PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Thursday, 26 May 2016

SEJARAH TERCIPTA; USUL PERSENDIRIAN MEMINDA AKTA 355 DIBENTANGKAN DI PARLIMEN OLEH PRESIDEN PAS

SEJARAH TERCIPTA; USUL PERSENDIRIAN MEMINDA AKTA 355 DIBENTANGKAN DI PARLIMEN OLEH PRESIDEN PAS

Oleh: Ahli Parlimen Kuala Nerus

ALHAMDULILLAH. Pada hari ini, Khamis 26 Mei 2016, Usul Persendirian oleh YB Marang, Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang berjaya dibentangkan di Dewan Rakyat setelah beberapa kali disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul di Dewan Rakyat sebelum ini. Perbahasan bagi Usul Persendirian ini pula akan dijalankan pada sesi mesyuarat Dewan Rakyat akan datang.

Namun, pada peringkat awal usaha “pembentangan usul”, ia dibantah oleh beberapa ahli parlimen DAP dan ditimbulkan persoalan oleh PAN. Ada yang beralasan ianya sebagai perkara sensitif yang memerlukan rundingan dengan rakyat. PAS menegaskan bahawa nilaian sensitif atau tidak, perlu dilakukan dalam sesi “Perbahasan Usul’ nanti dan bukan pada peringkat “Pembentangan Usul”.

Apabila alasan mereka ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana tidak mengikut peraturan mesyuarat, mereka meminta pula untuk diadakan "Undi Belah Bagi" untuk menentukan sama ada Usul Persendirian itu boleh diusulkan atau tidak, sedangkan "Undi Belah Bagi" tiada dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi peringkat pembentangan usul.

Cubaan beberapa ahli Parlimen DAP ini menimbulkan persoalan terhadap sikap mereka terhadap usaha-usaha untuk memperkasakan perundangan Islam di Malaysia khusus untuk kebaikan orang Islam selaras dengan peruntukan perlembagaan “Islam Agama Persekutuan”.

Usul Persendirian ini adalah bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355] dengan menggantikan seksyen 2 dengan seksyen berikut:

Bidang Kuasa Jenayah Mahkamah Syariah

2.       Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan".

dan memasukkan selepas seksyen 2 seksyen yang berikut:

"HUKUMAN
2A. Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang Syariah yang berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas, selain dari hukuman mati."

Akta 355 merupakan Akta bagi menentukan had bidang kuasa berkaitan hukuman jenayah Syariah yang boleh dibuat oleh Badan Perundangan Negeri, dijatuhkan, dan seterusnya dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah seluruh negara ini.

Usul Persendirian tersebut adalah bertujuan memperkasakan kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia agar lebih tinggi kedudukannya berbanding sekarang.

Ia juga bertujuan memperkasakan peruntukan undang-undang jenayah Islam dengan meningkatkan kuasa menjatuhkan hukuman bagi Mahkamah Syariah. Jika sebelumnya hukuman terhadap pesalah Syariah terikat dengan had maksima 3 tahun penjara, denda rm5000 dan 6 kali sebatan, maka dengan Usul Persendirian ini had hukuman boleh dipertingkatkan untuk selaras dengan sebahagian undang-undang jenayah Islam.

Pindaan undang-undang ini untuk perkara yang melibatkan orang Islam. Ia tidak wajar menimbulkan sebarang sensitiviti bagi orang bukan Islam. Ruang untuk perbahasan terbuka kepada ahli-ahli Parlimen bukan Islam nanti jika ada yang belum memahaminya.

PAS mengemukakan Usul ini di Dewan Rakyat sebagai satu tanggungjawab dakwah dan kewajipan memperkasakan Islam dengan  memanfaatkan kerangka demokrasi negara. Ahli-ahli Parlimen di kalangan muslim dan bukan muslim boleh menentukan sikap mereka nanti sama ada menyokong atau membangkang.

Selamat berbahas!!! Sekian.

Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

Ahli Parlimen Kuala Nerus
Khamis 26 Mei 2016



Top of Form

*PARAS HUTANG ISI RUMAH TINGGI ANCAM RAKYAT, NEGARA*

*KENYATAAN MEDIA*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

26 Mei 2016 | 19 Syaaban 1437H

*PARAS HUTANG ISI RUMAH TINGGI ANCAM RAKYAT, NEGARA*

1. Kerajaan tidak sepatutnya memandang positif paras hutang isi rumah yang mencecah 89.1% daripada KDNK semata-mata kerana peningkatan itu disokong oleh pemilikan aset yang bernilai.

2. Realiti pertambahan pendapatan isi rumah yang lembab dan tidak selari dengan peningkatan kos sara hidup menyebabkan masyarakat terus dihimpit dengan bebanan hutang yang tinggi sepatutnya diberikan perhatian yang serius oleh Kerajaan.

3. Jika ditinjau dari sudut pengurusan hutang dalam kalangan rakyat di negara ini, ia amat merisaukan. Sejumlah 148,830 atau 35.5% daripada 418,941 pelanggan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mempunyai masalah hutang, menyertai Program Pengurusan Kredit (PPK) dan hanya 9,937 kes atau 6.68% sahaja berjaya diselesaikan dengan jumlah keseluruhan RM407.9 juta.

4. Peningkatan mendadak peserta PPK kepada hampir 20,000 orang pada 2014 daripada purata 12,000 orang bagi tempoh 2008 hingga 2013 juga membuktikan semakin ramai rakyat negara ini bermasalah dengan hutang yang mereka miliki.

5. Lagi, 100,000 individu yang telah diisytiharkan muflis bagi tempoh 2010 hingga April 2015 dan sejumlah 1.25 juta peminjam PTPTN yang telah disenaraikan dalam CCRIS menunjukkan betapa tidak baiknya tahap kebolehupayaan membayar semula hutang dalam kalangan rakyat di negara ini. Jumlah yang akan diisytiharkan bankrap juga dijangkakan bakal meningkat dengan lebih mendadak.

6. Kerajaan juga harus sedar bahawa peningkatan nisbah hutang isi rumah kepada KDNK akan membawa kepada pengangguran yang makin bertambah dan pertumbuhan ekonomi yang makin perlahan khususnya dalam suasana ekonomi global yang lembab serta masalah ekonomi yang dihadapi oleh negara-negara serantau dan Malaysia pula sangat bergantung kepada aktiviti perdagangan.

7. Lebih malang lagi ialah jika hutang-hutang yang ditanggung oleh rakyat pada ketika ini terjebak dengan riba. Allah berfirman, maksudnya :

_“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu.”_

(Al-Baqarah : 275)

Sekian.

_“Beristiqamah Hingga Kemenangan”_

*DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus /_
_Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)_

Berdoalah Moga dikurniakan Kediaman Yang Lapang

BERDOALAH MOGA DIBERIKAN KEDIAMAN YANG LAPANG

Rumah yang lapang merupakan sebahagian daripada keperluan dan kebahagiaan hidup seseorang. Ia dijelaskan oleh Baginda saw sebagaimana Hadis riwayat Imam Ahmad daripada Nafi' bin Abdul Harith radiyallahu anhu yang dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albaani:

 ( مِنْ سَعَادَةِ الْمَرْءِ : الْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيءُ ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ

Maksudnya: "antara punca kebahagiaan seseorang ialah jiran yang baik, kenderaan yang selesa dan kediaman yang lapang".


Dalam hadis lain riwayat al-Hakim, Abu Nu'aim, Ibnu Hibban dan Tabrani daripada Sa'ad bin Abi Waqqas radiyallahu anhu yang dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albaani bahawa Nabi saw bersabda:


 أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيءُ ، وَأَرْبَعٌ مِنَ الشَّقَاوَةِ : الْجَارُ السُّوءُ ، وَالْمَرْأَةُ السُّوءُ ، وَالْمَسْكَنُ الضِّيقُ ، وَالْمَرْكَبُ السُّوءُ


Maksudnya: "Empat punca kebahagian iaitu isteri yang baik, kediaman yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa dan empat punca penderitaan iaitu jiran yang jahat, isteri yang jahat, kediaman yang sempit dan kenderaan yang teruk "

Malah Nabi saw juga mengajar untuk berdoa supaya diberikan kelapangan kediaman sebagaimana sabit dalam Hadis riwayat Tirmizi yang dinilai sebagai Hadis Hasan oleh Syeikh al-Albaani bahawa Nabi saw berdoa pada satu malam:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم دعا في ليلة وقال 
(اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي، وَوَسِّعْ لِي فِي دَارِي ، وَبَارِكْ لِي فِيمَا رَزَقْتَنِي)


Maksudnya: "Ya Allah, ampunilah untuk ku dosaku, lapangkanlah untuk ku pada kediamanku dan berkatilah untukku pada apa yang telah Engkau rezkikan kepadaku".

Berkata Syeikh Mohd Soleh al-Munjid; sesiapa yang diberi rezki mendapat perkara-perkara tersebut kehidupannya menjadi baik dan bahagia kerana ia merupakan perkara-perkara yang merehatkan badan dan juga hati dan menjadikan lebih selesa. Sesiapa yang diuji dengan isteri yang jahat, kediaman yang teruk, kenderaan yang tidak baik akan merasai kepenatan dalam kebanyakan saat-saat kehidupannya kerana sempitnya rumah akan menyempitkan dada dan merundung kesedihan serta mengganggu fikiran.

Rata-rata kediaman yang dibina untuk golongan miskin pada hari ini masih dinilai sebagai sempit dengan 3 bilik tidur yang kecil dan ruang tamu yang sempit. Ia tentu sahaja meberi kesan kepada indeks kebahagiaan rakyat miskin. Sampai masa untuk pihak berkuasa negara merangka dasar perumahan yang baru yang mensyaratkan kediaman yang lapang kepada para pemaju perumahan dengan harga yang sederhana dan berpatutan.

Disediakan oleh

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

Khamis 26 Mei 2016







Tuesday, 17 May 2016

Hakisan Pantai Tanjung Gelam, Kuala Nerus

Dewan Rakyat Malaysia
Pertanyaan Lisan
Isnin 16 Mei 2016

SOALAN:

Ust Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali [ Kuala Nerus ] minta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menyatakan status dan perkembangan projek mencegah hakisan pantai di Kampung Tanjung Gelam, Mengabang Telipot, Kuala Nerus.

JAWAPAN:

Tuan Yang di-Pertua,

Projek kecemasan untuk mencegah hakisan pantai di Kampung Tanjung Gelam, Mengabang Telipot, Kuala Nerus telah dilaksanakan pada 25 Februari 2016. Struktur yang dibina di kawasan tersebut adalah struktur lapis lindung batu (rock revetment) di sepanjang 700 meter. 

Status terkini kemajuan projek tersebut adalah 50% dan dijangka siap pada 23 Jun 2016.

Sekian, terima kasih. 

www.drtakiri.blogspot.com

Thursday, 5 May 2016

Media Buat Liputan Berita Dr Khairuddin Tak dibenarkan Masuk Sarawak

http://www.sinarharian.com.my/mobile/politik/pemimpin-ulama-pas-pula-dilarang-masuk-sarawak-1.517486

http://antarapos.com/am/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WnapRnZg==

Dr Khairuddin Dihalang Masuk Ke Sarawak pada Ulangtahun ke 3 Menjadi Ahli Parlimen

Saya tiba ke Kuching dari KL flight jam 4 ptg tadi dengan Airasia untuk tujuan meneruskan tugasan kempen pilihanraya. Ini kali ke 3 saya ke Kuching untuk PRN. Saya dimaklumkan oleh pegawai imigresen bertugas bahawa saya tidak dibenarkan masuk ke Sarawak. Saya bertanya; adakah peluang untuk saya merayu sekurang-kurangnya masuk dan pulang esok. Kata pegawai bertugas; kami tak ada kuasa untuk menerima rayuan. 


Saya terpaksa pulang ke KL dengan flight airasia berikutnya.
Saya akur dan memperakui hak autonomi imigresen yang diberikan oleh Perlembagaan kepada Sarawak. Dalam masa yang sama saya mengharapkan kerajaan BN memberi lebih lagi ruang untuk demokrasi dipraktikkan dalam PRN kali ini. Menyekat kemasukan ahli parlimen kecil seperti saya tidak menguntungkan imej kerajaan BN dalam pilihanraya kali ini. Ia akan menimbulkan persoalan; adakah BN menerusi PBB merasa tergugat dalam PRN kali ini?

Kepada sahabat-sahabat yang dibenarkan masuk untuk terus bertugas moga kemenangan menjadi milik PAS di 11 dun yang ditandingi.

Menariknya ia berlaku pada 5.5.2015 iaitu ulangtahun ke 3 saya menjadi Ahli Parlimen sejak PRU ke 13 pada 5.5.2013.

Dato' Dr Khairuddin Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
5hb Mei 2016 jam 5.20 ptg

Monday, 2 May 2016

Kuliah Maghrib Gong Sentul bertajuk Malapetaka Riba

Kuliah Maghrib oleh Dato' Dr Khairuddin Takiri dengan tajuk Malapetaka Riba berjalan lancar di surau Gong Sentul, Dun Bukit Tunggal pada hari Khamis 28.4.2016

Hi-Tea & Dialog di Pok Katok 22.4.16

Program Hi-Tea & Dialog Rakyat di Kg Pak Katak berjalan lancar dengan kehadiran lebih 100 orang

Santuni Bekas YB Dun Seberang Takir

Di airport Kuala Terengganu tadi ditakdirkan bertemu dengan Dato' Rasyid Ngah, mantan Wakil Rakyat Dun Seberang Takir. Beliau mewakili Seberang Takir selama 30 tahun sejak 1974 sehingga 2004. Seterusnya dilantik menjadi senator selama 6 tahun sehingga 2010. Sebekumnya ketika dalam kereta ke airport saya menyebut kepada pembantu saya; "teringat kepada Dato Rasyid Ngah yang saya temui di airport bersama isteri beliau sebulan lepas". Tiba-tiba ditakdirkan Allah bertemu beliau di airport. Saya menceritakan perkara itu kepada Dato'. Beliau bergurau sambil ketawa "itu tandanya Allah nak panjangkan lagi usia saya"

Bergambar Kenangan

Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur semalam bertembung dengan Dato' Jailani Setiausaha Politik PM di airport Kuala Terenganu dan sempat berbual beberapa isu politik terkini termasuk isu-isu di Terengganu. Sebaik turun dari flight di KLIA2  bertembung pula dengan YB Dato' Dr Johari Mat, Naib Ketua Dewan Ulamak yang juga senator negeri Kelantan dan Dr Abdul Basit Abd Rahman penceramah dan tokoh ulamak muda yang terkenal. Mereka meminta untuk bergambar kenangan.

Santuni Rakyat

Menyantuni seorang pimpinan wanita UMNO ketika kenduri di Telaga Batin semalam. Beliau meminta untuk bergambar sebagai kenangan. Bersama beliau salah seorang rakan sekolah ketika di sekolah rendah