PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Monday, 13 October 2014

Kenyataan Media BAJET 2015 : BELA ATAU ANIAYA RAKYAT?

Kenyataan Media
BAJET 2015 : BELA ATAU ANIAYA RAKYAT?

Oleh :
DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

1. Bajet 2015 yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan pada Jumaat lalu dengan peruntukkan dana berjumlah RM273.9 bilion meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM223.4 bilion dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM50.5 bilion adalah masih kekal sebagi bajet defisit dengan unjuran pendapatan sebanyak RM235.2 bilion; menjadikannya bajet kali ke-17 berturut-turut mengalami keadaan perbelanjaan melebihi pendapatan.

2. Dengan angka yang dibentangkan itu, jumlah perbelanjaan mengurus mewakili 82% daripada keseluruhan dana yang diperuntukkan. Menuju ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, sepatutnya perbelanjaan mengurus hanya berjumlah 70-75% sahaja daripada keseluruhan perbelanjaan. Keadaan bajet defisit dan perbelanjaan mengurus yang tinggi ini menggambarkan ketidakcekapan Kerajaan dalam merancang dan mengurus perbelanjaan negara.

3. Lebih mendukacitakan, penat-lelah dan jerit-perih rakyat kebanyakan yang mengerjakan tulang empat kerat mereka dengan bekerja seharian, berhari-hari seminggu, hanya digembirakan dengan pemberian insentif, bonus dan ‘one-off giving’, termasuklah penambahan pembayaran BR1M. Sedangkan ia hanyalah berupaya untuk mengurangkan bebanan secara sementara dan bersifat penyelesaian tidak menyeluruh dalam membantu rakyat berhadapan dengan tekanan kanaikan kos sara hidup, sementelah lagi dengan pelaksanaan GST dan rasionalisasi subsidi yang akan memberikan kesan bebanan jangka panjang terhadap rakyat.

4. Apatah lagi pelaksanaan GST di negara ini hakikatnya adalah untuk mencipta hasil baru atau meningkatkan pendapatan negara dan falsafahnya pula tidak seperti pelaksanaannya di negara-negara maju yang bertujuan memastikan satu sistem percukaian yang saksama dan menyeluruh, merangsang rakyat untuk menambah simpanan dan tidak boros dalam perbelanjaan. Pada masa yang sama, pemboroson, ketirisan dan monolopi tidak dibendung secara berkesan. Rakyat pula dipaksa mengeluarkan wang dari poket sendiri untuk untuk menanggung semua itu.

5. Rasionalisasi subsidi bahan api yang memberi kesan kepada kenaikan harga petrol dan diesel pula bukan sahaja menambah beban kos pengangkutan setiap rakyat, bahkan memberi kesan berantai peningkatan kos pelbagai barangan dan perkhidmatan. Langkah pengurangan subsidi ini juga akan menyebabkan kos produktiviti meningkat dan kuasa beli atau ‘purchasing power’ rakyat semakin lemah.

6. Kecuaian dan kegagalan Kerajaan dalam meneliti impak sosio-ekonomi terhadap rakyat dengan pelaksanaan GST dan pemotongan subsisidi bahan api menyebabkan rakyat sebenarnya dianiaya dan bukannya dibela melalui bajet ini.

Isnin 13 Oktober 2014 / 18 Zulhijjah 1435

No comments:

Post a Comment