PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Monday, 8 December 2014

BIJAKSANAKAH KERAJAAN BN APABILA BERHARAP HARGA MINYAK DUNIA TURUN?

Kenyataan Media

BIJAKSANAKAH KERAJAAN BN APABILA BERHARAP HARGA MINYAK DUNIA TURUN?

Oleh :
YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
(Ahli Parlimen Kuala Nerus)

Ahad 7 Disember 2014 / 14 Safar 1436H

1. Kerajaan sebelum ini ketika memutuskan kaedah pengapungan terkawal harga minyak berdasarkan purata harga bulanan yang bersandarkan kepada harga pasaran semasa turut berkata bahawa keadaan itu mengajar rakyat supaya berdoa agar harga minyak turun. Itulah yang ditulis oleh seorang Menteri di dalam twitternya. Jelas beliau, caranya ialah dengan mengharapkan agar OPEC tidak mengurangkan pengeluaran minyak. Maka dengan itu, harga minyak akan jatuh. Jadi, kesannya ialah Kerajaan Malaysia boleh menurunkan harga RON95.

2. Saya merasakan inilah kenyataan paling tidak cerdik dikeluarkan oleh seorang Menteri. Sedarkah kita bahawa apabila harga minyak di pasaran dunia turun maka pendapatan negara daripada hasil minyak menerusi PETRONAS juga akan menurun. Inilah yang ditegaskan dan dijelaskan oleh CEO PETRONAS, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.

3. Sepatutnya yang diajar ialah berdoa supaya harga minyak naik. Lalu Kerajaan mendapat hasil keuntungan berlipatkali ganda menerusi PETRONAS. Keuntungan itulah yang patut digunakan untuk menurunkan harga minyak bagi rakyat Malaysia menerusi pemberian subsidi. Sangat malanglah, apabila pada saat Kerajaan mendapat kemasukan hasil yang lumayan daripada hasil minyak, ia tidak digunakan sepenuhnya untuk membantu rakyat menikmati harga minyak yang rendah.

4. Malah, kebimbangan kepada hasil minyak yang akan habis dijadikan alasan untuk menarik subsidi minyak. Di samping alasan bahawa subsidi minyak sepatutnya digunakan secara lebih "bersasar" kononnya. Lalu sistem pengapungan harga minyak diperkenalkan. Kemudian menteri yang ‘bijaksana’ mengajar "harapnya harga minyak akan lebih murah (turun)".

5. Sedarkah Kerajaan bahawa minyak adalah nikmat hasil bumi yang diberikan oleh Allah. Nikmat hasil bumi dijanjikan oleh Allah akan terus dibuka dan dilimpahi sekiranya penduduk sesebuah negeri beriman dan bertaqwa sebagaimana firman Allah dalam surah al-A'raf ayat 96.

6. Kerajaan yang beriman dengan Allah sepatutnya sentiasa berdoa agar nikmat minyak dilimpahi dan ditambah oleh Allah. Yakin bahawa nikmat yang disyukuri dengan dibelanjakan secara baik pasti akan ditambah.

لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
"Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahkan ke atas kamu nikmatKu, sebaliknya jika kamu kufur sesungguhnya azabKu sangat pedih.”
(Surah Ibrahim : 7)

7. Nikmat itu perlu digunakan sebaiknya untuk pembangunan rakyat. Apabila hasil bumi itu digunakan secara boros dan membazir atau ketirisan perbelanjaan di tempat yang tidak diperlukan maka ia akan ditarik oleh Allah. Penarikan nikmat itu berlaku tidak tunggu hasil bumi berkurang atau habis. Ia boleh berlaku menerusi penurunan harga yang memberi kesan kepada nilai hasil.

8. Hari ini Kerajaan menyebarluaskan kebimbangan hasil bumi minyak berkurang. Rakyat ditakut-takutkan. Kebimbangan Kerajaan kepada hasil minyak yang akan berkurang pengeluarannya dijadikan alasan oleh Kerajaan untuk memperluaskan sistem kutipan cukai. Kerana itu GST diperkenalkan. Alasannya ialah GST adalah sistem yang akan memperluaskan cakupan kutipan cukai. Hasil cukai akan bertambah kata Kerajaan. Dijangka Kerajaan akan berjaya mengutip sebanyak 20 bilion pada tahun 2015.

9. Minyak adalah hasil yang halal dikurniakan oleh Allah. Kerana bimbang hasil halal ini berkurang satu ketika nanti maka Kerajaan terlebih dahulu mencipta satu sumber hasil yang haram iaitu kutipan cukai GST yang dikenakan berdasarkan perbelanjaan rakyat.

10. Kerajaan sepatutnya perlu mengajak rakyat bersyukur dengan nikmat minyak kerana syukur menambahkan nikmat. Bukan sebaliknya iaitu dengan menakut-nakutkan rakyat dengan kebimbangan akan jadi miskin apabila hasil minyak dari perut bumi satu ketika nanti akan berkurang dan seterusnya habis. Mari kita beringat dengan peringatan Allah

الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُمْ بِالْفَحْشَاءِ وَاللَّهُ يَعِدُكُمْ مَغْفِرَةً مِنْهُ وَفَضْلًا وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

“Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan, dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji sedang Allah menjanjikan kepada kamu keampunan daripadaNya dan limpahan kurnia dan Allah Maha Luas lagi Maha Mengetahui.”
(Al-Baqarah : 268)

11. Inilah yang sedang dilakukan oleh Kerajaan hari ini. Kerajaan menakut-nakutkan rakyat bahawa negara akan miskin apabila hasil minyak berkurang. Rentetan itu Kerajaan memperkenalkan sistem cukai yang bercanggah dengan Islam dan haram iaitu GST.

12. Hari ini Kerajaan sudah merasai akibat daripada kekufuran dengan nikmat minyak iaitu harga minyak sedang turun. Menurut anggaran hasil Kerajaan pusat untuk tahun 2015, cukai pendapatan petroleum dikira berdasarkan harga minyak mentah, iaitu AS$110 setong bagi tahun 2014 dan AS$105 segelen bagi tahun 2015. Namun, harga minyak mentah telah turun sehingga mencecah AS$60 hingga AS$75 setong pada dua minggu terakhir ini.

13. Berita Harian bertarikh 4 November 2014 melaporkan bahawa RHB Research mengunjurkan bagi setiap penurunan AS$10 (RM33.17) setong dalam purata harga minyak mentah, hasil Kerajaan akan berkurangan sebanyak RM4 bilion.
Hasil minyak Kerajaan pula dijangka terjejas oleh harga minyak global yang lemah dan boleh turun kira-kira 15 peratus atau RM8.9 bilion, dengan mengandaikan harga minyak mentah Brent rendah pada AS$85 (RM282) setong berbanding unjuran Kerajaan pada AS$100 (RM332) setong. Untuk itu, hasil minyak Kerajaan diunjur jatuh kepada kira-kira RM59.1 bilion tahun depan atau 25.1 peratus daripada jumlah hasil Kerajaan, berbanding RM64.6 bilion atau 30 peratus daripada hasil Kerajaan tahun lalu.

14. Tidaklah ini satu kefakiran yang dibimbangkan! Namun kefakiran ini berlalu bukan menerusi pengurangan pengeluaran minyak Malaysia tetapi kerana kejatuhan harga minyak. Dan kejatuhan harga itulah yang didoakan oleh seorang Menteri Kerajaan dan diajar pula kepada rakyat untuk berdoa dengan doa bodoh seumpamanya.

15. Ironinya, awal Disember 2014 harga minyak mentah ialah AS$66.15 setong. Ertinya berdasarkan teori RHB Researach, Kerajaan akan kerugian hasil sebanyak 13bilion

16. Bayangkan Kerajaan mengharapkan penambahan hasil 20 Bilion bulan April 2015 daripada sumber GST yang haram. Namun, terlebih dahulu Allah menarik hampir 13 bilion hanya pada Disember 2014.

17. Sekali lagi saya menegaskan bahawa sistem percukai GST adalah haram kerana ia adalah cukai yang diambil berdasarkan perbelanjaan. Sedangkan cukai yang dibenarkan oleh Islam hendaklah diambil berasaskan pendapatan dengan pelbagai lagi syarat-syarat lain.

18. Ringkasnya, Kerajaan perlu menarik balik GST, mengembalikan subsidi minyak rakyat sebagai tambahan sistem pengapungan harga dan berdoa agar harga minyak kembali naik agar menghasilkan penambahan hasil dan keuntungan berganda kepada Kerajaan.

Sekian.

Sila lawati blog rasmi Ahli Parlimen Kuala Nerus di : www.drtakiri.blogspot.com

No comments:

Post a Comment