PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Thursday, 26 May 2016

Berdoalah Moga dikurniakan Kediaman Yang Lapang

BERDOALAH MOGA DIBERIKAN KEDIAMAN YANG LAPANG

Rumah yang lapang merupakan sebahagian daripada keperluan dan kebahagiaan hidup seseorang. Ia dijelaskan oleh Baginda saw sebagaimana Hadis riwayat Imam Ahmad daripada Nafi' bin Abdul Harith radiyallahu anhu yang dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albaani:

 ( مِنْ سَعَادَةِ الْمَرْءِ : الْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيءُ ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ

Maksudnya: "antara punca kebahagiaan seseorang ialah jiran yang baik, kenderaan yang selesa dan kediaman yang lapang".


Dalam hadis lain riwayat al-Hakim, Abu Nu'aim, Ibnu Hibban dan Tabrani daripada Sa'ad bin Abi Waqqas radiyallahu anhu yang dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albaani bahawa Nabi saw bersabda:


 أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيءُ ، وَأَرْبَعٌ مِنَ الشَّقَاوَةِ : الْجَارُ السُّوءُ ، وَالْمَرْأَةُ السُّوءُ ، وَالْمَسْكَنُ الضِّيقُ ، وَالْمَرْكَبُ السُّوءُ


Maksudnya: "Empat punca kebahagian iaitu isteri yang baik, kediaman yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa dan empat punca penderitaan iaitu jiran yang jahat, isteri yang jahat, kediaman yang sempit dan kenderaan yang teruk "

Malah Nabi saw juga mengajar untuk berdoa supaya diberikan kelapangan kediaman sebagaimana sabit dalam Hadis riwayat Tirmizi yang dinilai sebagai Hadis Hasan oleh Syeikh al-Albaani bahawa Nabi saw berdoa pada satu malam:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم دعا في ليلة وقال 
(اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي، وَوَسِّعْ لِي فِي دَارِي ، وَبَارِكْ لِي فِيمَا رَزَقْتَنِي)


Maksudnya: "Ya Allah, ampunilah untuk ku dosaku, lapangkanlah untuk ku pada kediamanku dan berkatilah untukku pada apa yang telah Engkau rezkikan kepadaku".

Berkata Syeikh Mohd Soleh al-Munjid; sesiapa yang diberi rezki mendapat perkara-perkara tersebut kehidupannya menjadi baik dan bahagia kerana ia merupakan perkara-perkara yang merehatkan badan dan juga hati dan menjadikan lebih selesa. Sesiapa yang diuji dengan isteri yang jahat, kediaman yang teruk, kenderaan yang tidak baik akan merasai kepenatan dalam kebanyakan saat-saat kehidupannya kerana sempitnya rumah akan menyempitkan dada dan merundung kesedihan serta mengganggu fikiran.

Rata-rata kediaman yang dibina untuk golongan miskin pada hari ini masih dinilai sebagai sempit dengan 3 bilik tidur yang kecil dan ruang tamu yang sempit. Ia tentu sahaja meberi kesan kepada indeks kebahagiaan rakyat miskin. Sampai masa untuk pihak berkuasa negara merangka dasar perumahan yang baru yang mensyaratkan kediaman yang lapang kepada para pemaju perumahan dengan harga yang sederhana dan berpatutan.

Disediakan oleh

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

Khamis 26 Mei 2016







No comments:

Post a Comment