PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Friday, 4 October 2013

Laporan Audit Isyarat Kerajaan Boros


KENYATAAN MEDIA KHAMIS 3 OKTOBER 2013

Laporan Audit Isyarat Perbelanjaan Kerajaan Boros Tidak Mengikut Kaedah Perbelanjaan Berhemah Islam


2 asas penting dalam perbelanjaan sebagaimana digariskan oleh Islam ialah pertama perbelanjaan berhemah dan kedua perbelanjaan menurut kemampuan. Allah berfirman dalam surah al-Furqan: 67:

وَالَّذِينَ إِذَا أَنْفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَلِكَ قَوَامًا

Maksudnya Dan mereka yang apabila berbelanja mereka tidak boros dan tidak kedekut dan adalah perbelanjaannya pertengahan antara keduanya.

Allah berfirman lagi al-Tolaq: 7

لِيُنْفِقْ ذُو سَعَةٍ مِنْ سَعَتِهِ وَمَنْ قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنْفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ

Maksudnya: Hendaklah berbelanja orang yang berkelapangan berdasarkan kelapangannya dan sesiapa yang disempitkan rezkinya hendaklah dia berbelanja berdasarkan apa yang diberikan oleh Allah

Saya memetik ulasan umum Ketua Audit Negara Tan Sri Dato’ Setia Haji Ambrin Buang dalam Laporan Audit Negara 2012
siri 1 hasil daripada pengauditan 21 program/aktiviti/projek dibawah 15 Kementerian/Jabatan Persekutuan dan Pengurusan 4 syarikat Kerajaan dan juga
siri 2 hasil daripada pengauditan 24 program/aktiviti/projek dibawah 13 Kementerian/Jabatan Persekutuan dan Pengurusan 2 syarikat Kerajaan dan pengurusan terhadap prestasi kewangan dan pengawasan syarikat kerajaan:

"Pada umumnya terdapat kelemahan seperti improper payment, kerja/bekalan tidak mengikut spesifikasi/tidak berkualiti/tidak sesuai, kelewatan tidak munasabah, pembaziran, kelemahan pengurusan hasil dan kelemahan pengurusan aset Kerajaan. Kelemahan tersebut adalah disebabkan oleh kecuaian dalam mematuhi peraturan/prosuder yang ditetapkan oleh Kerajaan, kurang teliti semasa merancang program/aktiviti/projek dan menetapkan skop serta spesifikasi tender, tidak memantau dengan kerap dan teliti kerja kontraktor /vendor/perunding, kurang kemahiran dalam pengurusan projek, lewat membuat keputusan mengenai perolehan, sistem maklumat Kementerian/Jabatan/Agensi yang tidak lengkap dan tidak kemas kini, kurang memberi perhatian terhadap keberhasilan/impak sesuatu program/aktiviti/projek, kekurangan peruntukan untuk penyenggaraan aset dan kekurang pegawai untuk mengutip hasil".


Menelusuri satu-persatu setiap Laporan Audit 2012 jelas menemukan kita dengan pelbagai kecuaian, pemborosan dan ketirisan yang sangat ketara dalam perbelanjaan kerajaan sama ada berskala kecil atau skala besar. Ulasan "tidak memuaskan" boleh ditemui di banyak tempat.
Antaranya:

1.    Di Kementerian Kewangan "pembayaran RM529, 733 kepada 4 syarikat perunding yaang dilantik pada tahun 2003 merupakan satu pembaziran kerana laporan yang dikeluarkan tidak dapat digunakan" (Laporan Audit Siri 1 hlm xiv dan 41)

2. Di Kementerian Pengangkutan projek peningkatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dengan 2 pakej bernilai RM1.44 bilion. Untuk pakej 2 Audit mengulas "kerja naik taraf tidak mengikut spesifikasi/tidak berkualiti." (Laporan Audit siri 1 hlm xix)

3. Perbelanjaan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar melibatkan Scanner A4 berharga RM200 di pasaran ditender dengan harga RM14,670.

4.    Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan melakukan lawatan ke luar negara berjumlah RM3.43 juta tanpa  disokong dokumen lengkap. Kos lawatan ke luar negara berjumlah RM253,813 tidak munasabah dan tidak mengikut kadar ditetapkan. Program promosi dan publisisti yang dibatalkan telah dibayar RM3.19 juta. Juga berlaku improper payment RM13.54 juta. (Laporan Audit 2012 siri 2 xxxi)

5.    Kementerian Belia dan Sukan membelanjakan RM1.6 juta untuk menaja kumpulan K-Pop. Menariknya sebelum ini kementerian melaporkan konsert tersebut ditaja oleh syarikat swasta. Ertinya pemborosan berlaku disulami dengan penipuan untuk menutup pemborosan.

6.    Jabatan Kastam lupuskan kasut 7659 unit dengan kerugian 600k dengan alasan tidak menepati piawaian

7.    Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan membelanjakan RM7.23 juta terhadap projek penambahbaikan  TOP WP Labuan walaupun masih dalam proses timbang tara dengan kontraktor asal pembinaan TOP di mana akhirnya projek penambahbaikan terpaksa ditamatkan. (Laporan Audit 2012 siri 2 hlm xxviii)

Justeru, saya menegaskan beberapa perkara berikut:

1.    Ketirisan dan pemborosan sepertimana didedahkan oleh Laporan Audit Negara bukanlah kali pertama berlaku. Malah laporan-laporan audit sebelumnya menyaksikan hakikat pemborosan dan ketirisan yang sama. Ia mendorong satu anggapan bahawa kerajaan tidak berusaha mengambil pengajaran dan tidak berusaha membetulkan keadaan.

2.    Pemborosan dan ketirisan perbelanjaan negara adalah penyebab kepada situasi hutang negara yang telah melebihi rm500 bilion.

3.    Alasan kerajaan bahawa hutang negara tersebut adalah terkawal masih boleh diterima sekiranya tidak berlaku ketirisan dan pemborosan dalam perbelanjaan. Tetapi apabila hutang berlaku kerana kelemahan pengurusan perbelanjaan maka ia tidak boleh dimaafkan dan tidak wajar lagi kerajaan membodohkan rakyat dengan alasan seumpama itu.

4.    Laporan audit 2012 membuktikan bahawa pengurangan subsidi minyak hingga minyak dinaikkan 20 sen baru-baru ini dengan alasan menstabilkan kewangan negara adalah alasan yang direka-reka oleh kerajaan BN. Hakikatnya pengurangan subsidi minyak adalah untuk menampung ketirisan dan pemborosan perbelanjaan kerajaan. Berdasarkan hakikat ini saya berpandangan tindakan kerajaan mengurangkan subsidi minyak adalah haram menurut Islam kerana ia bukan bertujuan menampung kekurangan dana kerajaan tetapi kerana menampung pembaziran perbelanjaan.

5.    Nasihat kerajaan untuk rakyat berjimat cermat hanyalah ibarat ketam mengajar anak berjalan betul sedangkan kerajaan menjadi contoh terbaik untuk perbelanjaan boros dan membazir.

6.    kerajaan diperingatkan bahawa perbelanjaan harta negara bukan hanya akan diaudit di dunia tetapi juga akan diaudit di akhirat Allah. Maka hendaklah kerajaan bertaqwa kepada Allah dalam membelanjakan harta negara. Pemborosan dan pembaziran juga ditolak dan dikeji oleh semua agama dan penganut agama.

7.    Rakyat tanpa mengira agama, kaum dan parti tidak boleh berdiam diri melihat kemungkaran pemborosan, pembaziran dan ketirisan perbelanjaan negara. Ia ditolak oleh semua agama dan kaum. Mereka perlu mengambil sikap seperti mana yang ditunjukkan oleh seorang Tabi'i terkenal bernama Abu Muslim al-Khaulani yang secara tegas menegur Muawiyah bin Abi Sufyan r.a selaku Khalifah pemerintah Islam dalam perkara melibatkan perbelanjaan harta negara: Wahai Mu`awiyah! Harta negara itu bukan hasil usaha kamu. Bukan juga hasil usaha bapa kamu. Dan bukan juga hasil usaha ibu kamu.”

8. Saya menyokong satu demo aman besar-besaran dilakukan sebagaimana cadangan Ketua Penerangan PAS Dato Tuan Ibrahim Tuan Man bagi menggambarkan keprihatinan rakyat terhadap laporan audit 2012.

Ust Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus

No comments:

Post a Comment