada undang-undang ini tetap berasas.
Menerusi PRU14 ini, ia adalah platform yang terbaik untuk menggantikan pemimpin yang tidak beramanah itu dengan pemimpin yang lebih berintegriti dan kompeten dalam menjalankan tugasan.
Pemimpin yang tidak beramanah ini pula tidak patut dikekalkan atau diberikan jawatan kerana hanya akan mendatangkan kerosakan.
Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya _“Jika amanah telah disia-siakan, tunggu saja kehancuran terjadi.”_ Ada seorang sahabat bertanya, _“bagaimana maksud amanah disia-siakan?”_ Nabi menjawab _“Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kehancuran itu.”_
*Pembuktiaan Menentukan Kebenaran, Bukan Saman*
Apa yang penting juga berkaitan penyebaran berita tidak benar atau fitnah ini ialah seseorang yang dituduh itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah selari dengan kaedah fiqh _'al-aslu bara-atu az-zimmah'_ (اَلْأَصْلُ بَرَاءَةُ الذِّمَّةِ) yang bermaksud asal setiap manusia adalah bebas daripada sebarang tanggungan.
Malangnya pada hari ini, orang yang dituduh pula yang “dipaksa” mengemukakan saman bagi membuktikan bahawa dirinya tidak bersalah. Saman pula menjadi penentu benar atau tidak sesuatu tuduhan itu.
Sedangkan Islam menuntut supaya pihak yang menuduh sepatutnya mengemukakan bukti dan selama mana tiada pembuktian dibuat, orang yang dituduh tadi bebas daripada sebarang kesalahan yang dituduh ke atasnya.
Adalah amat mengecewakan dan memeritkan apabila keadaan yang sepatutnya itu tidak berlaku dalam suasana pada hari ini.
PAS dan saya sendiri turut menjadi mangsa keadaan ini apabila dituduh menerima RM90 juta daripada 1MDB dan mendapat duit daripada UMNO. Sedangkan ia adalah pembohongan dan fitnah yang nyata.
*Saranan Al-Quran*
Sepatutnya masyarakat bersikap dengan saranan al-Quran apabila berhadapan dengan berita seperti ini bukannya dengan mengatakan atau menuntut yang bukan-bukan.
Firman Allah s.w.t. dalam surah an-Nuur, ayat ke-16 yang bermaksud :
_”Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata : Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan"._
*Penutup*
Salah satu baiah yang dibuat antara Rasulullah s.a.w. dengan para sahabat sebelum pembentukan negara Madinah ialah _“Jangan kamu datangkan berita bohong yang kamu reka-reka dalam kalangan kamu”_.
Ini menggambarkan bahawa asas penting bernegara ialah jangan buat dan sebar berita palsu. Jika ada, ia akan mengundang kerosakan yang sangat besar.
No comments:
Post a Comment