PAGE DR KHAIRUDDIN TAKIRI

Wednesday, 16 May 2018

*GURU MURABBI RAKYAT & NEGARA*

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1980420878634599&id=569086473101387

*Perutusan Khas Hari Guru*

*GURU MURABBI RAKYAT & NEGARA*

oleh:
*DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_

16 Mei 2018 | 30 Syaaban 1439H

Sempena Hari Guru yang disambut pada hari ini, suka untuk saya menyampaikan pengiktirafan daripada Allah s.w.t. kepada para guru dan semua warga pendidik yang dirakamkan dalam firmanNya yang berikut :

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَات

Maksudnya : _"...pasti Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat..."_

(Surah al-Mujaadalah : 11)

Golongan yang berilmu ini diangkat kedudukannya di sisi Allah adalah kerana kemuliaan ilmu itu sendiri dan peri pentingnya peranan golongan ini terhadap pembangunan tamadun kemanusiaan. Tamadun mana pun, jika tidak memuliakan ilmu dan tidak menghormati guru, pasti akan rebah binasa menyembah bumi.

Para guru yang dimuliakan,

Pada era ini, guru mestilah kembali menjadi teladan yang terbaik kepada masyarakat. Kederasan arus globalisasi dan tsunami  informasi tanpa sempadan pada hari ini menyebabkan masyarakat mudah terpengaruh dengan kefahaman dan budaya yang lebih banyak menatijahkan keburukan.

Para guru mesti menekankan pengajaran agama dan menerapkan nilai-nilai agama dalam diri pelajar sebagai asas dan teras dalam diri mereka supaya dapat menjadi sumber tenaga manusia yang berintegriti kepada negara pada masa hadapan dalam semua sektor.

Munculnya para pemimpin korupsi adalah sangat malang kepada kita semua dan merupakan bukti kemuncak sesuatu tamadun sedang berada di ambang kejatuhan.

Warga pendidik yang dihormati,

Pasca PRU14 ini pelbagai aspek landskap negara sedang mengalami perubahan. Pun begitu, aspek pendidikan mesti tetap dipastikan menjadi bidang terpenting dalam pembangunan rakyat dan negara ini.

Peranan dan pengaruh warga pendidik ini tidak setakat di dalam bilik darjah bahkan mestilah dibawa sehingga ke dewan Parlimen.

Warga pendidik sekalian mesti berani ke hadapan; menonjolkan diri dan menguatkan suara bagi menyampaikan pandangan dan cadangan serta mengemukakan kritikan.

Individu yang dililih untuk menerajui kementerian berkaitan mesti dipastikan adalah dalam kalangan warga pendidik yang mempunyai pengalaman yang luas dan pengetahuan yang mendalam mengenai sektor pendidikan.

Dasar dan polisi berkaitan pendidikan mesti dipastikan adalah demi kebaikan rakyat dan negara; bukannya lagi untuk kepentingan pemimpin dan parti politik tertentu.

Guru-guru sekalian,

Inilah hakikat sebenar seorang murabbi. Tidak hanya mengajarkan subjek, tetapi membina, memelihara dan memacu kecemerlangan rakyat dan negara sehingga diberkati Tuhan sekalian alam.

Terima kasih CIKGU kerana telah mengasuh dan mendidik kami semua.

Selamat Hari Guru.

Sekian.

_*"Sejahtera Bersama Islam"*_

Tuesday, 15 May 2018

RAKYAT MESTI TERUS PANTAU DAN KAWAL KERAJAAN BARU PASCA PRU-14

RAKYAT MESTI TERUS PANTAU DAN KAWAL KERAJAAN BARU PASCA PRU-14

Oleh :
*YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri*
_Ahli Parlimen Kuala Nerus_
Selasa 15hb Mei 2018

1. Tsunami politik baru sahaja berlaku sehinggakan Kerajaan Persekutuan beralih teraju daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH). Kerajaan-kerajaan negeri juga hampir semuanya dilanda perubahan yang sama. BN hanya menguasai dua negeri sahaja iaitu Pahang dan Perlis.

2. Tanpa dapat dinafikan, PAS juga sebahagian daripada tsunami itu; kerana itu PAS kekal di Kelantan dan memenangi Terengganu selain berjaya menambah jumlah kerusi DUN di seluruh negara dan meraih kemenangan di 18 kerusi Parlimen.

3. Keputusan PRU14 ini menunjukkan tekad rakyat bagi menterjemahkan penolakan terhadap dasar dan polisi Kerajaan yang diterajui oleh BN selama ini yang telah membebankan kehidupan mereka.

4. Sekalipun pelbagai habuan bernilai besar masih dihidangkan sehinggakan pada malam terakhir sebelum hari pengundian, rakyat tetap memilih untuk tidak lagi mengundi BN.

5. Rakyat mahukan perubahan. Perubahan yang lebih baik berbanding yang sedia ada. Rakyat mahukan pemimpin yang berintegriti dan berakhlak; pengurusan ekonomi yang adil dan diberkati; kerjasama semua pihak dalam seruan dan gerakan kebaikan dan kebajikan; pencegahan salah laku dan jenayah yang berkesan serta gagasan kenegaraan jangka panjang yang lebih terarah dan menyeluruh.

6. Maka selesailah sudah episod pemilihan dengan tumbangnya BN yang telah luput ciri-ciri ini setelah 60 tahun memerintah Malaysia.

7. Kini, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri sedang dalam proses melengkapkan pembentukan masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab terhadap negara atau negeri dan rakyat.

8. Kita selaku pengundi yang telah membuat pilihan pada PRU14 baru-baru ini mesti terus menjalankan kewajipan berikutnya iaitu memantau dan mengawal kerajaan yang baru dibentuk ini. Dibimbangi, sekiranya kita terlalu selesa selepas telah tumbangnya BN, akan muncul lagi BN kedua dengan nama yang baru.

9. Kita mesti memastikan dasar dan polisi yang digubal kerajaan adalah seimbang dan baik untuk rakyat dan negara serta berteraskan perlembagaan dan undang-undang. Kita mesti memastikan orang yang betul diletakkan di tempat yang betul bagi melaksanakan potrtfolio kementerian dan jawatankuasa yang diwujudkan. Kita mesti memastikan projek dan program yang disusun dilaksanakan secara telus, bebas rasuah dan kronisme.

10. Sekiranya kelihatan tanda-tanda ke arah sebaliknya, bahkan sebelum ia berlaku pun, kita mesti melakukan _Amr bil Ma'ruf wa Nahy an al-Munkar_ terhadap kerajaan yang memerintah, bermula dengan memberikan nasihat dan teguran disusuli dengan tindakan yang lebih tegas jika perlu.

11. Pendirian dan sikap PAS terhadap Kerajaan Persekutuan tetap sama tanpa mengira DS Najib Razak atau Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri, tanpa mengira BN atau PH yang menerajui kerajaan adalah sama sahaja iaitu _taawun_.(kerjasama) atas dasar kebajikan dan taqwa.

12. PAS sedia menyokong dan menolong pada perkara yang baik. Namun, PAS juga bersedia membantah dan menghalang apa juga tindakan yang merugikan rakyat dan negara lebih-lebih lagi yang membelakangkan kedudukan dan peranan Islam dan umat Islam di negara ini yang telah dijamin oleh perlembagaan.

13. Justeru, saya mengajak semua rakyat Malaysia untuk kita terus menjadi pengundi yang bertanggungjawab bukan sahaja dengan membuang undi pada hari pengundian, bahkan juga menjadi pemantau dan pengawal yang berkesan sepanjang tempoh mandat memerintah ini diberikan kepada parti-parti politik berkenaan.

Semoga Allah memelihara kita semua daripada tipu daya dan bala bencana.

Sekian.