PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Friday, 3 October 2014

Kenaikan Harga Minyak: Meruntuh Nilai Manusiawi - Nik Abduh

Kenaikan Harga Minyak: Meruntuh Nilai Manusiawi

Islam telah menetapkan pengurusan ekonomi yang lebih tersusun bermatlamat untuk memastikan sumber hasil alam dapat dikongsi oleh semua manusia dengan sejahtera. Pengurusan sumber ekonomi mesti berdasarkan konsep ketelusan dan amanah yang tinggi bagi memastikan aturan ekonomi dapat berlaku dengan baik.

Ekonomi negara kita hari ini berada dalam keadaan simpang siur. Bermula dari sumber pendapatan negara hasil dari hutang dan cukai yang menekan kehidupan rakyat sehinggalah kepada ketirisan, pembaziran dan ketidakefisyenan pengurusan perbelanjaan negara. Daripada kebobrokan ideologi sistem kapitalisma sehingga kebobrokan pengurusan ekonomi. Segala-galanya rosak dan terus merosak!

Sistem ekonomi ciptaan manusia ini mengikis sifat kemanusiaan. Ekonomi hanya berkiblatkan material. Keuntungan maksimum adalah matlamat utama. Akhirnya ia merosakkan manusia yang berkejar ke arahnya dan mematikan perasaan kasih dan sayang terutama kepada golongan fakir dan miskin.

Inilah yang sedang membarah di dalam negara kita hari ini. Kenaikan harga minyak petrol RON95 dan Diesel yang diumumkan kerajaan semalam membuktikan mudahnya sifat rahmat sesama manusia terhakis daripada kerajaan kita. Ini bukanlah pertama kali kerajaan mengumumkan rasionalisasi subsidi bahan api ini yang memberikan kesan berantai kepada barangan dan perkhidmatan yang lain secara tidak langsung.

Hutang kerajaan hari ini berada pada paras yang bahaya melebihi separuh dari saiz ekonomi negara yang ditunjukkan dengan nilai KDNK negara. Kerajaan dilihat begitu terdesak untuk mendapatkan sumber pendapatan yang lebih bagi menampung perbelanjaan mengurus negara yang bocor dan sudah tidak mampu ditampung.

Dalam keadaan begini, kerajaan sanggup menjadikan rakyat mangsa keadaan.

Ketika kos sara hidup yang membengkak, pengangguran yang meningkat, industri perumahan yang terus mengembung, kebanjiran pekerja asing, kurangnya tenaga kerja mahir tempatan, kerajaan sewenangnya meningkatkan lagi masalah ekonomi kepada rakyat. Pengurusan ekonomi negara semakin bertambah kusut.

Pengaruh sikap dalam pengurusan ekonomi negara juga tidak diambil perhatian, tetapi apabila diselidiki kemelut ekonomi negara yang berlaku hari ini, rata-rata akan meletakkan punca utama daripada masalah yang berlaku adalah disebabkan masalah sikap termasuk pembaziran, tiris dan sebagainya.

Ekonomi Islam tidak hanya membincangkan soal angka dan nombor, tidak hanya pada bentuk kejayaan material tetapi melengkapi soal kepercayaan kepada pembalasan di hari akhirat dan keutamaan kepada kebajikan sosial masyarakat. Perkara ini bukanlah perbincangan utama dalam sistem ekonomi yang diamalkan hari ini. Malah, ekonomi hari ini tidak meletakkan keutamaan kepada kebajikan masyarakat miskin dan fakir sepertimana prinsip yang ditegakkan oleh Islam. Kesannya, polisi kerajaan terhadap subsidi dan sebagainya tidak pernah melihat kepada kebajikan golongan tersebut.

Segala-galanya semakin merosak dan apabila sampai masanya, kerosakan itu akan sampai kepada kemuncaknya.

Adakah kita hanya akan menunggu sehingga kerosakan itu menjadi terlalu sukar untuk dipulihkan? Sudah terhantuk baru terngadah.

Islam datang untuk membina, bukan hanya untuk dipanggil saat negara berhadapan kemelut nazak ekonomi.

Negara kita memiliki kepakaran dan kesarjanaan tinggi dalam pengurusan ekonomi Islam. Kerajaan mestilah memiliki keinginan dan azam yang tinggi untuk berubah. Atau, jika tidak, kerajaan berhadapan kemarahan rakyat dan berakhir dengan kejatuhan yang mereka sendiri ciptakan.

Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Ahli Parlimen Pasir Mas

No comments:

Post a Comment