Wednesday 10 July 2019

Remaja Derita Kanser Tulang dapat Perhatian Ahli Parlimen Kuala Nerus

Remaja Derita Kanser Tulang dapat Perhatian Ahli Parlimen Kuala Nerus


SHARE 


Wan Yusrizal mewakili Dato' Khairuddin menyampaikan sumbangan kepada adik Thaqiff
KUALA NERUS, 10 Julai- Seorang remaja terpaksa melupakan seketika hasrat untuk belajar apabila disahkan mengidap kanser tulang dan kini hanya mampu terbaring di atas katil.

Adik Thaqiff atau nama sebenarnya Abdul Azeem Thaqiff Azman, 16, yang berasal  dari Kampung Tetambah, telah disahkan oleh doktor mengidap penyakit berkenaan di bahagian lutut dan tulang peha sejak setahun yang lalu.

Ibunya Siti Nur Kamariah Daud, 45, berkata anaknya merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu mula menunjukkan tanda-tanda penyakit itu apabila bahagian tulang lutut serta paha membengkak seterusnya terpaksa dibedah dan digantikan dengan besi.

Menurutnya, tulang lutut dan paha anak bongsu daripada tiga beradik itu dibedah bulan lalu dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Universiti Kubang Kerian di Kota Bharu Kelantan untuk rawatan kimoterapi.

“Anak saya telah melalui rawatan kimoterapi sebanyak empat kali dan masih berbaki dua kali lagi.

“Anak saya juga telah menjalankan pembedahan pada pertengahan Jun yang lepas, untuk membuang tulang lutut dan peha yang membengkak akibat sel-sel kanser, dan digantikan dengan besi”, ujar Siti Nur kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Sebelum itu, Thaqiff yang berjaya memperoleh keputusan 5A dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun lalu menerima lawatan Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Wan Yusrizal Wan Shafi’i.

Turut hadir, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTs) Dun Buluh Gading, Ustaz Md. Fauzi Mustaffa, dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kg Tetambah, Ustaz Abbas Muda.

Wan Yusrizal mewakili Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan barang keperluan harian bagi meringankan beban ditanggung keluarga terbabit.

Mengulas lanjut, Siti Nur berkata, anaknya mendapat bantuan perubatan bagi pembedahan memasukkan besi pada bahagian lutut pada bulan lalu namun bantuan itu dianggap masih tidak mencukupi.

Justeru, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Thaqiff boleh menghubungi Siti Nur di talian 013 6708000 atau menyalurkan sumbangan melalui Pusat Khidmat Parlimen Kuala Nerus.


No comments:

Post a Comment