PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Friday, 20 December 2019

Amalan Memberi Salam

*Satu Hari Satu Hadis Amalan* (2)

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
يُسَلِّمُ الرَّاكِبُ عَلَى الْمَاشِي وَالْمَاشِي عَلَى الْقَاعِدِ وَالْقَلِيلُ عَلَى الْكَثِيرِ

Rasulullah saw bersabda
"Orang yang menunggang memberi salam kepada orang yang berjalan. Orang yang berjalan memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang ramai"

Hadis Sahih Muslim

Kata Imam Nawawi, memulakan memberi salam itu sunat manakala menjawabnya adalah wajib. Adapun Hadis di atas menjelaskan tentang siapa pula yang sunat dan sepatutnya memulakan memberi salam. Namun, jika berlaku sebaliknya tidak mengapa namun ia bercanggah dengan amalan yang lebih afdhal.
Wallahu A'lam.

Ustaz Dato' Dr Khairuddin Takiri

Setiap Sakit Ada Penawarnya

*Satu Hari Satu Hadis Amalan* (3)

عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ فَإِذَا أُصِيبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Daripada Rasulullah saw bahawa Baginda bersabda
"Setiap penyakit ada penawarnya. Maka apabila penawar bagi penyakit itu ditepati, dia sembuh dengan izin Allah azza wajalla"

Hadis Sahih Muslim

Kata Imam Nawawi, Hadis ini mengandungi isyarat sunat berubat apabila sakit. Itu adalah pandangan majoriti ulamak terdahulu dan rata-rata ulamak terkemudian.

Difahami juga daripada Hadis tersebut kelebihan mempelajari ilmu perubatan untuk mengenali penawar bagi penyakit agar sakit itu benar-benar ditemukan penawarnya yang sebenar.
Wallahu A'lam.

Ustaz Dato' Dr Khairuddin Takiri

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2971969162813094&id=569086473101387

Wednesday, 11 December 2019

Sunat Menjilat Makanan Dijari

Satu Hari Satu Hadis Amalan

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ طَعَامًا فَلَا يَمْسَحْ يَدَهُ حَتَّى يَلْعَقَهَا أَوْ يُلْعِقَهَا
Sabda Rasulullah saw
"Apabila seseorang kamu makan maka janganlah menyapu tangannya sehinggalah dia menjilatnya atau menjadikan orang lain menjilatnya"

Hadis Sahih Muslim

Kata Imam Nawawi, Hadis ini memberi faedah yang besar kepada suami isteri untuk berkasih sayang iaitu saling menjilat makanan di tangan dan jari masing-masing.

Sekian

Ustaz Dato' Dr Khairuddin Takiri

Sunat Meramaikan Orang Solat Janazah

Sunat Meramaikan Orang Solat Janazah

Meramaikan orang yang soleh dan baik mengerjakan solat Janazah terhadap seseorang yang mati sehingga mencapai bilangan 40 atau 100 orang adalah sunat.

Dalilnya ialah Hadis Sahih Muslim yang Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa beliau mendengar Nabi saw bersabda

"Tiada seorang pun lelaki muslim yang mati lalu berdiri solat jenazah ke atasnya 40 orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu melainkan Allah memberi syafaat kepadanya"

Dalam Hadis Sahih Muslim juga daripada Aisyah (radiyallahu anha) bahawa Nabi (saw) bersabda

ما مِن مَيِّتٍ تُصَلِّي عليه أُمَّةٌ مِنَ المُسْلِمِينَ يَبْلُغُونَ مِئَةً، كُلُّهُمْ يَشْفَعُونَ له، إلَّا شُفِّعُوا فِيهِ.

"Tiada seorang pun orang mati yang disolatkan janazahnya oleh satu umat daripada orang-orang Islam mencapai bilangan 100 orang, semuanya memohon syafaat bagi si mati melainkan Allah memberikan syafaat kepadanya."

Ada 2 syarat untuk si mati mendapat Syafaat sebagaimana difahami daripada Hadis.

Pertamanya, pelaku solat Janazah adalah orang yang soleh yang tidak mensyirikkan Allah.

Keduanya, mereka memohon kepada Allah dengan penuh ikhlas agar diberikan syafaat dan keampunan dosa kepada si mati.

Sekian

Ustaz Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Rabu 11hb Disember 2019

Monday, 9 December 2019

MASALAH INTEGRITI: KEDUDUKAN PEGUAM NEGARA PERLU DIKAJI SEMULA

https://www.facebook.com/569086473101387/posts/2946650645344946/

MASALAH INTEGRITI: KEDUDUKAN PEGUAM NEGARA PERLU DIKAJI SEMULA

1. Peguam Negara adalah satu jawatan amat besar dengan tugas utamanya untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang, dengan kuasa budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.

2. Disebabkan tugas amat penting dan kuasa amat luas inilah maka penjawat jawatan Peguam Negara yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri, hendaklah dipastikan mempunyai integriti yang amat tinggi.

3. Malangnya integriti Peguam Negara sekarang, Tan Sri Tommy Thomas, kini boleh dipertikaikan setelah beliau:
(a) Mengumumkan akan menarik balik keputusan Jabatan Peguam Negara  memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, dari tuduhan mendedahkan data perbankan dari akaun NFC setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelumnya.
(b) Mengumumkan akan mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai-pegawainya yang telah memfailkan rayuan tersebut kerana “insubordination”.
(c) Menyatakan keputusan untuk tidak memfailkan rayuan tersebut dibuat selepas beliau berbincang dengan Pengerusi SPR, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

4. Secara tiba-tiba sahaja setelah Tan Sri Azhar Azizan Harun membuat kenyataan bahawa beliau tidak pernah berbincang dengan Tan Sri Tommy Thomas mengenai kes Rafizi Ramli, Tan Sri Tommy Thomas pun mengakui beliau tidak berbincang dengan Tan Sri Azhar Azizan Harun mengenainya.

5. Kenyataan Tan Sri Tommy Thomas yang membabitkan Tan Sri Azhar Azizan Harun, kemudian pernyataan di sebaliknya, tanpa sebarang pengakuan atas kesilapan, permohonan maaf kepada Tan Sri Azhar Azizan Harun atau tindakan kepada media jika media salah lapor, menunjukkan Tan Sri Tommy Thomas tidak mempunyai tahap integriti tinggi yang wajib ada pada seseorang Peguam Negara.

6. Ia juga menunjukkan Tan Sri Tommy Thomas sangat tidak cermat dalam melaksanakan tugas beliau di mana keadaan ini memungkinkan banyak kesilapan lain mungkin telah dilakukan oleh beliau pada masa lalu di samping banyak lagi kesilapan lain mungkin akan dilakukan oleh beliau pada masa depan.

7. Tindakan beliau menarik balik keputusan memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam tersebut pula adalah bercanggah dengan amalan lazim Jabatan Peguam Negara yang menimbulkan persoalan mengenai kemampuan beliau menegakkan keadilan ‘without fear or favour’.

8. Tindakan beliau mengumumkan akan mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai-pegawainya yang telah memfailkan rayuan tersebut, yang dibuat serta merta dan secara terbuka tanpa terlebih dahulu membuat siasatan dalaman, juga menunjukkan beliau tidak mampu memberi keadilan kepada pegawai-pegawainya.

9. Kesemua ini, di samping pelbagai kontroversi lain membabitkan beliau yang pernah timbul sebelum ini, menunjukkan keberadaan Tan Sri Tommy Thomas sebagai Peguam Negara amat perlu dikaji semula oleh pihak berwajib.

Sekian.

"Islam Memimpin Perpaduan"

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Ahli Parlimen Kuala Nerus