PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Sunday, 3 August 2014

Hipokeasi Isu MB Selangor

Roslan
Published: 1 August 2014

Jari-jari ini tidak dapat menahan daripada mengetuk papan muka komputer riba kerana terlalu banyak amarah dan perasaan yang sakit. Terasa banyak yang ditipu dan dikhianati. Mahu sahaja mukadimah ini dimulakan dengan maki hamun, tetapi memikirkan kami rakyat semakin matang dan kami tidak mahu kelihatan sama seperti sebahagian ahli politik yang suka mempamerkan kebodohan mereka di alam maya.

Oleh itu, naskhah ini dibawakan dengan tujuan mengetuk dunia hipokrasi ahli politik apabila berhadapan dengan isu menteri besar (MB) Selangor.

Double standard

Pembinaan lebuh raya Kidex dikatakan menjadi antara faktor utama usaha untuk menyingkirkan Tan Sri Khalid Ibrahim daripada jawatan MB Selangor. Antara hujah utama yang dicanangkan ialah pembinaan lebuh raya Kidex yang bertentangan dengan aspirasi Pakatan Rakyat (PR) iaitu menolak pelaksanaan lebuh raya bertol, tidak mengambil kira pandangan masyarakat sivil dan terdapat unsur kronism yang berkait rapat dengan Umno.
Jika benar ini menjadi hujah sandaran mereka, maka akan terdapat kontradiksi yang besar dan double standard dalam PR. Apakah projekPenang Undersea Tunnel di Pulau Pinang yang menelan belanja RM6.3 bilion itu menggambarkan aspirasi PR yang tidak mahu lebuh raya bertol? Ini kerana menurut laporanThe Edge Financial Daily (30 September 2013), akan terdapat konsesi tol selama 30 tahun untuk projek ini. Ya, 30 tahun!

Consumers Association of Penang (CAP) menerusi Presidennya, S.M Mohamed Amin juga mengkritik keras Lim Guan Eng kerana projek ini mengabaikan bantahan dan kritikan sejumlah NGO kerana projek ini dikatakan boleh memberikan impak negatif yang besar terhadap alam sekitar.

CAP juga mendesak supaya kajian lebih mendalam dilakukan agar dapat memberikan analisis terperinci tentang keperluan dan impak projek ini terhadap masyarakat dan alam sekitar Pulau Pinang.

Mengapa ada dua reaksi berbeza pada isu yang prinsipnya sama? Kenapa tiada desakan untuk Lim Guan Eng meletakkan jawatan sebagai ketua menteri kerana membelakangkan aspirasi PR?

Isu konsesi air di Selangor juga dicanang menjadi alasan yang kukuh untuk menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim daripada tampuk MB Selangor. Persoalan demi persoalan timbul berkaitan dengan isu konsesi sehingga menimbulkan keraguan yang munasabah.

Terbaru, Raja Petra Kamaruddin (RPK) di dalam laman blognya mendedahkan wujud campur tangan Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau didakwa mengaturkan pertemuan antara Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah dengan Tan Sri Khalid Ibrahim mengenai tawaran harga pengambilalihan Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (Splash) oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Sehingga saat ini, Tan Sri Khalid Ibrahim sudah selesai memulakan tawaran pengambilalihan kesemua syarikat konsesi air kecuali Splash dengan termeterainya “Heads of Agreement”.

KDEB membuat tawaran pembelian dengan harga RM250.6 juta tetapi Splash menuntut dengan harga sebanyak RM2.5 bilion. Tan Sri Khalid Ibrahim dikatakan tetap berdegil dengan tawaran RM250.6 juta dan memaksa Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaturkan pertemuaan antara mereka berdua.

Aturan pertemuan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dinafikan oleh Tan Sri Wan Azmi apabila menjawab tuduhan RPK di dalam laman blognya dan mendakwa ia dilakukan atas kapasiti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi Selangor. Kenyataan balas beliau boleh dibaca dilaman blog RPK.

Tan Sri Wan Azmi bukan sekadar salah seorang seorang pemegang saham di dalam Splash, tetapi lebih daripada itu. Beliau merupakan salah seorang ahli Lembaga Pengarah Institut Rakyat yang menjadi kumpulan pemikir (think tank) kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tidakkah tindakan menggunakan Anwar Ibrahim mengundang rasa curiga terhadap kewujudan unsur kronism? Ini ditambah lagi dengan kenyataan Rafizi Ramli yang menyatakan perjanjian air di Selangor akan dikaji semula jika MB Selangor bertukar tangan seperti yang dilaporkan The Edge Malaysia (23 Julai 2014).

Apakah akan ada kemungkinan tawaran harga RM250.6 juta itu akan menjadi RM2.5 bilion jika MB Selangor bertukar? Urusan yang melibatkan aset dan kepentingan awam bukan hanya setakat perlu bersih, tetapi ia juga perlu kelihatan bersih!

PAS keluar Pakatan Rakyat

Apabila petikan perbincangan tertutup di antara Dr Zuhdi Marzuki dan rakan-rakan AJK PAS Pusat bocor, maka terdapat kritikan yang maha hebat daripada PKR dan DAP yang meminta tindakan itu dan ini daripada presiden PAS terhadap Dr Zuhdi Marzuki.

Hal ini dapat difahami dengan mudah sebenarnya, tetapi ada sebahagian politikus yang cuba mengambil kesempatan menggunakan isu ini untuk mengaburi isu lain yang lebih besar.

Sebagai seorang yang menjawat jawatan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli tidak perlu berpura-pura menjadi naïf dengan membuat reaksi terkejut bercampur marah terhadap isi perbincangan yang dibocorkan itu.

Sebagai sebuah organisasi politik besar, PAS apabila membincangkan sesuatu isu mengambil kira beberapa keadaan dan senario adalah suatu tindakan yang rasional dan wajar.

Bagaimana PAS sebagai sebuah parti politik berjiwa besar mahu bergerak kehadapan jika kepimpinan tertingginya gagal menimbangkan beberapa senario yang akan melibatkan masa depan partinya apabila membincangkan sesuatu isu?

Apakah ahli tertinggi PKR dan DAP tidak pernah sekali pun menimbangkan tentang kemungkinan untuk mereka “keluar daripada Pakatan” dalam perbincangan sama ada formal atau tidak sesama mereka? Jika tidak, maka dapatlah difahami mengapa “Langkah Kajang” itu dilihat sebagai tindakan politik yang gagal dan penuh dengan penipuan.

Antara isu lain yang ditimbulkan ialah unsur perkauman dan ayat yang kelihatan agak kasar digunakan oleh Dr Zuhdi Marzuki. Hal ini dijawab sendiri Dr Zuhdi Marzuki di laman sosial dan mereka yang mahu mendapatkan penjelasan bolehlah merujuk kenyataan penuh beliau.

Double standard sekali lagi berlaku apabila reaksi balas yang ditunjukkan oleh pemimpin PKR dan DAP tidak sama dalam isu yang ditimbulkan oleh pemimpin DAP Sarawak apabila pengerusi DAP Sarawak secara terbuka mengugut untuk keluar dari PR Sarawak jika PAS terus dengan agenda hududnya.

Mengapa kecaman terhadap ugutan terbuka oleh pemimpin DAP tidak seteruk cadangan dan analisa tertutup mengenai senario PAS keluar PR? Mengapa kritikan tajam kelihatan begitu selektif dan lebih tertumpu terhadap PAS sedangkan PR sedang berhadapan dengan isu dalaman yang lebih serius?

Melangkah rakyat

“Langkah Kajang” adalah satu perancangan politik yang gagal. Ia bermula dengan penipuan dan sedang berakhir dengan kegagalan. “Langkah Kajang” merupakan satu bentuk menifestasi politik berkepentingan yang membelakangkan rakyat dan rakan seteru di dalam PR.

PKR ketika merencana rancangan ini membelakangkan rakan-rakan pakatannya dan ketika melaksanakannya pula membelakangkan rakyat. Beberapa tinjauan umum yang dilakukan seperti oleh Astro Awani menunjukkan majoriti rakyat Selangor mahu Tan Sri Khalid Ibrahim kekal menjadi MB Selangor.

Jika “Langkah Kajang” boleh dinamakan semula, “Melangkah Rakyat” mungkin nama yang padan.

Apabila rakyat memberi “mandat” kepercayaan kepada PR menerusi 52% undi popular bukan bermaksud rakyat mahu menukar kerajaan BN kepada kerajaan PR semata. Apa yang rakyat mahu ialah penukaran kepada sebuah kerajaan lebih berprinsip dan berintegriti.

Sebuah kerajaan lebih bersih dan tidak korup. Inilah faktor utama mengapa peralihan mandat undi popular berlaku. Jika prinsip dan integriti rakyat dikhianati, tidak kira kerajaan apa, BN atau PR, kami tidak segan silu menukar kepada yang lain! – 1 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/hipokrasi-isu-mb-selangor-abdul-azim-roslan#sthash.BmeXMsng.dpuf

No comments:

Post a Comment