PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Sunday, 29 June 2014

Ibadah dan Sunnah Berbuka Puasa

Tazkirah Ramadhan Dr Takiri (siri 2)

Ibadah dan Sunnah Berbuka Puasa

1. Berbuka puasa adalah sebahagian ibadah bagi orang yang berpuasa. Setiap ibadah mestilah dilaksanakan berdasarkan sunnah Rasulullah saw untuk mendapatkan semaksima pahala daripada Allah. Sunnah Nabi saw dalam berbuka adalah seperti berikut:

A. Nabi saw berbuka dengan Rutob (kurma masak yang masih basah, lembut dan manis). Kalau tiada Rutob diambilnya Tamar (kurma yang sudah mula kering, mengecut dan keras). Jika tiada juga maka dimulakan dengan air.

Perkara ini dijelaskan oleh Hadis riwayat Abu Dawud daripada Anas bin Malik r.a.

عن أنس بن مالك يقول: كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يفطر على رطبات قبل أن يصلي، فإن لم تكن رطبات فعلى تمرات، فإن لم تكن حساً حسوات من ماء
Maksudnya: "Rasulullah saw berbuka dengan beberapa biji Rutob sebelum mengerjakan solat. Jika tidak ada Rutob diambilnya Tamar. Jika tiada juga baginda saw mengambil beberapa teguk air"

Hadis ini juga menolak pandangan yang menyatakan didahulukan air zamzam ketika berbuka jika di Mekah.

B. Nabi saw menyegerakan berbuka sebaik sahaja tenggelamnya matahari sebelum mengerjakan solat Maghrib sepertimana sabda Nabi saw dalam Hadis Sahih Bukhari dan Muslim
لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر
Maksudnya: "Orang ramai dalam keadaan baik selagi mana mereka menyegerakan berbuka."

Menurut Imam at-Tibi, barangkali sebab Allah menyukai orang yang menyegerakan berbuka kerana apabila seseorang berbuka sebelum solat maka dia boleh menunaikan solat dalam keadaan hati yang hadir. Ia juga menyanggahi pelaku-pelaku Bidaah yang menyatakan wajib melewatkan berbuka. (Syarh Mishkat al-Masabih juz 4 hlm 183)

Adat kebiasaan orang Melayu ialah berbuka dengan hidangan berat iaitu nasi. Saya berpandangan sekiranya makanan tersebut telah terhidang sebaiknya dimakan terlebih dahulu kemudian barulah dikerjakan solat.

Tetapi sekiranya dijamah hidangan menyebabkan kelewatan keterlaluan pada solat Maghrib yang pendek masanya maka eloklah didahulukan dengan berpuasa yang ringan yang boleh menghilangkan lapar yang asas agar terjaga khusuk solat, kemudian dikerjakan solat seterusnya diikuti dengan hidangan berat tersebut jika perlu. Ini sesuai apabila berhadapan dengan majlis iftar yang ramai jamaah di surau dan masjid.

C. Nabi saw tidak memenuhkan perut baginda dengan makanan dan minuman apabila makan. Nabi saw bersabda dalam Hadis Hasan riwayat Ahmad, Tirmizi dan  Ibnu Majah:
ما ملأ آدمي وعاء شراً من بطن، بحسب ابن آدم أكلات يقمن صلبه، فإن كان لا محالة، فثلث لطعامه، وثلث لشرابه، وثلث لنفسه
Maksudnya: "Tidak memenuhi seorang anak Adam satu bekas lebih buruk daripada perut. Cukuplah untuk anak Adam itu beberapa suapan yang boleh menegakkan tulang belakangnya. Sekiranya tidak dapat tidak maka jadikanlah satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk pernafasannya."

Daripada penjelasan di atas wajarlah setiap orang yang berbuka berpada-pada dengan makanan yang disediakan untuk berbuka. Makanan yang terlalu banyak kerana mengikutkan kehendak nafsu ketika masih berpuasa boleh membawa kepada pembaziran yang diharamkan.

D. Berdoa dengan apa sahaja doa sebelum berbuka.
Nabi saw bersabda dalam Hadis riwayat Tirmizi yang dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albaani:
ثلاثة لا ترد دعوتهم الصائم حين يفطر
Maksudnya: "3 golongan tidak ditolah doa mereka antaranya orang yang berpuasa ketika dia berbuka"

E. Disunatkan memberi makan kepada orang berbuka sebagaimana saranan Nabi saw dalam Hadis dengan Sanad Sahih riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah
من فطر صائما كان له مثل أجره غير أمه لا ينقص من أجر الصائم شيئا
Maksudnya: "Sesiapa yang memberi makan berbuka kepada seorang yang berpuasa adalah baginya seperti pahala puasa orang tersebut tanpa kurang sedikit pahala puasa orang berpuasa itu."

Mudah-mudahan kita boleh mengamalkan segala sunnah berbuka ini sebaik-baiknya.

Disediakan oleh

Ust Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahad 1hb Ramadhan 1435
29hb Jun 2014

PM Ziarah Tuan Guru Preside

Perbezaan fahaman politik sememangnya tidak wajar menjadi halangan untuk ziarah fillah apatah lagi apabila diuji dengan sakit. Selayaknya pimpinan tertinggi negara menziarahi Tuan Guru Presiden yang kurang sihat. Tahniah kepada PM. Moga sunnah yang baik menjadi amalan seluruh umat Islam khususnya ahli-ahli politik sebagai ikutan kepada rakyat. 6.7.2014 PM akan hadir ke Parlimen Kuala Nerus dan mengerjakan solat Tarawih di Masjid Kg saya Bukit Tok Beng. Saya akan turut hadir solat bersama insyallah sebagai meraikan tetamu.

Sumbangab Derma Untuk Daruk Fuqaha

Sumbangan untuk pengurusan pendidikan Darul Fuqaha diperlukan

Sepetang Bersama Nelayan Mengabang Telipot

Jumaat 27hb Jun 2014 saya mengambil kesempatan di waktu petang untuk mendengar luahan daripada para nelayan di Mengabang Telipot. Turut hadir wartawan Sinar Harian Cik Huda. Fokus permasalahan bertumpu isu pukat tunda sama ada oleh nelayan besar tempatan atau nelayan asing yang merosakkan bubu dan pukat nelayan tempatan di samping memberi kesan kepada hasil tangkapan semasa kerana kerosakan ekosistem disebabkan oleh pukat tunda.

Kemerosotan hasil tangkapan akhir-akhir ini meskioun berada pada bulan jun dan bukannya musim tengkujuh memberi kesan kepada pendapatan mereka yang sudah sedia kecil. Secara purata pendapatan nelayan sekarang sekitar rm15 sehari. Kadang-kadang berlaku hasil yang diperolehi tak cukup untuk menampung kos diesel dan lain-lain.

Nelayan memerlukan sumber pendapatan lain sebagai tampungan. Pendapatan mereka sememangnya kecil. Barangkali koperasi nelayan yang aktif dengan peruntukan kerajaan serta pengurusan bisnes yang profesional mampu memberikan sumber pendapatan tambahan kepada mereka.

Selamat Me yambut dan Menghayati Keberkatan Ramadhan

Darul Fuqaha - Utama - http://darulfuqaha.net/

Tazkirah Ramadhan Dr Takiri (siri 1)

Selamat Menyambut dan Menghayati Keberkatan Ramadhan

1. Malam ini bermula 1 Ramadhan 1435 H. Saya mengucapkan selamat beribadah kepada seluruh umat Islam. Moga Ramadhan kali ini mampu menjadikan kita lebih bertaqwa kepada Allah.

2. Dalam banyak hadis Nabi saw bulan Ramadhan disebut sebagai bulan "mubaarak" iaitu bulan yang diberi keberkatan.

3. Keberkatan atau barakah merujuk kepada kebaikan yang banyak serta berpanjangan. Kebaikan yang ada pada bulan Ramadhan boleh dimanfaatkan dengan pelbagai ibadah bermula malam ini dengan 3 ibadah besar iaitu Solat Tarawih dan Solat Witir yang merupakan ibadah sunat pada malam ini dan seterusnya berpuasa yang merupakan ibadah wajib dengan menahan lapar dan menjaga pancaindera daripada maksiat pada esok harinya.

4. Ibadah-ibadah iringan lainnya antaranya ialah
1. Membaca al-Quran khususnya bertadarus seperti amalan Nabi saw bersama Jibril a.s.
2. Solat malam
3. Bersahur berasaskan sunnah Rasulullah saw
4. Berbuka puasa berasaskan sunnah Rasulullah saw
5. Membanyakkan Sedekah
6. Membanyakkan kebajikan
7. Membanyakkan zikir
8. Membanyakkan kuliah ilmu
9. Menjaga solat berjamaah
10. Beriktikaf di surau dan masjid

5. Ibadah-ibadah ini sekiranya dilakukan sepanjang Ramadhan secara lebih berfokus dan istiqamah mampu melahirkan muslim bertaqwa yang bukan hanya menjadi hamba di bulan Ramadhan tetapi juga hamba-hamba Allah sepanjang tahun sehingga ke bulan Ramadhan seterusnya.

6. Barakah Ramadhan serta kebaikannya boleh disaksikan menerusi beberapa kelebihan yang disebut dalam hadis-hadis Sahih antaranya 3 perkara iaitu pertama, terbuka pintu-pintu Syurga, kedua, ditutup pintu-pintu Neraka dan ketiga dibelenggu Syaitan-syaitan.

7. Diriwayatkan daripada sahabat Nabi saw, Anas r.a bahawa Nabi saw bersabda:
عن أنس رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : " هذا شهر رمضان جاءكم تفتح فيه أبواب الجنة وتغلق فيه أبواب النار وتسلسل فيه الشياطين "
Maksudnya: "Bulan Ramadhan ini telah datang kepada kamu. Pintu-pintu syurga terbuka, pintu-pintu neraka tertutup dan dibelenggu syaitan-syaitan"

Hadis riwayat Imam Nasaei dan dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albaani.

8. Diriwayatkan daripada sahabat Nabi saw, Abi Hurairah r.a bahawa Nabi saw bersabda:
عن أبي هريرة رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال :" إذا كان أول ليلة من شهر رمضان صفدت الشياطين ومردة الجن ، وغلقت أبواب النار فلم يفتح منها باب ، وفتحت أبواب الجنة فلم يغلق منها باب ، وينادى مناد كل ليلة : يا باغي الخير أقبل ويا باغي الشر أقصر ، ولله عتقاء من النار وذلك كل ليلة "

Maksudnya: "apabila malam pertama bulan Ramadhan dibelenggu syaitan-syaitan dan jin-jin jahat penderhaka, ditutup pintu-pintu neraka lalu tidak dibuka walaupun satu pintu, dibuka pintu-pintu syurga lalu tidak ditutup walaupun satu pintu. Setiap malam ada Malaikat yang menyeru; wahai orang yang mencari kebaikan, datanglah menyahut! Wahai orang yang mencari kejahatan, hentikanlah! Allah Taala mempunyai orang-orang yang dilepaskan daripada neraka. Ia berlaku setiap malam"

Hadis riwayat Imam Ahmad dan Imam Baihaqi serta dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albaani.

9. Diriwayatkan daripada sahabat Nabi saw, Abi Hurairah juga bahawa Nabi saw bersabda:
وعن أبي هريرة رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال :" أتاكم شهر رمضان شهر مبارك فرض الله عليكم صيامه تفتح فيه أبواب الجنة ،وتغلق فيه أبواب الجحيم ، وتغل فيه مردة الشياطين ، وفيه ليلة خير من ألف شهر من حُرم خيرها فقد حُرم "
Maksudnya: "Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan "mubaarak" yang diberkati. Allah fardhukan ke atas kamu berpuasa. Dibuka pintu-pintu Syurga. Ditutup pintu-pintu neraka. Dibelenggu Syaitan-syaitan derhaka. Terdapat padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang terhalang mendapat kebaikannya maka dia pasti terhalang mendapat kebaikan."

Hadis riwayat Imam Nasaei dan dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albaani.

10. Menurut Imam Nawawi r.h. yang menukilkan huraian Qadi 'Iyaadh r.h., maksud terbuka pintu-pintu Syurga, ditutup pintu-pintu Neraka dan dibelenggu Syaitan-syaitan boleh jadi bermaksud makna hakikat sebenar. Terbukanya pintu syurga, tertutup pintu neraka dan dibelenggunya Syaitan adalah petanda bermulanya bulan tersebut dan membesar-besarkan kemuliaannya. Belenggu kepada Syaitan berlaku supaya mereka tidak boleh menyakiti dan membisikkan kejahatan kepada orang-orang beriman.

11. Ia juga boleh jadi memberi makna kiasan iaitu sebagai isyarat banyaknya pahala dan keampunan. Syaitan pula semakin berkurangan gangguan dan bisikan jahat mereka seolah-olah mereka terbelenggu. Terbelenggunya mereka bererti terbelenggu daripada melakukan beberapa perkara dan sebilangan manusia.

12. Tafsiran makna kiasan ini diperkuat oleh riwayat hadis yang menyebut "terbuka pintu rahmat" dan juga riwayat lain menyebut "terbelenggu Syaitan-syaitan derhaka".

13. Menurut Qadi 'Iyaadh r.h. lagi, barangkali terbukanya pintu Syurga adalah perumpamaan bagi terbukanya ruang ketaatan untuk hamba-hamba di bulan ini yang tidak berlaku pada bulan yang lain secara umumnya seperti ibadah puasa, qiyam Ramadhan, perlakuan kebajikan dan banyak perlakuan yang bercanggah dengan tuntutan agama ditinggalkan. Ini semua adalah sebab untuk masuk ke  Syurga dan terbukanya pintu Syurga. Demikian juga tertutupnya pintu Neraka dan terbelenggunya Syaitan adalah kiasan bagi banyak kesalahan-kesalahan agama yang ditinggalkan.
(Rujuk Syarah Sahih Muslim juz 7 hlmn 188)

14. Nafsu keinginan manusia dididik menerusi ibadah puasa. Itulah barakah bulan Ramadhan.  Terbelenggunya Syaitan sekiranya ditafsirkan dengan makna hakiki adalah satu lagi barakah bulan Ramadhan. Ia merupakan satu bantuan besar daripada Allah untuk hamba-hambanya melakukan ketaatan kerana Syaitan berperanan menghasut nafsu manusia melakukan kejahatan.

15. Apabila nafsu telah terdidik dan Syaitan pula terbelenggu maka itulah nikmat besar barakah bulan Ramadhan. Di saat itu laluan ke Syurga sudah pasti dimudahkan.

Ya Allah jadikanlah kami di kalangan ahli SyurgaMu ya Allah.

Disediakan oleh:

Ust Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Sabtu 28 Jun 2014
mlm 1hb Ramadhan 1435 H
10.59 mlm.

Saturday, 28 June 2014

Maip larang hotel letak bahan bacaan selain Islam

Maip larang hotel letak bahan bacaan selain Islam
April 23, 2014
KUANTAN - Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Maip) melarang pemilik hotel di negeri itu menempatkan bahan bacaan agama selain Islam di dalam bilik penginapan pelanggan mereka.
   
Timbalan Yang Dipertua Maip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, surat tentang perkara itu telah diedar kepada 147 hotel di seluruh Pahang sejak 6 Mac dan mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan undang-undang.
   
"Surat larangan itu dikeluarkan mengikut peruntukan di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1989 bagi negeri Pahang selaras dengan perkara 11(4) Pelembagaan Persekutuan.
   
"Dengan itu sesiapa sahaja orang bukan Islam atau pihak pengurusan hotel adalah dilarang meletakkan kitab Bible, sebarang bahan atau dokumen berkaitan agama bukan Islam di ruang bacaan awam khususnya di bilik penginapan dan sekiranya telah ada, maka ia hendaklah dikeluarkan segera," katanya.
   
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat teknikal persiapan perasmian Karnival Muamalat dan Cinta Rasul yang dijadualkan diadakan di sini dari 1 hingga 4 Mei ini.

Katanya tindakan meletak bahan-bahan itu boleh dianggap sebagai perbuatan menyebarkan fahaman agama lain kepada orang Islam selaku sebahagian daripada pihak awam yang menginap di hotel terbabit.
   
"Mengembangkan atau menyebarkan dalam apa cara kepada orang yang beragama Islam adalah satu kesalahan, maka perbuatan meletakkan kitab Bible atau buku agama lain boleh ditafsir kepada tujuan penyebaran.
   
"Kita sedia maklum memang ada terdapat hotel yang menyediakan bahan bacaan berkenaan khususnya di dalam laci bilik hotel dan perkara ini sudah lama
berlarutan, malah ada yang dikesan telah melebihi 10 tahun," katanya.
   
Beliau berkata jika sabit kesalahan mereka yang berkenaan boleh dikenakan hukuman di mahkamah sivil dengan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
   
Menurutnya setakat ini pihak pengurusan hotel akur dengan larangan itu selain berjanji mengeluarkan bahan bacaan terbabit secepat mungkin. - Bernama

Thursday, 26 June 2014

Makan Malam Amal Untuk Kompleks Tarbiyah Kuala Nerus

Ahad 22 Jun 2014 PAS Kawasan Kuala Nerus mengadakan majlis makan malam amal bersama YB Ustaz Saiful Bahri, Pesuruhjaya PAS Terengganu yang juga merupakan Wakil Rakyat Dun Paka untuk mengumpul dana bagi menyiapkan Kompleks Tarbiyah Kuala Nerus. Lebih 70 buah meja berjaya dijual dengan harga rm800 sebuah meja.

Kuliah Ambang Ramadhan - Ust Halim Din

Kuliah ilmu di ambang Ramadhan oleh Ust Halim Din di Tanjung Gelam, Mengabang Telipot, Parlimen Kuala Nerus

"SEBULAN BERSAMA HUDUD" Ke Arah Melaksanakan Hukum Jenayah Islam

"SEBULAN BERSAMA HUDUD"
Ke Arah Melaksanakan  Hukum Jenayah Islam

- Sepanjang Bulan Ramadhan
- Surau Haji Hassan Shukri, KUIZM Taman Melewar

Ustaz Azhar Yahya
019-364314
28 JUN 2014 | 30 SYABAN 1435
“Pelaksanaan Syariah Suatu Tuntutan Akidah"

Ustaz Abdul Malik Abdul Karim
011-23742695
29 JUN 2014 | 01 RAMADHAN 1435
“Janji-Janji Allah & Rasul Mengenai Kerahmatan Dalam Pelaksanaan Jenayah Syariah"

Dr Atiullah Othman
013-3554186
30 JUN 2014 | 02 RAMADHAN 1435
“Sejarah Pelaksanaan Syariat Di Zaman Rasulullah, Zaman Keemasan Islam & Nusantara"

Ustaz Mohd Ali Jamil
019-2153131
01 JULAI 2014 | 03 RAMADHAN 1435
"Ciri-Ciri Keistimewaan Undang-Undang Jenayah Syariah"

Dr Shahbudin Ngah
-
02 JULAI 2014 | 04 RAMADHAN 1435
“Pelaksanaan Jenayah Syariat Masa Kini : Brunei, Acheh & Arab Saudi”

Ustaz Khairi Hashim (Wakil KUDQI)
014-5042674
03 JULAI 2014 | 05 RAMADHAN 1435
“Pengalaman Pelaksanaan Jenayah Syariah Di  Sudan, Nigeria & Pakistan. Adakah Suatu Kegagalan?”

Ustaz Muhammad Hadim (Wakil KIDU)
013-4117139
04 JULAI 2014 | 06 RAMADHAN 1435
“Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah Kelantan & Terengganu : Suatu Harapan & Realiti”

Ustaz Ulwan Hassim
013-9630285
05 JULAI 2014 | 07 RAMADHAN 1435
“Halangan-Halangan Dalam Pelaksanaan Jenayah Syariah Kelantan”

Saudara Kamaruzaman Mohamad
019-2828536
06 JULAI 2014 | 08 RAMADHAN 1435
“Konsep Keampunan Dan Penjagaan Aib Pesalah”

Ustaz Mohd Noor Hussin
-
07 JULAI 2014 | 09 RAMADHAN 1435
“Mencuri & Merompak : Antidot Dari Langit Dalam Penyelesaiannya”

Ustaz Kamal Nazmi Nik Din
012-2771094
08 JULAI 2014 | 10 RAMADHAN 1435
“Zina : Pencegahan Terbaik Daripada Langit”

Ustaz Harme Aman Razali At-Takiri
019-2121972
09 JULAI 2014 | 11 RAMADHAN 1435
“Rogol : Penyelesaian Menurut Islam & Hukumannya”

Ustaz Ahmad Muzani
011-15746445
10 JULAI 2014 | 12 RAMADHAN 1435
“Murtad : Antara Ketegasan Syarak & Keraian Hak-Hak Beragama”

Ustaz Azhar Yahya al Batawi
019-3642314
11 JULAI 2014 | 13 RAMADHAN 1435
“Qazaf : Sanggupkah Kita DiSajikan Kes Liwat Anwar Hingga Siri Ke 40?”

Dr Ahmad Nazri Mansor
011-29004990
12 JULAI 2014 | 14 RAMADHAN 1435
“Pemerintahan Islam Tidak Wajar Hapuskan Arak Dalam Negaranya!”

Penceramah Belum Ditetapkam
-
13 JULAI 2014 | 15 RAMADHAN 1435
“Pelaksanaan Hukum Ilahi vs Konvensional”

YB Ustaz Idris Ahmad
019-2622141
14 JULAI 2014 | 16 RAMADHAN 1435
“Hukuman Sebat : Syariat vs Konvensional, Suatu Hikmah Sebaliknya”

Dr Muhammad Fathi Yusof
013-6669669
15 JULAI 2014 | 17 RAMADHAN 1435
“Hikmah Islam Tidak Utamakan Penjara Sebagai Hukuman”

Penceramah Belum Ditetapkam
-
16 JULAI 2014 | 18 RAMADHAN 1435
“Kedudukan Non-Muslim Dalam Jenayah Syariah”

Ustaz Imran Al-Malizi
013-3396518
17 JULAI 2014 | 19 RAMADHAN 1435
“Kehebatan Sistem Pembuktian dan Pensabitan Dalam Jenayah Syariah”

Penceramah Belum Ditetapkan
-
18 JULAI 2014 | 20 RAMADHAN 1435
“Keadilan Qisas : Rahmat Yang Realiti Tetapi Tidak Disedari”

Ustaz Adhlan Mokhtaruddin
012-6493356
19 JULAI 2014 | 21 RAMADHAN 1435
“Takzir Sebagai Instrumen Kecantikan Undang-Undang Ilahi”

YB Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi
019-99168182
20 JULAI 2014 | 22 RAMADHAN 1435
“Kejamkah Potong Tangan dan Kaki? Realiti Sebenar Rahmat Ilahi”

Ustaz Abdul Muizz Muhammad
013-2263862
21 JULAI 2014 | 23 RAMADHAN 1435
“Fikrah Haddamah : Dalam Menyanggah Pelaksanaan Jenayah Syariah”

Ustaz Mohd Najhan Abd Halim
-
22 JULAI 2014 | 24 RAMADHAN 1435
“Barbarikkah Potong Tangan, Kaki? Hukuman Potong Tangan Dalam Islam”

FORUM : Ustaz Zulkifli Ismail, Dr Faisal Ashaari
23 JULAI 2014 | 25 RAMADHAN 1435
"Forum Khas"

Abdul Rahman bin Auf Tokoh Dermawan

TAZKIRAH KEHIDUPAN

Abdul Rahman bin Auf (r.a); Seorang Sahabat Nabi saw, Mujahid, Ahli Perniagaan, Dermawan & Zuhud

Pengenalan

1. Nama dan keturunan Abdul Rahman bin 'Auf radiyallahu 'anhu (moga Allah meredhainya) ialah Abdul Rahman bin 'Auf bin 'Abd 'Auf bin 'Abd bin Harith bin Zahrah bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Lu'ai. Nama asal beliau sebelum Islam ialah Abdu Amrin atau Abdul Ka'bah lalu ditukar oleh Nabi saw kepada Abdul Rahman.

2. Beliau merupakan salah seorang daripada 8 orang yang awal menerima Islam setelah diperkenalkan oleh Abu Bakar al-Siddiq (r.a) bersama-sama 4 orang yang lain iaitu Uthman bin Affan, al-Zubair bin 'Awwam, Tolhah bin 'Ubaidillah dan Sa'ad bin Abi Waqqas radiyallahu 'anhum.

3. Beliau juga salah seorang daripada 10 sahabat Nabi saw yang diberi khabar gembira mendapat syurga selain Abu Bakar al-Siddiq, Umar bin al-Khattab, Uthman bin 'Affan, Ali bin Abi Tolib, al-Zubair bin al-'Awwam, Tolhah bin 'Ubaidillah, Sa'ad bin Abi Waqqas, Sa'id bin Zaid dan Abu 'Ubaidah bin al-Jarrah (r.a). (Rujuk Hadis Bukhari).

4. Beliau dilahirkan pada tahun ke 10 tahun gajah. Menurut Ibn al-Athiir beliau meninggal pada usia 75 tahun pada tahun 31 Hijrah di zaman Khalifah Uthman. Terdapat 2 riwayat sama ada beliau mati dan dikebumikan di bumi Syam (Suweilih, Jordan) atau mati di Madinah dan dikebumikan di Perkuburan Baqi'.

5. Beliau berhijrah ke Habsyah kemudian kembali ke Mekah seterusnya berhijrah kali kedua ke Habsyah. Setelah kembali ke Mekah beliau menjadi orang yang awal berhijrah ke Madinah apabila diarahkan oleh Nabi saw.

6. Beliau cedera ketika perang Uhud dengan luka di 20 tempat seluruh badan sehingga meninggalkan kesan tempang berkekalan pada betisnya. 2 gigi seri tengahnya patah sehingga memberi kesan yang jelas pada pertuturannya.

7. Beliau salah seorang daripada 6 orang yang dicalonkan  oleh Umar bin al-Khattab sebelum beliau wafat setelah ditikam untuk menggantikan beliau sebagai Khalifah. 5 lagi ialah Uthman bin 'Affan, Ali bin Abi Tolib, al-Zubair bin al-'Awwam, Tolhah bin 'Ubaidillah, Sa'ad bin Abi Waqqas (r.a). Kelima mereka bersetuju untuk memilih Abdul Rahman sebagai khalifah berdasarkan beberapa hujah. Namun, beliau telah menarik diri dan memilih Uthman menjadi Khalifah lalu dipersetujui oleh mereka semua.

8. Kehidupan sehariannya berlegar pada 3 perkara, sama ada di masjid mengerjakan solat wajib dan sunat atau dalam peperangan berjihad atau berniaga.

MINAT & KEMAHIRAN BERNIAGA

1. Beliau seorang yang sangat mahir, bijak serta berjaya dalam perniagaan sehinggakan beliau sendiri berkata tentang dirinya sendiri: "sekiranya saya mengangkat satu batu pasti saya temui di bawahnya perak dan emas."

2. Anas bin Malik radiyallahu anhu menceritakan apabila Sa'ad bin Rabi' (r.a) menawarkan separuh harta dan salah seorang isterinya untuk diceraikan dan dinikahi oleh Abdul Rahman (r.a) sebagai satu tuntutan ikatan persaudaraan yang telah diarahkan oleh Nabi saw untuk dimenterai antara Ansar dan Muhajirin, Abdul Rahman (r.a) menolak dengan berkata: "moga Allah berkati keluarga dan harta kamu. Tunjukkan kepada saya pasar." Kata Anas lagi: "Lalu beliau keluar ke pasar seterusnya membeli, menjual dan mendapat untung".

Dalam hadis riwayat Bukhari menjelaskan lagi selepas beberapa hari beliau berjaya mengahwini seorang wanita Ansar dengan mas kahwin emas seberat timbangan sebutir biji kurma. Apabila diketahui oleh baginda beliau digesa supaya mengadakan walimah kenduri perkahwinan walaupun dengan seekor kambing.

Cerita ini menggambarkan minat dan kemahirannya berniaga sehingga membolehkannya mendapat untung yang banyak dalam masa singkat.

2. Delegasi perniagaannya datang daripada Mesir dan Syam membawa barang import ke Madinah mengandungi pakaian dan makanan seperti gandum yang diperlukan oleh masyarakat Semenanjung Tanah Arab.

3. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik (r.a) pada satu hari bumi Madinah dikejutkan dengan angin kuat yang menerbangkan debu-debu yang disangkakan ribut tetapi rupanya kerana kedatangan rombongan perniagaan Abdul Rahman (r.a) dari Syam dengan 700 ekor unta yang penuh dengan barang dagangan yang berat. Keadaan itu mengkagumkan Aisyah (r.a) sehingga beliau berkata: "rombongan perniagaan sehingga menimbulkan gegak-gempa seumpama ini?". Orang ramai menjawab: "Benar! Aisyah lalu mengulas: "Saya mendengar Rasulullah saw bersabda bahawa Abdul Rahman berjalan ke syurga dalam keadaan merangkak". Berita itu sampai ke pengetahuan Abdul Rahman. Beliau lantas segera bertemu dengan Aisyah (r.a) lalu berkata: "kamu mengingatkan saya dengan ungkapan baginda saw yang saya tidak dapat lupakan sama sekali. Saya bersaksi wahai Aisyah bahawa seluruh rombongan perniagaan dengan unta dan isi barangannya saya sedekahkan di jalan Allah."
Harta itu lalu diagihkan kepada seluruh penduduk Madinah.

* (Keseluruhan  cerita (Aisyah r.a) bersumberkan Anas bin Malik (r.a) ini diriwayatkan oleh beberapa sumber antaranya Ibnu 'Asakir dalam Tarikh Dimasyq, Musnad al-Bazzar dan Ibnu Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah tapi keseluruhan sanad riwayatnya adalah lemah. Maka hadis Abdul Rahman ke syurga dalam keadaan merangkak adalah lemah sandarannya kepada Nabi saw. Bahkan beberapa jalur riwayat lain tentang hadis Abdul Rahman (r.a) ke syurga dalam keadaan merangkak dinilai palsu dan mungkar. Yang perlu diambil pengajaran ialah cerita kekayaan empayar perniagaan Abdul Rahman dan sifat dermawannya yang sabit dalam banyak lagi riwayat lain.)

KEKAYAAN & SIFAT DERMAWAN

1. Sifat dermawan Abdul Rahman (r.a) digambarkan dengan kata-kata yang masyhur tentang dirinya bahawa:

قيل: {أهل المدينة جميعا شركاء لابن عوف في ماله، ثُلث يقرضهم، وثُلث يقضي عنهم ديونهم، وثلث يصِلَهم ويُعطيهم}.

"Dikatakan penduduk Madinah semuanya rakan kongsi bagi Abdul Rahman pada hartanya; 1/3 penduduk Madinah diberikan oleh beliau pinjaman tanpa faedah (Qard Hasan), 1/3 lagi dibantu oleh beliau dengan dibayar hutang mereka dengan orang lain dan 1/3 lagi disambung hubungan rahim dan diberikan pemberian".

2. Al-Zahabi dalam Siyar A'laam al-Nubalak menukilkan daripada Tolhah bin Abdullah bin 'Auf berkata: "Penduduk Madinah adalah tanggungan Abdul Rahman bin 'Auf. 1/3 mereka diberikan pinjaman, 1/3 dibayar hutang mereka dan 1/3 disambung hubungan dengan pemberian".

3. Al-Zahabi juga meriwayatkan daripada Imam Qatadah bahawa Abdul Rahman (r.a) pernah bersedekah separuh daripada hartanya iaitu sebanyak 4000 dinar di zaman Rasulullah saw sehingga orang-orang Munafiqin menuduhnya sebagai tersangat riya'. Lalu Allah turunkan ayat:
(الّذِينَ يَلْمِزُونَ الْمُطّوّعِينَ) [التوبة: 79]
Bermaksud: "orang-orang yang mencela golongan yang banyak melakukan perlakuan sukarela" Surah Taubah: 79.

4. Al-Zuhri meriwayatkan beliau kemudiannya menanggung 500 ekor kuda untuk jihad di jalan Allah seterusnya 500 ekor unta barangan untuk jihad.

5. Satu hari beliau menjual sebidang tanah miliknya dengan harga 40,000 dinar lalu diagihkan kepada ahli keluarganya daripada keturunan Bani Zahrah, isteri-isteri Nabi saw dan orang-orang fakir di kalangan muslimin.

6. 40,000 dinar menyamai 170,000 gram emas (1 dinar=4.25 gram) atau 178, 000 gram emas (1 dinar=4.45 gram) hari ini. Sekiranya 1 dinar emas (bersamaan 4.25 g) dinilai dengan rm632 (nilai dinar semasa yang bole dibeli oleh Kelantan Golden Trade pada 10.5.2014) maka nilainya hari ini ialah RM25,280,000 (RM25.28juta).

7. Sebelum mati beliau mewasiatkan agar hartanya diagihkan  50,000 dinar (RM31.6 juta) di jalan Allah.

8. Untuk para Sahabat Nabi yang pernah menghadiri perang Badar dan masih hidup ketika Abdul Rahman mati diwasiatkan 400 dinar seorang (RM252,800). Hinggakan Uthman bin Affan yang juga hartawan dan kaya-raya mendapat bahagian wasiat tersebut kerana beliau juga adalah ahli Badar. Jika diandaikan ahli Badar seramai 300 orang berbaki 150 orang Sahabat Ahli Badar yang masih hidup di saat itu dan setiap orang mendapat 400 dinar (RM252,800) maka anggaran hartanya untuk itu ialah 60000 dinar (RM37.92 juta).

9. Ditambah dengan wasiat di jalan Allah jumlahnya ialah 110,000 dinar. Konsep wasiat harta pula tidak boleh melebihi 1/3 harta. Ertinya harta yang dimiliki oleh beliau sebelum mati dijangka melebihi 330,000 dinar yang menyamai RM208,560,000 (RM208.56 juta).

KEHIDUPAN ZUHUD

1. Satu hari beliau dihidangkan dengan hidangan berbuka puasa. Sebaik melihat makanan selera beliau hilang dan menangis. Kata beliau: "Sahabat Nabi saw Mus'ab bin 'Umair (r.a) yang lebih baik daripada diriku mati syahid lalu dikafankan dengan selimut yang jika ditutup kepalanya nampak kedua kakinya. Sekiranya ditutup kaki ternampak pula kepalanya. Hamzah (r.a) pula mati syahid, sedang dia lebih baik daripada diriku, tidak ada kafan melainkan selimut. Kita pula kemudiannya dibentangkan dengan dunia seluas-luasnya dan diberikan pemberian sebanyak-banyaknya. Sesungguhnya saya bimbang segala kebaikan-kebaikan pahala kita telah disegerakan lebih awal di dunia dan tiada bahagian pula di akhirat."

2. Satu hari yang lain dihidangkan makanan di saat beliau duduk bersama sahabat-sahabat. Beliau tiba-tiba menangis. Sahabat-sahabat beliau bertanya: kenapa menangis wahai Abu Muhammad? Ujar beliau: "wafatnya Nabi saw dalam keadaan baginda dan para isteri tidak pernah kenyang kerana sebuku roti."

PENUTUP

Sesungguhnya kehidupan sahabat Nabi ahli syurga ini benar-benar memberi keinsafan kepada kita:

1. Kita diberikan kelapangan masa, adakah dihabiskan untuk agama dan akhirat dengan masjid dan jihad?

2. Kita diberikan kelapangan rezki adakah dihabiskan dengan kemewahan dunia peribadi dan keluarga tanpa sedekah dan derma untuk ummah yang miskin dan jihad agama?

3. Kita diberikan makan-minum yang baik namun ingatkah kita dengan kezuhudan sahabat  melibatkan dunia?

"Kaya yang tidak masuk ke hati membawa diri membuat persiapan untuk alam Akhirat yang abadi"

Disediakan oleh:
YB Ust Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Sabtu 9 pagi 10 hb Mei 2014

Rebut anak: Polis tak kuatkuasa perintah - IGP

Bernama | 8:32PM Jun 25 2014
Polis tetap dengan pendiriannya tidak akan menguatkuasakan perintah mahkamah syariah dan sivil berhubung dua kes perebutan anak di Perak dan Negeri Sembilan baru-baru ini.
   
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata faktanya masih jelas bahawa wujud perbezaan dalam perintah mahkamah ini.
   
"Tapi saya rasa orang ramai masih lagi tidak faham apa yang dimaksudkan konflik ini dan ada pula portal berita online ini yang melaporkan sebelah pihak sahaja menyebabkan timbul kekeliruan. Kedua-dua kes di Perak dan Negeri Sembilan mempunyai fakta yang sama. Kita mula dapat perintah mahkamah syariah yang mengarahkan polis memberi perlindungan kepada anak-anak ini yang diletakkan di bawah jagaan bapa.
   
"Kemudian kita dapat pula perintah mahkamah sivil untuk kita mengemukakan anak-anak ini dan menyerahkannya kepada ibunya. Jadi, nampak atau tidak konflik yang berlaku dalam kedua-dua perintah mahkamah ini yang menyebabkan polis dalam dilema, yang mana satu kita hendak kuatkuasakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi PDRM 2014 di Seremban hari ini.
   
Katanya dalam perlembagaan, kedua-dua mahkamah ini bertaraf sama dan artikel 121(a) jelas menunjukkan bahawa mahkamah syariah tarafnya sama dengan mahkamah sivil.
   
Khalid berkata, oleh kerana perbezaan dalam kedua-dua perintah mahkamah ini maka polis berpendirian untuk berada di tengah-tengah.
   
"Jadi, kita tidak akan menguatkuasakan mana-mana perintah mahkamah. Itu jelas pendirian kita. Apa yang berlaku di Perak yang dijelaskan oleh Ketua Polis negeri itu bahawa pihaknya memantau kedudukan anak itu dan juga bapanya kerana perkara di sini adalah anak-anak ini. Jadi, kedua-dua perintah mahkamah ini jelas memberi kepentingan kepada anak-anak.
   
"Jadi, walaupun pendirian polis untuk tidak menguatkuasakan kedua-dua perintah mahkamah ini tetapi kita akan memantau kedudukan anak ini dan bapanya. Kita juga ingin memastikan bahawa anak-anak ini dalam keadaan selamat," katanya.
   
Dalam pada itu, Khalid berkata pihak peguam negara sedang meneliti kedua-dua kes ini untuk mencari satu jalan penyelesaian.
   
"Sehingga jalan penyelesaian ini dicapai, sekali lagi saya nyatakan bahawa pendirian polis ialah kita tidak akan menguatkuasakan kedua-dua perintah mahkamah ini. Jadi, saya minta portal berita online ini melaporkan dengan jelas kedudukan kedua-dua perintah mahkamah ini dan bagaimana kedudukan polis tersepit.
   
"Macam mana kita hendak melaksanakan perintah mahkamah syariah yang hendakkan macam ini, manakala perintah mahkamah sivil yang hendakkan begini? Macam mana kita (polis) nak laksanakan?," katanya.
   
Ditanya sama ada tindakan polis dalam perkara boleh disifatkan sebagai menghina mahkamah, beliau berkata itu terpulang kepada mahkamah tetapi mahkamah juga perlu melihat kedudukan polis dalam keadaan kedua-dua arahan yang berbeza ini.
   
Bulan lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan N. Viran atau nama Islamnya Izwan Abdullah, untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang memberi hak penjagaan dua anaknya kepada ibu mereka S Deepa yang beragama Hindu.
    
Di Ipoh pula, guru tadika M Indira Ghandhi mendapat perintah mahkamah awal tahun ini untuk mendakwa bekas suaminya Muhammad Ridzuan Abdullah atau nama sebelum Islam, K. Patmanathan, kerana menghina mahkamah setelah gagal menyerahkan anak bongsu mereka, Prasana Diksa (Ummu Habibah), 6, kepada plaintif yang memenangi kes hak penjagaan anak, selaras dengan perintah Mahkamah Tinggi pada 11 Mac 2010.   
    
Pada April 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberi hak penjagaan tiga anak mereka iaitu Abu Bakar (Karan Dinish), Ummu Salamah (Tevi Darsiny) dan Prasana kepada Mohd Ridzuan.

- Bernama

Wednesday, 25 June 2014

Perkara Yang Tidak Membatalkan Puasa - Adaptasi Dr Basit Abd Rahman

Keputusan “Seminar Fekah Perubatan ke-9 yang diadakan di Casablanca, Morroco, 8-11 Safar 1418 bersamaan 14-17 Jun 1997.Menurut Al-Quran dan Hadis yang sahih dari Nabi Muhammad SAW, tiga perlakuan yang boleh membatalkan puasa: Makan, minum dan melakukan hubungan seks. Oleh yang sedemikian, apa-apa bahan yang dapat melalui rongga samada berbentuk pepejal atau cecair dalam apa jumlah sekalipun, ianya boleh membatalkan puasa.

Menurut ahli majlis/peserta seminar tersebut telah sepakat bersetuju bahawa perkara-perkara berikut TIDAK MEMBATALKAN PUASA.

1- Ubat titis mata, titis telinga dan basuh telinga.

2- Ubat tablet bawah lidah yang digunakan oleh pesakit Angina (Jantung).

3- Memasukkan ubat melalui faraj, memasukan alat perubatan, membasuh, spekulum dan jari doktor atau bidan semasa pemeriksaan vagina (sebelum bersalin).

4- Memasukkan teropong ke salur kencing lelaki atau perempuan untuk penyediaan x-ray.

5-Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat TIADA apa-apa bahan yang memasuki perut dari prosedur tersebut.

6- Suntikan melalui kulit, otot, sendi atau pembuluh darah, KECUALI memberi makanan melalui pembuluh darah (seperti glukos yang mengenyangkan).

7- Penderma atau menerima pemindahan darah.

8- Oksigen dan Gas Bius.

9- Semua jenis bahan yang boleh menyerap kedalam badan melalui kulit seperti krim, jelly atau plaster berubat.

10- Mengambil sampel darah untuk ujian makmal.

11- Sesalur dan bahan perantara untuk arteriografi (pemeriksaan x-ray khas jantung) atau organ lain.

12- Teropong dalam rongga perut (endiskopi) untuk mencari punca penyakit.

13- Membasuh mulut, berkumur atau semburan mulut, dengan syarat tiada bahan masuk kedalam perut.

14- Teropong ke dalam salur peranakan atau memasukkan alat kedalamnya (contoh; IUCD, alat pencegah kehamilan dalam rahim).

15- Mengambil tisu (biopsi) hati atau organ lain.

Pendapat majoriti peserta menambah perkara berikut juga TIDAK MEMBATALKAN PUASA

1- Ubat titis hidung, semburan hidung (inhalers) dan
ubat sedut.

2- Suntikan ke dalam dubur, teropong dan pemeriksaan digital ke dalam dubur.

3- Pembedahan yeng melibatkan bius sepenuhnya jika pesakit mengambil keputusan (berniat) untuk berpuasa pada malamnya.

4- Mesin atau dialisis buah pinggang melalui perut.

5- Penggunaan teropong perut, dengan syarat tidak memasukkan apa-apa bahan cecair atau bahan seumpamanya kedalam perut. TAMAT.

Alhamdulillah, dengan penjelasan ini semoga terjawab persoalan yang sering menjadi pertanyaan dan kemusykilan bagi para muslimin dan muslimat sekelian. Selamat menjalani ibadat puasa, semoga Allah menerima semua amalan baik kita dan memberi kekuatan dan hidayah untuk kita istiqamah melakukannya.

Akhukum:

Abu Anas Madani,

PSD, 5 Ramadhan 1434H, 14 Julai 2013.

Intisari Akhbar 25 Jun 2014

Intisari Akhbar 25/6

- Ibu remaja OKU hanya bergaji RM1,500 hingga RM2,000 termasuk elaun. Bekerja di Brahim's Airline Catering sebagai pekerja penyajian sejak 10 tahun yang lalu. Majikannya sendiri tidak tahu dia mempunyai anak OKU.

- Mufti N9 berkata pengabaian terhadap kebajikan kanak² merupakan satu kesalahan yang besar dalam Islam dan menunjukkan mereka tidak bersyukur dan redha dengan pemberian itu.

- Kem Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Rohani Abd Karim membidas kenyataan Wardina yang seolah² menganggap kerajaan memandang ringan kebajikan kanak² OKU di negara ini.

- Najib beri gambaran akan berlaku rombakan kabinet selepa program pelancaran Klia2 semalam.

- Kem Tenaga, Teknologi Hijau dan Air meminta kerjasama semua negeri menyediakan laporan paras air di setiap empangan serta kolam takungan bagi persediaan menghadapi El Nino.

- Zakat fitrah bagi umat Islam di negeri Selangor kekal RM7.

- Pasukan Probowo-Hatta membuat laporan berkenaan pelanggaran kempen yang dilakukan pasukan Jokowi pada peringatan ulangtahun Jakarta ke-487 di Monas dan Bulatan HI. Jokowi dituduh melanggar Surat Keputusan Gabenor Jakarta No. 1389/07 Tahun 2008 mengenai lokasi larangan pemasangan alat kempen serta keputusan Suruhanjaya Pemilihan Umum mengenai Ketentuan Lokasi Kempen dan Pemasangan Alat Peraga Kempen di Jakarta.

- Kump Pro-Russia setuju tawaran genjatan senjata dari Presiden Baharu Ukraine, Petro Poroshenko

Intisari Akhbar 24.6.2014

INTISARI AKHBAR 24 JUN

- Firdaus Dullah hanya mampu berkata 'ibu, makan, ummi...' sahaja.

- Firdaus menghidap penyakit celebral palsy dan seberat 15kg ketika dihantar ke hospital.

- Jiran sekeliling apartment tidak tahu ada remaja OKU dalam rumah tersebut.

- Firdaus menangis ketika bertemu dengan bekas pengasuhnya.

- Mahkamah persekutuan menolak rayuan yang dikemukakan majalah mingguan The Herald yang menggunakan kalimah Allah dalam bahasa Melayu. Ia diumumkan Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria yang bersidang dengan korum tujuh orang hakim dengan keputusan 4-3.

- Kajian daripada Jab Pendidikan Perlis menunjukkan 20% daripada pelajar tingkatan 1-6 di negeri itu ketagih air ketum.

- Hampir 95% daripada rakyat Malaysia yang berumur 7 tahun telah memasuki sekolah rendah.

-Jerebu dijangka akan terus melanda negara sehingga September. Ini berpunca daripada lingkaran asap jerebu sederhana daripadsa kebakaran di wilayah Riau Sumatera Tengah Indonesia.

- SPR memutuskan tidak ada PRK di Bukit Assek, Sarawak selepas kematian penyandang Wong Ho Leng. Ini mengikut kepada peruntukan Artikel 54(1) Pelembagaan yang menyebutkan PRK hanya diadakan dalam tempoh 3 tahun, sebelum tamat sesi DUN. Mandat yang diberikan di situ adalah selepas dari tempoh mandaf 3 tahun.

- Sikap alergi kepada peti undi antara punca pemilihan semula PKR kecoh di beberapa tempat.

- Ketua Umno bahagian batu berkata pihaknya kini menumpukan usaha untuk menyiapkan projek PPR atas tapak di Kg Chubadak dan keluarga yang rumahnya diroboh akan berpindah semula ke tapak berkenaan.

Monday, 23 June 2014

Tahniah Dr Zulkifli al-Bakri sebagai Mufti Wilayah

Tahniah kepada Syaikhuna Tuan Guru Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri yang secara rasmi dilantik menjadi Mufti Wilayah Persekutuan minggu lepas. Moga Allah berikan kekuatan kepada beliau untuk menjadikan institusi fatwa berperanan besar dalam membimbing umat ke syurga Allah.

INTISARI AKHBAR 23 JUN

INTISARI AKHBAR 23 JUN

- Bekas penjaga remaja OKU, Muhammad Firdaus Dullah iaitu Puan Norfitri bersedia untuk menjaganya jika pihak berkuasa memberikan keizinan.

- Dr Mazlee Malik mencadangkan institusi agaam menubuhkan pusat sehenti OKU utk membela nasib golongan tersebut.

- 16 aktivis himpunan hijau ditahan kerana enggan mematuhi arahan bersurai di depan kilang kontroversi nadir bumi milik Lynas Corporation Gebeng.

- Khariy bercadang mahu membida penganjuran Piala Dunia 2034 bersama tiga atau empat negara Asean yang lain. Perkara ini akan diputuskan pada penghujung tahun ini.

- Ahli parlimen Rasah, Teoh Kok Seong ditumbuk seorang lelaki ketika sedang bersarapan di bahau bersama adun Bahau, chew seh yong.

- Hishamuddin sangkal spekulasi beliau akan dinaikkan menjadi TPM.

- YDP Yadim, Senator Asyraf Wajdi berkata kedudukan Malaysia sebagai negara Islam tidak perlu dipersoalkan kerana ia sudah termaktub dalam Perkara 3(1) perlembagaan persekutuan yang mengisytiharkan Islam adalah agama persekutuan.

- Majlis Perundingan Melayu (MPM) mendesak kerajaan mengamanahkan kepada TNB untuk mengendalikan seluruh projek penjanaan tenaga elektrik. Selain diiktiraf negara luar melalui projek penjanaan tenaga, TNB mempunyai kepakaran diperlukan untuk mengendalikan projek seperti itu termasuk penjanaan tenaga berskala mega.

- Khalid Ibrahim tidak tergugat sebagai MB Selangor. PAS Selangor sangkal dakwaan tolak MB Selangor dan juga mempertahankan fitnah pihak tertentu kepada Tuan Guru Presiden.

- Khalid Ibrahim sangkal dakwaan MP Klang, Charles Santiago yang mendakwa air dari lombong membahayakn kesihatan.

- Pemilihan PKR di Kota Raja kecoh dengan tiga orang cedera dihentak objek tajam. Begitu juga suasana tegang dalam pemiliham di Cabang Hulu Langat

- Seorang wanita dirogol kemudian dibunuh dengan kejam dan mayatnya digantung pada sebatang pokok dalam kejadian di Pakistan. Manakala, sebelum ini kejadian yang hampir serupa berlaku di India.

- Dalam kempen Presiden Indonesia semalan, calon Joko Widowo-Jusuf Kalla memilih genre rock semasa berkempen, Prabowo-Hatta memilih Dangdut.

- Taliban menghalang lapan serangan roket kepada tentera Nato di Kabul, Afghanistan.

- Seorang warga Arab Saudi ditikam di Universiti Essex kerana berhijab.

- ISIL berjaya menawan dua bandar di Iraq. Sementara itu, Rusia dan AS menyokong PM Iraq, Nouri Al-Maliki dalam usaha menentang ISIL

Piala Dunia Awal Pagi Esok

1200 Australia lwn Spain
1200 Belanda lwn Chile
0400 Croatia lwn Mexico
0400 Brazil lwn Cameroon

Ayoh Solat Janazah Selepas Asar Buat Pejuang, Syaikhi wa Habibi al-Marhum Ust Dato Abu Bakar Chik

Ayoh Solat Janazah Selepas Asar Buat Pejuang, Syaikhi wa Habibi al-Marhum Ust Dato Abu Bakar Chik

1. Solat Janazah untuk al-Marhum Ust Abu Bakar Chik insyallah akan berlangsung selepas Asar di madrasah al-Marhum,  Maahad Tahfiz dan Tarbiyah, Tok Jiring Isnin 23hb Jun 2014. Saya menyeru seluruh tuan guru, para ulamak, para pejuang dan umat Islam khususnya di Kuala Nerus hadir beramai-ramai sebagai hadiah buat sang pejuang mujahid ummah.

2. Al-Marhum merupakan seorang mujahid gerakan Islam, pendakwah dan pendidik yang gigih seawal usia muda. Al-Marhum terlibat sebagai pimpinan mahasiswa Islam semasa muda dan seterusnya kepimpinan gerakan Islam di peringkat Terengganu dan Nasional sehingga ke akhir usia. Al-Marhum mengepalai Dewan Pemuda PAS untuk tempoh yang panjang dan mencetak kader-kader dakwah di kalangan anak muda. Al-Marhum diuji dengan penjara sebagai tahanan ISA. Al-Marhum adalah mata rantai 5 tokoh gerakan Islam dari Terengganu yang mewarnai kepimpinan PAS di peringkat Nasional untuk tempoh yang panjang sejak muda sebaris dan sezaman dengan Tuan Guru Hj Abdul Hadi, Al-Marhum Tuan Guru Harun Taib, Dato Mustafa Ali dan Dato Wan Mutalib Embong.

3. Antara jasa al-marhum yang sangat besar ialah mengasas dan menggerakkan Institut Berakan yang menjadi ikon pendidikan negeri Terengganu dan memberi peluang pendidikan dan tarbiyah kepada puluhan ribu remaja dan anak muda akhir 70 an sehingga pertengahan 90 an. Institut Berakan telah melahirkan kader dakwah dan petugas gerakan Islam yang sangat ramai dan menjadi pemimpin di pelbagai peringkat. Seterusnya jihad pendidikan beliau diteruskan dengan penubuhan rangkaian Sekolah Rendah Islam Pintar awal 90 an dan seterusnya Maahad Tahfiz wa Tarbiyah di Tok Jiring sejak 90 an sehingga sekarang. Terakhir beliau mengasaskan Intitut Itqanul Muluk yang mengkaji pelbagai dasar pengurusan dan pentadbiran negara.

4. Al-Marhum merupakan inspirasi saya dalam bidang pendidikan. Saya sempat mengutip mutiara pengalaman beliau apabila menjadi tenaga sukarela mengajar di Institut Berakan ketika cuti semester universiti. Kesungguhannya menjadi antara sumber untuk saya menubuhkan Darul Fuqaha di Bangi. Sek Ren Islam Pintar Tahfiz yang saya kendalikan sekarang di Bangi adalah asalnya rangkaian daripada Sek Ren Islam Pintar yang al-Marhum asaskan.

5. Pertemuan terakhir saya dengan al-Marhum ialah pada hari Sabtu 31.5.2014. Saya hadir ke madrasah al-Marhum untuk meninjau seminar pendidikan yang dianjurkan oleh al-marhum. Al-Marhum menjemput saya ke bilik peribadi al-marhum untuk berbual khusus dan berbincang pelbagai permasalahan ummat.



Moga Allah merahmati Al-Marhum dan menempatkannya di kalangan para Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Solihin.


 اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ وَنَقِّهِ مِنْ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الْأَبْيَضَ مِنْ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلًا خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ أَوْ مِنْ عَذَابِ النَّار

Saturday, 21 June 2014

MURTAD DAN ANCAMANNYA KEPADA UMAT ISLAM ~ siri 1 Oleh : Nasrudin Hassan

MURTAD DAN ANCAMANNYA KEPADA UMAT ISLAM ~ siri 1
Oleh : Nasrudin Hassan

1. Murtad atau keluar daripada Islam merupakan suatu kesalahan atau jenayah yang besar dalam agama Islam. Perbuatan ‘riddah’ ini diklasifikasikan sebagai salah satu jenayah syariah yang boleh dikenakan hukuman hudud ke atasnya.

2. Murtad adalah satu perkara yang sangat dimurkai oleh Allah. Dalam firmanNya, Allah menyatakan balasan yang akan diterima oleh mereka yang berpaling daripada agama Allah sepertimana firmanNya;

وَمَن يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَٰئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

“…dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang yang demikian rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal didalamnya (selama-lamanya)”

(Surah Al-Baqarah : 217)

Begitu juga firman Allah di dalam Surah An-Nahl ayat ke 106;

مَن كَفَرَ بِاللَّهِ مِن بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ وَلَٰكِن مَّن شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِّنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah) kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi seisapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka itu tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar”

3. Faktor yang paling besar yang telah mendorong seseorang berpaling daripada agama Islam adalah disebabkan kurangnya penghayatan mendalam terhadap ajaran Islam sama ada dalam kehidupan seharian seorang individu dan masyarakat mahupun dalam urusan pemerintahan bagi sesebuah negara.

4. Malah, penyebaran ajaran-ajaran sesat yang berleluasa di negara kita menjadi salah satu penyebab rosaknya aqidah serta pegangan umat Islam. Munculnya ajaran Qadiani, Ayah Pin yang mendakwa memiliki kerajaan langit, Rasul Kahar dan sebagainya yang dianuti sebahagian besarnya dari kalangan Melayu Islam menunjukkan bahawa status aqidah di negara kita berada pada tahap yang membimbangkan.

5. Tidak terkecuali juga fahaman atau ideologi moden yang dianuti sebagai pegangan aqidah dan pemikiran seperti sekularisme, kapitalisme dan lainnya yang berakhir dengan menafikan keindahan serta keadilan syariat Islam lalu mengagungkan peraturan dan undang - undang ciptaan manusia, mengatasi apa yang telah diwahyukan oleh Allah swt.

6. Dalam Islam, ketetapan yang berkait dengan soal murtad tidak ada kena mengena dengan isu kebebasan seperti mana yang sering disalah ertikan. Islam telah menetapkan larangan dan hukuman  di bawah kanun Jenayah Syariah terhadap mereka yang murtad sebagai salah satu langkah untuk memelihara kesucian dan kedaulatan agama Islam. Ini adalah peraturan yang tetap daripada Allah   swt dan RasulNya saw kepada umat Islam itu sendiri.

~ bersambung ~

DAP Jangan Bagi Isyarat PR Tidak Mesra Islam

DAP Jangan Bagi Isyarat PR Tidak Mesra Islam

1. Tindakan berkali-kali pimpinan tertinggi DAP mengeluarkan kenyataan menentang pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang telah diluluskan pada tahun 1992 sebelum kelahiran PR telah merosakkan perpaduan rakyat pelbagai kaum yang menentang hegemoni pemerintahan UMNO.

2. Ia juga satu khidmat tidak langsung DAP dalam memanjangkan jangka hayat UMNO apabila orang-orang Melayu dalam PAS atau yang sudah mula cenderong dan bersimpati dengan perjuangan PAS mula bimbang dengan pendirian DAP.

3. Kenapa tidak disokong pelaksanaan Hudud di Kelantan atas nama demokrasi yang boleh juga menyumbang kelangsungan sokongan Melayu terhadap PAS? Hudud di Kelantan telah diluluskan sebelum PR. Analogi mudah yang boleh dibuat  ialah "anak yang PAS lahirkan di DUN Kelantan sebelum perkahwinan dengan DAP adakah patut dibuang hanya kerana berkahwin? Kenapa tidak dikendong bersama anak tersebut?"

4.DAP boleh sahaja terus membiarkan PAS khususnya Kelantan memperjuangkan hak pelaksanaan undang-undang yang telah mereka gubal 1993. Tetapi kenapa ditentang? Sentimen agama? Atau sentimen apa?

5. Pelaksanaan Kanun Jenayah syariah II di Kelantan adalah terpakai kepada orang Islam tanpa melibatkan bukan Islam. Namun kenapa bukan Islam menentang lalu DAP pula bersedia menjadi juaranya?

6. Hujah yang diberi oleh DAP ialah ia bertentangan dengan perlembagaan Malaysia. Kita boleh menegaskan bahawa menolak Hudud bertentangan dengan prinsip beragama Islam ahli-ahli PAS. Menerusi demokrasi, berikan hak kepada muslim untuk mereka mengamalkan tuntutan agama mereka di negeri majoriti mereka dan terpakai hanya kepada mereka!!! Itulah demokrasi.

7. Mungkin dijawab; Bukan Islam menyokong PAS bukan untuk dilaksanakan Hudud? Tapi boleh juga dibalas; Ahli PAS menyokong DAP pada pru ke 12 dan 13 bukan untuk menggugurkan Hudud!!!

8. Justeru apa penyelesaiannya? Kita menawarkan penyelesaian bahawa biarkan kuasa demokrasi berbicara. PAS berasaskan sokongan demokrasi yang diberikan di peringkat Kelantan menuntut hak pelaksanaan Hudud yang telah mereka luluskan 1993 di DUN Kelantan. DAP boleh sahaja tidak bersetuju secara demokrasinya dan  menterjemahkannya dalam pengundian rang-rang undang-undang persendirian yang cuba membenarkan pelaksanaan Hudud di Kelantan apabila dibawa ke parlimen nanti. Tetapi tidak dengan menunjukkan penentangan yang berapi-api hingga mencarikkan hati ahli-ahli PAS dan muslim yang komited dengan agamanya.

9. Penentangan terhadap Undang-Undang Hudud di Kelantan lebih kepada sentimen beragama berbanding sentimen mempertahankan perlembagaan kononnya. Itulah yang boleh ditafsirkan secara mudah oleh rakyat bawahan terhadap sikap pimpinan DAP.

10. Samalah juga seperti tindakan seorang pimpinan DAP minggu lepas membangkitkan isu di parlimen agar menghormati hak rakyat untuk murtad. Tidakkah itu mencabar perjuangan ahli-ahli PAS yang berjuang menghalang murtad kerana ia adalah kesalahan besar beragama Islam. Apatah lagi kesalahan murtad adalah kesalahan jenayah Syariah yang disokong oleh undang-undang Syariah di peringkat negeri di bawah Mahkamah Syariah yang menjadi sebahagian undang-undang bernegara yang diiktiraf.

11. Begitu juga dengan isu mengislamkan anak di bawah umur oleh salah seorang ibu atau bapa apabila salah seorang mereka masuk Islam yang berbangkit sebelum ini. Ia adalah undang-undang yang termaktub dan sedia ada dalam perundangan negara. Pimpinan DAP dengan begitu mudah berbicara menentang undang-undang yang telah sedia ada itu tanpa memikirkan reaksi ahli dan pimpinan PAS.

12. Isyarat yang dihantar kepada rakyat muslim menerusi isu-isu khususnya yang kuat pegangan agamanya ialah timbulnya persoalan adakah PR mesra Islam?

13. Ini menggoyah kepercayaan melayu Islam terhadap PAS. Dan tentu memberi kesan kepada sokongan Melayu dalam pilihanraya. Apatah lagi realitinya PAS berhadapan dengan UMNO di kerusi-kerusi Parlimen dan DUN untuk merebut hati pengundi Melayu.

14. Adakah DAP bersedia atau mahu untuk PAS gagal menjuarai hati Melayu lalu sokongan kekal kepada UMNO di saat DAP pula berjaya menambat semaksima sokongan bukan Islam di kerusi-kerusi bukan Islam berhadapan dengan Gerakan atau MCA?

15. Apa kepentingan menentang Hudud bagi DAP? Kenapa tidak diutamakan usaha kesatuan menentang kezaliman UMNO tanpa dikaitkan dengan Hudud yang telah sedia menjadi perjuangan PAS dan telah dijadikan undang-undang di peringkat negeri oleh PAS sebekum lahirnya PR.

16. Mana yang DAP mahu? Menentang Hudud atau menjatuhkan UMNO? Sekiranya DAP bersedia untuk meninggalkan PR atau berpisah dengan PAS kerana perjuangan Hududnya sehingga sanggup membiarkan UMNO terus hidup maka terbukti bahawa DAP sememangnya memperjuangkan penentangan terhadap perjuangan PAS dan ia lebih utama daripada menguburkan UMNO. Mana lebih utama? Menentang Hudud atau bersatu menguburkan UMNO? Tepuk dada tanya hati!!!

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
15hb jun 2014

Friday, 20 June 2014

MURTAD DAN ANCAMANNYA KEPADA UMAT ISLAM ~ siri 2 YB Ust Nasrudin Tantawi

MURTAD DAN ANCAMANNYA KEPADA UMAT ISLAM ~ siri 2

7. Dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 11(1) telah memperuntukkan kepada setiap orang untuk menganut dan mengamalkan ajaran agamanya. Inilah kebebasan yang dibenarkan dalam Islam. Adapun bagi mereka yang TELAH menganut ajaran Islam, ia tidak tertakluk kepada peruntukan ini. Maka, sangat tidak wajar apabila ada pihak yang berhujah kononnya Islam tidak memberi kebebasan kepada penganutnya untuk keluar dan menukar agama sedangkan perbuatan menukar agama (murtad) adalah merupakan satu jenayah yang besar mengikut ajaran Islam itu sendiri.

8. Orang Islam yang mahu menukar agama sudah semestinya tindakan mereka tertakluk kepada peraturan dan ketetapan ajaran Islam yang TIDAK membenarkan tindakan itu. Jika mereka terus melanggar  ketetapan dan peraturan tersebut maka mereka berdepan pula dengan hukuman yang telah diputuskan oleh ajaran Islam.

9. Justeru itu, tidak timbul isu "menghormati hak kebebasan beragama" bagi individu yang telah melanggar ajaran agamanya sendiri. Sebaliknya seseorang itu mesti patuh pada ketetapan ajaran Islam sebagai agama yang dianutnya. Ini yang sering kali menjadi salah faham sesetengah masyarakat dan sering kali menjadi pertikaian terhadap makna kebebasan beragama yang ada di dalam ajaran Islam.

10. Peruntukan tersebut juga tidak memberi hak kepada seseorang itu untuk bertukar agama sebaliknya isu "pertukaran agama" mestilah tertakluk kepada ajaran agama itu sendiri. Enakmen Jenayah Syariah di beberapa negeri telah meletakkan ketetapan berkait isu ini, malah ianya dianggap selari dan tidak bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.

11. Justeru, isu murtad tidak seharusnya dijadikan pertikaian lagi. Ianya suatu perkara yang sudah mempunyai ketetapannya yang tersendiri seperti mana yang di ajarkan oleh agama Islam. Selain itu, gejala murtad seharusnya dirawat secara berkesan. Kaedah terbaik merawatnya adalah melalui usaha dakwah dan tarbiyah agar mereka kembali kepada perlaksanaan dan amalan cara hidup Islam yang benar.

12. Pada sama yang sama, usaha mesti dilakukan secara sepadu oleh semua pihak dengan bermula daripada pihak berkuasa atau kerajaan ( persekutuan dan negeri ) dengan segala program perlaksanaan Islam sebagai satu cara hidup yang betul sehinggalah ke peringkat mendaulatkan Syariat Islam dan penguatkuasaannya yang adil dan bijak. Ia kemudiannya disusuli dengan kawalan dan pencegahan terhadap ajaran sesat, maksiat dan mungkar yang sangat dipercayai mempunyai pengaruh besar dalam mengheret ummah terjebak dalam gejala murtad.

13. Sementara tindakan terancang dari mana - mana pihak yang melancarkan gerakan Riddah atau memurtadkan ummat Islam walau dengan apa cara sekalipun, adalah  WAJIB dibenteras habis - habisan oleh semua pihak seperti badan  politik, ngo, orang perorangan dan  termasuklah pihak berkuasa dengan mewujudkan undang - undang MURTAD dalam negara dan menguatkuasakannya.

Nasrudin Hassan
Timbalan Pengerusi 1
Lajnah Dakwah PAS Pusat.

Berikan Makna Sebenar Terhadap Peruntukan "Islam Agama Persekutuan"

KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN DEWAN ULAMAK PAS PUSAT
Berikan Makna Sebenar Terhadap Peruntukan "Islam Agama Persekutuan"

1. Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sepertimana ditegaskan oleh Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan perlu diberikan maknanya yang sebenar menurut sudut pandang Islam sebagai ad-Din dan cara hidup bernegara. Ia boleh berlaku menerusi dua cara iaitu pertama meminda peruntukan undang-undang yang lebih jelas bagi memperkasakan kuasa Islam dalam perlembagaan agar mendasari semua dasar urustadbir negara.  Kedua, menerusi keputusan hakim-hakim berjiwa Islam di Mahkamah yang memberi tafsiran yang betul terhadap peruntukan tersebut dalam kes-kes mahkamah seperti kes pemakaian serban di sekolah sebelum ini.

2. Usaha ini sangat penting bagi Malaysia supaya isu status Malaysia sebagai negara sekuler atau negara Islam tidak menjadi perbahasan.

3. Negara Islam ialah negara yang meletakkan dasar-dasar bernegaranya sama ada ekonomi, sosial, politik, jenayah, hubungan antarabangsa dan lain-lain adalah dasar-dasar Islam yang merujuk kepada al-Quran dan Sunnah menerusi huraian para ilmuwan Islam yang muktabar.

4. Realiti amalan bernegara Malaysia hari ini sejak merdeka 1957 belum sampai ke tahap  pelaksanaan Islam yang menyeluruh. Pemikiran urus tadbir dan perundangan penjajah masih menguasai minda politik dan pentadbiran meskipun pemerintah dan pentadbirnya adalah muslim.

5. Justeru itu, lebih selesa Malaysia setakat ini bertaraf "negara umat Islam". Negara umat Islam ialah negara yang diperintah oleh kuasa majoriti umat Islam tetapi kuasa Islam belum terpakai sepenuhnya. Pelaksanaan Islam secara menyeluruh menerusi dasar-dasar bernegara belum terlaksana sepenuhnya. Itulah "negara umat Islam".

6. Malaysia juga tidak boleh ditafsirkan sebagai negara sekuler sepenuhnya kerana adanya peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan. Begitu juga kedudukan Islam di peringkat negeri menerusi kuasa Mahkamah Syariah membuka jalan kepada pelaksanaan Islam. Prinsip Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan secara dasarnya memberi kuasa penuh kepada Mahkamah Syariah untuk mengadili semua kes yang melibatkan hal ehwal yang bersangkutan dengan agama Islam. Ia satu pengiktirafan terhadap kuasa Islam. Perkara 11 (4) menegaskan bahawa Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

7. Justeru, isunya ialah bukan status negara sama ada Islam atau Sekuler tetapi ialah usaha untuk memberi makna bagi Islam yang lengkap dan syumul bagi peruntukan perlembagaan Islam sebagai agama Persekutuan. Ia menjadi kewajipan seluruh umat Islam sama ada yang telah berada di puncak kuasa atau sebagai rakyat yang mengundi memilih orang yang berkuasa untuk memberi makna yang signifikan untuk Islam di Malaysia.

Ust Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
Jumaat 20hb Jun 2014

Titah Sultan Nazrin di Dewan Negara ke 159

June 20, 2014; BERIKUT titah penuh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada mesyuarat Dewan Negara Perak ke-159, pagi ini sebagaimana disiarkan oleh Sinar Harian

Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Segala puji milik ALLAH Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga beroleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.

2.    Mesyuarat Dewan Negara ke 159, merafakkan sembah ucap takziah kepada Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun, di atas kemangkatan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah pada hari Rabu, 28 Rejab 1435 Hijrah, bersamaan 28 Mei 2014.

3.    Kesultanan Melayu Perak diasaskan oleh Sultan Muzaffar Shah I pada tahun 1528.  Kini telah tiga puluh lima Sultan diangkat untuk bersemayam di takhta pemerintahan.

Dalam tempoh empat ratus lapan puluh enam (486) tahun sejarah Kesultanan Melayu Perak,  Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah, Sultan, Yang Di-Pertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan yang ketiga puluh empat (34), ditentukan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala bersemayam di-takhta pemerintahan selama 30 tahun, 3 bulan, 25 hari, mencatatkan tempoh bersemayam di takhta pemerintahan, kedua paling lama selepas Sultan Perak kesebelas, Sultan Mahmud Iskandar Shah yang bersemayam di takhta Kerajaan selama 67 tahun, di antara tahun 1653 sehingga 1720.

Mesyuarat Dewan Negara ke 150 bertarikh 6 Mac 2012, adalah mesyuarat terakhir yang dipengerusikan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.  Dalam titah yang dizahirkan,  Almarhum memperingatkan bahawa Institusi Raja akan kekal relevan jika ia terus mendapat penghormatan rakyat.

4.    Almarhum telah memenuhi peranan sebagai seorang Raja Pemerintah yang berpegang teguh kepada konsep Raja Berperlembagaan.  Pengalaman berkhidmat sebagai seorang hakim, telah mencanai minda serta membentuk pemikiran Almarhum.

Ketika menimbangkan sesuatu perkara, Almarhum senantiasa memeriksa semua fakta dan menghalusi setiap data sebelum merumuskan sebaik-baik keputusan untuk kepentingan negeri dan kesejahteraan rakyat.

5.    Almarhum dikenali dan diiktiraf sebagai seorang Raja Pemerintah yang amat berpegang kepada prinsip meluhurkan Perlembagaan serta mendaulatkan undang-undang negara.

Almarhum telah meninggalkan legasi pemerintahan yang wajib dijadikan rujukan. Almarhum telah melakarkan imej Raja Pemerintah yang disegani dan menyuntik kedaulatan takhta yang dihormati.

Semoga roh Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, demikian juga roh-roh tiga puluh tiga Sultan terdahulu, yang setiap seorang dari Marhum itu telah menyempurnakan amanah sebagai Amirulmukminin, dilimpahkan segala ihsan daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala, ditempatkan bersama roh para Solihin.

Sama-samalah kita membaca surah Al-Fatihah, memohon rahmat daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala, semoga apa jua ganjaran daripada bacaan tersebut disampaikan kepada roh Almarhum-almarhum yang telah berada di alam barzakh.  Al-Fatihah.

6.    Beta bersyukur ke hadrat ALLAH Subhanahu Wata’ala, kerana dengan petunjuk dan hidayat dari Nya juga, ahli-ahli Dewan Negara Perak yang bersidang pada 28 Rejab 1435 Hijrah bersamaan 28 Mei 2014 Masihi telah mencapai kata sepakat mengamanahkan ke atas diri Beta untuk diserahkan tanggung jawab mewarisi takhta pemerintahan.

7.    Mesyuarat Dewan Negara ke 159, pada pagi Jumaat yang dipohon agar dilimpahi berkat dan rahmat ILAHI, adalah mesyuarat pertama yang Beta mempengerusikannya atas nama Sultan, Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan.

Beta bersyukur ke hadrat ALLAH Subhanahu Wata’ala atas anugerah ini.  Beta menzahirkan penghargaan atas ketetapan sebulat suara ahli-ahli yang hadir dalam Mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke 158, memberikan kepercayaan dan menyerahkan amanah kepada Beta, dilantik sebagai Sultan, Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan yang ketiga puluh lima.

8.    Akan Beta jadikan pedoman kata-kata yang terkandung dalam Ucapan Wakil Siswazah Kehormat yang dizahirkan oleh Paduka Ayahanda Beta, ketika masih seorang Hakim, dikenali sebagai Yang Amat Mulia Raja Tan Sri Azlan Shah semasa dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh Universiti Sains Malaysia pada 28 Jun 1980.  Yang Amat Mulia Raja Tan Sri Azlan Shah antara lain memberikan peringatan;

Petikan:

“...sejarah telah menunjukkan bahawa takhta yang dialihkan dari istana ke muzium sejarah adalah hasil dari salah nasihat yang diberi oleh penasihat-penasihat istana yang tidak bertanggung jawab kepada rakyat.

Sebenarnya, penasihat-penasihat istana ini adalah terdiri dari mereka yang mencari keuntungan jangka pendek bagi kepentingan diri mereka sendiri tanpa memikirkan kepentingan rakyat dan negara.

Apabila keadaan ini berlaku, maka lambat laun rakyat akan memberontak dan takhta akan tergugat.  Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis rahsia atau pegawai istana digaji untuk melindungi dan menjaga takhta, namun tidak satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata.

Jika kehendak rakyat jelata itu dimakbulkan Allah, maka berpindahlah takhta dari istana ke muzium seni dan budaya.”

9.    Beta amat insaf akan kata-kata yang terkandung dalam sumpah jawatan yang Beta telah zahirkan; ia adalah ikrar perjanjian Beta dengan ALLAH Subhanahu Wata’ala.

Ia adalah amanah dan tanggung jawab amat berat; meletakkan Beta dengan akauntabiliti baik di dunia, lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan Tuhan Rabbuljalil pada hari kebangkitan di Mahsyar nanti.

Beta mohon mendapat sebaik-baik nasihat dan panduan daripada ahli-ahli Dewan Negara untuk membolehkan Beta menyempurnakan amanah dan tanggung jawab ini sebaik mungkin.

Sembah maklumkan kepada Beta perkara yang benar, betapa pahit sekalipun, dan betapa berat untuk lidah mengucapkannya. Setiap kebenaran wajib disembahkan dan jangan sama sekali dirahsiakan daripada pengetahuan Beta.

Jauhkan Beta daripada cerita-cerita penglipur lara hingga mendorong Beta untuk berkhayalan, lena dengan mimpi indah; sedangkan realiti yang berlaku di kalangan rakyat dan di dalam negeri sangat berlainan dengan apa yang diceritakan.

Semoga ahli-ahli Dewan Negara akan membantu Beta dengan segala keikhlasan dan kejujuran agar Beta dapat menyempurnakan amanah dan tanggung jawab dengan adil lagi saksama.

10.    Beta amat insaf bahawa daulat seseorang Raja Pemerintah itu akan ditentukan oleh kebijaksanaan dan kearifan serta keadilan dan kesaksamaan pemerintahan Baginda.

Pemerintah yang bijak dan arif, adil dan saksama, akan dilimpahkan rahmat ILAHI, negerinya makmur dengan pelbagai rezeki, dan Raja berupaya memberi payung naungan membolehkan rakyat hidup dalam rukun, damai, harmoni lagi sejahtera. Akan Beta jadikan pedoman kata peringatan orang tua-tua:

“ Bapa kepada Raja adalah syariat ajaran Rasul
  Ibu kepada Raja adalah adat dan undang-undang
  Saudara kepada Raja adalah segala Menteri Besar dan Kecil
  Anak kepada Raja adalah segala rakyat jelata
  Bahawa Raja itu bagaikan tiada bapa, ibu dan anak
  Tidak diutamakan oleh Raja kepentingan lain melainkan rakyat jelata
  Malah ungka siamang di hutan jua adalah di bawah jagaan Raja
  Menjalankan pemerintahan dengan adil
  Memelihara agama – Menjamin keamanan
  Menunaikan kewajipan dengan penuh iltizam
  Jika Raja gagal menjunjung kebenaran ini
  Maka hancur musnahlah negara”

11.    Yang lebih utama adalah doa yang Beta pohonkan untuk senantiasa dikurniakan panduan daripada ILAHI.

Maha suci ALLAH yang di tangan Nya segala Kerajaan ;  hamba-Mu yang daif lagi lemah ini, memohon segala petunjuk dan bimbingan, pimpinlah hamba-Mu ini ke jalan yang lurus ; (ia itu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat . Amin Ya Rabul Alamin.

Thursday, 19 June 2014

Speaker setuju M'sia bukan negara sekular

Speaker setuju M'sia bukan negara sekular

Ram Anand | 12:43PM Jun 19 2014

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia memutuskan Malaysia bukan negara sekular kerana agama Islam termaktub sebagai agama rasmi Persekutuan.

Beliau berkata demikian ketika memutuskan mengenai usul untuk merujuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom ke jawatankuasa hak dan kebebasan Dean.

Oscar Ling (DAP-Sibu) mengemukakan usul tersebut atas kenyataan menteri berkenaan bahawa negara ini bukan sebuah negara sekular.

Pandikar ketika menyampaikan keputusannya berkata sebuah negara sekular tidak boleh dikaitkan dengan sesuatu agama atau fahaman seperti Amerika Syarikat, India atau Turki.

"Ia dinyatakan dengan jelas bahawa Islam adalah agama rasmi negara," kata Pandikar.

Katanya, perkara itu hanyalah tafsirannya, dan bukan pandangannya yang rasmi.

Jawapan Mengelirukan Dewan Isu Bughah dibantah menerusi Peraturan Mesyuarat

Saya telah menerima jawapan bertulis daripada YB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir bagi soalan lisan meminta Perdana Menteri menyatakan pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan terhadap pandangan Mufti Perak dan Mufti Pahang mengenai isu 'bughah' (pemberontak).

Antara isi kandungan jawapan ialah definisi 'BUGHAH' dalam mazhab Syafie yang diterjemahkan sebagai berikut iaitu " orang yang menyalahi pemerintah yang adil, (YANG KELUAR DARIPADA KETAATAN KEPADANYA) dengan cara enggan daripada melaksanakan kewajipan atau lain-lain dengan syarat-syaratnya".

Saya telah membangkitkan di dalam sidang Dewan Rakyat hari ini di bawah "Peraturan Mesyuarat 36 (12) mengelirukan dewan" bahawa terjemahan definisi tersebut  yang saya tulis di atas dengan huruf besar dalam kurungan adalah salah dan mengelirukan dewan.

Hal ini kerana teks asal dalam bahasa Arab ialah
المسلمون المخالفون لﻹمام (بخروج عليه) وترك الانقياد
Terjemahan yang betul bagi (بخروج عليه) bukannya (YANG KELUAR DARIPADA KETAATAN KEPADANYA) tetapi ia bermaksud (dengan memberontak). Dalam kamus-kamus bahasa Arab (خرج على ) bermaksud ( ثار ) iaitu memberontak dan memberontak mengandungi unsur menentang dengan kekuatan dan senjata.

Implikasi terjemahan yang salah ini ialah boleh membawa kepada tafsiran sebarang tindakan rakyat keluar membantah polisi pemerintah dengan lidah juga adalah 'bughah'. Sedangkan hakikatnya menegur pemerintah dengan lidah sekiranya berlaku kemungkaran termasuk di bawah kategori Amar Ma'ruf dan Nahi Mungkar dan sebahagian jihad berdasarkan banyak hadis Nabi saw. Antaranya Nabi saw bersabda:
أفضل الجهاد كلمة حق عند سلطان جائر
Bermaksud: "Sebaik-baik jihad adalah kalimah yang benardi sisi pemerintah yang zalim"
Terjemahan yang salah inilah yang dihujahkan oleh Mufti Pahang apabila merujuk mereka yang berdemonstrasi membantah polisi pemerintah sebagai 'bughah' pemberontak dalam Islam. Ini salah faham yang sangat besar.

Beliau berhujah berasaskan kefahaman yang salah dalam mentafsirkan definisi 'bughah' dalam bahasa Arab di atas.

Islam membenarkan polisi pemerintah yang mungkar dibantah dengan lidah. Adapun yang tidak dibenarkan oleh Islam dan dikategorikan sebagai 'bughah' ialah "memberontak" dengan senjata.
Justeru, saya memohon agar jawapan Menteri tersebut ditarik balik kerana mengelirukan dewan.

Namun, Speaker YB Tan Sri Pandikar Amin memutuskan bahawa beliau tidak boleh membuat keputusan kerana memerlukan penjelasan daripada pihak kerajaan dan perkara ini akan dibawa dalam sidang akan datang.

Dato Mahfuz Omar, YB Pokok Sena bangkit meminta agar jawapan Menteri tersebut digantung kerana memberi implikasi jawapan yang didakwa salah dipetik oleh media dan masyarakat. Namun, Speaker bertegas perlu mendengar jawapan balas dari pihak kerajaan.

Nelayan Pantai Timur Terancam oleh Nelayan Vietnam

KENYATAAN MEDIA AHLI PARLIMEN KUALA NERUS

NELAYAN PANTAI TIMUR TERANCAM OLEH AKTIVITI NELAYAN VIETNAM; KERAJAAN MESTI SEGERA BERTINDAK

Aduan oleh para nelayan tempatan Pantai Timur terhadap aktiviti nelayan Vietnam yang mengancam aktiviti tangkapan seharian mereka tidak boleh dipandang ringan kerana ia telah berlangsung sejak lebih 5 tahun lalu. Ada beberapa fakta yang mesti diambil perhatian, disiasat dan diambil tindakan:
1.   Kehadiran bot-bot nelayan yang diberi lesen atas nama rakyat tempatan sedangkan awok-awoknya adalah nelayan Vietnam di perairan Terengganu, Kelantan dan Pahang.

2.   Mereka melakukan aktiviti tangkapan menggunakan konsep pukat tunda di kawasan nelayan zon A yang telah diharamkan oleh kerajaan. Kesalahan boleh dikenakan kompaun maksimum RM10,000 selain bot yang ditahan juga tidak boleh digunakan untuk sebarang aktiviti di laut walaupun didaftarkan atas nama orang lain.
3.   Aktiviti tersebut menyebabkan kerosakan jangka masa panjang terhadap hasil laut kerana pukat tunda akan menangkap segala hasil laut termasuk yang tidak diperlukan dan memberi ancaman kepada hasil pendapatan nelayan tempatan di samping memusnahkan ekosistem laut.

4.   Aktiviti tersebut juga merosakkan bubu dan pukat nelayan tempatan yang mengancam survival nelayan kecil tempatan.

5.   Adakah Malaysia khususnya laut Pantai Timur Malaysia memerlukan kehadiran nelayan asing khususnya Vietnam sedangkan rakyat tempatan mampu memenuhi keperluan negara terhadap hasil laut malah sememangnya ramai nelayan kecil tempatan memerlukan pekerjaan tersebut.

6.   Setelah aduan rasmi dibuat oleh para nelayan kepada pihak berkuasa termasuk polis, Jabatan Perikanan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berkali-kali, tindakan masih pada tahap tidak membanggakan kerana aktiviti ancaman tersebut masih berleluasa.

7.   Terdapat kes aduan bahawa nelayan Vietnam bertindak ganas terhadap nelayan tempatan apabila mereka ditegur setelah merosakkan bubu dan pukat nelayan tempatan.

8.   Terdapat aduan bahawa nelayan asing ini menggunakan no pendaftaran bot palsu di samping bot berdaftar.
 

Justeru, saya selaku Ahli Parlimen Kuala Nerus bersama Ahli Parlimen Kuala Terengganu YB Dato' Raja Kamarul Bahrih Shah Raja Ahmad yang mewakili sebilangan besar nelayan yang terancam mendesak:
1.   Satu siasatan dan pembersihan mesti dibuat terhadap pemilik lesen rakyat tempatan yang menggaji awok-awok Vietnam untuk melihat adakah terdapat tangan-tangan ghaib mewakili tauke-tauke besar rakyat asing yang hanya menjadikan pemegang lesen rakyat tempatan hanya sebagai “alibaba”.
2. Lesen "alibaba" adalah pengkhianatan terhadap negara kerana melibatkan subsidi diesel kepada nelayan yang dimanfaatkan untuk maslahat orang asing.

3.   Kerajaan perlu melihat kembali keperluan kehadiran awok-awok Vietnam sebagai nelayan yang diberi permit bekerja di saat rakyat tempatan lebih memerlukan kerja sebagai nelayan.

4.   Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Perikanan perlu segera lebih aktif dan drastik mengadakan penguatkuasaan membanteras penggunaan pukat tunda oleh nelayan Vietnam.
5. Unsur-unsur rasuah di pihak penguatkuasaan yang memungkinkan berlakunya "pejam mata" terhadap aktiviti jenayah ini perlu disiasat -sekiranya ada- sesuai dengan hasrat kerajaan membasmi rasuah ke akar umbinya.

6.   Bahagian penguatkuasaan maritim perlu memperkasakan kehadiran mereka dan tugasan penguatkuasaan mereka di perairan Pantai Timur dengan jumlah pegawai dan kakitangan penguatkusa yang lebih besar serta kelengkapan canggih.

7.   Kesungguhan kerajaan mesti dipaparkan menerusi tindakan undang-undang yang diambil dan orang-orang yang terlibat diseret ke mahkamah.
8. Cadangan kerajaan untuk menubuhkan pasukan sukarelawan laut terdiri daripada nelayan sendiri yang akan bertindak sebagai 'mata dan telinga' kepada pihak berkuasa bagi mengelak masalah berleluasa perlu disegerakan.
9.   Kerajaan mesti mewujudkan satu jawatankuasa khusus dan segera merangkumi pelbagai pihak dan agensi kerajaan dan pihak-pihak yang mewakili para nelayan tempatan untuk membincangkan isu ini dan seterusnya mengambil tindakan secara lebih serius dan segera.
 
Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia memberikan sokongan moral kepada nelayan-nelayan Pantai Timur yang akan mengadakan Himpunan Aman di Parlimen Malaysia pada hari ini Khamis 19hb Jun 2014  jam 9 pagi bagi membuat serahan memorandum kepada pihak kerajaan dalam isu ancaman nelayan Vietnam.
Memo akan diserahkan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)
YB Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Khamis 19hb Jun 2014