PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Tuesday, 3 March 2015

Krisis Ekonomi : IMPLIKASI & PENYELESAIAN ISLAM

Krisis Ekonomi :
IMPLIKASI & PENYELESAIAN ISLAM

1. Kejutan minyak (oil shock) berikutan kenaikan harga minyak akibat peperangan antara Mesir dan Israel telah mengakibatkan Malaysia mengalami krisis ekonomi pertama sejak 1970 iaitu pada 1973/74. Kesannya, bagi tempoh 1970 hingga 1980, pertumbuhan ekonomi negara hanya meningkat 0.8% pada 1975 iaitu paras terendah bagi tempoh itu.

2. Revolusi Iran pula sekali lagi menyebabkan berlakunya ‘oil shock’ pada 1978. Ia sehingga menyebabkan negara-negara maju yang menganggotai Organisation for Economic Cooperation dan Developement (OECD) yang berpendapatan tinggi dengan Indeks Pembangunan Manusia (Human Developement Index, HDI) yang tinggi mengalami kemelesetan ekonomi. Negara membangun seperti Malaysia juga turut terjejas apabila pertumbhan KDNK meningkat perlahan pada awal 1980an berikutan kejatuhan eksport dan harga komoditi.

3. Akibat kelembapan ekonomi dunia dan kejatuhan harga komoditi seperti petroleum, kelapa sawit dan timah, ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 1% pada 1985. Berbanding pada 1984, kadar penggangguran meningkat sebanyak 2.7% kepada 8.5% pada 1985. Kesannya, perbelanjaan mengurus tidak dapat ditampung oleh Kerajaan kerana hasil pendapatan yang merosot teruk. Ia terus meningkat kepada RM20.1 bilion pada 1986 iaitu peningkatan sebanyak 7%. Defisit berkembar yang terjadi pada 1986 berpunca apabila akaun semasa imbangan pembayaran dan akaun semasa Kerajaan Persekutuan mengalami defisit serentak pada tahun tersebut.

4. Setelah Thailand diserang oleh penyangak matawang, Malaysia turut menimpa nasib yang sama pada Julai 1997 sehingga membawa kepada jualan menyeluruh di pasaran saham dan pasaran tukaran wang. Krisis kewangan Asia yang bermula pertengahan 1997 ini merebak sehingga hampir ke semua negara ASEAN termasuk Indonesia, Jepun, Republik Korea selain daripada Thailand dan Malaysia. Pada tahun tersebut, nilai Ringgit ialah RM4.10 bagi setiap dolar, iaitu kemerosotan sebanyak 50% daripada RM2.50 sebelumnya.

5. Sekali lagi Malaysia berhadapan dengan masalah ekonomi ialah pada akhir 2008 apabila pertumbuhan ekonominya hanya 0.1% dalam suku keempat diikuti dengan KDNK menguncup sebanyak 1.6% pada 2009. Kemerosotan kualti ‘subprime asset’ yang menyebabkan kegagalan institusi kewangan Amerika Syarikat pada 2007 membangkitakan kebimbingan secara meluas dalam pasaran kewangan global. Malaysia terkesan dengan kemelesetan global itu sehinggakan eksport merosot sebanyak 7.4% manakala pengeluaran kilang merosot sebanyak 11.1%.

6. Pada akhir 2014 pula berlakunya kejatuhan harga minyak global yang sudah pasti  memberi kesan langsung kepada Malaysia sebagai negara pengeluar minyak. Kejatuhan ini sehingga mengakibatkan Kerajaan terpaksa melakukan semakan semula terhadap Bajet 2015 yang telah dibentangkan pada Oktober 2014. Dengan unjuran purata paras harga minyak baru iaitu AS$55 setong, defisit yang dikaji semula ialah 3.2% berbanding 3.0% seperti yang diumumkan sebelumnya dan perbelanjaan mengurus (operating expenditure) pula dikurangkan sebanyak RM5.5 bilion. Pendapatan negara juga berkurang RM13.8 bilion berikutan kejatuhan harga minyak ini. Mata wang juga mengalami susut nilai yang agak tinggi. Kini ia berada pada paras RM3.60 bagi setiap dolar.

7. Pada 2015 dijangkakan harga barangan akan meningkat sekaligus meningkatkan kadar inflasi. Pelaksanaan GST bermula April dan kenaikan semula harga minyak global khususnya akan lebih ketara bermula suku kedua nanti turut meningkatkan harga runcit bahan api itu dalam pasaran tempatan. Ia pastinya akan menambahkan beban kewangan yang terpaksa ditanggung rakyat.

8. Walaupun pada keenam-enam senario kelembapan atau kejatuhan ekonomi negara seperti yang dinyatakan ini dilihat berlaku kerana faktor luaran,  namun, persoalan kesensitivitian persekitaran ekonomi negara terhadap perubahan luar agar mempunyai upaya kendiri bagi mengurangkan impak itu dan membangunkan ‘sustainble economic growth’ adalah sangat penting untuk dinilai dan disemak khususnya dengan kaca mata Islam.

Malaysia sebagai negara yang mempunyai pelbagai sumber yang melebihi keperluan sepatutnya berada dalam situasi ekonomi yang sihat dan segar.

9. Akibat urus tadbir ekonomi dan kewangan negara yang bermasalah, keadaan bertukar menjadi sebaliknya; sumber yang ada tidak berkecukupan untuk menampung keperluan.

Justeru, ia akan boleh membawa kepada kegawatan dan ketidakstabilan masyarakat, lalu memaksa negara itu meminjam, berhutang dan meminta bantuan daripada negara lain.

Keadaan ini akan selamanya berterusan jika ia tidak ditangani melalui penyelesaian-penyelesaian yang bertepatan dengan kebijaksanaan akal manusia yang berteraskan wahyu Ilahi serta sifat amanah para pemimpin.

10. Bagi mencapai apa yang saya maksudkan tadi, panduan-panduan yang dikemukakan oleh Islam di dalam al-Quran dan al-Hadis serta amalan Sahabat perlu kembali menjadi teras pembangunan dan pengurusan ekonomi negara.

Antara solusinya ialah;

PERTAMA; Perbelanjaan mestilah dibuat berdasarkan keperluan dan lebihan yang ada. Bukannya merancang dan berbelanja melebihi pendapatan.

“Mulakanlah dengan dirimu sendiri dan bersedekahlah. Sekiranya terdapat lebihan, maka ia untuk ahli keluargamu. Sekiranya terdapat lebihhan lagi (selepas penggunaan ahli keluargamu), maka berikannya kepada kaum kerabatmu. Sekiranya masih ada lebihan juga, maka begitu dan begitu.

(Riwayat Muslim)

Bajet dengan perbelanjaan melebihi pendapatan selama 18 tahun berturut-turut menunjukkan kita membelakangkan panduan Islam ini.

KEDUA; Menegah daripada berlakunya pembaziran dan ketirisan; sama ada disebabkan kecuaian ataupun sikap tidak amanah.

“.....dan makanlah, minumlah serta janganlah kamu membazir. Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak suka kepada mereka yang membazir.”

(Surah al-A’raf : 31)

Laporan Ketua Audit Negara menjadi bukti kukuh bahawa pembaziran dan ketirisan sentiasa wujud. Sama ada pencegahannya tidak berkesan atau sengaja dibiarkan perkara itu berlaku demi menjamin kepentingan-kepentingan pihak tertentu, ia tetap memberikan impak yang sangat negatif kepada kedudukan kewangan negara.

KETIGA; Menyediakan instrumen membolehkan rakyat memperolehi keupayaan memiliki "pendapatan boleh guna" (disposible income) bagi memenuhi keperluan asas minima seseorang.

Ia boleh dilakukan sama ada dengan pemberian bulanan oleh kerajaan sebagaimana berlaku di zaman Umar bin al-Khatab atau oleh tabung bantuan bersasar oleh korporat-korporat negara.

Ini kerana konsep asas Islam ialah kerajaan tidak boleh membiarkan rakyat lapar tidak cukup makan dan tidak cukup pendapatan untuk keperluan asasi. Keadaan ini mendorong berlakunya jenayah.

Di zaman pemerintahan Sayyidina Umar bin al-Khattab seorang hamba milik Hatib bin Abi Balta'ah telah mencuri dan menyembelih seekor unta milik seorang lelaki daripada Muzainah kerana Hatib tidak memberinya cukup makan. Lalu Umar menegaskan kepada anak Hatib yang menguruskan hamba tersebut;

ِ وَاللَّهِ لَأُغَرِّمَنَّكَ غُرْمًا يَشُقُّ عَلَيْكَ
"Demi Allah, aku pasti mendenda kamu dengan denda yang sangat berat"

Umar lalu mengenakan ganti rugi 400 dirham bagi unta yang dicuri dan disembelih dan 400 dirham lagi sebagai denda membiarkan hamba berlapar sehingga terpaksa mencuri

(Riwayat Imam Malik)

Hamba Hatib sepatutnya dipotong tangan kerana mencuri. Tetapi oleh kerana kelaparan menjadi sebab dirinya mencuri maka ia menjadi sebab untuk hukuman Hudud potong tangan digugurkan. Kesalahan pula dibebankan kepada tuan punya hamba yang menyebabkan hambanya lapar lalu mencuri.

Ia menjadi satu asas konsep bernegara bahawa tuan punya hamba atau majikan atau kerajaan tidak boleh membiarkan rakyatnya berlapar tidak cukup makan. Apabila berlaku rakyat kelaparan maka bebanan dan kesalahannya mesti dipertanggungjawabkan kepada kerajaan.

Bagaimana pula kerajaan hari ini yang gagal menguruskan ekonomi dan mengenakan pelbagai sistem percukaian seperti GST, cukai kenderaan yang tinggi, kenaikan harga rumah kerana monopoli dan manipulasi sehingga rakyat kelaparan tidak cukup makan? Apakah kerajaan tidak boleh dipertanggungjawabkan?

Harga barangan dan perkhidmatan, gaji bulanan pekerja dan item-item yang memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat termasuklah kos perumahan dan pengangkutan mestilah direvisi. Jika ia benar-benar berpadanan dengan kemampuan rakyat, pasti jenayah dan perkara munkar yang berlaku dalam masyarakat dapat dikurangkan dan dibasmi.

11. Saya rasa, memadailah tiga panduan yang ditunjukkan oleh Allah, RasulNya saw dan sahabat Nabi seperti Umar ini kita patuhi. Keberkatan pasti akan mencurah-curah ke atas kita semua. Keberkatan inilah “parameter” yang tiada dalam sistem atau model ekonomi selain Islam. Itulah punca sebenar kegagalan ekonomi sesebuah negara.

Sekian.

Oleh :

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
(Ahli Parlimen Kuala Nerus / Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat)

Tarikh : 3 Mac 2015 / 12 Jamadilawal 1436H

No comments:

Post a Comment