Tuesday 24 July 2018

KERAJAAN, SEMUA AHLI PARLIMEN WAJIB PERTAHAN ISLAM

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2079319992078020&id=569086473101387

Kenyataan Media

Selasa, 24 Jul 2018 | 11 Zulkaedah 1439H

KERAJAAN, SEMUA AHLI PARLIMEN WAJIB PERTAHAN ISLAM

1. Kerajaan dan semua Ahli Parlimen sama ada Islam atau bukan Islam berkewajipan untuk mempertahankan Islam.

2. Tanggungjawab ini perlu dilaksanakan sesuai dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang telah memperuntukkan “Islam ialah agama bagi Persekutuan”.

3. Sebagai ahli badan legistatif, Ahli-ahli Parlimen sepatutnya lebih memahami tuntutan daripada peruntukan ini.

4. Tambah pula, Tanah Melayu telah mempunyai peruntukan jelas mengenai kedudukan Islam sebagai agama negeri sejak dari sebelum merdeka. Perkara VII Perlembagaan Negeri Johor 1895 dan Fasal 51 Perlembagaan Negeri Terengganu 1911 lebih awal meletakkan Islam sebagai agama negeri.

5. Menunjukkan, agama Islam itu begitu sebati sekali dalam adunan budaya dan amalan dalam negara ini sejak dahulu lagi sehingga diperundangkan dalam Perlembagaan.

6. Justeru, adalah tidak wajar sekali jika berlaku dalam pentadbiran dan tindakan para pemimpin di negara ini yang bercanggah dengan kehendak dan ajaran agama Islam.

7. Kerajaan juga mesti memahami bahawa adalah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk "menegakkan Islam dan mentadbir dunia dengan Islam itu" seperti yang dijelaskan oleh para ulamak Islam dalam disiplin ilmu ketatanegaraan dan politik Islam. Apabila Islam ditegakkan maka agama-agama lain akan terpelihara untuk diamalkan secara aman dan damai kerana antara prinsip Islam ialah tiada paksaan dalam beragama.

8. Salah satu kewajipan ini ialah memelihara agama Islam (hifz ad-din) itu sendiri pada dua aspek; (i) memastikan Islam itu kekal dan dilaksanakan serta diperkasakan, dan (ii) melindungi Islam daripada perkara-perkara yang membawa kepada kerosakan atau kemusnahannya.

9. Malangnya mutakhir ini, suara-suara sumbang yang memburukkan imej institusi dan undang-undang Syariah; mahu agar umat Islam dibebaskan daripada ikatan undang-undang kawalan moral yang berasaskan agama, menuntut supaya semua agama diletakkan sama rata (transcendental unity of religion) dan menggesa supaya kedaulatan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan di negara ini dihapuskan seolah-olah tidak diberikan perhatian dan tidak dipandang berat oleh Kerajaan.

10. Tindakan ancaman terhadap Islam ini adalah sangat merbahaya kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

11. Oleh yang demikian, saya amat berharap agar Kerajaan dan semua Ahli Parlimen lebih bertanggungjawab untuk memelihara Islam di negara ini.

12. Perkara ini telah saya tegaskan di Dewan Rakyat menerusi Ucapan Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang saya sampaikan pada hari ini dan hari semalam.

Sekian.

”Sejahtera Bersama Islam”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

No comments:

Post a Comment