PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Monday, 10 February 2014

Tafsir Surah an-Nur Ayat 19; Tersebarnya Perlakuan Keji Zina

Comments - https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=750217424988290&id=569086473101387

Tafsir Surah An-Nur Ayat 19 (siri 1)

Tersebarnya Perlakuan Keji Dalam Masyarakat.

Allah berfirman:
( إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ) [النور: من الآية19] .
Maksudnya: Sesungguhnya mereka yang suka tersebarnya perlakuan keji zina di kalangan orang-orang beriman mendapat azab yang pedih di dunia dan di Akhirat

Tafsir

1. Perlakuan zina merupakan dosa terkeji melibatkan maruah manusia. Ia tersebar dan disebarkan dalam masyarakat oleh syaitan bertopengkan manusia menerusi pelbagai medium media masyarakat seperti televisyen dan majalah serta akhbar dan terkini media baru.

2. Setiap insan secara fitrahnya mempunyai keinginan seks. Ia dicipta oleh Allah dalam diri manusia lalu menjadi medium yang memberi ketenangan rohani dan kesihatan jasadi dan juga medium untuk lahirnya zuriat manusia.

3. Namun, kehendak nafsu batin manusia sepatutnya dilunaskan menerusi perkahwinan sah yang akan memberikan ketenangan sebenar, kesihatan dan melahirkan zuriat yang terbela menerusi sebuah institusi keluarga yang saling bertanggungjawab antara lelaki yang bergelar suami dan perempuan yang bergelar isteri.

4. Zina tidak memberikan ketenangan kepada jiwa sementelah merosakkan kesihatan. Zuriat yang boleh lahir kerana zina akan berada dalam lingkungan keluarga yang tempang kerana tiadanya pertanggungjawaban dari pihak lelaki.

5. Hari ini zina disebarkan untuk diterima sebagai satu norma hidup biasa ketamadunan manusia. Filem-filem barat dijadikan medium pendidikan seks bebas menerusi perlakuan mukaddimah zina seperti berdua-duaan, berpegangan tangan, berpelukan dan berkucupan. Ia ditonton bersama oleh seluruh isi keluarga tanpa segan dan silu lalau terbenih perasaan di hati bahawa ia adalah perlakuan biasa yang tiada salahnya.

6. Drama dan filem dibintangi dan diarah oleh orang Islam sendiri telah menjadi ejen menghalalkan perlakuan mukaddimah zina sebagai permulaan agar zina diterima sebagai sebahagian tamaddun manusia.

7. Majalah dan akhbar juga menjadi ejen penyebaran zina dan mukaddimahnya. Tidak sunyi satu akhbar arus perdana pun daripada berita sensasi artis bergambar separa telanjang. Ia dijual dan dibeli oleh seorang berkopiah atau bertudung lengkap.

8. Allah memperingatkan bahawa mereka yang suka perlakuan zina ini tersebar akan dikenakan azab yang sangat pedih. Bukan hanya di Akhirat, tetapi kepedihan itu akan dirasai juga di dunia. Keperitan di dunia boleh dirasai menerusi kehilangan ketenangan hidup dan gejala sosial seperti pembuangan atau pembunuhan bayi luar nikah.

Ust Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Isnin 10 Feb 2014

No comments:

Post a Comment