PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Thursday, 19 November 2015

PERCUKAIAN TIDAK PATUH SYARIAH : PUNCA PENDAPATAN BERKURANG, TINDAS GOLONGAN MISKIN

Bicara Bajet 2016 [ Siri 5 - Akhir ]

PERCUKAIAN TIDAK PATUH SYARIAH : PUNCA PENDAPATAN BERKURANG, TINDAS GOLONGAN MISKIN

[ Rujuk : http://harakahdaily.net/index.php/headline/38529-cukai-berdasar-pendapatan-bukan-perbelanjaan ]

Oleh :
Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

1. Bajet 2016 mengunjuran kutipan GST ialah sebanyak RM39 bilion pada 2016 iaitu pertambahan sebanyak RM12 bilion berbanding pada 2015.

2. Malangnya sistem percukaian yang tidak patuh syariah ini dianggap sebagai penyelamat kepada negara daripada berhadapan dengan peningkatan defisit sehingga 4.8% jika masih diteruskan dengan SST. Ungkapan “Nasib baik ada GST!” oleh YAB Perdana Menteri adalah amat tidak wajar untuk disebut oleh orang-orang yang beriman.

3. Pada hemat saya, cukai tidak patut syariah ini menjadi asbab Allah s.w.t. menarik pendapatan halal yang diperolehi oleh Kerajaan sebelum ini menerusi dividen PETRONAS dan hasil cukai petroliam. 

4. Pada 2015, dividen PETRONAS dan hasil cukai petroliam kepada negara berjumlah RM44 bilion tetapi pada 2016, ia dianggarkan hanya berjumlah RM31.7 bilion atau penyusutan pendapatan Kerajaan lebih RM30 bilion akibat penurunan harga minyak mentah dunia.

5. Suka untuk saya mengambil kesempatan ini untuk mengulangi bahawa pendirian PAS adalah tidak bersetuju serta menolak pelaksanaan GST ini disebabkan sistem cukai ini sendiri; bukannya semata-mata faktor kesesuaian masa dan keadaan.

6. Sistem percukaian menurut Islam mestilah menepati konsep zakat yang dikutip berdasarkan pendapatan (income); bukannya perbelanjaan (expenditure). Islam juga melarang cukai dikutip daripada perbelanjaan.

7. Dengan kutipan berdasarkan pendapatan, barulah dapat dibezakan diantara golongan yang mempunyai lebihan pendapatan yang boleh dicukai dengan golongan yang tidak mempunyai lebihan pendapatan atau langsung tidak mempunyai pendapatan. Perbezaan ini tidak dapat ditentukan jika cukai dikutip daripada perbelanjaan.

8. Hujah kononnya GST bagus kerana dapat mendidik orang miskin supaya berbelanja sedikit juga adalah mengarut kerana (i) orang miskin juga layak berbelanja untuk memenuhi semua keperluan (basic needs) dirinya serta tanggungannya dan (ii) Islam menegah cukai dikutip daripada orang miskin walaupun hanya sedikit. Inilah keindahan dan keadilan syariat Islam.

9. Pelaksanaan polisi ekonomi tidak patuh syariah hanya akan membawa kepada kemusnahan ekonomi kerana adalah mustahil Allah memberkati sesuatu yang ditegah olehNya.

_____

Siri Bicara Bajet 2016 ini adalah daripada draf asal teks Ucapan Perbahasan Bajet 2016 oleh YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri, Ahli Parlimen Kuala Nerus.

No comments:

Post a Comment