NASIHAT
AGAMA & WASIAT IMAN
Oleh :
Dato’ Dr
Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli
Parlimen Kuala Nerus (Khamis 31 hb Mac 2016)
PENDERAAN
KANAK-KANAK APABILA HILANG KETENANGAN, KASIH SAYANG DAN KASIHAN BELAS
1.
Kes penderaan kanak-kanak merupakan antara fenomena jenayah
keluarga yang semakin meningkat. Statistik
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dipetik oleh
sebuah laporan akhbar menunjukkan peningkatan kes penderaan kanak-kanak daripada
2010 iaitu sebanyak 3,257 kes, 3,428 kes (2011), 3,831 kes (2012), dan 4,119
kes pada 2013.
2.
Kes jenayah ini berlaku apabila hilang atau menipis 3
unsur kehidupan berkeluarga iaitu ketenangan (sakinah), kasih sayang (mawaddah)
dan kasihan belas (rahmah).
3.
Allah berfirman:
وَمِنْ
آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا
وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ
يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda (kekuasaan-Nya)
ialah Dia menciptakan untuk kamu daripada jenis kamu sendiri pasangan-pasangan,
supaya kamu bersenang hati dengannya, dan Dia menjadikan antara kamu perasaan
kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah). Sesungguhnya yang demikian
itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi
orang-orang yang berfikir.
4.
Antara matlamat pembinaan sesebuah keluarga ialah bagi
melahirkan anggota masyarakat yang mempunyai 3 ciri dan sifat yang menjadi anak
kunci kepada kebahagiaan hidup iaitu ketenangan (sakinah), kasih sayang (mawaddah)
dan kasihan belas (rahmah). Apabila ketenangan, perasaan
kasih sayang dan perasaan kasihan belas semakin menipis maka lahirlah pelbagai
permasalahan dalam sesebuah institusi keluarga.
5.
Ketenangan hidup berkeluarga boleh dinikmati apabila 4
asas utama berkeluarga dapat ditunaikan iaitu pasangan yang baik dan soleh, jiran
yang soleh dan baik, kediaman yang selesa dan kenderaan yang baik. Ia diisyaratkan
oleh sabda baginda saw:
أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ
الصَّالِحَةُ ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَبُ
الهنيء
Maksudnya: “Empat
sumber kebahagian iaitu isteri yang soleh, kediaman yang lapang, jiran yang
soleh dan kenderaan yang selesa”
(Hadis
riwayat Ibnu Hibban dan Ahmad dan dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albaani)
Justeru,
menjadi antara kewajipan pemerintah untuk memberi peluang rakyat mendapat
kediaman yang selesa dengan harga mampu milik dan juga memiliki kenderaan yang
selesa dengan harga mampu milik.
6.
Pasangan dan
jiran yang tidak mempunyai akhlak dan ketrampilan yang soleh merisikokan kehidupan
berkeluarga dan kejiranan yang rosak. Persekitaran kehidupan sebegini membuka
ruang untuk berlakunya penderaan kepada kanak-kanak. Di sinilah sistem pendidikan
negara perlu diperkasakan perananannya bagi melahirkan masyarakat yang bukan
hanya mempunyai latar belakang akademik yang baik, tetapi yang lebih utama
ialah keperibadian yang baik dan mulia.
7.
Begitu juga dengan jawatankuasa di peringkat kampong dan
taman perumahan serta institusi masyarakat seperti surau dan masjid perlu
berfungsi untuk membentuk persekitaran kejiranan yang baik, prihatin dan penuh
dengan kasih dan sayang.
8.
Sifat kasih dan sayang serta kasihan belas perlu
sentiasa dipupuk dalam kehidupan bermasyarakat. Syariat dan akhlak Islam
menampilkan pelbagai praktik yang boleh memupuk kedua-dua perasaan tersebut.
Antaranya menerusi amalan mengucup anak-anak kecil sebagaimana yang ditunjukkan
oleh baginda saw, menyebarkan amalan memberi salam meskipun kepada kanak-kanak,
ziarah menziarahi, melunaskan jemputan kenduri, menziarahi kematian, mendidik
sifat bersabar, dan tidak mudah marah serta bertoleransi yang tinggi.
Sekian.
No comments:
Post a Comment