PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Saturday, 5 July 2014

Rasulullah SAW Paling Berkebajikan pada bulan Ramadhan

Tazkirah Ramadhan Dr Takiri (siri 3)
Rasulullah SAW Paling Berkebajikan di Bulan Ramadhan

عن عبدالله بن عباس رضي الله عنهما قال : " كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود الناس ، وكان أجود ما يكون في رمضان حين يلقاه جبريل ، وكان يلقاه في كل ليلة من رمضان فيدارسه القرآن ، فلرسول الله صلى الله عليه وسلم أجود بالخير من الريح المرسلة " . رواه البخاري

Diriwayatkan daripada Abdullah ibn Abbas radiyallahu 'anhuma berkata; "Adalah Rasulullah saw orang paling berkebajikan ( أجود ). Baginda bersifat paling berkebajikan ( أجود ) pada bulan Ramadhan ketika baginda saw bertemu Jibril. Baginda bertemu Jibril pada setiap malam Ramadhan lalu bertadarus menyemak bacaan al-Quran. Rasulullah benar-benar lebih berkebajikan ( أجود )
melakukan kebaikan berbanding angin yang diutuskan"

Hadis Sahih Bukhari

Pengajaran Hadis

1. Sifat berkebajikan ( الجود )menurut Syara' ialah  memberi apa yang patut dan wajar kepada orang yang patut dan wajar. Ia lebih luas berbanding dermawan sedekah. Sedekah lebih terhad kepada harta namun berkebajikan merangkumi segala bentuk bantuan tenaga dan juga harta.

2. Tadaarus al-Quran atau menyemak bacaan al-Quran bermaksud seorang membaca manakala orang lain mendengar bacaan tersebut. Hikmahnya ialah memperbaharui semangat dan motivasi untuk menjadi orang yang lebih kaya jiwa dan cintakan Akhirat khususnya apabila memahami cerita dan pengajaran al-Quran. Kaya jiwa dan cinta Akhirat adalah peransang yang mendorong seseorang melakukan kebajikan.

3. Analogi dengan "angin yang diutuskan" adalah simbolik kepada:

a. Simbolik sifat berkebajikan yang berterusan tidak terputus-putus serta istiqamah kerana angin sifatnya ialah sentiasa datang dan bergerak menolak awan yang membawa hujan rahmat tanpa henti.

b. Simbolik Kebajikan yang merangkumi semua pihak kerana hujan yang berlaku disebabkan angin memberi manfaat kepada semua sama ada manusia atau binatang atau tumbuh-tumbuhan. Juga merangkumi mereka yang beriman dan kufur, mukmin mahupun fasik.

c. Simbolik kepada bersegera melakukan kebajikan sebagaimana angin begitu laju dan cepat meniupkan awan yang membawa hujan.

4. Moga Allah jadikan kita di kalangan orang-orang yang paling berkebajikan sepanjang Ramadhan.

5. Jika kebajikan tidak mampu dilunaskan dengan harta maka lunaskanlah dengan tenaga mahupun fikiran. Jika harta tak mampu disediakan maka jadilah wakil-wakil dan orang-orang tengah yang mengusahakan harta sumbangan daripada orang yang mampu dan salurkan ia ke jalan Allah.

Disediakan oleh:
YB Ust Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Sabtu 7 Ramadhan 1435
5hb Julai 2014

No comments:

Post a Comment