PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Tuesday, 14 February 2017

*Dr Asri Sangat Keliru Tentang RUU 355*

*Dr Asri Sangat Keliru Tentang RUU 355*

Saya merasa sangat bertanggungjawab untuk menjelaskan kekeliruan sahabat saya Dr Asri tentang RUU 355.

Beliau dilaporkan oleh media hari ini berkata bahawa yang dia pertikaikan tentang RUU 355 ialah "syarat untuk menghukum. Apakah kita sudah mencukupi syarat untuk menghukum?".

Kenyataan ini menunjukkan betapa kelirunya Dr Asri dan betapa dia mengelirukan umat Islam.

*Fahami baik-baik.* RUU 355 adalah cadangan pindaan undang-undang bagi Akta 355 khususnya membolehkan tiga kesalahan jenayah Islam; Minum Arak, Qazaf dan Zina dihukum menurut al-Quran dan Sunnah iaitu masing-masing 40, 80 dan 100 rotan dan meningkatkan hukuman bagi pelbagai lagi kesalahan Takzir daripada hanya terikat kepada 3 tahun penjara, 5 ribu ringgit denda dan 6 kali sebatan kepada maksima 30 tahun penjara, 100 ribu ringgit denda dan 100 kali sebatan Syarie.

Adapun *isu pelaksanaan sama ada melibatkan syarat yang membolehkan hukuman dilaksanakan*, itu adalah prosedur melibatkan Akta atau Enakmen Keterangan untuk menjatuhkan hukuman.

Ia adalah apabila sesuatu kes dibawa ke Mahkamah Syariah nanti. Ia tidak berbangkit pada peringkat sekarang. Itu peringkat pelaksanaan di Mahkamah Syariah. Setiap undang-undang ada prosedur Keterangannya di Mahkamah. Ia dibincangkan dalam konteks Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah di negeri-negeri.

Saya menggesa sahabat saya Dr Asri *berhentilah mengelirukan umat Islam dalam isu undang-undang jenayah Islam dengan pelbagai pandangan songsang* sementelah kedudukan beliau sebagai mufti. Janganlah berdiri sebaris dengan golongan berfikiran liberal yang berusaha memandulkan sebarang usaha memperkasakan agama Allah.

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahad 12hb Februari 2017

http://www.facebook.com/drtakiri/

No comments:

Post a Comment