PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Tuesday, 9 June 2015

TEKS UCAPAN PERBAHASAN RMK11 YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri Ahli Parlimen Kuala Nerus Selasa ; 9 hb Jun 2015

TEKS UCAPAN PERBAHASAN RMK11
YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Selasa ; 9 hb Jun 2015
Assalamualaikum w.b.t.
PRINSIP PENGURUSAN EKONOMI JANGKA PANJANG

Terima kasih kepada Tuan Yang Di-Pertua, seterusnya Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian;

1.       Allah s.w.t. telah merakamkan dalam al-Quran (Surah Yusof : 47 – 49) satu kisah yang sangat menarik tentang kewibawaan Nabi Yusof a.s. yang merencanakan satu pelan strategik (strategic planning) jangka masa panjang yang berkesan.
Maksudnya: “Yusuf berkata, kamu menanam tujuh tahun seperti biasa maka apa sahaja hasil yang kamu perolehi maka biarkanlah pada tangkainya melainkan sedikit yang kamu makan. Kemudian akan datang selepas itu tujuh tahun yang sukar yang makan apa yang kamu simpan melainkan sedikit yang kamu bentengkan”

2.       Jika Bajet (atau Belanjawan Tahunan) ialah perancangan untuk tempoh 1 tahun dan Rancangan Malaysia (RMK) pula untuk tempoh 5 tahun, ‘economic strategic planning’ yang dicadangkan oleh Nabi Yusof a.s. pula adalah untuk tempoh 14 tahun.

3.       Saya tidak nafikan bahawa ia bukan soal lama mana tempoh sesuatu perancangan itu, tetapi keberkesanan perancangan untuk tempoh yang lama sebegitu harus diakui dan diambil pengajaran; perancangannya sangat strategik dan pelaksanaannya pula mencapai sasaran. Kaedahnya ialah memanfaatkan waktu ekonomi subur untuk persiapan menghadapi waktu sukar.

4.      Pendapatan mesti dibahagikan kepada tiga. Berbelanjalah 1/3 dan menyimpanlah 2/3. Tujuannya supaya di waktu sukar negara boleh berbelanja 1/3 yang disimpan dan baki 1/3 digunakan sebagai modal untuk bangkit selepas berakhir waktu sukar. Justeru, kayu ukur sebuah negara yang makmur ekonominya ialah apabila negara dengan hanya berbelanja 1/3 daripada pendapatan telah berjaya melunaskan segala keperluan. Begitulah juga dengan pendapatan individu rakyat.

5.       Namun, apabila melihat RMK11 yang dibentangkan dan setelah berlalu 10 RMK selepas merdeka atau 12 rancangan ekonomi negara sejak sebelum merdeka, saya merasakan amat jauh untuk negara kita mencapai tahap kayu ukur negara makmur menurut Islam ini.

6.       Mendepani situasi 7 tahun yang subur dan diikuti 7 tahun yang kemarau bukannya mudah untuk diurus jika tidak wujud nilai ‘good governance’ berteraskan Islam pada pentadbiran kerajaan dan pada individu setiap pemimpin negara.

7.       Justeru, sangat penting untuk negara memfokuskan pembinaan modal insan yang soleh yang mempunyai dua ciri utama iaitu Kuat dan Amanah sebagaimana firman Allah dalam al-Qasas ayat 26.
{إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِين}
Maksudnya: “sesungguhnya sebaik-baik orang yang kamu gajikan ialah yang kuat lagi amanah”.
Kuat ertinya sihat, berilmu, bijak dan berkemahiran tinggi. Negara tidak kekurangan golongan yang bijak, namun kita kekurangan golongan yang amanah lalu berlakulah rasuah dan pelbagai penyelewengan.

KEPENTINGAN RMK11

8.       RMK11 penghujungnya ialah tahun 2020 yang disasarkan Malaysia menjadi negara maju? Apa ukuran negara maju? Itu persoalan yang mesti kita garap. Seterusnya apakah perancangan RMK11 mensasarkan kejayaan negara maju yang kita tetapkan ukurannya?

9.       Negara maju telah diceritakan dalam al-Quran. Namun selalunya negara maju ini akan berhadapan dengan beberapa fenomena antaranya;
1.    Pembangunan tidak berasaskan keperluan tetapi menjurus kepada projek pembaziran dan kemegahan.
2.    Atau projek pembangunan yang dibuat hanya untuk keperluan pelobi projek atau kapitalis atau golongan pemodal bukan kerana keperluan pembangunan yang sebenar.

10.      Allah menceritakan tentang kaum Hud yang diberikan kemewahan dan ketamadunan serta teknologi pembinaan bangunan yang hebat
Maksudnya: “Adakah kamu membina di setiap tempat yang tinggi satu mercu tanda hanya untuk bermain-main dan kamu membina mahligai-mahligai yang besar dengan harapan kamu kekal selama-lamanya?” Surah Syu`ara’ ayat 128

11.      NEGARA MAJU digambarkan oleh ayat Quran dalam surah al-Nahl ayat 112:
﴿ وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلاً قَرْيَةً كَانَتْ آَمِنَةً مُطْمَئِنَّةً يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَداً مِنْ كُلِّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ اللَّهِ فَأَذَاقَهَا اللَّهُ لِبَاسَ الْجُوعِ وَالْخَوْفِ بِمَا كَانُوا يَصْنَعُونَ ﴾
Maksudnya: “Dan Allah membuat perumpamaan satu kampung yang asalnya aman tenteram datang rezki kepadanya selapang-lapangnya dari segenap penjuru.”

12.      Ia juga digambarkan menerusi Hadis:
أَرْبَعَةٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ وَالْجَارُ الصَّالِحُ وَالْمَرْكَبُ الْهَنِئُ
Maksudnya: “4 antara punca kebahagian; isteri yang soleh, kediaman yang lapang, jiran yang soleh dan kenderaan yang baik.”

13.      Mengambil kayu ukur Islam ini maka sewajarnya RMK11 mesti menjurus kepada dua asas iaitu negara aman dan rezki yang melimpah ruah. Atau lebih detailnya ialah beberapa perkara berikut:
1.    Pendapatan boleh guna rakyat yang tinggi
2.    Kemampuan rakyat memiliki kediaman
3.    Kemampuan rakyat mendapat kenderaan
4.    Kejayaan rakyat mendapat rumah tangga bahagia
5.    Kejayaan rakyat mendapat persekitaran perumahan yang aman dan sentosa
Untuk itu RMK11 perlu mengandungi strategic ekonomi jangka masa panjang

14.      Di antara prinsip pengurusan strategik ekonomi jangka panjang yang perlu dipelajarai dan dicontohi daripada kisah Nabi Yusuf ialah :

(i) Penjanaan pendapatan mestilah melebihi 3 kali ganda perbelanjaan. Malangnya bajet negara kita dibuat berdasarkan rancangan perbelanjaan bukannya rancangan pendapatan. Sepatutnya lihatlah pendapatan kemudian rangkalah perbelanjaan dan bukan sebaliknya. Justeru, tidak hairanlah jika bajet negara telah mengalami defisit selama 18 tahun berturut-turut.

(ii) Penyediaan rizab (reserve) yang cukup untuk negara. Seharusnya perbelanjaan yang berasaskan pendapatan bersekali dengan komitmen merizabkan sebahagian baki untuk disimpan bagi manfaat masa depan dan ketika kecemasan. Tetapi, jika berbelanja pun sudah melebihi pendapatan, bagaimana simpanan negara dapat ditambah? Komitmen untuk mengurangkan hutang pun tidak akan dapat ditingkatkan bahkan hutang itu sendiri akan bertambah.

(iii) Membuat perangkaan yang tepat dan dikemaskini. Kadar kemiskinan yang dikatakan berkurang kepada 0.6% pada tahun 2014 adalah masih berdasarkan takrif lama dan paras garis kemiskinan RM880. Purata pendapatan isi rumah yang meningkat kepada RM6,141 pada 2014 pula tidak menggambarkan pendapatan sebenar perindividu dan terhasil daripada jurang pendapatan yang tinggi. Pengukuran perangkaan yang tidak tepat ini akan menunjukkan realiti sebenar secara tidak tepat.

SUMBER BAHAN MENTAH DAN HASIL BUMI DALAM NEGARA

Tuan Yang Di-Pertua & Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

15.      Dalam konteks ekonomi konvensional, sumber bahan mentah atau hasil bumi dianggap terhad. Justeru, perebutan sering berlaku sehinggakan ada yang sanggup melakukan sesuatu yang di luar batas kemanusiaan dan undang-undang demi untuk memiliki atau menguasai sumber hasil tersebut.

16.      Namun, Islam mempunyai prinsip yang berbeza dengan teori-teori ekonomi Barat. Menurut perspektif Islam, asal sumber bahan mentah dan hasil bumi adalah mencukupi. Malah terdapat bukti bahawa Allah s.w.t. telah menyediakan kepada manusia sumber rezeki yang luas di atas muka bumi ini berdasarkan firmanNya :
وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا ۚ كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُبِينٍ
"”Dan tiadalah suatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya serta tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan)."( Surah Hud 11:6 )

17.      Bagi menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi ini, sudah tentu Allah amat mengetahui keperluan manusia yang diciptakanNya dengan menyediakan segala bekalan dan keperluan asas seawal sebelum kejadian manusia itu sendiri. Bahkan, Allah s.w.t. terlebih dahulu menciptakan perkara tersebut dalam kuantiti yang mencukupi dan banyak serta mampu menampung kehidupan keseluruhan makhlukNya.

18.      Maka jelaslah kepada kita semua bahawasanya krisis yang berlaku perlulah dikembalikan kepada manusia dahulu sebagai pengendali dan pengguna sebelum mencari sebab yang lain. Kezaliman yang dilakukan terhadap dirinya sendiri dan orang lain, sikap manusia yang melampaui batas serta kekufuran mereka terhadap nikmat yang Allah s.w.t. anugerahkan kepadanya adalah sebab utama kepada sesuatu bala dan malapetaka berlaku.

PENDAPATAN NEGARA

Tuan Yang Di-Pertua & Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

19.      Islam mempunyai senarai asas pendapatan negara yang tersendiri. Antaranya ialah Zakat, Kharaj dan ‘Usyur yang dikenakan terhadap produk dagangan yang dibawa masuk ke dalam negara Islam sama ada produk dagangan tersebut kepunyaan muslim mahupun non-muslim.

20.      Begitu juga keuntungan daripada pemilikan/projek umum untuk rakyat. Maka negara yang kaya dengan hasil bumi seperti petroleum, bahan galian yang lain yang telah melalui proses-proses tertentu serta boleh dimanfaatkan oleh rakyat, seperti bekalan tenaga elektrik dan air yang bukan bersifat pemilikan individu, keuntungan daripadanya disenaraikan sebagai salah satu sumber pendapatan negara secara kitaran.

21.      Saya ingin mencadangkan agar hasil Petroleum yang diperolehi oleh negara dikenakan zakat. Sehingga kini syarikat petronas tidak membayar zakat hasil daripada galian berbentuk petrol dan gas. Sudah sampai masa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan membuat kajian hukum tentang zakat petroleum yang dimiliknegarakan. Zakat petroleum itu boleh dijadikan sebagai sebahagian pendapatan negara bukan pendapatan Majlis Agama Islam Negeri. Ia disalurkan untuk kegunaan menyelesaikan masalah kemiskinan, masalah piutang rakyat yang berhutang dan juga keperluan pendidikan sebagai satu derma siswa dan tidak lagi bergantung kepada pinjaman PTPTN.

ISU KEMISKINAN

Tuan Yang Di-Pertua & Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

22.      Semalam saya telah bertanya kepada Menteri tentang takrif kemiskinan dan miskin tegar serta Paras Garis Kemiskinan (PGK) Kebangsaan yang terkini; dan statistik miskin dan miskin tegar di seluruh negara bagi tahun 2011 hingga 2015 mengikut pecahan negeri dan daerah. YB Menteri telah memberikan penjelasan terhadap persoalan yang telah saya kemukakan.

23.      Namun apa yang ingin saya bangkitkan ialah kayu ukur Paras Garis Kemiskinan (PGK) Kebangsaan. Kemiskinan merupakan suatu isu yang penting kerana ia melambangkan sejauh mana pertumbuhan ekonomi negara dinikmati oleh rakyat jelata. Oleh yang demikian kita mengharapkan kadar kemiskinan akan menurun sejajar dengan peningkatan ekonomi negara. Di sudut makroekonomi kemiskinan adalah hasil dari pengagihan kekayaan negara yang tidak sama rata.

24.      Tetapi, pengukuran kemiskinan di Malaysia dilihat menggunakan pendekatan satu dimensi iaitu samada mengikut keadaan pendapatan atau pun perbelanjaan. Masalah pada pengukuran satu dimensi ini ialah ia tidak atau kurang memberi petunjuk yang sebenar dan tepat tentang keadaan kemiskinan kerana menggunakan hanya satu pembolehubah.

25.      Biasanya, kaedah pengukuran berdasarkan satu indikator atau pembolehubah ini digunakan dalam analisis kemiskinan di negara-negara kurang maju. Amat tidak wajar sekali kepada Malaysia yang berhasrat mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 masih menggunakan pendekatan ini untuk menentukan garis kemiskinan. Kesannya ramai yang sebenarnya masih miskin tetapi tidak dikategorikan sebagai miskin. Lalu akhirnya dibuat satu pengumuman kononnya kadar kemiskinan semakin menurun sedangkan ia tidak menggambarkan hakikat yang sebenar.

26.      Seharusnya pengiraan Paras Garis Kemiskinan (PGK) memasukkan 5 keperluan teras; makanan, kediaman, pakaian, pengangkutan dan pendidikan, bukannya hanya mengiranya sebagai makanan dan bukan makanan. Kelima-lima perkara ini adalah keperluan asas yang bersifat dharuriyyah dan hajiyat kepada setiap orang manusia.

27.      PGK ini juga harus mengambil kira perbezaan antara miskin dan faqir. Hal ini kerana orang miskin ialah golongan yang mempunyai pendapatan tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas hidupnya manakala Faqir pula ialah golongan yang tidak berpendapatan untuk menyara kehidupan mereka. Di kalangan mereka mungkin kumpulan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).
PGK juga mesti mengambil kira status ekonomi dan taraf hidup persekitaran yang berbeza antara bandar dan luar bandar, antara pantai timur dan pantai barat.

28.      Sebenarnya ada beberapa perkara yang menjadi punca sebenar rakyat menjadi miskin dan program-program menangani kemiskinan oleh Kerajaan pula gagal untuk mengurusnya dengan berkesan. Berikut antaranya :

(i) Sistem ekonomi yang diamalkan bersumberkan ekonomi liberal kapitalis yang menyuburkan jurang besar antara kaya dan miskin serta agihan kek kekayaan negara pula tidak seimbang dan tidak sama rata.

(ii) Banyak polisi Kerajaan menyebabkan rakyat menghadapi susut nilai pada wang atau pendapatan yang mereka ada dengan kejatuhan nilai ringgit yang berterusan dan kenaikan harga pelbagai barangan dan perkhidmatan.

(iii) Rakyat ditindas dengan percukaian yang zalim pada hampir segenap kehidupan masyarakat; GST pada barangan dan perkhidmatan; Zakat hanyalah 2.5 % sedangkan GST dikenakan oleh kerajaan sebanyak 6%. Adakah kerajaan ingin menjadi Tuhan atau lebih berkuasa daripada Tuhan? Begitu juga cukai kenderaan sehingga melebihi 100% kepada para pengguna kereta menyebabkan pengguna terpaksa mendapatkan kenderaan pada harga yang mahal.

(iv) Kenaikan harga hartanah akibat spekulasi pula menyebabkan ia meningkat khususnya di bandar justeru menatijahkan banyaknya miskin bandar dalam kalangan orang Melayu.

(v) Daya menyimpan wang dalam kalangan rakyat juga rendah dan hampir tiada yang sepatutnya keadaan ekonomi yang baik ialah apabila rakyat mampu berbelanja sebahagian daripada pendapatannya untuk memenuhi keperluan hidupnya dan sekurang-kurangnya 1/3 daripada pendapatan itu dapat disimpan.

(vi) Wang dan kekayaan negara hanya berlegar-legar dalam kalangan orang-orang kaya yang meliputi pemimpin-pemimpin negara yang tidak amanah dan golongan bangsawan serta koporat yang tamak.

PANDANGAN ISLAM TERHADAP WANITA SEBAGAI TENAGA KERJA

Tuan Yang Di-Pertua & Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

29.      Islam sebuah agama pembawa rahmat bagi sekalian alam menawarkan pakej penyelesaian terhadap permasalahan manusia. Antara tawaran dan keindahan Islam adalah meliputi pengiktirafan isu gender lelaki dan wanita. Al-Quran dan As-Sunnah merekodkan sejumlah besar nas yang mengangkat martabat dan kemuliaan wanita. Sekaligus menafikan tohmahan golongan feminis dan gerakan emansipasi wanita kononnya ajaran Islam merendahkan kedudukan wanita.

30.      Islam meletakkan wanita berperanan sebagai pendamping dan pembantu golongan lelaki dalam kehidupan rumah tangga sebagai ibu dan isteri juga penolong dalam masyarakat. Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Surah an-Nisa 4:34.

31.      Ini adalah peranan utama seorang wanita tetapi Islam juga menghidupkan fungsi wanita sebagai karakter yang boleh menerima tanggungjawab dan dipertanggungjawabkan atas setiap perilakunya seperti kaum lelaki sebagaimana firman Allah s.w.t. maksudnya:          “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah an-Nahl 16:97)

32.      Hasrat dan usaha untuk meningkatkan kadar penglibatan tenaga kerja wanita daripada 54% pada tahun 2014 kepada 59% menjelang 2020 adalah suatu yang murni.

33.      Namun, meningkatkan tenaga kerja wanita pasti akan memberikan implikasi terhadap keluarga dan sosial yang perlu diberikan perhatian dalam semua aspek lebih-lebih lagi pada masa gejala sosial makin meruncing dan institusi keluarga pula banyak bermasalah.

34.      Impak daripada penglibatan tenaga kerja wanita ialah terabainya tugas utama golongan ini dalam mendidik generasi muda dalam rumahtangga mereka lantas anak-anak makin meliar. Kecenderungan berlakunya peningkatan kes penceraian juga adalah bentuk impak negatif yang berlaku.

35.      Kerosakan institusi keluarga akan turut menjejaskan sistem sosio-masyarakat.

36.      Namun tidak dinafikan ada aspek positif daripada peningkatan tenaga kerja wanita ini tetapi ia akan mengakibatkan aspek pembangunan wanita daripada sudut kemahiran insaniyah makin terabai.

37.      Justeru, saya mencadangkan satu sistem kerja yang meraikan keperluan ibu-ibu dan isteri diperkenalkan. Antaranya dalam perkhidmatan awam, bagi wanita yang berkeluarga sebagai isteri atau isteri dan ibu, masa kerja mereka dipendekkan daripda 8 jam sehari kepada 6 atau 7 jam sahaja dengan gaji yang sama seperti lelaki yang bekerja 8 jam. Anggaplah tugasan mereka di rumah sebagai satu kerja yang melayakkan mereka mendapat gaji daripada negara. Sistem ini nanti kemudiannya boleh diikuti pula oleh syarikat swasta yang mampu. Itu sebagai contoh.

38.      Penglibatan wanita dalam perniagaan perlu dipertingkatkan kerana selalunya ahli perniagaan boleh bekerja mengikut masa yang mereka mahu kerana masa adalah milik mereka. Untuk itu saya mencadangkan penglibatan wanita dalam bisnes online yang mana rumah mereka sendiri menjadi pejabatnya mesti menjadi sebahagian projek kerajaan dengan bantuan kewangan yang cukup menerusi pelbagai agensi. Suri rumah tangga boleh menjadi sasaran kerajaan untuk projek ini. Latihan keusahawanan bisnes online mesti dirancang dan dikempen secara bijak dan agresif.

DAERAH BARU KUALA NERUS

39.      Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan pusat yang telah menjadikan Kuala Nerus sebagai Daerah ke 8 di Terengganu. Daerah ini telah menikmati pelbagai bentuk pembangunan dengan adanya Airport Sultan Mahmud, Stadium runtuh yang baru sahaja siap dibaiki selepas 6 tahun, 2 hotel mewah, 2 universiti iaitu Unisza dan UMT, juga Institut Perguruan, institusi pendidikan terkenal seperti Sek Agama persekutuan, Sekolah Sains dan Sekolah Teknik dan 2 pasaraya besar Giant dan Mydin.

40.      Terkini Hospital Pengajar Unisza sedang dibina di Kuala Nerus sebagai  projek yang diluluskan dalam RMK10 untuk Fasa pertamanya iaitu sebanyak 200 katil dan dijangka siap pada akhir 2016. Fasa 1 Hospital ini baru dimulakan majlis pecah tanahnya pada 18 september 2014. Di penghujung rmk10. Ia dijangka siap akhir 2016.

41.      Namun, apabila saya merujuk kepada web Kementerian  Kerja Raya, tender kerja untuk reka bina baru ditutup pada 21.4.2015. Ertinya pembinaanya masih belum bermula. Saya ingin meminta penjelasan Kementerian berhubung status perjalanan projek ini. Saya mengharapkan projek ini berjalan menurut perancangan. Jangan lagi berulang isu LPT II yang tertangguh berkali-kali. Asal projek LPT II dijadualkan siap 2008 tapi realitinya hanya siap di awal 2015 selepas 7 tahun dengan kos berganda pula. Asalnya hanya 1.7 bilion tapi akhir 5 bilion lebih.

42.      Fasa ke 2 Hospital Unisza pula dengan penambahan 200 katil dijanjikan bakal diluluskan dalam RMK11. Namun, saya tidak melihat perkara ini disebut dalam pembentangan RMK11. Adakah janji itu akan diteruskan? Saya mohon penjelasan pihak kerajaan.

43.      Hospital ini sangat penting untuk mengelakkan kesesakan di Hosptal Nur Zahirah di bandar Kuala Terengganu. Juga masalah-masalah yang timbul bagi rakyat Kuala nerus yang terpaksa bertumpu mendapatkan rawatan ke sana.

44.      Sempena daerah baru, Saya ingin memohon satu Balai Bomba khusus untuk Daerah Kuala Nerus supaya tidak bergantung kepada Balai Bomba di bandar Kuala Terengganu dan bomba sukarela sahaja. Saya mendapat rungutan daripada para petugas bomba yang menghadapi kesukaran untuk menguruskan 2 parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang luas.

45.      Saya juga ingin mencadangkan agar kerajaan pusat menjadikan Kuala Nerus sebagai bandar pelancongan kerana ia mempunyai jajaran pantai yang cantik dan indah, beberapa industri kampong seperti keropok dan hasil ikan yang lain serta beberapa lagi aset pelancongan.

46.      Begitu juga, sesuai dengan kedudukannya sebagai daerah baru, pendapatan sebahagian rakyatnya yang menjadi nelayan perlu dipertingkatkan. Antaranya dengan mengaktifkan fungsi koperasi nelayan sebaik-baiknya sehingga boleh memberi pendapatan tambahan yang besar untuk nelayan khususnya ketika musim tengkujuh.

47.      Merujuk kepada Laporan Sosio-Ekonomi Nelayan dan Data Isi Rumah yang diterbitkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), purata pendapatan nelayan ke laut bagi Negeri Terengganu adalah RM1,400 sebulan dengan sekumpulan besarnya berpendapatan antara RM518 hingga RM1250 sebulan. Nilai ini berada di bawah paras purata pendapatan nelayan negara iaitu RM1600 sebulan.

48.      Berbanding Negeri Kedah, Perak, Selangor, Johor dan Pahang, semuanya berada di atas purata pendapatan nelayan negara ini. Purata pendapatan serendah RM1,400 ini juga memposisikan nelayan Terengganu berada pada tempat ketiga terendah di Semenanjung Malaysia selepas Negeri Sembilan (RM1,240) dan Kelantan (RM1,300).

49.      Lebih mendukacitakan, suatu kajian terbaru mendapati pendapatan nelayan hanya mengalami peningkatan sebanyak 3.5% sahaja bagi tempoh 10 tahun. Kenaikan dengan kadar yang teramat sedikit ini menjadikan amat mustahil kepada para nelayan untuk memiliki pendapatan boleh guna yang mencukupi bagi memenuhi keperluan hidup mereka lebih-lebih lagi dalam suasana kenaikan kos sara hidup dan kesan kejatuhan nilai mata wang dan pelaksanaan GST bahkan mungkin akan lebih teruk jika TPPA ditandatangani oleh Kerajaan kelak.

PENGAMBILAN TANAH BANGGOL DONAS

50.      Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk memohon kerajaan pusat menyelesaikan isu pengambilan tanah Banggol Donas dengan penyelesaian yang adil.  Berkali saya bangkitkan isu ini. Jawapan Kementerian ialah perlu merujuk kepada kerajaan negeri. Namun isunya ialah pengambilan tanah adalah tidak menepati Kanun Tanah Negara. Perubahan jajaran jalanraya yang dibuat sehingga terpaksa mengambil tanah orang kampong adalah berniat jahat sedangkan ia boleh sahaja mensasarkan tanah yang tidak diduduki oleh orang kampong. Saya meminta kerajaan pusat menerusi JKR mengubah jajaran jalanraya agar tidak melibatkan kediaman orang kampong. Berikan hak kepada orang kampong yang tidak mahu tanah mereka diambil di kala ada alternative lain. Penangguhan kes ini menyebabkan perancngan jalanraya yang memintas Kuala nerus terus ke bandar Kuala Terengganu tertangguh agak lama.

Sekian. Terima kasih.


No comments:

Post a Comment