PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Tuesday, 13 January 2015

Bah Kuning : Pembalakan Bukan Faktor Utama

KENYATAAN MEDIA
YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
(Ahli Parlimen Kuala Nerus)

13 Januari 2015 / 22 Rabiulawal1436H

Bah Kuning : Pembalakan Bukan Faktor Utama

1. Tanpa menafikan bahawa hutan berperanan penting sebagai penampan hakisan ketika hujan dan juga sebagai kawasan tadahan air, namun mendakwa pembalakan adalah sebagai faktor utama punca banjir besar tempoh hari sehingga mengakibatkan 104,000 orang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Kelantan dan 2,660 keluarga musnah sama sekali rumah mereka adalah tidak adil dan tidak benar.

2. Saya mengemukakan beberapa input berikut sebagai menjelaskan dan mengukuhkan premis saya tersebut.

(i) Taburan Hujan Tinggi

Hujan lebat berterusan yang turun selama 3 hari berturut-turut (21-23 Dis. 2014) di Gua Musang telah mencatatkan taburan hujan tertinggi iaitu 1,295 mm yang bersamaan dengan taburan hujan bagi 64 hari. Secara umumnya, berlaku peningkatan taburan hujan melebihi 40% daripada purata jumlah taburan hujan jangka panjang.

(ii) Peningkatan Paras Air Sungai

Berikutan taburan hujan yang tinggi, paras air di tiga sungai utama; Sg. Galas (Dabong), Sg. Lebir (Tualang) dan Sg. Kelantan yang mempertemukan Sg. Galas dan Sg. Lebir di Kuala Krai mengalami peningkatan 8 hingga 9 meter melebihi paras maksima sehingga mengakibatkan banjir di kawasan sepanjang Sg. Kelantan meliputi Kuala Krai, Tanah Merah, Machang, Pasir Mas dan Kota Bharu.

Air dari Sg. Galas juga melalui Jeli dan Gua Musang, manakala Sg. Lebir melalui Manek Urai.

Sg. Golok di sempadan Malaysia-Thailand juga mengalami limpahan sehingga mengakibatkan banjir di 13 daerah di Narathiwat dan Rantau Panjang.

Sg. Semerak di Pasir Puteh pula berada pada paras amaran.

(iii) Faktor-faktor Alam

Gabungan faktor-faktor alam seperti bulan berada dalam kedudukan Perigee (iaitu pada jarak 364,790 km dari bumi) pada 25 Disember 2014 dan fasa Bulan Baru (New Moon) pada 22 Disember 2014 yang berlaku dalam selang masa hanya 2 hari ini menyebabkan terjadinya Perigean Spring Tide.

Walaupun ketika Perigean Spring Tide banjir tidak selalunya berlaku dan air laut pula hanya pasang sedikit, namun jika ada angin yang kuat dari laut menuju ke darat, boleh mengakibatkan terjadinya banjir.

Angin Monsun Timur laut yang bertiup kencang dari Laut China Selatan telah melengkapkan syarat untuk berlakunya banjir besar di Kelantan.

3. Menuduh punca banjir besar di Kelantan berpunca semata-mata akibat pembalakan di Tanah Tinggi Lojing di Gua Musang adalah tidak berasas sama sekali kerana paras air tinggi yang dicatatkan di Sg. Galas, Sg. Lebir, Sg. Kelantan dan Sg. Golok adalah datangnya dari beberapa anak sungai di lokasi jajaran pergunungan yang berbeza antaranya Gunung Stong, Taman Negara Kuala Koh, Gunung Tahan di Taman Negara Pahang dan jajaran pergunungan di daerah Waeng, Narathiwat.

4. Keluasan Gua Musang, Kuala Kerai dan Jeli adalah mewakili 79.3% daripada luas keseluruhan Kelantan dan 39% daripada keluasan tanaman atau aktiviti pertanian di Kelantan datangnya dari 3 daerah itu sahaja. Adapun selut yang tebal itu adalah terhasil daripada tanah-tanah yang terlibat dengan aktiviti pertanian ini selepas ditenggelamkan lebihan air deras setinggi 8 hingga 9 meter tadi.

5. Berkenaan mangsa banjir yang ramai pula, polulasi rakyat Kelantan yang tinggal di kawasan sepanjang Sg. Kelantan meliputi Kuala Krai, Tanah Merah, Machang, Pasir Mas dan Kota Bharu yang dilanda banjir adalah mewakil 65% daripada keseluruhan populasi rakyat Kelantan. Oleh sebab itulah bilangan mangsa banjir di Kelantan lebih tinggi berbanding di negeri-negeri lain.

6. Sekali lagi saya berharap fokus kita ketika ini untuk membantu mangsa-mangsa banjir tidak terganggu dengan fitnah-fitnah yang dilemparkan terhadap Kerajaan Negeri Kelantan di bawah kepimpinan YAB Ustaz Dato’ Hj. Ahmad bin Yakob.

Sekian.

No comments:

Post a Comment