PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Thursday, 19 March 2015

SOLIDARITI UNTUK 13 OKT Pejuang Menentang Kezaliman Penguasa & Rakan yang Khianat

Kenyataan Media
SOLIDARITI UNTUK 13 OKT
Pejuang Menentang Kezaliman Penguasa & Rakan yang Khianat

1. Pasca PRU12 pada Mac 2008, gabungan PAS, PKR dan DAP telah berjaya membentuk Kerajaan Negeri walaupun hanya dengan majoriti 3 kerusi DUN; 31 kerusi dikuasai oleh gabungan 3 parti ini manakala 28 kerusi lagi dimenangi oleh BN. DS Mohammad Nizar Jamaluddin pada 17 Mac 2008 telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak.
2. Kerajaan yang dibentuk tanpa kekuatan majoriti 2/3 ini akhirnya tumbang bermula dengan isu 2 Exco Kerajaan Negeri Perak iaitu ADUN PKR yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan rasuah berhubung projek pembangunan bernilai RM180 juta.
3. Walaupun pada 25 Januari 2009 ADUN Bota daripada UMNO, Datuk Nasaruddin Hashim mengisytiharkan keluar daripada BN untuk menyertai PKR, ia diikuti dengan peristiwa pelik 2 ADUN PKR; Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Mohd Jailu hilang bermula 26 Januari 2009 sehinggakan DS Mohammad Nizar Jamaluddin terpaksa meminta 2 ADUN tersebut mengisytiharkan segera pendirian mereka sama ada masih bersama PR Perak atau sebaliknya pada 1 Februari 2009.
4. Lebih mendukacitakan apabila pada 4 Februari 2009, 3 ADUN PKR; Datuk Nasaruddin Hashim (Bota), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering), dan seorang ADUN DAP iaitu Hee Yit Foong (Jelapang) didapati berada di Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya diikuti dengan pengumuman oleh TPM pada ketika itu iatu DS Najib Razak bahawa BN mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan apabila kesemua ADUN itu tadi telah mengisytiharkan keluar parti.
5. Berikutan daripada peristiwa pengkhianatan inilah berlakunya insiden bantahan terhadap majlis angkat sumpah Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak sehingga mengakibatkan 13 orang peserta demostrasi membantah rampasan Kerajaan Negeri Perak telah disabitkan salah oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya pada hari semalam dan dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan 10 bulan penjara.
6. Mereka adalah Mujahid, pejuang kebenaran sebagaimana yang digambarkan oleh hadis Nabi saw;
أَلاَ إِنَّ أَفْضَلَ الْجِهَادِ كَلِمَةُ حَقٍّ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ
"Ketahuilah sesungguhnya sebaik-baik Jihad ialah kalimah yang benar berhadapan dengan penguasa yang zalim" (Hadis riwayat Ahmad).
7. Mereka telah melaksanakan tanggungjawab Amar Ma'ruf dan Nahi Mungkar menghadapi kemungkaran pemerintah dengan lidah dan tenaga mereka.
8. Hari ini mereka membayar harga yang mahal melibatkan diri dan keluarga untuk perjuangan kebenaran tersebut apabila undang-undang negara menerusi Mahkamah Rayuan tidak memihak kepada mereka. Malah sebelumnya mereka berhadapan dengan perbicaraan mahkamah yang panjang lebih 5 tahun yang tentu sahaja mengganggu emosi dan kehidupan diri dan keluarga.
9. Saya menzahirkan rasa dukacita terhadap semua pejuang terhadap hukuman yang telah dikenakan ke atas mereka. Semoga semua pejuang dan ahli-ahli keluarga mereka dapat terus bersabar dengan ujian ini dan sentiasa berdoa kepada Allah semoga pejuang dapat terus istiqamah di atas jalan kebenaran.
10. Saya yakin dan percaya, mereka akan dikurniakan kebaikan dan ganjaran yang hebat oleh Allah kerana telah bersungguh-sungguh mempertahankan kebenaran yang dirosakkan oleh perbuatan khianat. Saya menyeru, marilah sama-sama kita bersolidariti membela hak dan nasib mereka serta keluarga mereka.
Sekian.
Oleh :
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Tarikh : 19 Mac 2015 / 28 Jamadil Awal 1436H
__________
Lawati facebook dan blog rasmi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri di :
Facebook : https://www.facebook.com/DrKhairuddinTakiri
Blog : http://drtakiri.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment