PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Wednesday, 28 January 2015

MELURUSKAN TUGAS KENEGARAAN PIMPINAN & AHLI PARLIMEN PAS

MELURUSKAN TUGAS KENEGARAAN PIMPINAN & AHLI PARLIMEN PAS

1. PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang melibatkan diri dalam demokrasi dan menyertai pilihan raya sebagai wadah membangunkan hadharah Islamiyyah (ketamadunan Islam) di negara ini menjadikan politik Islam sebagai panduan dalam menentukan sikap dan pendirian serta dalam menyusun program dan aktivitinya bagi mendepani pelbagai cabaran semasa dan bagi mencapai matlamat penubuhannya.

2. Tujuan penglibatan dan penyertaan ini adalah untuk menegakkan agama dan merealisasikan perhambaan kepada Allah s.w.t., menegakkan keadilan, serta memperbaiki keadaan manusia. Natijah daripada yang demikian itu, keburukan dan kebobrokan akan hilang, kebaikan akan tersebar luas dan perangai manusia menjadi elok dan sangat bermanfaat untuk orang lain. Demikianlah Islam menjadi rahmat untuk sekalian alam dan memberikan hak kepada semua.

3. Matlamat ini tidak hanya dibatasi oleh gerak kerja kepolitikkan untuk mendapatkan kekuasaan semata-mata. Sebaliknya ia bertujuan untuk memperjuangkan di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah. Sama ada dengan atau tanpa kekuasaan, matlamat ini tidak harus sama sekali dikebelakangkan. Keghairahan terhadap kekuasaan semata-mata tanpa bermatlamatkan Islam hanyalah kegemaran orang yang bercita-citakan keduniaan.

4. Politik Islam atau siyasah syar’iyyah yang dimaksudkan itu adalah sebuah keterangkuman ilmu dan kemahiran yang terkandung di dalamnya disiplin, prinsip dan pelaksanaan yang bertepatan dan selari dengan teks al-Quran, as-Sunnah, Qiyas, Ijmak dan kaedah-kaedah syarak serta dasar-dasar amnya bagi menjaga urusan umat manusia.

5. Islam yang menjadi anutan diri, dasar parti dan risalah dakwah ini mestilah disampaikan kepada seluruh manusia lain dalam prinsip dan bentuknya yang sebenar yang bersifat dengan kesyumulan (komprehensif) yang mengandungi ibadah, munakahat, muamalat dan jinayah, bukannya Islam yang terpisah antara agama dan negara, dakwah dan siyasah.

6. Ia mestilah diperjelas secara terang kepada kumpulan sasar sehingga mereka mengetahui, memahami dan meyakini bahawa Islam benar-benar berupaya membela dan memimpin hidup mereka. Sekiranya diberikan hidayah dan taufiq oleh Allah s.w.t. kepada mereka setelah kita bersungguh mendakwahkan mereka, tidak mustahil akhirnya mereka menerima Islam sebagai agama dan wadah perjuangan mereka. Demikianlah jika Allah mahu menganugerahkan kemenangan kepada perjuangan Islam.

7. Kata-kata Rib'ie bin Amir ketika berhadapan dengan Rustom pimpinan tentera Rom boleh menjadi panduan iaitu;

الله ابتعثنا لنخرج من شاء ....من جور الأديان إلى عدل الإسلام
" Allah mengutuskan kami untuk kami keluarkan siapa yang Dia kehendaki .... daripada kezaliman pelbagai isme dan anutan kepercayaan kepada keadilan Islam".

8. Tidak sewajarnya mengatasnamakan hikmah dalam berdakwah dan kebijaksanaan dalam berpolitik sehingga menenggelamkan nilai-nilai kesyumulan Islam dan mengundang salah faham serta kekeliruan dalam kalangan kumpulan sasar yang majmuk. Ketegasan pada prinsip bukan bermakna menafikan toleransi atau tidak meraikan realiti, tetapi ia adalah sebuah sifat mulia yang mesti dimiliki oleh setiap orang Islam yang beriman.

9. Menjalankan dan meneruskan kegiatan politik sehingga mengakibatkan maruah agama dan bangsa yang beragama Islam yang menjadi majoriti dan teras negara terkorban tidak akan dapat memberikan sebarang manfaat kepada agama, masyarakat dan negara bahkan boleh pula merosakkan struktur sosial masyarakat Islam.

10. Pimpinan dan Ahli-ahli Parlimen PAS khususnya serta Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri sangat perlu berwaspada dalam menjalankan tugas-tugas kenegaraan agar tidak tergelincir daripada dasar dan akhlak Islam. Penyertaan dalam memberi pendapat terhadap isu-isu semasa haruslah mengambil kira pelbagai aspek termasuklah keselarian dengan dasar dan tujuan serta ketepatan dengan perlembagaan parti; panduan oleh Majlis Syura Ulamak yang diberi kuasa memimpin dan menjelaskan dasar Islam yang dipegang oleh parti dan pendirian Presiden PAS sebagai Ketua Parti yang Wajib (bukannya Sunat atau Harus) diberikan hak ketaatan menurut Islam; dan latar belakang serta implikasi jangka panjang isu tersebut terhadap kepentingan perjuangan parti dan pelbagai aspek lain.

11. Pendirian dan sikap Ahli-ahli Parlimen PAS terhadap sesuatu isu itu mestilah tidak saling bercanggah antara satu sama lain atau dengan Presiden PAS sendiri sehingga boleh merosakkan kepentingan penyertaan dan penglibatannya dalam arena politik negara. Perbezaan yang boleh dan perlu wujud hanyalah yang bersifat kepelbagaian (diversity) bukannya yang bersifat percanggahan (conflict).

Disediakan oleh :

YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
(Ketua Penerangan DUPP / Ahli Parlimen Kuala Nerus)

Tarikh : 28 Januari 2014 / 7 Rabiul Akhir 1436H

Meluruskan tugas kenegaraan pimpinan dan ahli Parlimen PAS - http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/33512-meluruskan-tugas-kenegaraan-pimpinan-dan-ahli-parlimen-pas

No comments:

Post a Comment