RENUNGAN DARI BUMI SUCI (siri 5)
Berdoalah Wahai Para Hujjaj
1. Mereka yang diberi kemudahan oleh Allah untuk mengerjakan ibadah Haji adalah orang yang sangat bertuah. Antaranya kerana mereka berpeluang untuk berdoa kepada Allah subhanahu wa taala pada waktu, tempat dan situasi serta keadaan yang terbaik untuk berdoa.
2. Pertamanya mereka berada pada waktu yang sangat baik dan afdhal untuk berdoa iaitu waktu wukuf di Arafah sebagaimana Hadis riwayat Tirmizi, Nabi saw bersabda;
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ
Maksudnya: "Sebaik-baik doa ialah doa pada hari Arafah".
3. Keduanya, mereka di tempat yang paling afdhal untuk berdoa iaitu di dalam Masjid Haram, di dalam Hijir Ismail yang merupakan sebahagian Kaabah, di belakang Maqam Ibrahim, di tempat Tawaf, di Safa dan Marwah dan antara Safa dan Marwah ketika Saei, di Arafah, di Masy'aril Haram, di Jamrah Sughra, Wusta dan Aqabah selepas melontar.
4. Ketiganya, mereka berada di situasi terbaik untuk berdoa iaitu ketika sedang beribadah. Mereka berada dalam keadaan ihram Haji, keadaan berwukuf, keadaan bermalam di Mina, keadaan tawaf dan dalam keadaan saei. Mereka juga boleh berdoa sebagai seorang musafir yang dimustajab doanya.
5. Mereka boleh membanyakkan solat untuk berdoa ketika sujud di Masjidil Haram dan seluruh kawasan Haram Makkah. Nabi saw bersabda:
{ أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ ، فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ } .
"Keadaan terdekat seorang hamba dengan Rabbnya ialah di saat dia sujud. Justeru, banyakkanlah berdoa" [Hadis riwayat Muslim]
Nabi juga bersabda:
{صَلاَةٌ فِي مَسْجِدِي أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلاَةٍ فِيمَا سِوَاهُ إِلاَّ المَسْجِدَ الحَرَامَ وَصَلاَةٌ فِي المَسْجِدِ الحَرَامِ أَفْضَلُ مِنْ مِائَةِ أَلْفِ صَلاَةٍ فِيمَا سِوَاهُ}.
"Satu solat di Masjidku lebih afdhal berbanding 1000 solat di tempat lain kecuali Masjid Haram. Solat di Masjid Haram lebih afdhal berbanding 100,000 solat di tempat lain." [Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah].
6. Ramai yang minum air zamzam kerana kehausan semata-mata akibat kepanasan. Sedangkan zam zam boleh diminum dengan pelbagai niat dan tujuan.
Nabi saw bersabda:
" مَاءُ زَمْزَمَ لِمَا شُرِبَ لَهُ ، فَإِنْ شَرِبْتَهُ تَسْتَشْفِي بِهِ شَفَاكَ اللَّهُ ، وَإِنْ شَرِبْتَهُ مُسْتَعِيذًا عَاذَكَ اللَّهُ ، وَإِنْ شَرِبْتَهُ لِيَقْطَعَ ظَمَأَكَ قَطَعَهُ "
"Air zamzam adalah berdasarkan tujuan apa ia diminum. Sekiranya kamu minum bertujuan memohon kesembuhan pasti Allah sembuhkan. Sekiranya kamu minum memohon perlindungan pasti Allah lindungkan. Sekiranya kamu minum untuk menghilangkan kehausan pasti Allah hilangkan"
وَكَانَ ابْنُ عَبَّاسٍ إِذَا شَرِبَ مَاءَ زَمْزَمَ قَالَ : " اللَّهُمَّ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا وَاسِعًا ، وَشِفَاءً مِنْ كُلِّ دَاءٍ " .
Ibnu Abbas radiyallahu anhu apabila minum zamzam berdoa; Ya Allah aku mohon ilmu yang bermanfaat, rezki yang lapang dan kesembuhan daripada segala penyakit".
[Hadis Sahih riwayat Hakim].
Tidak sedikit yang hadir ke Mekah dalam keadaan menderita pelbagai penyakit kronik seperti kanser. Mohonlah doa kepada Allah agar disembuhkan dengan berkat minum air zamzam.
Imam Nawawi menyebut dalam kitab Tahzib al-Asma', maksud Hadis ialah sesiapa yang minum untuk hajat tertentu ia pasti mendapatnya. Ia telah dicuba oleh para Ulamak dan Solihun untuk pelbagai hajat dunia dan akhirat lalu mereka memperolehinya dengan izin Allah.
Antara pedoman minum zam zam sebagaimana dihurai oleh para Ulamak antara mereka Imam Ramli dalam Nihayatul Muhtaj ialah berkata;
Ya Allah! Sesungguhnya Nabi-Mu bersabda bahawa Air Zamzam berdasarkan tujuan ia diminum. Sesungguhnya aku minum zam zam ini dengan tujuan sekian sekian. Bismillah....lalu diteguk beberapa teguk.
Dilakukan seumpama itu sebanyak 3 kali. Itulah antara pedoman oleh Ulamak ketika minum zam zam.
[Boleh juga rujuk perincian adab minum zamzam dalam Ensiklopedia Islam keluaran Kementerian Hal Ehwal Islam Saudi Arabia - http://www.al-islam.com/Page.aspx?pageid=695&BookID=510&PID=9467&SubjectID=19760 ]
Sebahagian ulamak pula berpandangan boleh berdoa selepas selesai minum air zam zam.
7. Doa adalah ibadah. Hal ini kerana seseorang yang berdoa adalah seorang yang mengakui hakikat dia adalah hamba dan Allah adalah Tuhan yang mampu menunaikan hajat dan keperluannya. Itulah sebenar-benar ibadah atau perhambaan diri kepada Allah. Nabi saw bersabda:
الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ
"Doa adalah ibadah"
[ Hadis Sahih riwayat Tirmizi ]
8. Amat rugilah sesiapa yang telah berpeluang untuk menunaikan haji tapi gagal untuk memanfaatkannya untuk benar-benar berdoa kepada Allah.
Sekian.
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Isnin 14 Zulhijjah 1436 H / 28 September 2015
Jam 4.20 ptg Masjidil Haram.
# boleh rujuk 4 siri sebelumnya dengan melayari www.drtakiri.blogspot.com.
No comments:
Post a Comment