Lajnah Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
Siri Menjelaskan Kekeliruan Umat Yang Dikelirukan* (2)
*Jangan Berhujah Dengan Kalam Manusia Sekiranya Bercanggah Dengan Nas*
Oleh: Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
1. Kalam seorang individu sarjana muslim sehebat mana sekalipun ditolak sekiranya bercanggah dengan dasar-dasar Islam yang sabit dengan Nas yang jelas daripada al-Quran dan Hadis. Sepertimana kata Imam Malik: *"semua kalam manusia diterima dan ditolak melainkan bicara pemilik kubur ini (iaitu Nabi saw)."*
2. Di saat kalam itu bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah ia pasti diperbetulkan dan ditolak oleh majoriti sarjana Islam. Allah pasti menjaga agama ini daripada kegelinciran beberapa individu sarjana muslim. Nabi saw bersabda:
إِنَّ اللَّهَ لَا يَجْمَعُ أُمَّتِي عَلَى ضَلَالَةٍ ، وَيَدُ اللَّهِ مَعَ الْجَمَاعَةِ
*_"sesungguhnya Allah tidak menghimpunkan umatku atas satu kesesatan. Tangan Allah bersama jamaah"_*
(Hadis riwayat Tirmizi dan dinilai Hasan oleh al-Albaani)
Kata Imam Tirmizi; maksud "jamaah" di sini ialah sarjana Fiqh dan Hadis. Kata al-Mula Ali al-Qari; ia bermaksud ijmak dan sepakat sarjana Islam.
*INI ADALAH DASAR YANG PERLU DIFAHAMI DALAM MENILAI SETIAP PANDANGAN INDIVIDU MUSLIM*
3. Ada yang memberi alasan-alasan yang dangkal dalam menolak kewajipan menegakkan Undang-undang jenayah Islam yang sabit menerusi al-Quran dan al-Hadis dalam negara umat Islam moden.
4. Mereka beralasan: "Beri makan kepada orang yang lapar sebelum di tegakkan Hudud. Beri pekerjaan kepada penganggur sebelum ditegakkan Hudud".
5. *Perlu diingat, sekiranya kalam tersebut mahu dijadikan hujah menolak RUU 355 maka ia bukan tempatnya kerana RUU 355 tiada kaitan dengan undang-undang mencuri.*
Namun, saya mengulas juga supaya umat Islam di Malaysia tidak terkeliru dengan konsep hukuman jenayah mencuri dalam Islam.
6. Saya menyatakan: Pandangan tersebut sekiranya merujuk kepada hukuman mencuri dalam Islam maka pandangan itu *adalah pandangan yang kurang tepat dan tidak cermat* meskipun disebut oleh seorang sarjana.
7. Ketika mana kita meminta agar hukuman potong tangan terhadap pencuri tidak ditegakkan sebagaimana hukum yang sabit dengan jelas dalam al-Quran apakah hukuman yang digunakan terhadap pencuri?
8. Apakah negara-negara umat Islam termasuk negara di mana bermukimnya sarjana kontemporari tersebut tidak mempunyai undang-undang menghukum pencuri? Jawapannya; *Hukumannya ada iaitu penjara. Di setengah negara hukuman bagi pencuri boleh ke tahap penjara seumur hidup.*
Sejak puluhan tahun para pencuri mencuri di negara umat Islam dan hukumannya ialah penjara seperti mana juga Malaysia. *Pencuri tidak berkurang malah bertambah*.
9. Kenapa tidak dikatakan kepada kerajaan umat Islam; *BERI MAKAN KEPADA ORANG YANG LAPAR SEBELUM PENCURI DIPENJARAKAN KERANA MENCURI !!!! Beri pekerjaan kepada penganggur sebelum pencuri dipenjarakan.*
Atau dikatakan. *Jangan dibuat sebarang hukuman kepada kesalahan mencuri sebelum diberi makan kepada orang yang lapar dan sebelum diberi pekerjaan kepada penganggur!!! Buang segala hukuman terhadap pencuri. Jangan dihukum mereka dengan apa hukuman sekalipun.*
10. Adakah orang yang mencuri semua kerana lapar? Adakah semua orang yang mencuri itu adalah penganggur? Tidak.
*Tidak sedikit yang mencuri bukan kerana lapar tetapi kerana tamak dan tidak cukup dengan kekayaan sedia ada.*
Penjenayah yang sudah kaya kerana mencuri masih lagi terus mencuri.
Adakah mahu dikatakan kepada mereka: jangan penjarakan mereka kerana mereka lapar dan menganggur. Jangan potong tangan mereka kerana mereka lapar dan menganggur!!!
11. Adapun orang yang mencuri kerana lapar maka hukuman Hudud potong tangan tidak dijatuhkan kepada mereka ketika *perbicaraan di mahkamah* kerana berlakunya syubhat (keraguan) iaitu keraguan mencuri kerana terdesak.
Hudud tidak dikenakan kerana tidak cukup syarat. Hukuman lain boleh dikenakan selain potong tangan ketika itu oleh hakim di mahkamah.
*Inilah keindahan Islam dalam pelaksanaan.*
12. Ia pernah berlaku di zaman Umar bin al-Khattab apabila Umar tidak menjatuhkan hukuman potong tangan kepada seorang hamba milik Hatib bin Abi Balta'ah yang mencuri kerana tuannya tidak memberi makan kepadanya sehingga lapar. Lalu Umar mengenakan denda kepada Hatib selaku tuan kepada hamba sekali ganda kerugian mangsa jenayah curi dan tidak mengenakan sebarang hukuman kepada hamba yang mencuri tadi.
*Itulah KEADILAN ISLAM dalam pelaksanaan hukum.*
13. Tetapi perlu diingat. Hukuman mencuri adalah undang-undang negara di zaman Umar bin al-Khattab radiyallahu anhu sebagai Khalifah Islam. Hukuman potong tangan tidak dijatuhkan di Mahkamah Umar ketika proses penghakiman kerana tidak cukup syarat.
14. Adapun kita hari ini berhadapan situasi *hukuman mencuri dengan potong tangan tidak menjadi undang-undang negara*. Bagaimana mahu dibincangkan tentang pelaksanaannya di mahkamah? *Keindahan Islam menerusi pelaksanaan hukum jenayah Islam tidak dapat dilihat dan diperlihatkan.*
15. Namun, RUU 355 yang sedang diperjuangkan sekarang tidak melibatkan hukuman curi. Ia adalah hukuman di mahkamah sivil di bawah bidangkuasa kerajaan Persekutuan. Sedangkan RUU 355 adalah berkaitan Mahkamah Syariah.
16. Kita perjuangkan pindaan RUU 355 yang dikuatkuasakan di *Mahkamah Syariah melibatkan orang Islam sahaja* bagi *meningkatkan kadar hukuman bagi kesalahan-kesalahan Takzir kepada tidak lebih 30 tahun penjara, 100 ribu ringgit denda dan 100 sebatan*. Sekaligus ia membolehkan kadar *hukuman Minum Arak, Qazaf dan Zina dipertingkatkan selaras dengan kehendak al-Quran dan Sunnah iaitu masing-masing 40, 80 dan 100 sebatan Syarie*.
Sekian.
Rabu 15hb Februari 2017
http://www.facebook.com/drtakiri/
http://www.drtakiri.blogspot.com
No comments:
Post a Comment