PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Wednesday, 17 December 2014

Dalami Agama Sebelum dan Apabila Menjadi Pemimpin

NASIHAT AGAMA dan WASIAT IMAN ; Dalami Agama Sebelum dan Apabila Menjadi Pemimpin

1. Imam Bukhari menyebut dalam kitab Sahihnya dalam kitab Iman Bab Rasa Dengki dalam Ilmu dan Kebijaksanaan
وَقَالَ عُمَرُ بن الخطاب رضي الله عنه : " تَفَقَّهُوا قَبْلَ أَنْ تُسَوَّدُوا " اهـ قَالَ أَبُو عَبْد اللَّهِ البخاري رحمه الله :" وَبَعْدَ أَنْ تُسَوَّدُوا وَقَدْ تَعَلَّمَ أَصْحَابُ النَّبِيّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي كِبَرِ سِنِّهِمْ " اهـ
Dan Umar bin al-Khattab radiyallahu anhu berkata; "tafaqquhlah kamu (fahamilah agama secara mendalam) sebelum kamu dilantik menjadi pemimpin". Berkata Imam Bukhari; "dan juga selepas kamu menjadi ketua dan pemimpin. Sememangnya para Sahabat Nabi saw belajar ketika mereka di usia tua."

2. Pengajarannya ialah tuntutlah ilmu agama Islam secara mendalam khususnya perkara asas melibatkan aqidah, asas ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji, seterusnya asas hukum-hakam perkahwinan, asas mu'amalat dan asas perundangan jenayah. Begitu juga ilmu tasawwuf, akhlak dan pembersihan jiwa.

3. Bagi pemimpin politik khususnya fahamilah dengan mendalam asas-asas politik, pentadbiran dan tatakenegaraan dalam Islam, fiqh Jihad, fiqh hubungan antarabangsa, fiqh jenayah Islam, asas ekonomi dan kewangan Islam serta asas sistem sosial Islam.

4. Proses mendalami agama sewajarnya berlaku ketika masih kecil dan muda sebelum membesar menjadi orang besar, pemimpin dan ketua. Sekiranya ia tidak dipelajari sebelum itu maka tentulah rasa malu untuk belajar menjadikan pemimpin kekal dalam keadaan jahil lalu di saat itu pemimpin tersesat dan boleh menyesatkan pengikutnya.  

5. Nabi saw menjelaskan bahaya apabila ketiadaan orang alim berilmu tentang agama dalam hadis Sahih Muslim;

إِنَّ اللَّهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ النَّاسِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ
"Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan dicabutnya daripada orang ramai tetapi mencabut ilmu dengan mematikan Alim Ulamak (agama)"

حَتَّى إِذَا لَمْ يَتْرُكْ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالًا فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا
"sehinggalah apabila tiada lagi seorang alim maka orang ramai mengambil ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin jahil (agama) lalu mereka ditanya lantas mereka memberikan pandangan tanpa ilmu maka mereka menjadi sesat dan menyesatkan".

6. Berkata pula Abdullah ibnu Umar radiyallahu anhuma

(لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا أَخَذُوا الْعِلْمَ عَنْ أَكَابِرِهِمْ فَإِذَا أَتَاهُمْ مِنْ أَصَاغِرِهِمْ فَقَدْ هَلَكُو)
"masyarakat berada dalam keadaan baik selagi mereka mengambil ilmu daripada pembesar (ilmu). Maka apabila ilmu datang daripada orang-orang kecil ilmunya maka mereka menjadi binasa"

Sekian.

Disediakan oleh al-Faqiir ilaLlah

Ust Dato' Dr Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

Rabu 17 Disember 2014 / 24 Safar 1436H

No comments:

Post a Comment