PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Friday, 20 December 2013

Cadangan Penggunaan Label Haram

Cadangan Penggunaan Label Haram

Oleh Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Saya menyokong usaha-usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selama ini yang mengukuh industri dan mempromosi persijilan halal di Malaysia. Selain daripada faktor tuntutan Syara', peluang perniagaan dalam pasaran halal global telah mencecah AS$ 2.1 trilion dan dianggarkan unjuran pertumbuhan tahunan sehingga 15% untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Dalam memastikan orang Islam di Malaysia mudah mendapatkan produk kepenggunaan dijamin halal dan berkualiti, maka saya sarankan agar pihak JAKIM menggunakan label 'mengandungi bahan terlarang dalam Islam atau haram' dalam produk-produk tertentu.

Saranan ini berasaskan kepada beberapa justifikasi.

Pertama, kaedah dalam perundangan Islam iaitu hukum asal bagi setiap sesuatu adalah harus. Tambahan pula, polisi JAKIM ialah tidak mewajibkan ke atas setiap pengusaha untuk mendapatkan sijil halal. Maka, setiap produk yang tidak mempunyai logo halal tidak semestinya haram untuk digunakan.

Kedua, kebiasaannya kandungan-kandungan yang terdapat dalam produk khususnya produk makanan dan minuman menggunakan istilah saintifik yang sukar difahami oleh kebanyakan pengguna.

Ketiga, tiada peraturan khusus ke atas pengusaha untuk mereka memaklumkan kepada pengguna berhubung kandungan bahan-bahan terlarang yang telah digunakan untuk menghasilkan sesuatu produk tersebut.

Oleh yang demikian, penggunaan label 'mengandungi bahan terlarang dalam Islam atau label haram' akan lebih memudahkan pihak pengguna mendapatkan akses-aspek produk halal yang lebih luas produksinya, tiada keraguan malah dijamin dalam Syara' dan undang-undang.

Seminar Pelaksanaan Syariah Islam di Malaysia

Seminar Pelaksanaan Syriah Islam di Malaysia di UNISEL hari ini menampilkan Presiden PAS TG Hj Hadi sebagai pengucap utama di susuli dengan pembentangan kertas 1 oleh Dato Dr Mahfouz Mohamad dan ulasan oleh Dato Dr Asri Zainal Abidin dan Dr Khairuddin at-Takiri. Slot ke 2 ouka pembentangan oleh Prof Dr Aziz Bari dan ulasan oleh Dato Wan Mutalib, YB Hanifa Maidin dan Dato Sulaiman Abdullah.

Pengneasan menarik oleh Dato Abdullah Sulaiman bekas Presiden Majlis Peguam ialah selagi Syariah Islam belum dilaksanakan selagi itulah kita akan terus bercakap dan berjuang tanpa penat kerana kita adalah muslim.

Penegasan Dr Aziz Bari bahawa undang-undang jenayah Islam boleh dilaksanakan dalam rangka perlembagaan sedia ada. Justeru, kerajaan Kelantan kena teruskan pelaksanaan rang undang-undang jenayah syariah yang telah diluluskan di DUN Kelantan

Monday, 7 October 2013

Hukum Korban Bagi Pihak Si Mati


Hukum Korban Bagi Pihak Si Mati

Berkorban bagi pihak si mati menjadi khilaf di kalangan ulamak.
Pendapat jumhur ulama mengharuskan dan pahalanya sampai kepada si mati. Dalilnya ialah hadis riwayat imam Abu Dawud, imam Tirmizi, imam Ahmad dan imam Baihaqi bahawa Ali r.a menyembelih bagi pihak nabi saw dua ekor kambing. Namun riwayat ini ditafsirkan oleh sebahagian ulamak dengan maksud nabi saw yang mewasiatkannya kepada Ali r.a.
Pendapat mazhab Syafie tidak boleh berkorban bagi pihak si mati melainkan apabila diwasiatkan atau dinazar oleh si mati.
Pendapat mazhab Maliki pula ialah makruh.
Ada ulamak memberikan pandangan agar seseorang itu berkorban bagi pihak dirinya dan bersedekah pahala kepada si mati. Ia diqiyaskan dengan bersedekah harta bagi pihak si mati yang sabit berdasarkan hadis sahih. Bersedekah pahala amalan seperti baca al-Quran  untuk si mati adalah pandangan  majoriti ulamak kecuali mazhab Syafie. Justeru diambil pandangan ini untuk membolehkan bersedekah pahala korban untuk si mati.

ibadah korban di kemboja

DARUL FUQAHA: Ibadah Korban d kemboja Tahun k 7; 1 bhgn rm250 + rm70 untuk guru Quran Kemboja. Korban di seb ta

kir Trg rm450 atau rm500 untuk 1 bhgn. Bankin amaun k Maybank al marabi management  562263012412 kmdn sms nama, ic, no hp dan alamat ke no 0193333944 untuk dibuat akad perwakilan. Ust Dr Khairuddin at-Takiri.

Kedhaifan masyarakat Kemboja yang mendorong ibadah korban untuk misi kemanusiaan dilancarkan.


Sunday, 6 October 2013

Syiah Adalah Ahlu Bid'ah

Syiah Adalah Ahlul Bid'ah dan Pelampaunya Adalah Kufur.

Pendirian saya tentang Syiah adalah jelas sejak dahulu hingga sekarang bahawa

1. Syiah merupakan satu aliran mazhab yang bercanggah dengan ahlu sunnah wal jamaah.

2. Pelampau Syiah boleh membawa kekufuran seperti mengkafirkan sahabat-sahabat Nabi saw dan melampau dalam mengagongkan Ali r.a.

3. Atas kecelaruan dan kesesatan fahaman Syiah, ia tidak wajar dibiarkan tersebar di Malaysia. Pihak berkuasa perlu bertindak menurut lunas undang-undang bagi menyekat penyebaran fahaman ini

4. Penjelasan tentang ajaran dan kesesatan Syiah mesti sentiasa dilakukan supaya tidak ada kalangan ahli sunnah wal jamaah yang terpengaruh sama ada pada pemikirannya atau pada fiqhnya yang bercanggah dengan al-Quran dan al-Hadis.

5. PAS sebagai gerakan Islam yang berpegang dengan fahaman ahli sunnah waljamaah tidak membolehkan ahlinya berfahaman Syiah.

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Mat Sabu Pemimpin Hebat - Timmy Say

http://www.themalaysianinsider.com/mobile/rencana/article/mat-sabu-memang-seorang
-pemimpin-yang-hebat-timmy-say

RENCANA  

Mat Sabu memang seorang pemimpin yang hebat - Timmy Say
OCTOBER 06, 2013

Hubungan rapat antara Mat Sabu (kanan) dan Takiri terbukti dalam majlis malam tadi, 5 Oktober, 2013
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, resume rakyatnya tidak perlu banyak perkataan untuk dihurai. Selain hebat, ialah mengkagumkan.
Di zaman mudanya, Abang Mat keluar masuk penjara memperjuangkan apa yang dipercayainya sebagai benar. Ramai orang takut pada ISA, tetapi tidak pada Abang Mat. PAS adalah wadah perjuangannya, dan tiada apa yang boleh menyebabkan Abang Mat keluar daripada PAS.
Nama Mat Sabu sudah sinonim dengan PAS. Abang Mat adalah simbol toleransi dan friendliness (mudah bersahabat) bagi PAS.


Rakan-rakan bukan Islam cukup menyayanginya. Rakan-rakan seperjuangannya menghayati pengorbanan beliau.
“Cubalah kamu ikut saya seminggu. Tengoklah kamu boleh tahan tak?” begitulah cabaran Abang Mat pada saya selalu.
Memang sukar untuk mengikut jadual Abang Mat. Hanya manusia yang kental seperti beliau boleh menunaikan semua temujanji itu.
Namun, sehebat-hebat Abang Mat, beliau cumalah seorang manusia biasa yang ada kekurangannya.
Seperti para peminat artis pujaan, menyebut mengenai kekurangan Abang Mat akan menyinggung perasaan orang yang amat menyayanginya. Membandingkan Abang Mat dengan sesuatu yang lebih baik juga akan menimbulkan pelbagai reaksi daripada para peminatnya, lebih-lebih lagi apabila Abang Mat adalah Timbalan Presiden PAS.
Namun, itu lumrah manusia kerana sememangnya ada perkara yang lebih disukai dan ada perkara yang tidak berapa disukai.
Semalam timbul kontroversi seperti yang tertera di atas apabila Setiausaha Dewan Ulama PAS, Dr Mohd Khairudin Aman Razali dalam satu laporan The Malaysian Insider bertajuk “Timbalan presiden: Mat Sabu jangan kecil hati, kata ulama PAS” menyebut “Timbalan presiden PAS sekarang, Mohamad Sabu adalah seorang pemimpin yang hebat. Cuma barangkali yang kurang adalah fakih (mendalam) soal agama.”
Jelas Khairudin mengakui Abang Mat sebagai seorang pemimpin yang hebat. Cuma – ya ayat selepas ‘Cuma’ selalu membawa maksud berbeza kepada para pembaca mengikut kesukaannya.
“Cuma barangkali yang kurang adalah fakih (mendalam) soal agama” – ada yang membaca ayat ini berasa Khairudin kasar dan seolah-olah menghina Abang Mat. Persepsi itu diperkuatkan lagi apabila ada blogger yang mengulas perkara itu ke arah sedemikian.
Bagi yang sudah ada persepsi negatif terhadap Dewan Ulama selepas Multaqa lalu teramat mudah akan terdorong ke arah mempercayai bahawa Khairudin sedang memperkecilkan Abang Mat, walau beliau memulakan hujah ayat pertama dengan memuji Abang Mat sebagai pemimpin yang hebat. Tapi itu telah dilupakan, yang difokuskan ialah apa yang disebut selepas perkataan “cuma.”
Dalam aspek ini, Khairudin perlu lebih berhati-hati ketika berkata-kata dan menyedari persepsi negatif yang sedang menyelubungi Dewan Ulamak PAS Pusat akan menyebabkan kata-katanya terpesong daripada nada sebenar.
“Cuma barangkali yang kurang adalah fakih (mendalam) soal agama” – daripada lensa biasa tanpa sebarang prasangka, ayat ini tiada unsur penghinaan pada Abang Mat. Jelas dalam ayat ini, Khairudin tak pasti, sebab itu perkataan “barangkali” digunakan.
Apa yang cuba disebut Khairudin ialah ada orang yang lebih fakih soal agama berbanding Abang Mat. Kenyataan itu sebenarnya tidak salah, malah sebenarnya hakikat, cuma cara disebut itu boleh disalah tafsir, terutamanya bagi mereka yang sudah ada prejudis terhadap Dewan Ulamak PAS Pusat.
Faqih adalah istilah merujuk kepada satu standard ilmu dalam pengajian Islam melibatkan kefahaman mendalam terhadap teks al-Quran dan teks al-Hadis berasaskan ilmu-ilmu alat seperti usul fiqh dan ilmu bahasa Arab yang tinggi sehingga mampu memahami hukum-hakam Islam secara detail.
Namun, ingin dipertegaskan bahawa tahap keilmuan "faqih" bukan diukur dengan sijil dan tempat pengajian dan juga bukan diukur oleh diri sendiri tetapi dinilai oleh orang-orang berilmu yang lain.
Seseorang yang dikatakan tidak faqih bukan bererti dia jahil dan tidak tahu hukum-hakam agama untuk amalan seharian. Cuma ada orang yang lebih baik daripadanya dari sudut itu.
Memandangkan Khairudin sendiri adalah seorang “Dr PhD”, maka ada pula yang menganggapnya terlalu ego apabila beliau berhujah bahawa Abang Mat barangkali yang kurang adalah fakih soal agama – seolah-olah kerana beliau ada PhD maka beliau boleh memperkecilkan pemimpin yang lain yang tidak setanding tinggi ilmunya apabila berkata “barangkali yang kurang adalah fakih soal agama.”
Tuduhan itu tersasar kerana Khairudin tidak berniat begitu, cuma beliau barangkali masih baru dalam dunia politik dan media persepsi ini untuk berkata-kata jujur dengan selamat.
Mari kita bersangka baik dan melihat hujah Khairudin dari sudut lain:
“Timbalan presiden PAS sekarang, Mohamad Sabu adalah seorang pemimpin yang hebat. Dalam soal fakih (mendalam) soal agama, barangkali ada orang yang lebih hebat daripada beliau.”
Sebenarnya itulah maksud sebenar Khairudin. Bacalah dari arah manapun, unsur menghina langsung tiada - maka salah faham terhadap Khairudin juga tidak akan timbul daripada para peminat Abang Mat.
Lebih-lebih lagi, dengan peribadi Abang Mat yang hebat dan besar hati orangnya, sebenarnya tiada kontroversi dalam kata-kata Khairudin.
Tulisan ini ditulis supaya PAS dapat menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau dengan satu hati dan satu jiwa. Jangan biar polemik dalaman melemahkan PAS.
PRK Sungai Limau ialah maruah PAS Kedah dan juga maruah arwah Tan Sri Ustaz Azizan Razak. Oleh itu, PAS tidak harus dilemahkan lagi kerana sangka buruk dan buruk sangka yang tidak diperlukan masa ini.
Seperti kata Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, kurangkanlah kenyataan mengenai pemilihan di muktamar, fokuslah pada PRK Sungai Limau. Walaupun tulisan beliau semalam ditujukan kepada semua pimpinan tertinggi, tapi para penyokong parti harus juga berhenti daripada mengulasnya sehingga kemenangan PRK Sungai Limau dipertahankan.
Selepas itu, ada 20 hari untuk berkempen sebelum Muktamar. Kempen sehabis-habisnya dalam lingkungan adab dan akhlak jamaah yang tinggi dengan hanya mempromosikan kebaikan dan kehebatan pemimpin pilihan sendiri dan bukannya dengan memperkecilkan lawan.
Itu adalah roh Islam yang wajar ditunjukkan PAS kepada rakyat Malaysia. - 6 Oktober, 2013.

Saturday, 5 October 2013

Kuliah Subuh d Surau Istiqamah dan Minum Pagi Dengan Rakyat

Pagi ini berkuliah subuh di surau Istiqamah, Gong Pak Jin dwngan tajuk kepentingan doa dan menuntut ilmu agama. Selesai kuliah ambil kesempatan minum pagi bersama rakyat.

Kuliah Mingguan Khamis Malam Jumaat di Masjid Taqwa

Setiap hari Khamis malam Jumaat kecuali minggu kedua telah dirancangkan untuk saya berkuliah di Masjid Taqwa Batu 6. Kitab yang saya pilih untuk dibuat teks pengajian ialah Bahrul Mazi Syarah Jami' Tirmizi juz 19 Bal Ilmi dan Kitab al-Azkar karya Imam Nawawi. Semalam jumaat 4hb omt 2013 adalah siri ke 2 kuliah dengan kehadiran melebihi 200 ahli jamaah.
Antara tujuan kuliah ini diadakan ialah memberi peluang untuk saya bertemu dengan rakyat Kuala Nerus hampir saban minggu kerana lokasi Masjid Taqwa berada di pekan Batu 6 yang boleh dianggap sebagai bandar kecil Kuala Nerus. Rakyat boleh mengambil peluang bertemu dengan saya sekiranya ada permasalahan yang ingin diajukan.
Program ini adalah kuliah tetap saya yang kedua selepas Kuliah Mingguan Pagi Jumaat di Kg Baru, Seberang Takir yang telah saya jalankan sejak Dis 2008.

Semalam seorang ahli jamaah membawa anak kecilnya yang berhadapan dengan penyakitbuah pinggang yang gagal berfungsi sebaiknya untuk dijampi dan didoakan.


Setiausaha Dewan Ulamak Tak Perlu Kasar Sangat - MSO

 http://msomelayu.blogspot.com/2013/10/setiausaha-dewan-ulamak-tidak-perlu.html

Setiausaha Dewan Ulamak tidak perlu kasar sangat
TAZKIRAH JUMAAT                                                                      


Muhamad Sabu dihina.Saya rasa sikap Setiausaha Dewan Ulamak, Khairuddin Azman Razali dalam memberi pandangan tidak menunjukkan sifat seorang ilmuan yang berhemat atau pun kurang diplomasi politik apabila beliau merujuk terus pandangannya dalam soal memilih timbalan presiden kepada Mohamad Sabu.

Sebagai sama-sama duduk di dalam jemaah tidak seharusnya beliau jadi begitu out spoken sehingga butir bicaranya boleh melukai hati pihak lain. Rasulullah S.A.W. sangat melarang daripada umatnya menyakiti hati orang lain. Banyak hadith mengenai hal ini, carilah dan geoogle lah sendiri.

Memang menjadi hak beliau bercakap untuk mempertahankan resolusi multaqa ulamak se Malaysia, tetapi janganlah memberi nasihat sampai tuan badan dan penyokongnya boleh terasa hati. Kadang-kadang sesebuah negara besar itu boleh berperang kerana kesilapan sepatah ucapan dan kata-kata sahaja.

Khairuddin tidak perlu direct menasihat (apologis) kepada Mat Sabu dengan berkata; Timbalan Presiden Pas sekarang seorang pemimpin Pas yang hebat. Cuma barang kali yang kurang adalah fakih (mendalami) soal agama."
Justeru katanya; "Kita mencadangkan saja, maka dia (Mohamad Sabu) tidak perlu rasa hati dengan resolusi kami." Kenapa sampai sebut namanya begitu sekali. Soal fakih atau tidak saya kira subjektif sebab ilmu Islam itu sangat luas dan tidak terbatas kepada ilmu-ilmu kalam dan syahadah semata-mata.

Lebih mengejutkan lagi beliau juga dipetik sebagai berkata di dalam majlis syura hari ini semuanya ulamak dan fakih agama. Kalau benar pun tidak perlu mengaku kerana ia takabul dan riak. Apakah kedudukan atau makam itu menjamin kepada kemenangan perjuangan? Atau apakah sudah dipastikan bahawa ulamak di dalam dewan itu terjamin kebersihan dan kescuian dan tidak bersubahat dengan elemen-elemen mazmumah dan madiyyah? Mungkin secara kumpulan (namanya) iya tetapi tidak kepada peribadi.

Ingin saya jelaskan kepada Khairudin, Pas adalah parti politik yang ikut sama bermain 'politik' menggunakan matlamat menghalalkan cara. Machivelisme turut diamalkan dalam Pas, tidak boleh tidak. Jadi, dalam kontes ini ulamak yang fakih agama tidak mencukupi untuk meraih kemenangan. Sebuah kenderaan yang cantik belum tahu ketahanan kuasa enjin jika tidak diuji.

Dalam politik atau apa-apa gerakan ia memerlukan seorang ahli yang profesional yang arif mengenai seluk belut politik, tahu mengatur tektik dan strategi untuk berdepan dengan musuh. Politik dan kausa tidak akan menang dengan hanya membaca ayat-ayat Quran dan hadith atau doa. Apa lagi apabila berdepan dengan orang kufur dan munafik, kecanggihan strategi dan kekuatan fizikal diperlukan.

Selalu saya melihat perjuang Islam gemar beretorik dengan sejarah masa lampau. Dengan kejayaan hebat masa lampau terutamanya yang dipimpin oleh para mujahid seperti Ahmad al Fateh, atau di zaman Rasulullah, Ummar Khattab, Walid al Walid dan lain-lain. Selalu menjadikan para wali sebagai penyala sumbu perjuangan. Tetapi lupa mengkaji di sebalilk kejayaaan itu bagaimana perancangan dan stretagi yang dilakukan kerana musuh tidak akan berundur dengan doa tanpa melibatkan fizikal. Manakala kehebatan para wali pula bukan sesuatu yang bersifat nyata melainkan ia hanya spritual saja. Pas tidak boleh mengambil 'sunnah' itu.

Maaf saya, orang yang mengaku ulamak di dalam Pas snagat naif strategi politiknya. Kejayaan yang mereka dicapai pada eranya banyak dibantu oleh golongan profesional. Hakikat ini kena sedar dan insaf. Kalau tidak percaya boleh dibuat testimoni, cuba sekali Pas menghadapi pilihan raya hanya dengan berdoa, bermunajak dan bersolat hajat sahaja. Jangan ada strategi dan tektikal. Cubalah.

Berbalik kepada nasihat dan signal kepada Mat Sabu agar tidak terasa hati, tidak baik berbuat begitu. Kalaupun Mat Sabu tidak ulamak dan fakih agama, bukan cara bercakap langsung begitu. Ia menunjukkan kita kurang berhemat dan berdiplomasi atau sengaja meremehkan orang lain. Bukankah perbuatan itu sangat keji? Khairuddin harus cermat dalam mengeluarkan kata-kata di masa akan datang.

Justeru Khairuddin kena memohon maaf atau menarik balik kata-kata langsungnya kepada Mohamad Sabu itu. Sebelum orang lain juga menjadi tajam kepada kita, sampai terlanjur menyebut hal-hal tidak elok mengenai kita, elok ahli parlimen Hulu Nerus berbuat apa yang saya sebutkan ini. Saya sangat yakin Khairuddin juga mempunyai banyak hal yang tidak manis untuk disebut.

Walaupun Mat Sabu bukan ulamak dan fakih agama dia dipilih oleh perwakilan Pas. Dia seperti Khairuddin kata, dia adalah timbalan yang sah. Mat Sabu mungkin benar tidak fakih tentang agama tetapi siapa boleh persoal pengorbanan dan jasanya kepada Pas. Keimannya kental dia sudah keluar masuk penjara beberapa kali kerana berjuang. Setidak-tidaknya Mat Sabu telah diuji beberapa kali, berbanding dengan golongan mengaku ulamak apa lagi Khairuddin tidak pernah usahkan digari melihat gari pun belum.

Sebuah firman dalam surah Al Ankabur: ayat 2: Allah menyebut; jangan kamu menyangka kamu sudah beriman sedangkan kamu belum diuji. [wm.kl.9:12 am 04/10/13]

Wawancara Bersama The Malaysian Insider Isu Jawatan Timbalan Preside

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pas-mat-sabu-jangan-kecil-hati-kata-ulama
Timbalan presiden: Mat Sabu jangan kecil hati, kata ulama PAS
OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA
OCTOBER 04, 2013


Dewan Ulama PAS mempertahankan cadangan mereka supaya presiden dan timbalan presiden PAS dipilih di kalangan ulama yang faqih (berilmu), namun ia hanya keutamaan sahaja bukannya wajib.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu tidak perlu terasa hati dengan cadangan itu.

Setiausaha Dewan Ulama PAS, Dr Mohd Khairudin Aman Razali (gambar), berkata Dewan Ulama berpendapat, yang aulanya (keutamaan) untuk jawatan ini, seorang yang fakih hukum dan realiti serta politik semasa dipilih ke jawatan itu.

"Kalau ahli mahu setakat sah kepimpinanannya daripada sudut syarak sahaja, terpulanglah kepada ahli PAS. Ulama hanya membuat cadangan saja," katanya dalam wawancara khasnya dengan The Malaysian Insider.

Multaqa Ulama Se-Malaysia yang dianjurkan oleh Dewan Ulama PAS di Alor Setar sebelum ini mencadangkan presiden dan timbalan presiden PAS dipilih di kalangan ulama.

Ia menimbulkan rasa kurang senang beberapa pemimpin PAS seolah-olah ulama mahu mengawal semua jawatan dalam parti Islam itu.

Ada yang berpendapat, jika presiden dan timbalan presiden PAS adalah ulama, di mana pula peranan Majlis Syura Ulama, seolah-olah peranan mereka bertindan sahaja.

Majlis Syura Ulama adalah badan tertinggi dalam PAS selepas Muktamar tahunan.  Semua anggotanya terdiri daripada ulama atau mereka yang mendapat pendidikan agama secara formal.

Mat Sabu dikira bukan seorang ulama.

Khairudin berkata, apa yang cuba dicadangkan oleh Dewan Ulama adalah, sewajarnya kedua-dua jawatan itu di kalangan (faqih) yang mampu membuat rujukan terus kepada al-Quran dan hadis, dua rujukan utama Islam.

"Timbalan presiden PAS sekarang, Mohamad Sabu adalah seorang pemimpin yang hebat. Cuma barangkali yang kurang adalah fakih (mendalam) soal agama.

"Namun jika dia dicalonkan dan diterima oleh ahli, Dewan Ulama akan menerimanya, kerana pemilihannya adalah sah," kata Khairuddin.

Katanya, apa yang Dewan Ulama buat ialah mencadangkan syarat kepimpinan terbaik dari apa yang ada, namun terpulang kepada ahli muktamar.

"Kita mencadangkan sahaja, maka dia (Mohamad Sabu) tidak perlu rasa hati dengan resolusi kami," katanya.

Bagi Dewan Ulama, kata Khairudin, presiden dan timbalan presiden PAS adalah calon ketua negara jika PAS diberikan mandat untuk mentadbir negara ini.

Untuk itu, katanya, ciri-ciri seorang ketua negara perlu ada kepada presiden dan timbalan presiden PAS.

Khairudin berkata, adalah lebih baik jika presiden dan timbalan presiden dengan majlis syura ulama yang semuanya ulama dan fakih.

"Sekarang semua ahli majlis syura ulama adalah fakih. Jika presiden dan timbalan presiden fakih juga, lagilah bagus, lagilah aula.

"Kita sudah pakai jubah, tetapi kalau kita pakai serban, itu lagi bagus," katanya.

Atas dasar itu, kata Khairuddin, beliau tidak bersetuju dengan pandangan cukuplah kita ada ulama dalam Majlis Syura sahaja.

"Cukuplah itu berpada dengan hukum Islam yang cukup, kenapa tidak pergi lebih jauh sikit lagi. Dicadangkan presiden dan timbalan serta sebahagian naib presiden pun di kalangan orang yang fakih," katanya.

Khairudin berkata, ulama yang dirujuk untuk memegang jawatan ini tidak semestinya daripada Dewan Ulama tetapi istilah yang digunakan adalah fakih.

"Fakih ini bukan semestinya dari Dewan Ulama. Semua orang boleh jadi fakih dengan syarat pergi belajar," katanya. – 4 Oktober, 2013.

Friday, 4 October 2013

Laporan Audit Isyarat Kerajaan Boros


KENYATAAN MEDIA KHAMIS 3 OKTOBER 2013

Laporan Audit Isyarat Perbelanjaan Kerajaan Boros Tidak Mengikut Kaedah Perbelanjaan Berhemah Islam


2 asas penting dalam perbelanjaan sebagaimana digariskan oleh Islam ialah pertama perbelanjaan berhemah dan kedua perbelanjaan menurut kemampuan. Allah berfirman dalam surah al-Furqan: 67:

وَالَّذِينَ إِذَا أَنْفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَلِكَ قَوَامًا

Maksudnya Dan mereka yang apabila berbelanja mereka tidak boros dan tidak kedekut dan adalah perbelanjaannya pertengahan antara keduanya.

Allah berfirman lagi al-Tolaq: 7

لِيُنْفِقْ ذُو سَعَةٍ مِنْ سَعَتِهِ وَمَنْ قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنْفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ

Maksudnya: Hendaklah berbelanja orang yang berkelapangan berdasarkan kelapangannya dan sesiapa yang disempitkan rezkinya hendaklah dia berbelanja berdasarkan apa yang diberikan oleh Allah

Saya memetik ulasan umum Ketua Audit Negara Tan Sri Dato’ Setia Haji Ambrin Buang dalam Laporan Audit Negara 2012
siri 1 hasil daripada pengauditan 21 program/aktiviti/projek dibawah 15 Kementerian/Jabatan Persekutuan dan Pengurusan 4 syarikat Kerajaan dan juga
siri 2 hasil daripada pengauditan 24 program/aktiviti/projek dibawah 13 Kementerian/Jabatan Persekutuan dan Pengurusan 2 syarikat Kerajaan dan pengurusan terhadap prestasi kewangan dan pengawasan syarikat kerajaan:

"Pada umumnya terdapat kelemahan seperti improper payment, kerja/bekalan tidak mengikut spesifikasi/tidak berkualiti/tidak sesuai, kelewatan tidak munasabah, pembaziran, kelemahan pengurusan hasil dan kelemahan pengurusan aset Kerajaan. Kelemahan tersebut adalah disebabkan oleh kecuaian dalam mematuhi peraturan/prosuder yang ditetapkan oleh Kerajaan, kurang teliti semasa merancang program/aktiviti/projek dan menetapkan skop serta spesifikasi tender, tidak memantau dengan kerap dan teliti kerja kontraktor /vendor/perunding, kurang kemahiran dalam pengurusan projek, lewat membuat keputusan mengenai perolehan, sistem maklumat Kementerian/Jabatan/Agensi yang tidak lengkap dan tidak kemas kini, kurang memberi perhatian terhadap keberhasilan/impak sesuatu program/aktiviti/projek, kekurangan peruntukan untuk penyenggaraan aset dan kekurang pegawai untuk mengutip hasil".


Menelusuri satu-persatu setiap Laporan Audit 2012 jelas menemukan kita dengan pelbagai kecuaian, pemborosan dan ketirisan yang sangat ketara dalam perbelanjaan kerajaan sama ada berskala kecil atau skala besar. Ulasan "tidak memuaskan" boleh ditemui di banyak tempat.
Antaranya:

1.    Di Kementerian Kewangan "pembayaran RM529, 733 kepada 4 syarikat perunding yaang dilantik pada tahun 2003 merupakan satu pembaziran kerana laporan yang dikeluarkan tidak dapat digunakan" (Laporan Audit Siri 1 hlm xiv dan 41)

2. Di Kementerian Pengangkutan projek peningkatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dengan 2 pakej bernilai RM1.44 bilion. Untuk pakej 2 Audit mengulas "kerja naik taraf tidak mengikut spesifikasi/tidak berkualiti." (Laporan Audit siri 1 hlm xix)

3. Perbelanjaan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar melibatkan Scanner A4 berharga RM200 di pasaran ditender dengan harga RM14,670.

4.    Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan melakukan lawatan ke luar negara berjumlah RM3.43 juta tanpa  disokong dokumen lengkap. Kos lawatan ke luar negara berjumlah RM253,813 tidak munasabah dan tidak mengikut kadar ditetapkan. Program promosi dan publisisti yang dibatalkan telah dibayar RM3.19 juta. Juga berlaku improper payment RM13.54 juta. (Laporan Audit 2012 siri 2 xxxi)

5.    Kementerian Belia dan Sukan membelanjakan RM1.6 juta untuk menaja kumpulan K-Pop. Menariknya sebelum ini kementerian melaporkan konsert tersebut ditaja oleh syarikat swasta. Ertinya pemborosan berlaku disulami dengan penipuan untuk menutup pemborosan.

6.    Jabatan Kastam lupuskan kasut 7659 unit dengan kerugian 600k dengan alasan tidak menepati piawaian

7.    Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan membelanjakan RM7.23 juta terhadap projek penambahbaikan  TOP WP Labuan walaupun masih dalam proses timbang tara dengan kontraktor asal pembinaan TOP di mana akhirnya projek penambahbaikan terpaksa ditamatkan. (Laporan Audit 2012 siri 2 hlm xxviii)

Justeru, saya menegaskan beberapa perkara berikut:

1.    Ketirisan dan pemborosan sepertimana didedahkan oleh Laporan Audit Negara bukanlah kali pertama berlaku. Malah laporan-laporan audit sebelumnya menyaksikan hakikat pemborosan dan ketirisan yang sama. Ia mendorong satu anggapan bahawa kerajaan tidak berusaha mengambil pengajaran dan tidak berusaha membetulkan keadaan.

2.    Pemborosan dan ketirisan perbelanjaan negara adalah penyebab kepada situasi hutang negara yang telah melebihi rm500 bilion.

3.    Alasan kerajaan bahawa hutang negara tersebut adalah terkawal masih boleh diterima sekiranya tidak berlaku ketirisan dan pemborosan dalam perbelanjaan. Tetapi apabila hutang berlaku kerana kelemahan pengurusan perbelanjaan maka ia tidak boleh dimaafkan dan tidak wajar lagi kerajaan membodohkan rakyat dengan alasan seumpama itu.

4.    Laporan audit 2012 membuktikan bahawa pengurangan subsidi minyak hingga minyak dinaikkan 20 sen baru-baru ini dengan alasan menstabilkan kewangan negara adalah alasan yang direka-reka oleh kerajaan BN. Hakikatnya pengurangan subsidi minyak adalah untuk menampung ketirisan dan pemborosan perbelanjaan kerajaan. Berdasarkan hakikat ini saya berpandangan tindakan kerajaan mengurangkan subsidi minyak adalah haram menurut Islam kerana ia bukan bertujuan menampung kekurangan dana kerajaan tetapi kerana menampung pembaziran perbelanjaan.

5.    Nasihat kerajaan untuk rakyat berjimat cermat hanyalah ibarat ketam mengajar anak berjalan betul sedangkan kerajaan menjadi contoh terbaik untuk perbelanjaan boros dan membazir.

6.    kerajaan diperingatkan bahawa perbelanjaan harta negara bukan hanya akan diaudit di dunia tetapi juga akan diaudit di akhirat Allah. Maka hendaklah kerajaan bertaqwa kepada Allah dalam membelanjakan harta negara. Pemborosan dan pembaziran juga ditolak dan dikeji oleh semua agama dan penganut agama.

7.    Rakyat tanpa mengira agama, kaum dan parti tidak boleh berdiam diri melihat kemungkaran pemborosan, pembaziran dan ketirisan perbelanjaan negara. Ia ditolak oleh semua agama dan kaum. Mereka perlu mengambil sikap seperti mana yang ditunjukkan oleh seorang Tabi'i terkenal bernama Abu Muslim al-Khaulani yang secara tegas menegur Muawiyah bin Abi Sufyan r.a selaku Khalifah pemerintah Islam dalam perkara melibatkan perbelanjaan harta negara: Wahai Mu`awiyah! Harta negara itu bukan hasil usaha kamu. Bukan juga hasil usaha bapa kamu. Dan bukan juga hasil usaha ibu kamu.”

8. Saya menyokong satu demo aman besar-besaran dilakukan sebagaimana cadangan Ketua Penerangan PAS Dato Tuan Ibrahim Tuan Man bagi menggambarkan keprihatinan rakyat terhadap laporan audit 2012.

Ust Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Thursday, 3 October 2013

Sidang Parlimen 2hb okt dilanjutkan hingga jam 1 pg 3 okt

Sidang parlimen hari rabu 2hb okt tak dapat ditamatkan jam 12 mlm. Jam tanda waktu di parlimen terpaksa dihentikan dan sidang diteruskan hingga berakhir perbahasan jam 12.51 pg. Perkara yang sama pernah berlaku dalam sidang yang lalu pada malam ramadhan. Tan Sri Pandikar Amin sebagai Speaker bertahan sebagai speaker dewan sejak jam 4 ptg tanpa ganti. Kemudian sidang diteruskan dgn ucapan penangguhan oleh wakil rakyat Petaling Jaya Selatan dengan sidang dikendalikan oleh timbalan speaker Dato Ismail. Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar

Wednesday, 2 October 2013

Muktamar Pemuda PAS Pahang 12hb okt 2012

Insyallah saya diminta merasmikan Muktamar Pemuda PAS Pahang pada 12hb oktober 2013

Kanak-kanak Cerebral Palsy dinafikan hak bersekolah

Hari ini 2 okt 2013  merupakan Hari Celebral Palsy Sedunia. Mereka menuntut hak untuk bersekolah seperti orang lain. Di bawah adalah gambar salah seorang pesakit Celebral Palsy yang hadir ke parlimen membawa memorandum.



Semakan Tahaaluf Siyaasi Untuk Penambahbaikan - Wawancara Dr Khairuddin dgn The Malaysian Insider

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tahaluf-siasi-ulama-pertahan-resolusi-demi-kepentingan-pas
Tahaluf siasi: Ulama pertahan resolusi demi kepentingan PAS
OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA
OCTOBER 02, 2013


Tahaluf siasi dikaji semula untuk penambahbaikan PAS, kata Dr Mohd Khairudin Aman Razali. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 2 Oktober, 2013.
Ulama PAS mempertahankan cadangannya supaya tahaluf siasi (kerjasama politik) dengan Pakatan Rakyat (PR) khasnya PKR dikaji semula oleh parti Islam itu untuk penambahbaikan dan bukan bertujuan mengajak PAS meninggalkan PR.

Setiausaha Dewan Ulama PAS, Dr Mohd Khairudin Aman Razali dalam wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider berkata, cadangan dibuat berdasarkan aduan dan maklum balas yang diterima mereka.

"Kita menerima pelbagai aduan yang melibatkan hubungan PAS dengan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat. Kita tidak boleh sapu aduan itu ke bawah karpet. Itu amalan tidak betul.

"Jadi kita bawa berbincang dan akhirnya dibawa ke Multaqa Ulama di Alor Setar dan diluluskan dalam bentuk resolusi," katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu.

Khairudin berkata demikian ketika mengulas kekecohan yang berlaku dalam PAS sekarang ekoran resolusi yang dibuat Dewan Ulama dalam perhimpunan mereka di Alor Setar.

Ia bermula dengan ucapan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib yang mencadangkan multaqa itu mengkaji kerjasama politik dengan PR khasnya dengan PKR.

Dua pemimpin PAS menyifatkan resolusi itu menghantar mesej yang salah seolah-olah ulama meminta PAS keluar dari PR.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan Setiuasaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyifatkan resolusi itu satu tindakan yang tidak bijak.

Khairudin berkata, PAS sudah melaksanakan tahaluf siasi sejak 1959 lagi dengan pihak berbeza dan ia sentiasa dikaji untuk kepentingan parti Islam itu.

Semasa pilihan raya umum lalu, katanya, ada kerjasama tidak berapa baik di kalangan PAS dengan PKR khasnya berlaku perebutan kerusi, ada ahli PAS yang menyertai parti lain dan sebagainya.

"Memang semasa perang kita diamlah kerana kita cuba fokus kepada lawan kita. Tetapi dalam keadaan perang sudah reda, kita bolehlah bersuara dan muhasabah kembali," katanya.

Khairudin menafikan PAS dan PKR serta DAP bersatu dalam hakikat satu parti atau 'perkahwinan' kerana kerjasama dengan kedua-duanya adalah persefahaman sahaja.

"Tidak tepat kiaskan dengan perkahwinan kerana Pakatan Rakyat hanya persefahaman tiga parti sahaja. Jadi ada yang kita bersama dan ada yang berbeza.

"Perkahwinan belum berlaku lagi. Kita belum kita lagi kerana mungkin ada yang belum selesai," katanya.


Perkahwinan belum berlaku antara PAS-PKR-DAP, kata Dr Mohamad Khairuddin Aman Razali.
Beliau berkata, setiap parti dalam PR mempunyai matlamat masing-masing dan yang menyatukan mereka adalah untuk melawan musuh yang sama iaitu Umno dan Barisan Nasional (BN).

Khairudin berkata, kenyataan Mursyidul Am, Presiden dan Ketua Penerangan PAS mereka akan memperkuatkan PR adalah tidak bertentangan dengan resolusi multaqa mereka.

"Ia tidak ada masalah kerana ia terhasil selepas menyemaknya. Ulama minta PAS semak, bila semak presiden dan mursyidul am buat kenyataan akan perkuatkan Pakatan," katanya.

Berhubung dengan usul dalam muktamar untuk membolehkan ia dibahaskan, Khairudin berkata, Dewan Ulama Pusat menyerahkan kepada ulama negeri-negeri untuk menilainya.

"Jika mereka setuju dengan pandangan, ia akan dijadikan usul ke peringkat pusat dan kalau muktamar Dewan Ulama pula meluluskannya, kita akan bawa dalam Mukatamar Pusat," katanya. - 2 Oktober, 2013.

Tuesday, 1 October 2013

Album Pelbagai Aktiviti 30.9.2013 dan 1.10.2013

Semalam berkesempatan berdiri membahaskan bajet tambahan bagi kementerian kesihatan. Antara yang disentuh ialah persekitaran wad yang lebih menggembirakan dan menceriakan pesakit, keperluan pegawai agama untuk membimbing pesakit, hak berpakaian lengkap menutup aurat bagi warga kerja kem melibatka pakaian seragam.

Sidang media hari ini bersama Dato Raja Bahrin isu insiden-i siden runtuhan di negeri Terengganu

Ditemuramah oleh saudara Zulkifli Sulong wartawan The Malaysian Insider tengahari tadi tentang pelbagai isu melibatkan Resolusi Multaqa Ulama Yang menjadi perbahasan hangat di media


Pertemuan Dengan Tan Sri Pandikar Amin Speaker Parlimen

Alhamdulillah ahli-ahli parlimen Parti Islam Semalaysia melakukan kunjungan hormat beramah mesra dengan Tan Sri Speaker Dewan semalam selasa 30hb sep 2013. Banyak pencerahan tentang tatacara pengurusan dewan dikemukakan oleh YB Tan Sri.
Antara yang turut hadir Dato Mahfuz Omar, Dr Hatta Rameli, Ust Idris Ahmad, Dr Mujahid, Ust Baihaqi, Dato Kamaruddin Jaafar, Ustazah Zailah

Insiden Bumbung Masjid Tebauk Runtuh

KENYATAAN MEDIA 30.9.2013 DI LOBI PARLIMEN

Insiden Runtuhan Bumbung Masjid Tebauk, Parlimen Kuala Nerus

Saya memandang serius tragedi sebahagian bumbung dan siling Masjid Kampung Tebauk, Bukit Tunggal di kawasan Parlimen Kuala Nerus runtuh awal pagi semalam ahad 29hb sep 2013.

Fakta yang perlu diambil perhatian dalam insiden ini ialah
1. Insiden ini melibatkan rumah Allah yang mulia yang perlu dimakmurkan setiap masa.
2. insiden seumpama ini berisiko melibatkan nyawa sekiranya runtuhan berlaku ketika ahli Qaryah sedang memakmurkan masjid apatah lagi masjid boleh memuatkan jamaah hingga 1000 orang.

3. Dilaporkan runtuhan membabitkan kira-kira 40 peratus bahagian masjid dan melibatkan struktur asas bangunan juga. Jika benar ia adalah runtuhan berskala besar yang menimbulkan keraguan terhadap tahap keselamatan seluruh struktur masjid.

4. Masjid adalah masih baru iaitu siap dibina dua tahun lepas. Ini menimbulkan persoalan tahap profesional pihak yang bertanggungjawab terhadap pembinaan tersebut.

5. Kos pembinaan ialah RM6 juta dan ia melayakkan masjid ini dibina dengan binaaan yang kukuh dan terbaik.

6. Insiden seumpama ini bukan yang pertama berlaku di negeri ini. Bumbung masjid runtuh di negeri ini telah berlaku 20 Mei lepas di Masjid Kampung Binjai Kertas, Hulu Terengganu yang hampir melibatkan nyawa 12 jemaah yang baru sahaja selesai solat isya. Pada 3 Oktober 2009, bumbung bahagian hadapan Masjid Kampung Batu Putih, Kerteh, Kemaman juga runtuh menyebabkan tiga mangsa cedera.
7. Siri runtuhan juga berlaku di negeri ini malah di parlimen yang sama Kuala Nerus pada 2 Jun 2009 melibatkan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang menelan belanja RM292.9 juta dan siap dibina pada Mei 2008. Pada 20 feb 2013 sebahagian struktur bumbung stadium berkenaan runtuh lagi menyebabkan tiga pekerja parah manakala dua lagi cedera ringan.

Melihat kepada insiden ini melibatkan harta awam dan merisikokan nyawa, Justeru, saya menegaskan

1. Siasatan segera perlu dilakukan untuk melihat sejauh mana kelulusan untuk masjid ini digunakan dijalankan secara profesional oleh jkr tanpa sebarang kecuaian yang disengajakan.

2. Siasatan segera perlu dilakukan terhadap kontraktor yang terlibat untuk melihat sejauh mana kelayakannya untuk membina masjid dan adakah di sana terdapat unsur-unsur kecuaian yang disengajakan dalam pemberian tender pembinaan.

3. Siasatan segera perlu dibuat terhadap punca kejadian melibatkan penggunaan bahan binaan sejauh mana menepati standard yang diperlukan bagi masjid yang bernilai rm5.7 juta.

4. Semakan semula tahap keselamatan masjid-masjid yang baru dibina di negeri ini terutamanya melibatkan kontraktor pembinaan yang sama jika ada.

5. Jika berlaku kecuaian dipihak pembekal atau kontraktor berkenaan tindakan tidak patut hanya berpada dengan pembinaan semula bahkan ganti rugi setimpal mesti dikenakan menurut undang-undang dan senarai hitam mesti dikenakan sebagai peringatan kepada pihak berkenaan dan pihak pembekal lain yang melibatkan harta awam dan nyawa.

6. Kerajaan perlu mendedahkan laporan siasatan kes runtuhan bumbung Masjid Kampung Binjai Kertas, Hulu Terengganu 20 Mei lalu. Kecuaian dalam mendedahkan kes runtuhan lepas boleh menggoyah harapan rakyat untuk melihat laporan untuk siasatan kes runtuhan masjid tebauk.

7. Kerajaan perlu menyenaraikan semua kontraktor dan pembekal yang mendapat projek pembinaan masjid yang telah runtuh sejak tahun 2009 hingga terkini

Akhirnya saya menegaskan bahawa pembinaan masjid adalah melibatkan harta awam yang menjadi amanah kepada semua yang terlibat sebagai kontraktor, pentadbir dan pengurus berkenaan. Ia juga melibatkan rumah Allah yang mulia. Ia merisikokan nyawa orang-orang soleh yang memakmurkan masjid. Justeru, semua pihak berkaitan perlu memandang isu ini dengan serius untuk kebaikan seluruh umat.

YB Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Sunday, 4 August 2013

Diari Kuala Nerus Khamis 1 hb Ogos 2013

Seawal pagi jam 8 Khamis 1 hb Ogos 2013 saya menaiki flight MAS ke Kuala Terengganu dari Kuala Lumpur untuk  memulakan sesi-sesi program bersama rakyat. Flight terlewat beberapa ketika menyebabkan saya hanya tiba di Kuala Terengganu jam 9.40 pagi.
Semalam seharian di Kuala Lumpur untuk menghadiri pelbagai meeting. 2 hari sebelumnya iaitu selasa di Terengganu untuk Tazkirah sebelum iftar di Maahad Tahfiz wa Tarbiyah Tok Jirin. Iftar pula dimanfaatkan untuk bersama anak-anak muda dari kawasan Kuala Nerus di BB Seafood anjuran Pemuda Kawasan.



Sesi pertama hari ini bermula jam 10 pagi dengan kuliah Muslimat bertajuk Badar Kubra anjuran Muslimat Pagar Ubi. Kehadiran muslimat memberangsangkan di samping beberapa orang lelaki yang turut hadir.  
Jam 12.30 tghri saya bergerak ke hospital Kuala Terengganu menziarahi sahabat yang lebih dikenali sebagai Mat Anai-anai dan Pok Cik Kor yang kemalangan. Mat Anai-anai kemalangan di Pahang dalam satu konvoi motor besar yang beliau sertai. 2 motor daripada ahli konvoi kemalangan maut. 

Jam 7 ptg menghadiri majlis berbuka puasa bersama Ustaz Azhar Idrus sempena perasmian Surau Mustaqim Banggul Pauh yang baru sahaja siap pembinaannya 2,3 bulan yang lalu.
Solat tarawih malam ini di Masjid Pulau Ketam. Masjid terkenal dengan jamaah hadirin yang ramai. 30 minit dimanfaatkan untuk saya menyampaikan tazkirah selepas solat Tarawih 8 rakaat diikuti selepas itu dengan witir.

Jam 10.45 malam ke Masjid Rusila pula untuk program dengan mahasiswa Terengganu yang sedang pulang bercuti. Hampir 70 orang anak-anak muda yang bersemangat menghadiri program yang diisi oleh beberapa orang pimpinan PAS Terengganu.





Saturday, 3 August 2013

KEMENANGAN YANG TERTANGGUH OLEH KEJAHILAN


KEMENANGAN YANG TERTANGGUH OLEH KEJAHILAN

1. Kejahilan adalah lawan kepada ilmu dan pengetahuan. Kejahilan merupakan kebinasaan paling besar sama ada terhadap individu atau masyarakat. Apatah lagi kejahilan itu melibatkan agama kerana ia melibatkan kefahaman yang benar tentang aqidah dan syariat yang menyelamatkannya daripada terjerumus dalam kesesatan. Kejahilan merupakan asas bagi segala kejahatan sepertimana kata Ibnu Taimiyah.
2. Di sinilah mulianya orang berilmu dalam Islam khusus para ulamak yang berilmu tinggi dan mendalami tentang Islam dan menyebarkannya kepada ummah. Dengan ilmu mereka memimpin umat ke jalan kebenaran yang dikehendaki oleh al-Quran dan al-Sunnah. Oleh itu terdapat banyak hadis memuji orang berilmu tentang agama. Nabi saw bersabda dalam Hadis Sahih Bukhari:
 مَنْ يُرِدْ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ 
Sesiapa yang Allah inginkan baginya kebaikan Allah bagi dia faham mendalam (menjadi faqih) tentang agama"
Nabi saw mendoakan Ibnu Abbas r.a  dalam Hadis Sahih riwayat Bukhari
اللَّهمَّ فقِّهْهُ في الدِّينِ وعلِّمْه التأويلَ

Ya allah jadikanalah dia faqih org yang faham mendalam tentang agama".
Allah menggesa hambanya mendalami agama agar mereka boleh memberi amaran kepada kaum mereka. Allah berfirman dalam surah taubah ayat 122

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ


"Alangkah baiknya jika keluar dari setiap puak itu 1 golongan untuk tujuan mendalami (tafaqquh) dalam agama dan untuk tujuan mereka memberi amaran kepada kamum mereka apabila mereka kembali mudah-mudahan mereka berwaspada."
3. Justeru setiap orang mesti berusaha mendalami ilmu agama sama ada dia seorang nelayan, boroh kasar atau seorang profesional seperti peguam dan doktor. Setiap orang yang mendalami agama dan mempunyai kemampuan mendalami al-Quran dan al-Hadis meski apa pun latar belakang pekerjaaannya maka dialah yang digelar oleh ummat sebagai ulamak dalm bahasa hari ini.
4. Setiap keluarga Islam perlu mempunyai sasaran melahirkan sekurang-kurangnya seorang ahli keluarga yang mempunyai ilmu agama yang tinggi (seorang ulamak) bagi memimpin keluarga ke arah kebaikan Islam, memandu ke syurga dan menghindarkan diri daripada neraka.
5. PAS adalah sebuah gerakan tarbiyah, dakwah dan siasah. Gerakan tarbiah bertujuan untuk membina dan mengkader anggota parti agar komited dengan amal Islami menepati manhaj an nabawi. Gerakan dakwah bertujuan menyedarkan umat untuk kembali kepada Islam. Gerakan siasah bertujuan mengembalikan kuasa pemerintahan kepada Islam. 

Sebagai gerakan dakwah, maka menjadi tugas PAS melahirkan orang-orang berilmu tentang agama agar mereka selamat dari sebarang penyelewengan aqidah dan syariat. Ulamak-ulamak yang mempunyai ilmu yang tinggi pula perlu dilahirkan secara gigih bagi memimpin umat mengenali Islam.
6. Produk utama sebuah gerakan islam ialah ilmu dan dakwah. Produk inilah yang dijaja oleh para pendokong gerakan Islam. Oleh itu gerakan Islam subur di surau masjid dan pusat pengajian Islam. Program utama ahli gerakan islam ialah kuliah ilmu agama, solat berjamaah, berusrah, bertamrin berqiamullail di cawangan dan kawasan di seluruh negara yang dipimpin oleh para ulamak. Hasil kerja dakwah yang berterusan maka masyarakat semakin sedar tentang rosaknya pemikiran songsang seperti sekular, sosialis dan liberal. Hasil kerja dakwah berterusan di pelbagai medium dan pentas, masyarakat makin sedar keperluan pemerintahan Islam bagi menggantikan pemerintahan sekular. Hasil kerja dakwah yang panjang, dasar politik, ekonomi dan sosial Islam sudah menjadi tuntutan ummah kepada pihak berkuasa hingga berjaya melahirkan perubahan politik yang besar.
7. Gerakan Islam seperti PAS perlu meneruskan agenda kesedaran ini untuk mengajak umat kembali kepada sistem pemerintahan Islam. Tonggak pada pembinaan kader-kadernya mestilah surau dan masjid tempat berhimpunnya jiwa yang baik, beraqidah yang benar tanpa songsang, bersyariat yang benar dan yakin dengan syariat Islam, berakhlak yang baik dengan lidah yang indah tanpa kata-kata dan ungkapan jijik. Amalan harian mereka mestilah solat berjamaah, solat sunat, zikir, baca Quran, berkuliah ilmu, bertazkirah, berqiamullail dan bersedekah.
8. Di kala gerakan islam seperti PAS hanya dipenuhi oleh insan yang mengabaikan asas-asas ini KEMENANGAN ISLAM AKAN TERUS TERTANGGUH.

YB Ust Datuk Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

Saturday, 25 May 2013

Agenda Sosial Islam

http://www.youtube.com/watch?v=T3YlkvMGGQY

http://www.youtube.com/watch?v=T3YlkvMGGQY&feature=player_detailpage

Wednesday, 10 April 2013