PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Saturday, 31 October 2015

KEMALANGAN DI LPT2 : DESAK TUBUH SURUHANJAYA SIASATAN

Kenyataan Media
Ahli Parlimen Kuala Nerus

KEMALANGAN DI LPT2 : DESAK TUBUH SURUHANJAYA SIASATAN

[ Rujuk : http://harakahdaily.net/index.php/headline/38164-kemalangan-lpt2-gesa-tubuh-suruhanjaya-siasatan ]

1. LPT2 mula beroperasi sejak Ogos 2011. Sehingga Oktober 2016, ia telah mencatatkan 1,989 kes kemalangan membabitkan 85 kematian. Kemalangan maut terbaru ialah pada 14, 18 dan 19 Oktober yang membabitkan 6, 2 dan 1 kematian masing-masing.

2. Insiden kemalangan maut yang kerap dalam tempoh kurang seminggu ini harus diberi perhatian serius dan diteliti secara mendalam bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian dan melakukan langkah pencegahan segera bagi mengelakkan ia berulang.

3. PDRM hanya menyenaraikan pemanduan pengguna seperti melebihi had laju dan mengantuk sebagai punca kemalangan disamping kerana faktor haiwan. Kementerian Kerja Raya (KKR) pula menegaskan bahawa LPT2 adalah dibina mengikut standard dan piawaian yang telah ditetapkan dan ia bukan punca kemalangan. Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga menyatakan bahawa faktor manusia adalah punca kemalangan.

4. Sebaliknya, berdasarkan pemantauan dan kajian lapangan oleh sebuah NGO iaitu GANTI mendapati bahawa tidak kurang 28 lokasi sepanjang jajajaran LPT2 dari Gemuroh ke Kijal adalah tidak sekata dan beralun serta merbahaya kepada para pengguna.

5. Selain itu, wujud juga keadaan ada kawasan tidak berpagar atau pagar rosak, pencahayaan yang tidak mencukupi, ketiadaan dan kerosakan papan tanda, garisan dan pembalikcahaya di tengah dan tepi jalan yang tidak jelas dan faktor-faktor lain.

6. Kajian bersama oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) baru-baru ini pula baru sahaja mengisytiharkan bahawa sruktur dan aspek keselamatan lebuh raya itu berada dalam keadaan baik dan menegaskan bahawa kemalangan-kemalangan yang berlaku sebelum ini tidak dipuncakan oleh faktor ini.

7. Saya berpandangan bahawa  kajian ini adalah tidak bersepadu dan tidak menyeluruh serta berkemungkinan tidak telus sepenuhnya memandangkan institusi tersebut adalah agensi dan sebahagian daripada Kerajaan serta telah diketahui pendirian mereka berhubung masalah ini sementelah lagi kajian ini dibuat dalam tempoh yang amat singkat iaitu hanya seminggu. Mustahil semua aspek telah dapat diambil kira dalam tempoh yang sesingkat itu.

8. Oleh itu, saya merasakan wujud suatu keperluan mendesak untuk menubuhan suatu suruhanjaya bagi mengenalpasti punca kemalangan; menilai keadaan jalan, kelengkapan dan persekitaran LPT2; dan seterusnya mencadangkan kepada Kerajaan dan agensi-agensi berkaitan, langkah-langkah penambahbaikan dan menangani punca-punca kemalangan di sepanjang jajaran LPT2. Malangnya, usul yang telah saya hantar pada 26 Oktober lalu telah ditolak oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada hari semalam.

Sekian.

“Membina Malaysia Sejahtera”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Jumaat, 30 Oktober 2015 | 17 Muharram 1437H

_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ketua Penerangan DUPP. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau. ::

(SIRI 1 TRANSKRIP) Ucapan Perbahasan Bajet 2016 di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri Khamis 29 Oktober 2015

(SIRI 1 TRANSKRIP)

Ucapan Perbahasan Bajet 2016 di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus
Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Khamis 29 Oktober 2015

Watch "Ucapan Perbahasan Bajet 2016 MP Kuala Nerus" on YouTube - https://youtu.be/UzOShJRThdc

MUQADDIMAH

Allah SWT berfirman,

ذَلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ  الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ
Surah Al-Baqarah ayat 2-3:

“Kitab itu tiada keraguan lagi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa, iaitu orang-orang yang beriman dengan perkara ghaib, menegakkan solat, dan sebahagian apa yang Kami rezekikan, mereka belanjakan.”

Ayat ini berada di awal surah Al-Baqarah, yang turun selepas Nabi SAW berhijrah ke Madinah, dan hijrahnya Nabi ke Madinah adalah satu Hijrah untuk membina sebuah negara, seolah gambarannya adalah ia menjelaskan dasar-dasar bernegara bagi mereka yang beriman kepada Allah.

Asasnya ialah dominasi orang-orang yang bertaqwa bagi sebuah negara, yang orang-orang bertaqwa itu pertamanya dia beriman dengan perkara ghaib, dia menegakkan Solat, yang ketiganya dari sudut harta, rezeki yang Allah taala beri, mereka membelanjakan sebahagiannya.

Ini adalah satu dasar berbelanja dalam Islam.

Hari ini kita bentang, kita bincang tentang bajet.

Bajet ialah perbentangan untuk menjelaskan hasil kerajaan dan juga cara berbelanja kerajaan.

Dan dasar berbelanja dalam Islam seperti yang saya bacakan ayat tadi ialah berbelanja sebahagian rezeki. Dan saya nampak itulah yang gagal untuk diikuti oleh kerajaan sampai hari ini, untuk 19 tahun berturut-turut membentangkan Bajet defisit.

AMBIL MAQASID TINGGALKAN SYARIAT???

Di kala mana kerajaan sedang berusaha untuk memperkenalkan Maqasid Syariah, Indeks Syariah Malaysia yang bukunya diagihkan pada minggu lepas, maka sangat wajar untuk kerajaan juga merujuk kepada cara Islam untuk kita menguruskan Bajet.

Yang saya bimbang nanti, kita hanya memperkenalkan Maqasid Syariah yang bermaksud matlamat-matlamat daripada perlaksanaan Syarak, hanya kita ambil Maqasidnya sahaja, matlamatnya kita ambil tetapi kita tinggalkan Syariat, sedangkan Maqasid tidak akan tercapai melainkan menerusi perlaksanaan Syariat itu sendiri.

DASAR PERBELANJAAN ISLAM

Allah taala menyatakan dalam banyak ayat, antaranya berbelanja,

{ وَالَّذِينَ إِذَا أَنْفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْن ذَلِكَ قَوَامًا }
Surah Al-Furqan ayat 67

Sifat orang yang baik ialah,
"bila berbelanja tidak boros dan juga tidak kedekut, tetapi pertengahan antara keduanya.”

HUTANG NEGARA

Kesan daripada berbelanja yang tidak betul ini ialah kita menanggung hutang pada hari ini.

Walaupun saya mendengar ucapan ramai rakan-rakan daripada sebelah kerajaan menjawab ataupun menegaskan bahawa hutang tidak ada masalah, yang penting ialah kita berhutang untuk perkara yang baik dan juga kita berhutang yang juga kita boleh bayar.

Persoalan yang saya nak sebut ialah adakah kita mampu bayar dan kita bayar? Kalau hutang itu kita bayar, tentulah ia makin berkurang, tetapi yang berlaku ialah ia makin bertambah.

Kita boleh melihat laporan yang dibentangkan dan buku yang diedarkan kepada kita, "Penyata Kewangan 2014", menjelaskan bahawa "hutang awam merupakan salah satu sumber yang membantu dalam menjana pembangunan negara, dalam persekitaran defisit fiskal".

Ertinya, hutang telah menjadi sumber pula kepada negara, sebabnya kerana defisit fiskal yang berlaku dan kita lihat peningkatan hutang daripada tahun 2010 RM407 billion, 2011 RM456 billion, 2012 RM501 billion, 2013 RM539 billion, dan 2014 RM582 billion, dan terakhir RM624 billion.

Peningkatan itu berlaku, kalau kita bayar hutang, sepatutnya ia berlaku penurunan, tetapi kita bayar, bayar tidak sama jumlah kita hutang, lebih sedikit, dan kita buat hutang lagi pula.

Cuba kita lihat dalam laporan Penyata Kewangan menyatakan bahawa, "aspek yang sentiasa diberi perhatian seiring dengan peningkatan jumlah hutang adalah PERTAMBAHAN KOS PINJAMAN yang perlu ditanggung oleh kerajaan".

Ini diakui sendiri.

"Kawalan dan pemantauan terhadap perbelanjaan kerana hutang sentiasa dilaksanakan".

Ertinya usaha itu ada, tetapi adakah ianya mencapai matlamat?

Cuba kita lihat perbelanjaan yang diguna yang telah dilakukan oleh kerajaan untuk membayar hutang ini.

Kita lihat sebagai contoh, carta membelanjakan hutang daripada buku yang saya sebutkan tadi juga, 2010 kita belanja kerana hutang sahaja 15 billion, 2011 17 biliion, 2012 19 billion, 2013 20 biliion, 2014 22 billion.

Ini perbelanjaan kerana hutang yang kalau kita dapat kutip cukai GST sampai 30 billion sekalipun, ini yang kita akan bayar, bayar kerana kita buat hutang.

Saya bimbang, hutang ini menjadi satu dasar kita, dasar bernegara, berhutang menjadi dasar, sedangkan konsep Islam ialah hutang itu sesuatu yang mendatang kerana kita perlukan, dan jangan kita terbelenggu dengan hutang.

Saya bacakan satu hadis, doa yang diajar oleh Nabi SAW, antaranya ialah
وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ، وَقَهْرِ الرِّجَالِ
“Aku (memohon) melindung daripada hutang yang menguasai kita" ataupun hutang keliling pinggang.

Kalau kita lihat umpamanya sebagai contoh pada tahun 2013, bayaran hutang, kita buat hutang 65 billion kita bayar hanya 42 billion, 2013 hutang 73 billion, kita bayar 38 billion sahaja, ini yang berlaku.

Sebab itulah saya mengharapkan untuk kerajaan, sesuai dengan konsep Maqasid Syariah ini untuk kita kembali membetulkan perkara yang seumpama ini pada masa akan datang.

(YAB) Pekan pernah menyebut, bahawa kerajaan pernah mengharapkan pada tahun 2020 kita akan bentangkan bajet berimbang, tetapi dengan cara perbelanjaan kerajaan ini, saya masih meragui ia akan berjaya 2020 nanti.

PINJAMAN RIBA

Dan isu yang lagi besar, yang perlu kita sebut ialah, hutang negara yang kita buat, sama ada pinjaman dalam negeri ataupun luar negeri, ia adalah pinjaman sebahagian besarnya berasaskan riba. Sedangkan Allah menyatakan;

فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ
Surah Al-Baqarah ayat 279

“Sekiranya kamu tidak mahu berhenti daripada riba, maka isytiharlah perang daripada Allah dan juga Rasul-Nya.”

Dan konsep kita ini, menerima konsep riba ini, itu yang berlaku pada 1MDB, yang berhutang cara riba dan terpaksa membayar bunga hingga 2 billion. Sampai bila kita mahu meletakkan rakyat dan negara kita dalam kemurkaan Allah SWT?

Maka saya menyeru atas nama kita hari ini mencadangkan konsep Maqasid Syariah, yang dalam bukunya, dalam muka surat 25, menyebut antara ukuran pematuhan indeks Syariah Malaysia ini adalah berkaitan ekonomi. Ini antaranya. Dan muka surat 34 menyebut antara ekonominya ialah antaranya pegangan harta negara, penjenaan ekonomi dan juga percukaian. Ini saya akan sebut kejap lagi.

Maka itu, harapan saya besar untuk kerajaan segera melihat dasar-dasar ini, dasar yang lebih Islamik, terutamanya dalam urusan kewangan melibatkan harta, melibatkan ekonomi.

AKAN BERSAMBUNG SIRI 2
# 💓 Transkrip ucapan ini diusahakan oleh Ust Izwan - Wartawan Harakah

Tuesday, 27 October 2015

Dari Dewan Rakyat; Kenapa PAS menolak GST?

Dari Dewan Rakyat; Kenapa PAS menolak GST?
Dato' Dr Khairuddin at-Takiri
Antara isu yang paling hangat dibahaskan dalam sesi perbahasan bajet yang bermula semalam di Dewan Rakyat ialah isu GST. Hal ini kerana Perdana Menteri dalam ucapa pembentangan Bajet 2016 pada Jumaat lalu menyebut nasib baik ada GST yang boleh menampung kekurangan hasil negara kerana kemerosotan harga minyak!!!
Kenapa PAS menolak GST???
Pertama, kerana system cukai GST itu sendiri. GST adalah cukai berdasarkan perbelanjaan. Islam menegaskan konsep percukaian sebagaimana difahami menerusi konsep Zakat ialah cukai mestilah berdasarkan pendapatan bukannya perbelanjaan. Di situlah kita boleh membezakan siapakah yang mempunyai lebihan pendapatan yang boleh dicukai dan siapakah yang tidak mempunyai lebihan pendapatan atau langsung tiada pendapatan.
Pendapatan yang dikenakan cukai ialah pendapatan oleh orang-orang kaya yang melebihi daripada keperluan asas kehidupan. Orang-orang miskin yang mempunyai pendapatan yang tidak cukup untuk menguruskan kos kehidupan seharian tidak dikenakan cukai.
Adapun perbelanjaan tidak patut dikenakan cukai.
Ada yang menyatakan baguslah jika berdasarkan perbelanjaan kerana orang kaya akan berbelanja banyak dan orang miskin berbelanja sedikit!
Isunya ialah Islam menegaskan orang yang miskin tidak patut dikenakan cukai walaupun sedikit!
Cukai GST dikenakan berdasarkan perbelanjaan yang tentunya tidak boleh membezakan antara yang berpendapatan lebih daripada keperluan harian atau tidak. Si miskin akan dizalimi apabila perbelanjaannya juga dikenakan cukai.
Dari Dewan Rakyat
Selasa 27hb Oktober 2015

Saturday, 24 October 2015

BAJET 2016 : RESPON AWAL SAYA

Kenyataan Media
Ahli Parlimen Kuala Nerus

BAJET 2016 : RESPON AWAL SAYA

Berikut adalah beberapa respon awal saya terhadap Bajet 2016 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak semalam di Dewan Rakyat pada Jumaat 23hb Oktober 2014:

1. Bajet 2016 dengan anggaran perbelanjaan RM267.2 bilion dan pendapatan RM225.7 bilion sekali lagi adalah bajet defisit menjadikan ia bajet defisit tahun ke 19 berturut-turut sejak 1998. Adakah kerajaan mampu mencapai bajet berimbang pada tahun 2020 sebagaimana sasaran kerajaan? Saya sangat meraguinya.

2. Rakyat juga tidak boleh terpedaya dengan bajet defisit ini kerana nanti akan disusuli lagi beberapa bajet tambahan yang akan menambahkan lagi defisit sebenar perbelanjaan kerajaan. Bajet tambahan sehingga 3 kali setahun telah menjadi amalan kerajaan akhir-akhir ini.

3. Ini belum diambil kira bajet yang tidak dilaporkan sepertimana berlaku menerusi penubuhan syarikat milik kerajaan seperti 1MDB yang berhutang sehingga RM42 bilion dengan jaminan kerajaan.

4. Sekalipun defisit fiskal dijangka menguncup kepada 3.1% pada 2016, isunya ialah bajet berasaskan perbelanjaan (expenditure-based budget) masih menjadi amalan Kerajaan sedangkan Islam mengajar supaya berbelanja mengikut kemampuan dan keperluan sebagaimana saya sentuh dalam kenyataan-kenyataan saya sebelum ini.

5. Bajet defisit akan meningkatkan hutang negara yang sudah sedia tinggi melebihi RM600 bilion. Dan ia akan diburukkan lagi dengan beberapa bajet tambahan yang sudah menjadi amalan kerajaan setiap tahun akhir-akhir ini.

6. Penyelesaian kepada bajet defisit ialah penjimatan. Namun, saya tidak melihat ianya tercerna dalam bajet kali ini.

7. Ini antara bukti tidak berlaku anjakan mentaliti dan 'political will' pada Kerajaan dalam menguruskan ekonomi dan kewangan negara.

8. Perbelanjaan mengurus sehingga 80.5% berbanding hanya 19.5% untuk pembangunan daripada jumlah perbelanjaan adalah tidak seimbang serta tidak selari dengan 'benchmark' negara-negara maju yang berada pada nisbah sekitar 60:40.



9. Peruntukkan sebanyak RM70.5 bilion atau 32.8% daripada jumlah perbelanjaan mengurus untuk emolumen pula menunjukkan sepatutnya penjawatan dalam kerajaan harus disemak semula untuk mengurangkan perbelanjaan bagi tujuan itu pada masa depan justeru dapat mengurangkan birokrasi dan meningkatkan keberkesanan perkhidmatan. Bukan untuk mengurangkan perjawatan sedia ada tetapi untuk ditingkatkan tahap kecekapannya agar tidak berlaku pertambahan perjawatan pada masa depan.

10. GST dengan unjuran kutipan sebanyak RM39 bilion pada 2016 dianggap sebagai penyelamat oleh kerajaan apabila negara berhadapan penyusutan hasil akibat penurunan harga minyak dunia. Kerajaan berkata "nasib baik ada GST"!!! Hakikatnya, jangan dilupakan isu pokok iaitu GST adalah cukai tidak patuh syariah kerana dikenakan berdasarkan perbelanjaan dan dikenakan kepada semua barang melainkan yang dikecualikan serta dikenakan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaya dan miskin. Bagi saya cukai tidak patuh syariah yang didambakan oleh kerajaan menjadi sebab untuk Allah menarik nikmat pendapatan yang halal menerusi minyak. Pelaksanaan polisi ekonomi tidak patuh syariah membawa kepada kemusnahan ekonomi kerana adalah mustahil Allah memberkati sesuatu yang ditegah olehNya.

11. Komitmen Kerajaan untuk membina sehingga 351,500 unit rumah termasuk sebanyak 20,000, 2,000 dan 2,000 unit rumah masing-masing untuk FELDA, FELCRA dan RISDA adalah suatu yang baik tujuannya dan saya secara peribadi memberikan pujian untuk itu. Namun, ia tidak menyelesaikan isu pokok harga rumah yang masih tinggi. Kerajaan memberikan potongan harga berdasarkan harga pasaran yang masih lagi didominasi oleh harga spekulasi.

12. Usaha untuk menstrukturkan semula industri perumahan dalam negara kita melibatkan kementerian, agensi dan jabatan berkenaan, pemaju dan persatuan berkaitan serta guaman mesti dilakukan. Langkah mengekang kenaikan harga hartanah juga mesti dibuat bagi menyelesaikan isu pemilikan rumah ini secara berkesan dan jangka panjang. Langkah-langkah ke arah itu tidak tercerna menerusi bajet kali ini.

13. Kegembiraan rakyat yang digula-gulakan dengan kenaikan BRIM tidak akan melupakan mereka dengan isu pokok iaitu kenaikan harga barang, kemerosotan nilai ringgit dan kemerosotan nilai berbelanja bagi pendapatan yang akan menelan kembali BRIM yang diterima. Ia juga bukan penyelesaian jangka panjang bagi isu kemerosotan ekonomi kerana ia ibarat memberi ikan dan bukannya kail.

Jika diizinkan Tuhan, saya akan memberikan komentar yang lebih lanjut dalam sesi perbahasan nanti insyallah.

Sekian.

“Membina Malaysia Sejahtera”
DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Sabtu, 24 Oktober 2015 | 11 Muharram 1437H
_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ketua Penerangan DUPP. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau. ::

Thursday, 22 October 2015

Penubuhan Jawatankuasa Penasihat Syariah dalam Pindaan Akta KWSP (2015) di Dewan Rakyat

KENYATAAN MEDIA AHLI PARLIMEN KUALA NERUS

Khamis 22hb Oktober 2015

Penubuhan Jawatankuasa Penasihat Syariah dalam Pindaan Akta KWSP (2015) di Dewan Rakyat

Sidang Dewan Rakyat pada 20, 21dan 22 Oktober membahaskan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan 2015). Antara perkara penting yang dicadangkan untuk dipinda ialah penubuhan Jawatankuasa Penasihat Syariah bagi menasihati Lembaga dan Panel Pelaburan dalam memastikan pengurusan akaun ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mematuhi prinsip Shariah, termasuk caruman, pelaburan dan dividen. Nasihat Jawatankuasa Penasihat Syariah pula adalah mengikat Lembaga dan Panel Pelaburan menurut seksyen 23D (2).

Pelaburan Haram KWSP

Selama 3 hari perbahasan saya berpeluang untuk berucap dan mencelah ketika penggulungan Timbalan Menteri terbabit. Dalam ucapan perbahasan, saya menyokong usaha pindaan ini kerana ia bakal menyelamatkan caruman orang-orang Islam daripada terlibat dengan pelaburan yang haram. Pelaburan KWSP ialah dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Instrument Pasaran Wang yang kedua-duanya berasaskan faedah Riba. Begitu juga pinjaman korporat yang sebahagiannya berasaskan faedah Riba. Pelaburan dalam Ekuiti juga ada yang tidak mematuhi Shariah.

Untuk tahun 2014 pelaburan KWSP berjumlah RM597 bilion. Sebanyak RM157 bilion (26%) dilaburkan dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia, RM13 bilion dalam Instrument Pasaran Wang, RM154 bilion (25%) dalam Pinjaman dan Bon Korporat, RM257 bilion (43%) dalam Ekuiti dan RM14 bilion dalam Hartanah.

Pencarum di kalangan muslim yang prihatin dengan hukum-hakam Islam terpaksa membersihkan Dividen yang mereka terima kerana sebahagiannya adalah daripada hasil keuntungan pelaburan yang tidak patuh Shariah.

Zakat KWSP

KWSP adalah tabung simpanan wang yang tentunya terikat dengan hukum zakat bagi wang simpanan menurut Islam namun KWSP sebagai pengurus dana sebelum ini tidak membayar zakat bagi wang tersebut.

Fatwa-fatwa yang ada oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan atau Jawatankuasa Fatwa Negeri lebih fokus kepada tanggungjawab pencarum yang tidak mempunyai kuasa penuh atau sempurna milik terhadap caruman mereka. Berdasarkan situasi itu, fatwa-fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa beberapa negeri menfatwakan bahawa pencarum tidak perlu membayar zakat melainkan apabila mengeluarkan caruman mereka daripada KWSP.

Alasan Shariahnya ialah wang caruman dalam pemilikan KWSP “tidak sempurna milik” bagi pencarum. Hal ini kerana syarat-syarat yang ditetapkan oleh KWSP untuk mengeluarkan caruman menunjukkan pencarum tidak mempunyai kuasa ke atas wang simpanan tersebut untuk dibelanjakan bagi keperluan dirinya kecuali apabila telah tiba masa yang ditetapkan atau dengan tujuan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.  Ia hanya sempurna milik apabila dikeluarkan oleh pencarum sekiranya cukup nisab. Justeru, kewajipan membayar zakat ialah apabila pencarum mengeluarkannya daripada KWSP.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 1982 dan jawatankuasa fatwa negeri seperti Selangor pada 2001 dan Johor pada 2008 dan 2012 mensyaratkan zakat dikeluarkan selepas cukup “haul” setahun wang tersebut dikeluarkan.

Tetapi fatwa terakhir oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 2006  dan Selangor pada 2007 ialah menggalakkan pencarum membayarnya sebaik dikeluarkan tanpa menunggu tempoh setahun.

Apa yang dijelaskan di atas ialah berhubung tanggungjawab pencarum di saat mereka tidak mempunyai milik penuh terhadap pengurusan wang simpanan mereka. Bagaimana pula dengan KWSP sendiri sebagai pemegang amanah yang mempunyai kuasa untuk menguruskan caruman tersebut? Jika mahu, mereka mampu bertindak bagi pihak pencarum bagi mengeluarkan zakat simpanan para pencarum yang sepatutnya dibayar.

Bayangkan sekiranya KWSP mengambil tanggungjawab membayar zakat bagi wang simpanan orang Islam yang diuruskan oleh mereka. Sekiranya diandaikan 600 bilion dana pelaburan KWSP sekarang dengan 60% nya adalah milik caruman orang Islam tentu sahaja zakat tahunan yang boleh dimanfaatkan oleh mereka yang layak untuk mendapat zakat setiap tahun menjangkau 9 bilion setahun. Zakat ini boleh digunakan untuk manfaat pencarum KWSP yang termasuk dalam Asnaf Zakat.

Jawatankuasa Syariah Perlis pernah menfatwakan pada 1 Disember 1990 bahawa KWSP bertanggungjawab mengeluarkan zakat bagi pihak pencarum Islam. Teks fatwanya ialah: “Wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti yang berkuatkuasa sekarang ini tidak diwajibkan zakat ke atas pencarumannya kerana wang tersebut bukan milik sempurna bagi pencarum seperti yang dijelaskan oleh wakil KWSP Encik Roslan bin Putih dalam perbincangan dengan ahli-ahli Jawatankuasa Syariah pada 22 Jamadil Awam 1411 bersamaan 1 Disember 1990. Oleh kerana jumlah wang tersimpan dalam KWSP adalah melebihi nisab dan mencukupi haul maka ianya tetaplah wajib zakat. Oleh itu Jawatankuasa Syariah berpendapat pihak KWSP bertanggungjawab mengeluarkan zakat bagi pihak pencarum-pencarum Islam sepertimana yang diamalkan oleh Lembaga Urusan dan Tabung Haji.”

Saya dimaklumkan oleh Timbalan Menteri terbabit dalam perbincangan di luar Dewan Rakyat bahawa tabungan KWSP tidak dikenakan cukai oleh kerajaan. Justeru, secara dasarnya tiada peruntukan untuk dikenakan zakat. Oleh itu saya mengambil peluang dalam sesi celahan penggulungan oleh Timbalan Menteri pada petang ini mencadangkan agar pindaan akta berkaitan jika perlu wajar dibuat untuk membolehkan KWSP membayar zakat. Ia bukan sahaja memudahkan urusan pencarum melibatkan tanggungjawab zakat malah memberi keuntungan kepada umat Islam khususnya pencarum sendiri yang mungkin sebahagiannya termasuk dalam kategori yang layak menerima bantuan zakat.

Sekian.

Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali

Ahli Parlimen Kuala Nerus

Monday, 19 October 2015

Hubungan Walak Antara Muhajirun dan Ansar - Tinta Ulamak Siri 23

Lajnah Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

TINTA ULAMAK (Siri 23)
Selasa 7 Muharram 1437 H / 20 Oktober 2015

Hubungan Walak Antara Muhajirun dan Ansar

Allah berfirman;

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُوا أُولَٰئِكَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, berhijrah dan berjihad dengan harta-benda mereka dan jiwa-raga mereka di jalan Allah dan orang-orang yang memberikan perlindungan dan memberi bantuan; merekalah orang-orang yang saling memberikan walak kesetiaan antara satu sama lain"
Surah al-Anfal ayat 72

Huraian

1. Imam Tabari mentafsirkan ayat di atas dengan berkata; kedua-dua golongan ini iaitu Muhajirin dan Ansar merupakan pembantu dan penolong antara satu sama lain. Tangan-tangan mereka satu sahaja dalam menghadapi sesiapa yang kufur dengan Allah. Mereka adalah bersaudara antara satu sama lain bukannya dengan kaum kerabat mereka yang masih kufur.

2. Dalam ayat di atas, golongan Muhajirun dipuji oleh Allah dengan tiga sifat iaitu iman, hijrah dan jihad manakala golongan Ansar selain daripada iman dipuji dengan dua sifat kepujian iaitu memberi perlindungan kepada golongan Muhajirun dan menghulurkan bantuan untuk perjuangan.

3. Hakikatnya, kedua-dua golongan ini sama-sama menyumbang untuk kelangsungan dakwah Islam pada posisi dan kedudukan masing-masing.

4. Kedua-dua golongan ini diikat dengan satu pengikat namanya "Walak". Walak diterjemahkan dengan maksud "kesetiaan" dalam bahasa Melayu atau "loyalty" dalam bahasa Inggeris. Namun, dalam bahasa Arab dan bahasa al-Quran, ia memberi makna yang lebih mendalam.

5. Walak mengandungi empat maksud dan makna yang saling berhubung iaitu dekat dan rapat, kasih dan sayang, patuh dan taat atau mengikut dan menurut, dan bantuan serta perlindungan.

6. Dari sudut perkembangan makna, Walak bermula dengan hubungan dekat dan rapat antara satu sama lain, seterusnya membenihkan kasih dan sayang, berikutnya membawa kepada menurut atau patuh dan taat dan akhirnya mendorong untuk memberikan bantuan dan perlindungan.

7. Hubungan "walak" yang mengikat golongan Muhajirin dan Ansar ini menjadi kunci kemenangan Islam di awal Islam.

Sekian.

YB Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat

Wednesday, 14 October 2015

Ilmuwan Agama Semakin Hilang Lalu Si Jahil Menjadi Pemimpin

Ilmuwan Agama Semakin Hilang Lalu Si Jahil Menjadi Pemimpin

Nabi saw bersabda dalam Hadis Sahih riwayat Bukhari dan Muslim

إِنَّ اللَّهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالًا فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا "
"Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu itu dengan dicabutnya daripada hamba-hamba tetapi Allah mencabut ilmu dengan mematikan Ulamak sehingga tidak ada lagi seorang Alim berilmu, orang ramai pun mengambil ketua dan pemimpin yang sangat jahil lalu mereka ditanya lantas mereka memberikan pandangan tanpa ilmu pengetahuan. Lantaran itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan".

Huraian

1. Menurut riwayat Imam Ahmad dan Tabrani hadis ini diucapkan oleh baginda saw ketika Haji Wida' beberapa bulan sebelum kewafatan baginda saw.

2. Maksud ilmu yang diangkat dalam hadis ini ialah ilmu pengetahuan tentang al-Quran dan al-Sunnah.

3. Hadis ini memperingatkan kita tentang kematian ramainya para ilmuwan yang mempunyai pengetahuan tentang Islam sebagai petanda akhir zaman. Pada satu tahap orang-orang jahil tanpa pengetahuan Islam dijadikan ketua dan pemimpin. Kesannya ialah mereka memimpin ke arah kesesatan dan kerosakan.

4. Kata Imam Nawawi dalam Syarah Muslim dan Ibnu Hajar dalam Fathul Bari; Hadis ini mengandungi peringatan agar jangan mengambil golongan jahil tidak berpengetahuan sebagai ketua.

5. Menurut Imam Nawawi lagi, maksud hadis ialah dimatikan pembawa ilmu lalu orang ramai menjadikan golongan jahil memerintah berdasarkan kejahilan lalu mereka sesat dan menyesatkan.

6. Moga kita sentiasa berusaha menambahkan ilmu pengetahuan dan tidak terlibat menjadikan golongan jahil tanpa ilmu tentang panduan wahyu sebagai pemimpin.
Sekian.

Disediakan oleh;

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

Tuesday, 13 October 2015

TOL NAIK : KERAJAAN PUNCA, JANGAN ALIH BEBAN KEPADA RAKYAT

Kenyataan Media
Ahli Parlimen Kuala Nerus


TOL NAIK : KERAJAAN PUNCA, JANGAN ALIH BEBAN KEPADA RAKYAT

1. Tindakan Kerajaan membenarkan 8 syarikat konsesi lebuh raya menaikkan kadar tol antara 20 sen hingga RM3 melibatkan 11 lebuh raya di Lembah Klang bermula Khamis ini adalah amat mengecewakan dan membebankan rakyat. [ Rujuk : http://www.bharian.com.my/node/88489 ]

2. Sedang rakyat menghadapi tekanan kewangan dengan kenaikan kos sara hidup, kejatuhan nilai Ringgit yang memberi kesan ketara kepada kuasa beli pengguna dan GST, tidak sepatutnya Kerajaan bersetuju dengan kenaikkan kadar tol ini sekalipun ia adalah tertakluk kepada ketetapan jadual berkala yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Konsesi.

3. Kenaikkan yang dikatakan sebagai "keperluan" oleh Menteri Kerja Raya kerana Kerajaan telah membayar sebanyak RM1,108.91 juta antara 2008 hingga 2013 dan RM402.99 juta bagi 2014 sebagai pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi sebenarnya adalah berpunca daripada kesilapan Kerajaan sendiri dalam memeterai Perjanjian Konsesi. [ Rujuk  http://www.nst.com.my/news/2015/10/works-ministry-explains-toll-hikes-says-it-necessary ]

4. Sepatutnya Perjanjian Konsesi itu mesti dihadkan setakat cukup menampung kos pembinaan jalan termasuk semua kemudahan dan penyelenggaran dalam tempoh jaminan serta keuntungan had maksimum; bukannya berdasarkan tempoh masa.

5. Perjanjian tersebut juga mesti ke arah pengambil alihan oleh Kerajaan sehingga ia dihapuskan dan bukannya pemilikan penuh kepada syarikat-syarikat konsesi seperti yang telah saya tegaskan sebelum ini. [ Rujuk : http://www.sinarharian.com.my/global/tol-sudah-wajar-dihapuskan-1.249470 ]

6. Saya juga telah jelaskan sebelum ini bahawa jumlah kenderaan yang meningkat pesat dan ketara saban tahun di negara ini tidak memungkinkan jumlah pengguna lebuhraya bertol merosot justeru merugikan pemegang konsesi. Sebaliknya keadaan ini menjadikannya sentiasa untung atau mengalami kerugian sifar. [ Rujuk : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35948-tol-kerajaan-aniaya-rakyat ]

7. Oleh itu, amat wajar sekali Kerajaan yang mesti menanggung kos akibat perjanjian itu dan merencana sesuatu tindakan yang boleh memberi kesan atau perubahan kepada terma Perjanjian Konsesi tersebut dengan tidak lagi membebankan rakyat.

8. Memandangkan sebahagian besar pemegang saham syarikat-syarikat konsesi adalah anak-anak syarikat milik Kerajaan, maka pengaruh dan kuasa yang dipunyai oleh Kerajaan sepatutnya menatijahkan sesuatu yang memihak kepada rakyat. Malangnya, sebaliknya yang telah berlaku. Sampai bila rakyat terpaksa menanggung beban dan terkorban akibat kesilapan Kerajaan dalam menguruskan negara ini.
Sekian.

“Beristiqamah Hingga Kemenangan”
DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Selasa, 13 Oktober 2015 | 29 Zulhijjah 1436 H
_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ketua Penerangan DUPP. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau. ::

1MDB : PM HILANG SOKONGAN ORANG KANAN, RAKYAT

Kenyataan Media
Ahli Parlimen Kuala Nerus

1MDB : PM HILANG SOKONGAN ORANG KANAN, RAKYAT

1. Sidang media Tun Dr. Mahathir Mohamed bersama 5 tokoh UMNO/BN yang lain semalam adalah bukti nyata bahawa pendirian dan sikap YAB Perdana Menteri, DS Najib Razak berhubung isu 1MDB tidak mendapat sokongan bahkan pula mendapat tentangan daripada orang kanan UMNO/BN sendiri khususnya apabila TS Muhyiddin Yasin dan DS Shafie Apdal yang masih menyandang jawatan Timbalan dan Naib Presiden UMNO turut serta majlis tersebut.

2. Saya bersetuju bahawa tindakan dengan menggunakan SOSMA 2012 ke atas Matthias Chang dan DS Khairuddin Abu Hassan adalah suatu bentuk manipulasi terhadap peruntukan undang-undang sedia ada.

3. Malangnya, amalan mempergunakan undang-undang untuk bertahan sebagai Kerajaan di negara ini sudah menjadi budaya UMNO/BN sejak sekian lama sehingga sukar untuk transformasi politik berlaku secara efektif dan komprehensif.

4. Saya serta seluruh rakyat Malaysia menyokong penuh kenyataan bersama 6 tokoh UMNO/BN ini dan mendesak agar pertuduhan ke atas DS Khairuddin Abu Hassan serta peguamnya, Matthias Chang digugurkan.

5. Saya juga amat mengalu-alukan keberanian dan ketegasan Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz untuk membongkar kebenaran di sebalik isu 1MDB ini bagi memulihkan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa yang telah terjejas teruk akibat skandal yang turut dikaitkan Perdana Menteri sendiri.

Sekian.
“Beristiqamah Hingga Kemenangan”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Selasa, 13 Oktober 2015 | 29 Zulhijjah 1436H
_____
Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ketua Penerangan DUPP. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau.

Thursday, 1 October 2015

Jangan Menyibukkan Diri Dengan Aib Manusia

RENUNGAN AWAL PAGI

Jangan Menyibukkan Diri Dengan Aib Manusia
Anas bin Malik radiyallahu anhu meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda:
" طُوبى لمنْ شَغَلَهُ عَيبُه عن عُيُوبِ النّاسِ"
أخرجه البَزّارُ بإسنَادٍ حَسن. ورواه أحمد والطبراني وابنُ حِبّان والحاكم

"Berbahagialah sesiapa yang keaiban dirinya 
menyibukkan dirinya daripada berbicara tentang keaiban-keaiban manusia lain."
[Hadis dikeluarkan oleh Bazzar dengan isnad yang Hasan. Juga diriwayatkan oleh Ahmad, Tabrani, Ibnu Hibban dan Hakim].

HURAIAN

1. Berkata Imam al-Munaawi; Berbahagialah seseorang yang disibukkan dengan keaiban dirinya lalu tidak berbicara tentang aib orang lain. Maka sewajarnya bagi orang yang berakal menguruskan keaiban-keaiban dirinya. Sekiranya didapati ada satu keaiban dan kelemahan sibukkanlah diri dengan memperbaiki keaiban tersebut lalu merasa malu untuk mengeji orang lain.

2. Berkata al-Hakiim; saya merasakan tiada  orang yang sibuk memperkatakan aib orang lain melainkan kerana leka tentang dirinya sendiri. Sekiranya dia prihatin terhadap kelemahan dan aib dirinya tentulah dia tiada masa untuk memikirkan aib orang lain.

3. Berkata ahli ilmu, tidak sewajarnya bagi seseorang mengintai dan mencari kelemahan dan keaiban saudaranya bahkan selayaknya setiap orang lebih sibuk memikirkan kelemahan dirinya. Seorang mukmin berusaha mendidik dirinya sebelum menyibukkan dirinya mencari keaiban dan kelemahan orang lain.

4. Demikianlah juga, tiada seorang yang sempurna. Setiap orang pasti memiliki kelemahan di samping kebaikan. Timbanglah kebaikan dan kekuatan diri yang ada pada seseorang sebelum menyibukkan diri kita untuk menilai kelemahan dirinya kerana kita sendiri pun tidak sedikit kelemahannya. Apakah kita suka untuk manusia berbicara tentang segala keaiban kita yang masih disembunyikan oleh Allah?

5. Di zaman perhubungan manusia menjadi mudah dan cepat menerusi aplikasi whatsapp dan facebook tidak sedikit yang terlalu sibuk membicarakan keaiban dan kelemahan orang lain secara terbuka sehingga menimbulkan pelbagai prasangka sedangkan dia sendiri berpeluang menegur secara tertutup.

6. Berkata bijaksana Arab; "keaiban dan kelemahan seseorang dilipat simpan bukannya diriwayat dan disebarkan."

7. Biarlah aplikasi perhubungan sosial semasa memberikan pahala bukannya menambahkan dosa.

Sekian.

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Khamis 17 Zulhijjah 1436 H / 1hb Oktober 2015; jam 3 pagi Kota Bharu

# www.drtakiri.blogspot.com