Saturday 21 July 2018

LAPORAN FREE MALAYSIA TODAY TENTANG ELAUN MADU TERPESONG DAN SALAH, HUJAHAN TPM PULA MENGELIRUKAN

Kenyataan Media

Sabtu, 21 Julai 2018 | 11 Zulkaedah 1439H

LAPORAN FREE MALAYSIA TODAY TENTANG ELAUN MADU TERPESONG DAN SALAH, HUJAHAN TPM PULA MENGELIRUKAN

1. Laporan berita mengenai soalan tambahan yang saya kemukakan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang disiarkan oleh portal Free Malaysia Today (FMT) dengan tajuk "Wan Azizah tegur ahli Parlimen PAS cadang elaun madu isteri pertama" *adalah kurang tepat dan terpesong dari maksud sebenar*.
[ Rujuk : http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/07/18/wan-azizah-tegur-ahli-parlimen-pas-cadang-elaun-madu-isteri-pertama/ ]

2. Tidak ada dalam soalan saya sebarang cadangan untuk diberikan elaun kepada madu-madu isteri tetapi cadangannya ialah agar diberikan elaun semasa kepada institusi isteri.

3. Justeru itu, saya menuntut FMT membetulkan laporan tersebut dan membuat permohonan maaf secara terbuka kerana ia menimbulkan salah faham pembaca dan masyarakat dalam media sosial.

4. Begitu juga ulasan akhir oleh Menteri KPWKM yang juga Timbalan Perdana Menteri (TPM), "kalau mampu kahwin 1,2,3 mampulah beri nafkah pada semua" jika dianggap sebagai "teguran" kepada saya tentang isu "elaun madu-madu", maka ia hujah dan teguran yang sangat tersasar *kerana yang saya bangkitkan bukannya isu suami yang berkahwin lebih atau isu persoalan nafkah yang sememangnya menjadi tanggungjawab wajib para suami*. Tetapi isunya ialah adakah Kerajaan sendiri bersedia memberikan elaun kepada para isteri sebagai suatu penghargaan kepada para isteri selain pembelaan menerusi caruman KWSP yang akan memberi manfaat pada usia emas nanti.

5. Untuk rekod, soalan tambahan yang saya ajukan mengandungi tiga komponen iaitu pertamanya tentang golongan isteri yang mungkin tercicir dari mendapat manfaat dari caruman KWSP. Kedua, tentang cadangan elaun oleh Kerajaan terhadap institusi isteri. Ketiga, tentang kos yang diperlukan untuk caruman KWSP untuk isteri.

6. Secara jelas *saya menyatakan bahawa objektif bagi membantu golongan suri rumah atau isteri adalah tujuan yang sangat baik* dan *saya turut menyatakan sokongan terhadap caruman KWSP untuk suri rumah ini dan saya juga akan mencarum untuk isteri saya nanti*.

7. Pun begitu, perkara yang saya ketengahkan menerusi soalan itu ialah cadangan caruman KWSP untuk golongan ini *bukanlah suatu kaedah yang paling berkesan bagi membantu golongan itu secara lebih bersasar*.

8. Saya menjelaskan pandangan saya itu dengan mengemukakan tiga (3) sebab; PERTAMA, pendekatan itu boleh dikatakan hampir tidak memberi sebarang nilai tambah kepada pendapatan isi rumah; KEDUA, para isteri tidak dapat memanfaatkannya melainkan setelah mencapai umur tertentu; dan KETIGA, *ada golongan suri rumah yang akan tercicir daripada mendapat manfaat KWSP ini* seperti isteri kedua dan ketiga atau diceraikan dan isteri yang suaminya tidak mempunyai pekerjaan dan caruman KWSP.

9. Bahagian kedua soalan saya pula adalah berkaitan elaun golongan suri rumah sebagai satu penghargaan kerajaan terhadap institusi isteri.

10. Namun, *TPM menolak cadangan itu dengan memberi hujah yang mengelirukan berkaitan nafkah*. Sedangkan nafkah sudah semestinya menjadi tanggungjawab suami. Itu tiada pertikaian lagi. Tinggal lagi apakah Kerajaan bersedia berperanan membantu suri rumah ini sebagai tambahan kepada nafkah wajib oleh suami?

11. Melihat kepada kelemahan caruman KWSP untuk isteri ini bagi membela golongan suri rumah dan bagi membantu golongan isteri ini secara semasa (atau sekarang, bukan masa hadapan) yang lebih patut diutamakan, justeru itu saya mencadangkan supaya dana yang mahu diperuntukkan untuk tujuan ini adalah lebih baik digunakan untuk memberikan bantuan tunai secara terus kepada para suri rumah, antaranya menerusi pemberian elaun bulanan kepada isteri-isteri ini sekaligus sebagai penghargaan kepada golongan ini.

Sila rujuk rakaman penuh di :
https://youtu.be/kGBj2mCqmW0

12. Soalan saya yang ketiga tidak dijawap oleh TPM.

13. Sesi soalan jawab lisan di Dewan Rakyat tidak memberi ruang untuk Ahli-ahli Parlimen berbalas hujah lebih lanjut bagi membetulkan kesilapan hujahan TPM itu.

Sekian.

”Sejahtera Bersama Islam”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

No comments:

Post a Comment