PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Wednesday, 3 September 2014

KEMBALI KEPADA PEMERINTAHAN ISLAM DENGAN MINDA MERDEKA

KEMBALI KEPADA PEMERINTAHAN ISLAM DENGAN MINDA MERDEKA

1. Merdeka adalah istilah yang digunakan sebagai lawan kepada penjajahan. 31hb Ogos 1957 adalah tarikh kemerdekaan bagi negeri-negeri yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu. Sabah dan Sarawak juga turut merdeka apabila terbentuknya Malaysia pada 16hb September 1963.

2. Sejak bila Malaysia atau sebelumnya Persekutuan Tanah Melayu dijajah? Adalah tidak tepat apabila dikatakan Malaysia secara umumnya dikatakan dijajah ratusan tahun. Hal ini kerana tarikh penjajahan negeri-negeri yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka pada tahun 1957 adalah tidak sama.

3. Paling lama adalah Melaka yang dijajah sejak tahun 1511 oleh Portugis, seterusnya Belanda dan terakhir Inggeris. Melaka adalah negeri yang dijajah ratusan tahun iaitu selama 446 tahun.

4. Selepas Perjanjian Pangkor 1874 negeri Perak menerima Residen British. Seterusnya Selangor pada bulan Ogos tahun 1874 dan Pahang pada tahun1988. Sembilan negeri disatukan oleh Inggeris dan kemudian dipanggil Negeri Sembilan pada tahun 1895.

5. Selepas perjanjian Bangkok pada 9hb Julai 1909, penasihat British dipaksa untuk diterima di Negeri Kedah, Perlis dan Kelantan pada tahun1909.  Johor dipaksa terima pada tahun 1914 dan paling akhir Negeri Terengganu pada  1919.

6. Ertinya Persekutuan Tanah Melayu secara umumnya kecuali Melaka tidak dijajah untuk tempoh yang panjang. Jika diambil tarikh tahun 1874 maka paling lama negeri-negeri Melayu dijajah ialah selama 83 tahun.

7. Untuk tempoh sebelum 1874 bagaimana kedudukan negeri-negeri Melayu? Jawapannya ialah sembilan negeri-negeri Melayu Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan adalah negeri-negeri yang berdaulat dan merdeka. Kedaulatan mereka adalah bersumberkan Islam yang menjadi rujukan pemerintahan raja-raja Melayu.

8. Hukum Kanun Melaka yang merujuk kepada Islam digubal zaman Sultan Muhammad Syah (1422 - 1444) dan dilengkapkan di zaman Sultan Muzaffar Syah (1445 - 1450).

9. Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan Perak yang merujuk kepada Islam digubal pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin, Sultan Perak ke 3 (1577-1584 M).

10. Hukum Kanun Pahang yang merujuk kepada Islam digubal tahun 1596 - Sultan Abdul Ghafur Muhaiyyuddin Syah, Sultan Pahang ke-12 dan berketurunan raja Melaka.

11. Undang-undang Kedah digubal pada tahun 1060H/1650M) oleh Sultan Rijaluddin Muhammad Syah, 1619-1652M) seterusnya Tembera Dato' Seri Paduka Tuan 1075H/1667M oleh Sultan Dhiauddin Mukarram Shah I (1661-1688M) pada hari Isnin bulan Rabbi-I'I-awal tahun 1078H. Kedua-duanya bersumberkan Islam

12. Undang-undang Johor yang bersumberkan Islam digubal oleh Sultan Mahmud Syah (1761 - 1821) dan mula berkuatkuasa pada tahun 1789.

13. Penjajah Inggeris mengenepikan undang-undang Islam dan adat Melayu dan menggantikannya dengan undang-undang Inggeris di Tanah Melayu yang telah dijajah itu dengan dua cara iaitu :

a- Pertamanya dengan mengadakan undang-undang yang memerlukan undang-undang Inggeris itu diikuti.

b-Keduanya dengan mengadakan mahkamah diketuai oleh hakim-hakim yang dapat mentadbir dan ada kalanya memasukkan undang-undang Inggeris.

14. Apabila merujuk kepada kes-kes yang diputuskan di Mahkamah, Hakim Inggeris yang bertugas di Tanah Melayu tidak menafikan kedudukan Islam sebagai undang-undang asal Tanah Melayu. Contohnya kes Rahmah v. Laton pada tahun 1927 melibatkan pertikaian antara dua orang isteri terhadap harta sepencarian yang ditinggalkan oleh suaminya selepas suami meninggal. Mahkamah telah memutuskan bahawa Undang-undang Islam bukanlah undang-undang asing tetapi ia merupakan undang-undang asal yang wujud dan diterima pakai serta dilaksanakan di Tanah Melayu.

15. Di era penjajahan, undang-undang muamalat dan jenayah dianggap urusan keduniaan yang tidak kaitan dengan Islam. Akhirnya yang dianggap urusan agama dan adat-istiadat hanya merujuk kepada urusan ibadah dan perkahwinan yang dipanggil ‘personal law’ sebagaimana pada tahun 1880, Inggeris memperkenalkan Ordinan yang dipanggil Muhammedan Marriage Ordinance (Ordinance no. 5, 1880).

16. Minda merdeka bererti meninggalkan penjajahan dan sistem pemerintahan penjajah dan kembali kepada Islam. Inilah kemerdekaan yang diperjuangkan oleh PAS. Maka PAS tidak berjuang untuk hanya meruntuhkan sistem jahiliyah warisan penjajah yang diwarisi oleh Barisan Nasional lalu digantikan dengan jahiliyah baru ya g diterajui oleh insan berbeza.

17. PAS tidak berkempen mengajak masyarakat meninggalkan mana-mana parti jahiliyyah untuk bersama dengan parti jahiliyah baru tetapi menyeru untuk meninggalkan sistem jahiliyah secara total untuk bersama dengan Islam. Perjuangan PAS adalah misi para Nabi sebagaimana firman Allah:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ ۖ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلَالَةُ ۚ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ

Maksudnya:

"Dan sememangnya Kami telah bangkitkan pada setiao umat seorang Rasuk untuk menyeru; hendaklah kamu mengabdikan diri kepada Allah dan hendaklah kamu menjauhi taghut-taghut. "

Surah Al-Nahl ayat 36.

18. Minda Merdeka menuntut pemerintahan dikembalikan Allah sebagaimana firman Allah:

{إن الحكم إلا لله أمر ألا تعبدوا إلا إياه ذلك الدين القيم} [يوسف: الآية 40].

إن الحكم إلا لله

"Tiada hukum pemerintahan melainkan milik Allah. Dia memerintahkan agar kamu tidak menjadi hamba melainkan kepada-Nya. Itulah ad-Din yang lurus".

Surah Yusuf ayat 40.

19. Inilah seruan kemerdekaan oleh Rib'i bin Aa'mir di hadapan pemerintah taghut:

الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة الله ومن جور اﻷديان إلى عدالة اﻹسلام ومن ضيق الدنيا إلى سعة اﻵخرة

"Allah mengutuskan kami untuk kami berjuang mengeluarkan sesiapa yang Dia mahu daripada :

1. Daripada perhambaan kepada manusia kepada perhambaan kepada Allah

2. Daripada kezaliman agama dan fahaman (isme) kepada keadilan Islam

3. Daripada kesempitan dunia kepada keluasan Akhirat"

20. Marilah kita perjuangkan MINDA MERDEKA yang bebas daripada pengabdian kepada taghut selain daripada Allah termasuklah taghut pemikiran dan isme-isme sekularis, komunis, sosialis atau liberalis. Kembalilah kepada Islam.

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
3hb September 2014

No comments:

Post a Comment