PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Tuesday, 20 November 2018

Memahami Hakikat RAHMAT Seluruh Alam*

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2256242537719097&id=569086473101387

TAFSIR MUSTAQIM
Oleh Ustaz Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Memahami Hakikat RAHMAT Seluruh Alam

Firman Allah Taala (surah al-Anbiya:107)

*وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ*
"Dan tidak Kami utuskan kamu (Muhammad) melainkan rahmat untuk sekelian alam"

1. "RAHMAH" adalah satu kalimah yang sentiasa disebut dalam al-Quran memberi pelbagai makna antaranya kasih sayang, kasihan belas, nikmat, rezki, syurga, ganjaran pahala, kedatangan hujan, keampunan, kemaafan dan ketenangan. Semua makna-makna ini merangkumi pelbagai jenis keberkatan, kebaikan dan manfaat kehidupan sama ada di dunia mahu pun di akhirat.

2. Rasulullah saw diutuskan ke dunia membawa rahmat kebaikan untuk seluruh alam sama ada yang beriman dengan baginda mahupun yang kufur. Bukan hanya melibatkan alam manusia bahkan juga alam jin, alam binatang, alam jamadat dan alam-alam yang lain.

3. Rahmat itu terserlah dan terjelma menerusi agama Islam yang diseru dan ditegakkan oleh baginda saw. Apabila Islam tertegak dalam kehidupan manusia muslim, bukan Islam juga merasai rahmat kebaikannya.

4. Agama Islam itu pula terdiri daripada rangkuman tiga komponen utama iaitu Aqidah keyakinan, Syariat perundangan dan Akhlak keperibadian.

5. Rangkuman tiga perkara inilah membawa rahmat dan kebaikan kepada seluruh alam. Apabila Aqidah Islam diketepikan dengan hanya mengambil Syariat, rahmat itu tidak terserlah sepenuhnya. Jika hanya beraqidah tetapi diketepikan Syariat perundangan, rahmat itu juga tidak akan dirasai sepenuhnya. Begitulah juga jika akhlak ditinggalkan dengan hanya beraqidah dan bersyariat, rahmat itu tidak mencapai kesempurnaannya.

6. Aqidah Islam merangkumi keyakinan terhadap hakikat alam dunia dan alam akhirat serta alam kubur, dosa dan pahala, syurga dan neraka serta keyakinan terhadap ketentuan Allah. Keimanan terhadap hakikat ini menjadikan seorang muslim sentiasa tenang menghadapi cabaran kehidupan. Ia menjadikan dunia selamat dan aman daripada pelbagai kekacauan dan penindasan kerana seorang muslim tidak menyakiti manusia lain kerana keimanannya terhadap syurga dan neraka.

7. Syariat perundangan pula merangkumi syariat ibadat, syariat berkeluarga, syariat bermasyarakat, syariat berekonomi, syariat undang-undang jenayah, syariat tatacara kehakiman dan syariat pengurusan bernegara.

8. Syariat ekonomi Islam menjadikan semua manusia merasai keadilan hidup melibatkan pemilikan harta merangkumi makan minum, kediaman dan lainnya. Syariat perundangan jenayah Islam menyelamatkan dunia daripada berleluasanya penjenayah. Syariat bernegara menjadikan rakyat memperolehi keamanan dan ketenangan.

9. Akhlak pula merangkumi seluruh penampilan dan keperibadian manusia berhadapan dan bergaul dengan manusia lain sebagaimana ditunjukkan oleh baginda saw dalam pergaulan dengan anak isteri, jiran tetangga dan masyarakat dunia.

10. Malang sekali apabila ada yang menyelewengkan tafsiran rahmat dengan merujuk kepada kefahaman agama yang liberal merungkai hukum yang disepakati ulamak sepanjang zaman, juga pengamalan agama yang longgar terhadap sebahagian hukum Islam yang selalunya dijenamakan kononnya sebagai progresif. Juga dengan meninggalkan sebahagian syariat, yang dilakukan kononnya untuk menarik masyarakat untuk terpikat dengan Islam. Meninggalkan syariat perundangan Islam yang diturunkan oleh Allah yang mencipta semesta alam akan menghilangkan rahmat kebaikan yang dapat dirasai oleh manusia

11. Demikianlah rahmat di sebalik kehadiran Nabi Muhammad saw terserlah dan dinikmati oleh seluruh alam apabila Islam yang dibawa oleh baginda saw diamalkan dan ditegakkan.

12. Menjadi tanggungjawab setiap muslim untuk membawa Islam yang lengkap dengan aqidah, syariat dan akhlaknya agar rahmat kehadiran baginda saw di rasai oleh umat manusia.

Sekian

Selasa 12 hb Rabiul Awal 1440 H / 20 hb Nov 2018

Wednesday, 14 November 2018

Pendapatan Rakyat Rendah : Mengkaji Semula Definisi Miskin

Pendapatan Rakyat Rendah : Mengkaji Semula Definisi Miskin
Oleh: Zulhafeez Ahmad Zahidi

KUALA LUMPUR: Pada 2017 gaji median Malaysia meningkat sebanyak 8% kepada RM2,160 daripada RM2,000 pada 2016, hakikatnya pertumbuhan gaji sebenar adalah hanya 4.2% sahaja.

Ia disebabkan oleh kesan inflasi.Tidak hairanlah jika purata kadar kenaikan gaji pada 2017 juga menurun kepada 5%.

Dengan unjuran kadar inflasi semakin meningkat sehingga berakhir tahun ini, kadar pertumbuhan gaji pada 2018 dijangka sekali lagi mengalami penyusutan.

Fakta demikian telah dinyatakan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam menyuarakan isu pendapatan rakyat.

"Persolannya, bagaimana Kerajaan menghadapai inflasi ini dalam pada masa sama melaksanakan SST bagi menggantikan GST? Sebenarnya, cukai- cukai kepengunaan inilah yang menyebabkan kadar inflasi terus berkembang.

"Kerajaan diminta agar mengkaji semula definisi miskin dan miskin tegar yang digunakan pada masa ini supaya kayu ukur baharu itu dapat menggambarkan dengan lebih realistik keadaan sebenar kemiskinan di negara ini.

"Ini kerana takrif kemiskinan yang diguna pakai pada hari ini terlalu kecil skopnya hanya melibatkan perkara berkaitan makanan dan perkhidmatan asas tertentu sahaja," tegas Khairuddin.

Beliau beranggapan, kesilapan dalam memberikan definisi yang betul mengenai kemiskinan ini telah memangsakan ramai orang miskin kerana terkeluar daripada senarai mereka yang layak menerima bantuan.

Katanya, takrif menurut Islam termasuklah membezakan di antara miskin dan fakir sewajarnya dijadikan panduan.

Maka bagi menentukan PGK pula, lima item keperluan asas wajib diperkirakan iaitu makanan, kediaman, pakaian, pengangkutan dan pendidikan.

"Kerajaan digesa supaya meneruskan dan meningkatkan elaun sara hidup nelayan kepada RM300 hingga RM500 sebulan dan menambah bantuan musim tengkujuh.

"Kerajaan juga diminta menambah subsidi padi dan menaikkan elaun untuk pesawah; menetapkan harga lantai bagi getah pada paras RM4.00 dan menaikkan paras harga getah untuk layak menerima Intensif Pengeluaran Getah (IPG).

"Malangnya, apabila Bajet 2019 tidak langsung menyentuh mengenai pendapatan para petani, peladang dan nelayan ini.

"Sedangkan golongan ini terhimpit dengan masalah hasil, perubahan cuaca dan harga pasaran sehingga menjejaskan pendapatan mereka yang sudah sedia rendah," jelasnya.

Tuesday, 13 November 2018

Dr Khairuddin dipilih Ahli Majlis Pentadbiran IFIP

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/8699-dr-khairudin-dipilih-ahli-majlis-pentadbiran-ifip