PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Monday, 19 October 2015

Hubungan Walak Antara Muhajirun dan Ansar - Tinta Ulamak Siri 23

Lajnah Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

TINTA ULAMAK (Siri 23)
Selasa 7 Muharram 1437 H / 20 Oktober 2015

Hubungan Walak Antara Muhajirun dan Ansar

Allah berfirman;

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُوا أُولَٰئِكَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, berhijrah dan berjihad dengan harta-benda mereka dan jiwa-raga mereka di jalan Allah dan orang-orang yang memberikan perlindungan dan memberi bantuan; merekalah orang-orang yang saling memberikan walak kesetiaan antara satu sama lain"
Surah al-Anfal ayat 72

Huraian

1. Imam Tabari mentafsirkan ayat di atas dengan berkata; kedua-dua golongan ini iaitu Muhajirin dan Ansar merupakan pembantu dan penolong antara satu sama lain. Tangan-tangan mereka satu sahaja dalam menghadapi sesiapa yang kufur dengan Allah. Mereka adalah bersaudara antara satu sama lain bukannya dengan kaum kerabat mereka yang masih kufur.

2. Dalam ayat di atas, golongan Muhajirun dipuji oleh Allah dengan tiga sifat iaitu iman, hijrah dan jihad manakala golongan Ansar selain daripada iman dipuji dengan dua sifat kepujian iaitu memberi perlindungan kepada golongan Muhajirun dan menghulurkan bantuan untuk perjuangan.

3. Hakikatnya, kedua-dua golongan ini sama-sama menyumbang untuk kelangsungan dakwah Islam pada posisi dan kedudukan masing-masing.

4. Kedua-dua golongan ini diikat dengan satu pengikat namanya "Walak". Walak diterjemahkan dengan maksud "kesetiaan" dalam bahasa Melayu atau "loyalty" dalam bahasa Inggeris. Namun, dalam bahasa Arab dan bahasa al-Quran, ia memberi makna yang lebih mendalam.

5. Walak mengandungi empat maksud dan makna yang saling berhubung iaitu dekat dan rapat, kasih dan sayang, patuh dan taat atau mengikut dan menurut, dan bantuan serta perlindungan.

6. Dari sudut perkembangan makna, Walak bermula dengan hubungan dekat dan rapat antara satu sama lain, seterusnya membenihkan kasih dan sayang, berikutnya membawa kepada menurut atau patuh dan taat dan akhirnya mendorong untuk memberikan bantuan dan perlindungan.

7. Hubungan "walak" yang mengikat golongan Muhajirin dan Ansar ini menjadi kunci kemenangan Islam di awal Islam.

Sekian.

YB Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat

No comments:

Post a Comment